Pada pagi tadi berkesempatan berkunjung sekali lagi ke Kompleks Sukan Mendaki, Taman Cabaran Putrajaya. Semalam setelah sampai pada waktu rehat. Tiada pertandingan dijalankan ketika itu. Jadi, pada pagi ini datang kembali melihat aksi para pendaki.
Tiba di dalam dewan para peminat dan peserta telah memenuhi segala ruang. Sangat meriah dengan suasana pertandingan peringkat ASEAN ini. Pasukan yang dapat dilihat terdiri daripada Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia sebagai tuan rumah.
Bagi penulis ini merupakan kedatangan julung kali ke sini. Tidak berkesempatan untuk masuk mencuba untuk mendaki dengan bayaran yang ada. Peluang sempena kejohanan ini tidak harus dilepaskan. Ini membolehkan penulis melihat kemudahan yang ada di kompleks ini.
Kemudahan tembok mendaki bertaraf antarabangsa mengikut piawai yang ditetapkan badan dunia. Kemudahan secanggih ini haruslah digunakan secara maksimum agar dapat melahirkan ramai lagi jaguh sukan mendaki. Berbanding setengah negara jiran masih dapat menghantar atlet hingga peringkat dunia walaupun kemudahan yang terhad.
Tembok setinggi bangunan tiga tingkat ini ada pelbagai corak dan bentuk memberi cabaran penuh kepada pendaki. Selepas masuk pintu utama sebelah kiri adalah tembok untuk bouldering serta tilam di bawahnya sangat tebal. Manakala sebelah kanan, ada tembok untuk acara Speed climbing. Keliling yang lain adalah tembok untuk mendaki biasa.
Atlet Malaysia bersedia untuk menawan tembok bouldering. Memanjat tanpa menggunakan tali. Perlu bijak memilih laluan sebelum sampai hold yang terakhir. Hold merupakan permukaan yang direka khas untuk memegang dan memijak seperti permukaan batu alam semulajadi. Ada pelbagai saiz serta bentuk bagi menguji keupayaan pendaki untuk berpaut, memegang malahan untuk dipijak.
Bentuk permukaan bukan sahaja menegak malahan terpaksa tergantung kerana permukaan yang condong ke atas. Maka terpaksalah pendaki menggunakan kebijaksanaan agar tidak jatuh ke bawah. Sukan anti graviti ini memerlukan atlet dengan bijaksana memilih laluan yang betul agar tidak terjatuh. Bawah permukaan lantai terdapat tilam yang tebal bagi membolehkan pendaki jatuh dengan selamat. Ketinggian tembok dalam lima meter tinggi.
Aksi spiderman melekat di dinding. Memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi bagi melepasi setiap kesukaran. Maka, keadaan fikizikal bagi kekuatan jari dan tangan serta kaki perlu berada di tahap paling tinggi. Jika otot gagal bertahan pasti jatuh ke bawah jua. Kebijaksanaan memilih laluan turut membantu kejayaan atlet. Fizikal dan mental seiringan dalam melepasi setiap halangan.
Lambang Persatuan Pendaki Malaysia (PMM) peneraju dalam pembangunan sukan mendaki di Malaysia. Projek yang PPM anjurkan tidak dilupai seluruh rakyat Malaysia adalah kejayaan pendaki Malaysia berjaya menawan bumbung dunia pada tahun 1997. Sejak itu, pelbagai kejayaan anak watan di seluruh dunia berjaya mengharungi pelbagai cabaran demi menaikkan nama Malaysia.