Semalam dua hari berturut melancarkan SAR belon Gemas dan belon KLIA. Cuti hujung minggu digunakan sepenuhnya mencari belon sahaja. Belon Gemas sempena Latihan Kuasa Tembakan. Telah dilepaskan bermula 3 Ogos 2025 hingga 12 Ogos 2025. Sepuluh buah belon telah dikesan sepanjang tempoh tersebut. Setakat semalam hanya satu berjaya ditemui, itupun isinya telah hilang. Hanya tinggal bekas yang tulis radiosonde dan Vaisala.
Misi pertama di ILP Pedas. Radiosonde RS92-SGP L2334065 telah jatuh pada 8 Ogos 2025 pada jam 15:45 petang. Koordinat 2.59143 darjah Utara dan 102.04894 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 2560 m dan ketinggian maksimum 25,549 m. Percubaan untuk mengetahui altitud 2,560 m berada di titik akhir belon. Boleh dijumpai atau tidak?. Gambar di atas merupakan pemandangan dari titik akhir. Kawasan tempat letak kereta menghadap satu bukit.
Menurut Pengawal Keselamatan yang bertugas, tidak jumpa sebarang radiosonde seperti yang ditunjukkan oleh Penulis. Kemudian meminta kebenaran untuk mendaki bukit yang menghadap titik akhir tersebut. Tiba di atas tiada pula benang terjurai dari dahan pokok. Bergerak ke kawasan lalang atas bukit tersebut. Tiada juga! Mungkin angin kuat bawa ke balik bukit tetapi kawasan tersebut sangatlah bersemak. Pengawal Keselamatan juga memaklumkan kawasan ILP ini angin sememangnya bertiup sangat kuat. Kemungkinan belon terlajak ke hadapan lagi.
Pemandangan titik akhir di hadapan blok bangunan berhadapan tempat letak kereta dari bukit. Mustahil belon tersangkut atas bumbung bangunan tersebut kerana koordinat yang direkodkan jatuh atas tempat letak kereta. Kalau jatuh atas tempat letak kereta pasti pekerja pembersihan pada hari kejadian telah kutip tanpa pengetahuan Pengawal.
Sebelah kiri papan tanda merupakan kawasan lapang sebelah bukit tersebut. Kelihatan kawasan ini tidak berjaga hingga naik semak-samun. Melepasi pagar tersebut hadapan lagi kawasan hijau bersemak-samun juga. Jadi memang amat payah untuk menemui belon tersebut.
Pemandangan tepi jalan kawasan bersemak dijangkakan belon Gemas mendarat. Gambar ini diambil dari pintu masuk ladang sebelah SMK Pedas. Titik jangkaan sondehub adalah jatuh dalam kawasan ladang kelapa sawit. Penulis tidak mahu mengambil risiko untuk mencari dalam kawasan ladang yang berbukit tinggi ini. Pada firasat Penulis belon Gemas jatuh melepasi bukit dalam kawasan bersemak-samun tersebut.
Sebenarnya ada beberapa buah belon Gemas yang belum dicari lagi. Beri peluang pemburu lain untuk mencuba mencarinya. Seterusnya pulang semula ke Labu. Terdapat sebuah belon KLIA yang masih belum dicuba lagi. Radiosonde WxR-301D 2405015723 telah jatuh lebih sebulan pada 20 Julai 2025 jam 19:58 malam. Koordinat 2.7893 darjah Utara dan 101.814 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir paling rendah 81 m dan ketinggian maksimum juga rendah hanya 5,816 m. Ini menandakan belon telah pecah terlalu awal.
Cahaya di hujung terowong. Masih ada sinar harapan untuk mendapat kejayaan. Bergerak dari Pedas terus ke Nilai melalui jalan dalam sahaja. Masuk ke Jalan Kg Jerangkang Darat hingga bertemu terowong ini. Terowong ini adalah laluan bagi melepasi Lebuhraya Utara Selatan PLUS. Sangat kecil muat untuk satu kereta sekali lalu. Namun, lebih baik letak di hadapan rumah penduduk tepi lebuhraya ini lebih selamat. Jarak berbaki ke titik akhir lebih kurang 500 m sahaja.
Oleh kerana, titik akhir kurang bawah 100m. Misi SAR ini lebih kepada pergi mengutip sahaja. Pasti ia tepat berada dipersekitaran titik akhir itu. Apa yang perlu hanyalah pergi ke sana mengambil sahaja. Berpandukan aplikasi GPS Waypoint Finder pasti kita boleh menemuinya. Setakat ini koordinat yang diberi dalam laman sesawang sondehub adalah tepat. Masukkan koordinat dalam GPS Waypoint Finder dan ikut arah jarum kompas digital tersebut. Senang bukan? Belum cuba belum tahu, sudah cuba pasti tahu.
Melepasi terowong itu kita akan melalui laluan kawasan kebun kelapa sawit hingga bertemu kawasan pembinaan lebuhraya baharu. Melepasi terowong tersebut juga ada terdapat kawasan berpagar di sebelah kiri laluan.
Jarak 0.2 m merupakan titik terhampir bagi titik akhir berjaya direkodkan. Jarum kompas digital akan bertukar kepada warna hijau menandakan kita telah tiba di destinasi yang ditujui. Biasanya dalam jarak jauh bagi kawasan lapang telah kelihatan peranti benang dan belon. Tidak pada kali ini. Peranti radiosonde yang dicari tidak kelihatan di sekitar titik akhir dari jarak jauh sedikit.
