Misi Bench Mark (BM) Sendayan ke Sepang


 Oleh kerana belon KLIA pagi ini agak sukar untuk mencarinya. Misi mencari Batu Aras (BM) diteruskan pula. Semalam semasa hala ke Sepang terlihat sepanjang jalan Seremban - Bukit Nenas batu aras sepanjang jalan. Maka, pagi ini operasi mencari batu tanda aras pula.


Misi pertama di stesen Petronas dan Shell Nilai. Sepanjang minggu ini berulang-alik melalui jalan ini. Maka, pagi berpeluang menjejak BM#221 N 0546. Koordinat 2.815966 darjah Utara dan 101.813760 darjah Timur. Kemudian terus menghala ke Pekan Nilai sebelum masuk ke kiri menghala ke Labu. Melepasi Labu masuk ke kanan menghala ke Gadong dan seterusnya ke Sendayan.


Tiba simpang empat Sendayan belok ke kanan. BM#222 N 7017 beberapa meter selepas simpang tersebut jalan menghala ke Sepang. 


Batu tanda aras beberapa meter di bahu jalan bawah pohon. Koordinat 2.679740 darjah Utara dan 101.843209 darjah Timur. Keadaan tegak elok sahaja.


Seterusnya bersebelahan pondok bas terdapat BM#223 N 7018.


Kedudukan elok sebelah pondok bas. Koordinat 2.671963 darjah Utara dan 101.837464 darjah Timur.


Seterusnya permulaan laluan mendaki Bukit Nenas di tepi jalan. BM#224 N 7019 plat hampir tertutup oleh simen. Nombor siri lama W 61124.


Lokasi BM ini menghadap Tapak Pelupusan Sanitari Ladang Tanah Merah. Kedudukan batu masih elok tegak berdiri. Koordinat 2.669224 darjah Utara dan 101.828534 darjah Timur.


Seterusnya laluan turun bukit di tepi jalan BM#225 N 7021. Nombor siri lama W 61111.


Batu aras hampir ditenggelami rumput di bahu jalan. Kenderaan di sini amat laju memandang turun bukit. Kerja-kerja perekodan perlu dibuat sepantas mungkin. Koordinat 2.676077 darjah Utara dan 101.812489 darjah Timur.


Berdekatan simpang masuk Kampung 107 Ekar Tanah Merah. Pernah masuk ke dalam mencari belon. BM#226 N 7022 dan nombor siri lama W 61105.


Keadaan batu aras baik menegak. Koordinat 2.682134 darjah Utara dan 101.804845 darjah Timur.


Kemudian sebelum simpang Eka Matahari. BM#227 N 7023 dan nombor siri lama W 61102. Bersebelahan papan tanda lampu isyarat.


Plat masih elok dilihat lagi. Koordinat 2.689792 darjah Utara dan 101.800251 darjah Timur.


Berjalan ke depan lagi di persimpangan jalan pembinaan ke Labu. Masih tidak siap sudah berapa tahun diperhatikan sejak pemburuan belon di sekitar daerah ini. BM#228 N 7026 dan nombor siri lama 
W 61100.


Batu masih menegak hampir ditenggelami rumput di bahu jalan tersebut. Koordinat 2.715308 darjah Utara dan 101.789831 darjah Timur.


Seterusnya di Kampung LBJ BM#229 N 7027 nombor siri lama W 61107. Kedudukan batu aras yang senget pasti ditolak oleh jentera.


Batu yang senget hingga tidak tertera N 7027 berhampiran Kg LBJ ini. koordinat 2.724957 darjah Utara dan 101.788791 darjah Timur.


Simpang masuk Kampung LBJ BM#230 N 7028 dan nombor siri lama W 61122. Kelihatan kesan retakan pada plat dan batu.


Batu tegak elok di tepi persimpangan lampu isyarat. Koordinat 2.731697 darjah Utara dan 101.786275 darjah Timur.


Selepas simpang AKEPT berdiri elok batu berwarna putih yang hampir luntur BM#231 N 7029 dan nombor siri lama N 5245.



Plat yang berasal dari Negeri Sembilan juga, yang lain dari Wilayah Persekutuan. Elok juga JUPEM menggunakan plat yang lama boleh diguna semula. Koordinat 2.734917 darjah Utara dan 101.777927 darjah Timur. Ini merupakan batu terakhir bagi jalan Seremban - Bukit Nenas ini.


Kemudian tiba di Sepang, berhenti di laluan masuk menara komunikasi berhampiran batu tanda 0 km Sepang. Belon KLIA malam tadi jatuh di tepi jalan ini. Selepas memeriksa tiada tanda-tanda kewujudan belon. Pemanduan belok ke kiri memasuki Negeri Sembilan semula.


Pemanduan terus ke Kampung Baru Site A, Tanah Merah. BM#232 N 1560 berdekatan papan tanda kampung ini.


Permukaan plat yang semakin tidak jelas untuk dilihat. Terpaksa mengosok permukaan bagi melihat nombor siri. Koordinat 2.677768 darjah Utara dan 101.757999 darjah Timur. Kemudian berpatah balik menghala ke Sepang.


Belon KLIA malam tadi jatuh jam 21:25:45 berhampiran simpang empat Pekan Sepang. Jatuh menghala Sungai Sepang yang berhutan paya. Misi untuk melihat di jangkaan jatuh oleh laman sesawang SondeHub. Percubaan kedua ke kawasan jangkaan setelah semalam ke Bagan lalang yang gagal. Altitud ketinggian akhir agak tinggi iaitu 854m dan ketinggian maksimum 27,422m.


Terus memandu ke pintu masuk ladang kelapa sawit Bukit Pelandok. Berjumpa Polis Bantuan yang menjaga pos kawalan di situ. Mendaftar diri serta memaklumkan tujuan untuk masuk ke dalam sebentar. Menunjukkan contoh peranti kepada beliau. Memaklumkan pernah masuk ke kawasan ini berjaya menjumpai peranti beberapa tahun lalu.


Setelah itu, terus menghala ke titik jangkaan melalui pokok kelapa sawit agak muda. Melitas titi dan terus mengikut baris. Keluar baris dan titik jangkaan berada pada baris berikutnya. Tiada apa-apa tanda bahawa belon jatuh pada titik jangkaan tersebut. Memerhatikan keadaan sekeliling mana tahu ada benang terjurai. Sebelahnya pula kawasan paya Sungai Sepang dan sempadan negeri juga. Jarak 1m pada GPS Waypoint Finder bukti telah berjaya tiba di titik jangkaan.


Laluan sawit bersebelahan dengan hutan paya Sungai Sepang. Lupa nak semak jarak titik jangka ke titik akhir bagi altitud 854m. Melihat-lihat juga kawasan paya jikalau terlihat benang terjurai.


Bergerak ke luar melalui jalan tanah merah ini ke jalan besar. Melihat air parit mengalir keluar ke arah Sungai Sepang. Cuaca cerah dan semakin panas matahari mula menegak.


Pertembungan dua parit menjadi sempadan ladang ini. Kebiasaannya parit dikeliling kawasan ladang sebagai pagar untuk mencegah pencerobohan manusia mahupun haiwan ternakan. Air agak deras mengalir terus ke Sungai Sepang.


Parit bersempadanan dengan hutan paya. Walaupun belon KLIA mendapat titik rendah sekalipun kawasan ini sukar ditembusi. Maklumat dan pengetahuan kawasan seperti ini dapat digunakan pada masa hadapan. Jika jatuh kawasan ini secara automatik boleh diabaikan sahaja. Lainlah jika jatuh kawasan ladang pasti boleh dipertimbangkan. Kajian lapangan ini sangat penting agar tidak datang membuang masa sekali lagi jika jatuh pada kawasan tersebut.


Kunci air milik syarikat perladangan mengawal laluan air parit dan limpahan air dari Sungai Sepang. Airnya jernih dan agak deras juga, lebih-lebih lagi musim hujan kerap turun dalam minggu ini.


Pemandangan pintu kunci air bahagian hadapan pula. Kunci air ini dapat dilihat dari jalan besar lagi. Tetap berperanan penting hingga ke hari ini mengawal aliran air parit. Sistem apa yang digunakan bagi membuka pintu kunci air ini?


Papan tanda selamat datang ke Negeri Sembilan berhampiran pintu kunci air tersebut. Ingin memeriksa ke titik akhir pula.


Lokasi wajib bergambar bagi konvoi bermotosikal dan berbasikal touring mahupun mengayuh yang lain. Kebiasaannya menghala ke Port Dickson baru bersemangat hendak bergambar beramai-ramai.


Kawasan hutan paya Sungai Sepang sebelum jambatan. Hutan pokok tinggi-tinggi belaka. Memang sukar untuk jejaki jika belon jatuh dalam kawasan tersebut.


Pemandangan Sungai Sepang dari atas jambatan. Banyak monyet liar atas jambatan ini sebenarnya. Rupanya ada orang yang baik hati menghulurkan makanan pada haiwan-haiwan liar ini.



Kawasan titik akhir altitud ketinggian 854m. Memang tinggi sangat altitud sudah pastilah belon tidak mendarat di kawasan ini. Laluan turun menghala sepanjang kawasan paya Sungai Sepang.


Pemandangan titik akhir ke arah belon mendarat menghala ke menara telekomunikas tersebut. Ada melihat benang bergantung di menara itu. Tidak pastilah adakah itu benang belon kerana pendek sangat.


Arus Sungai Sepang agak kuat juga mengalir ke hilir. Banyak dahan-dahan pokok mencecah sungai. Pastilah bot nelayan tidak sampai ke sini kerana masih jauh dari kuala.


Pokok-pokok seolah-olah menutup laluan sungai dilihat dari jambatan. Jambatan Sungai Sepang kiri dan kanan banyak monyet bertenggek menikmati makanan yang ditinggalkan orang. Nasib baiklah monyet-monyet ini tidak terlalu garang. Lari bertempiaran apabila penulis berjalan atas jambatan ini.


Papan tanda daerah Sepang menghala masuk negeri Selangor. Kembali ke pos kawalan memaklumkan semula telah selesai tugasan mencari belon. Mengucap terima kasih atas kerjasama yang diberikan, Memaklumkan bahawa belon tidak dijumpai. Kemungkinan jatuh dalam kawasan hutan paya Sungai Sepang tersebut.

Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya

Radiosonde 2405011762 berjaya di Sendayan


 Belon KLIA pagi tadi radiosonde 2405011762 berjaya ditemui bersama Arul 9W2OCX di Sendayan. Jatuh jam 9:49 pagi agak lewat kerana altitud ketinggian maksimum adalah 30,526m. Altitud ketinggian terakhir adalah 188m agak rendah. Koordinat 2.67243 darjah Utara dan 101.83538 darjah Timur. Ini boleh dikatakan sebagai cabutan bertuah atau jackpot kerana jatuh di tempat yang mudah akses. Bahasa lainnya tepi jalan sahaja untuk pergi mencari.

Jarak tepi jalan ke titik akhir cuma 117m sahaja menggunakan aplikasi GPS Waypoint Finder. Menunggu Arul 9W2OCX memandu dari Port Dickson. Sudah berpakat untuk melancarkan operasi pencarian bersama. Maka, perlu menunggu hingga tiba barulah masuk ke kawasan pencarian. Dua lot tanah industri yang masih kosong di Sendayan ini.


Isyarat dapat didengari mulai simpang Gadong menghala ke Masjid Sendayan lagi. Tiba di tepi jalan lokasi pencarian sudah pastilah isyarat diterima dengan lebih jelas lagi. Frekuensi untuk hand-helds ini adalah 399.975MHz. Peranti radiosonde ini frekuensi 400.000MHz. Rakan-rakan di Lembah Klang boleh memantau frekuensi tersebut bermula 7.35 pagi dan malam. Belon kaji cuaca KLIA dilepaskan sebanyak dua kali setiap hari. Sambil monitor boleh lihat pergerakan belon di laman sesawang SondeHub Tracker.


Kelihatan stesen 9W2OCX-8 dan 9W2OCX-9 dalam perjalanan ke lokasi kejadian. Stesen 9W2DYA-5 pula menunggu seperti yang dijanjikan. Tak perlu tertanya-tanya. Sebagai pengamal radio amatur boleh memantau pergerakan rakan ham melalui APRS. Ia dijalankan secara real-time atau secara langsung pada ketika itu juga. Sepanjang misi pencarian belon stesen 9W2DYA-5 sentiasa diaktifkan agar rakan lain boleh memantau pergerakan penulis.


Pemandangan dari tempat lepak penulis menunggu Arul 9W2OCX. Lokasi kejadian bersebelahan kilang lampu automatif Koito Malaysia SDN BHD. Nasib baik lah lokasi kejadian masih tanah lapang lagi. Pernah mencari bersama Arul 9W2OCX di Sendayan juga. Merujuk peta adalah kawasan lapang, setelah tiba telah tersergam indah bangunan kilang. Maka, belonnya sudah pasti jatuh di atas bumbung bangunan tersebut. Berputih matalah kami.

Sebelum Arul 9W2OCX tiba, sempat mengenakan kasut terlebih dahulu bagi memudahkan pergerakan. Andaian ini merupakan kawasan lapang. Selepas masuk barulah tahu keadaan sebenar. Setelah Arul 9W2OCX tiba sempat bertukar koordinat untuk memasukkan dalam telefonnya. Setelah selesai, maka kamipun bergerak berpandu arah kompas GPS Waypoint Finder ini.


Ternyata sangkaan meleset mengandai satu kawasan lapang yang luas. Hakikat sebenarnya kawasan telah mula bersemak dan dipenuhi resam. Resam yang meninggi sudah pasti menghalang laluan. Terpaksalah memilih laluan yang boleh dimasuki berpandukan arah kompas.


Video rakaman Arul 9W2OCX semasa pencarian djalankan. Ketika itu, radio telah dicabutkan antenanya. Masih dapat isyarat menandakan peranti berdekatan sahaja untuk dicari. Jika antena dicabut dan tiada bunyi, ini bermakna peranti masih jauh untuk dicapai.


Menghampiri titik akhir berada dikawasan bersemak yang agak tinggi. Kemudian Arul 9W2OCX bergerak ke depan sedikit. Terus beliau nampak benang yang tersangkut dari dahan pokok. Belon berada di atas dahan yang tinggi. Peranti radiosonde berada di atas tanah. Jarak titik akhir ke peranti yang dijumpai adalah 21.3m sahaja bagi altitud ketinggian terakhir 188m.


Cerapan koordinat jam Garmin. Hasil misi kali ini merujuk mode tactical adalah jarak 0.59km dalam masa 19:04 minit sahaja. Hanya 75 kalori berjaya dibakar bagi misi yang paling cepat ini. Itulah maksud jackpot bagi setiap pencarian. Mudah akses dan dekat dengan kemudahan jalan.


Radiosonde 2405011762 berjaya dalam genggaman. Menggagau juga untuk mendapatkannya. Maklumlah pokok resam yang melata. Nasib baik juga tersangkut atas dahan pokok. Bolehlah melihat benang terjurai dari atas. Bayangkan kalau jatuh atas resam. Jenuh juga hendak mencarinya. Alhamdulillah syukur jumpa juga akhirnya. Itulah dalam kemudahan masih tetap ada kesusahannya. Barulah sangat bermakna dalam menghargai setiap kesusahan itu. Tiada yang mudah dalam kehidupan seharian. Semuanya tetap perlu berusaha juga.



Arul 9W2OCX melaporkan penemuan dalam laman sesawang SondeHub Tracker. Rutin setiap misi pencarian setelah ditemui mahupun tidak.


Kawasan pokok tinggi yang menjadi batu penghalang belon bergerak jatuh ke hadapan lagi. Jika tiada pokok, pasti belon akan jatuh ke dalam kawasan semak resam. Ini sangat menyukarkan lagi pencarian. Benang pasti sukar dilihat berbanding tergantung pada dahan pokok. Kriteria menjadi pemburu belon terbaik adalah mempunyai daya penglihatan yang tajam dalam mengesan benang yang tergantung.

Credit 9W2OCX

Meraikan kejayaan bersama sebagai satu pasukan yang mantap. Boleh dilihat benang yang tergantung di sebelah kiri gambar. Latar belakang pula pokok-pokok liar yang tinggi serta rumpun resam. Sangat mencabar juga persekitaran pada misi kali ini.


Stesen 9W2DYA-5 berada dilokasi peranti dijumpai. Altitud ketinggian yang dicatatkan adalah 61m dari aras laut. Sememangnya persekitaran Sendayan kawasan berbukit. Selepas berjaya keluar kami bersembang terlebih dahulu sebelum ke destinasi masing-masing.


Seterusnya misi kedua dilancarkan secara solo ke Bagan Lalang. Radiosonde 2405011786 telah jatuh pada 16 September 2024  jam 21:23 malam. Altitud ketinggian akhir agak tinggi iaitu 1144m. Sahaja ingin mencari pada titik jangkaan yang dikirakan oleh laman sesawang SondeHub ini. Hendak membuktikan adakah perkiraan itu dapat menjumpai belon tersebut.

Bergerak menuju LBJ dan belok ke kiri menuju Pekan Sepang. Tiba di Sungai Pelek berhenti makan tengah hari. Usai makan berhenti solat zohor di Surau Bagan lalang. Kemudian ke Jalan Kepah lokasi titik jangkaan tersebut berada. Meletak kereta di sebelah kedai makan. Seterusnya masuk ke kawasan kebun kelapa sawit. Jarak 0.7m merupakan bukti telah sampai ke jarak jangkaan tersebut. Ternyata tiada tanda dapat menjumpai belon.


Nasib baiklah kawasan jangkaan merupakan kawasan kebun kelapa sawit. Sebelahnya pula kebun pokok kelapa mawar. Sempadan kebun ini di penghujung merupakan parit besar. Jarak ke parit dari titik jangkaan lebih kurang 115m. Tiada juga tanda belon dapat ditemui bagi titik akhir altitud 1144m.


Meronda setiap baris kiri dan kanan titik jangkaan. Blok sini kebun sangat kemas dan bersih. Sebelah kiri kebun ini merupakan kebun kelapa mawar.


Kebun kelapa mawar yang sangat bersih terjaga oleh tuan pemilik kebun.


Sebelah belakang kebun kelapa mawar merupakan kebun buah naga. Tersergam megah bangunan sarang burung walit. Kebun buah naga bersemak seperti tidak diurus dengan baik.


Kebun sebelah kanan agak terurus juga bersempadan dengan Jalan Kepah dipisahkan parit. Kemungkinan belon berat ke arah ini merupakan jangkaan laluannya. Tidak dapat bergerak ke depan hala ke titik akhir kerana terdapat beberapa rumah orang kampung. Kebarangkalian jatuh laman rumahpun boleh terjadi juga.


Jarak 431m merupakan titik jangkaan belon yang dikirakan oleh laman sesawang SondeHub bagi altitud terakhir1144m. Namun, tidak juga jumpa di kawasan persekitaran titik jangkaan ini. Puas mencari terus keluar semula dari kebun kelapa sawit tersebut. Singgah ke kedai makan untuk pesan sirap limau bagi menghilangkan dahaga seketika. 

Bagi misi kedua ini, jarak yang dilalui adalah 1.93km dalam tempoh 56 minit 39 saat. Sebanyak 269 kalori telah berjaya dibakar.

Selamat memburu!

73, Jojet de 9w2dya

Misi Bench Mark (BM) Sendayan ke Sepang

  Oleh kerana belon KLIA pagi ini agak sukar untuk mencarinya. Misi mencari Batu Aras (BM) diteruskan pula. Semalam semasa hala ke Sepang te...