Laluan kelapa sawit berakhir setelah bertemu dengan kawasan pembinaan lebuhraya Nilai-Labu-Enstek. Belok ke kiri mendaki hingga ke lebuhraya ini. Rupanya ada kawasan pembinaan kilang-kilang juga. Dahulu jika rujuk peta satelit tersebut. Kawasan ini adalah sebahagian dari ladang kelapa sawit. Maka, mudahlah misi mengutip belon KLIA kali ini kerana kawasan telah menjadi padang jarak padang terkukur.
Laluan mendaki dari ladang kelapa sawit ke lebuhraya baharu. Terpaksalah mendaki sedikit hingga nampak bangunan-bangunan industri kecil yang rancak dalam pembinaan. Terpaksa melintasi lebuhraya empat lorong ini untuk ke titik akhir di sebelah kanan menghadap kuari Nilai.
Pemandangan kawasan industri perusahaan kecil dalam pembinaan dari kawasan titik akhir. Setelah melintas lebuhraya, perlu mendaki sedikit ke kawasan tapak pembinaan. Mencari laluan yang mudah bagi melepasi cerun tersebut. Tapak pembinaan ini berteres kerana kawasan ini berbukit.
Jarak 7.3 m merupakan jarak radiosonde yang telah dijumpai. Kebiasaannya kawasan lapang tanah tandus seperti ini, dari kejauhan sudah boleh nampak peranti dan belon serta benang. Pelik dekat titik akhir tiada sebarang tanda belon ada di situ. Hati kecil berkata sudah ada orang ambil ke? Mustahil! Rakan-rakan belum yang memaklumkan penemuan ini lagi.
Bergerak beberapa langkah ke hadapan baru perasan peranti dan belon berada di laluan air hujan. Belon dan winder bersatu dengan tanah merah tersebut. Lebih kurang 24 hari telah berada di situ. Nasib baiklah tidak dihanyutkan aliran air hujan. Laluan air itu bukanlah longkang yang dibina oleh pemaju. Ia merupakan larian air yang semakin dalam membentuk aliran air semula jadi.
Aliran air semakin dalam akibat hakisan kuasa air dan proses luluhawa panas dan hujan pada batuan dan tanah tersebut. Bukit yang ditarah berhadapan peranti adalah bukit Kuari Nilai. Aktiviti pengambilan batu berjalan lancar. Pernah ada peranti yang hidup semula di atas batu tersebut. Isyarat telah menghantar ke feeder Nilai 9M2MDZ yang berhampiran sahaja. Isyarat berhenti setelah kehabisan tenaga bateri yang dibekalkan.
Selain di batu kuari itu, pernah juga peranti terus hidup setelah tergantung atas pokok di Bukit dekat Sungai Mahang. Peranti bergoyang-goyang ditiup angin apabila lihat pada koordinat yang sentiasa berubah-ubah. Dua situasi ini telah dikesan oleh feeder Nilai 9M2MDZ Zahrin. Puncanya adalah peranti berada di kawasan yang sangat tinggi membolehkan gelombang terus memancar ke Nilai.
Hasil kutipan pada hari ahad lepas dalam genggaman. Belon pecah awal menyebabkan ia mendarat lebih awal. Sepatutnya belon jatuh masuk Selat Melaka. Angin Monsun Barat daya akan sentiasa menghala ke Selat Melaka sahaja. Masuk pertengahan bulan September nanti pertukaran air monsun Timur Laut datang pasti belon KLIA kembali jatuh ke darat.
Kelihatan dua kesan aliran hujan telah terbentuk. Bukit di hadapan itulah merupakan tempat peranti yang tergantung berdekatan Kg Sungai Mahang. Kiranya belon KLIA yang jatuh ini adalah luar musim. Jarang-jarang boleh berlaku. Gulungan benang tidak habis, ada banyak lagi yang tidak digunakan semasa penerbangan. Penerbangan lebih kurang setengah jam sahaja dari KLIA ke Nilai.
Peranti bahagian bawah kemik akibat hentakan semasa mendarat. Pasti laju ia terhempas. Ada berbaki benang yang tidak dapat digunakan sepenuhnya. Maklumlah belon telah pecah terlalu awal berbanding kebiasaan habis digunakan sepenuhnya. Usai bergambar bukti terus melaporkan penemuan dalam laman sesawang sondehub.
Meneruni cerun dengan berhati-hati. Memilih laluan yang tanah telah terdapat lubang akibat hakisan. Maka turun seperti tangga dengan berhati-hati. Silap langkah pasti menggelongsor ke bawah terus masuk ke dalam longkang sebenar.
Sebahagian lebuh raya telah diturap dengan baik. Projek ini telah lama bermula. Sejak tahun 2022 lagi ketika belon jatuh di sekitar Bandar Enstek projek ini telah bermula. Setelah jalan berturap ini, pastilah projek ini akan rancak hingga siap sepenuhnya.
Stesen 9W2DYA-5 memainkan peranan melaporkan lokasi yang dituju secara langsung. Rakan-rakan berhampiran jikalau nampak kereta merah ini bolehlah kejar dan ikut sekali.
Akhir kalam, dua misi SAR ini berjaya membawa balik satu peranti. Ternyata altitud ketinggian akhir 2,560 m agak sukar untuk menemui di kawasan sekitar. Pasti belon Gemas ini terlajak ke hadapan lagi.
Jumpa-dan jumpa lagi!
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya.