Hari ini sempat melancarkan tiga lagi misi SAR belon Gemas. Minggu lepas dengan Damia singgah ke Ayer Kuning mencari belon Gemas altitud akhir yang paling rendah. Manakala, hari ini mencuba nasib altitud ketinggian akhir lebih seribu meter.
Jarak 0.3 m merupakan titik akhir terdekat berjaya direkodkan untuk radiosonde RS92-SGP L2344137 yang telah jatuh pada 3 Ogos 2025 pada jam 15:54 petang. Jatuh dalam kawasan ladang SD Guthrie Ladang Sua Betong laluan N8 Jalan Si Rusa Air Kuning.
Perkara pertama yang perlu difikirkan setiap kali misi adalah akses. Laluan masuk ke titik akhir yang terbaik perlu dicari dengan tepat. Kawasan dalam Negeri Sembilan banyak ladang kelapa sawit. Maka tidak hairanlah belon Gemas turut jatuh dalam kawasan ladang tersebut. Tiba sahaja laluan masuk telah terlihat Tugu Batu SD Guthrie dan Pondok Polis Bantuan. Tanpa berlengah terus mendaftarkan nama untuk kebenaran masuk seperti prosedur biasa masuk kawasan persendirian.
Usai mendapat kebenaran terus membawa masuk kereta hingga ke kuil. Sebenarnya boleh bawa hingga ke rumah Pegawai. Namun, aku lebih suka berjalan sahaja demi mendapat bacaan arah kompas yang tepat. Melepasi Rumah Pegawai laluan tanah merah. Hanya boleh berkereta hingga kuarters tersebut sahaja. Ketika menuruni laluan terlihat sekawan lembu yang banyak. Terpaksalah berhati-hati memberi lembu-lembu jalan terlebih dahulu. Nasib baik hari ini memakai baju hitam tidak warna merah kegemaran haiwan tersebut.
Melepasi sekawan lembu tersebut terus menghala ke titik akhir. Berjalan melalui laluan sawit menuruni bukit sedikit. Sampai selekoh terus ke hadapan agak mendaki lagi dalam barisan pokok ini. Hati-hati berjalan kerana tahi lembu ada merata-rata. Titik akhir dalam barisan kelapa sawit sahaja. Ladang ini agak kemas mudah memerhatikan keadaan persekitaran.
Keluarkan kompas untuk melaraskan kedudukan arah belon jatuh. Baru sahaja hendak pegang kompas terlihat sesuatu yang putih atas rumput. Terus bergerak beberapa langkah sudah terlihat barang dicari sudah ditemui. Alhamdulillah jatuh tepat pada titik akhir. Sayangnya serpihan sahaja! Umpama disusun satu demi satu bahagian radiosonde tersebut. Sudah pasti ini adalah kerja haiwan terutamanya monyet.
Kemudian berpusing-pusing mata memandang sekeliling dan atas pokok untuk mencari benang dan belon serta papan litar dan bateri. 20 hari lepas belon ii jatuh di kawasan ini. Habis semua telah hilang. Nasib baiklah jumpa bekas yang tertulis Radiosonde dan Vaisala. Bukti kukuh belon ini telah jatuh tepat bagi altitud ketinggian akhir1246 m.
Jarak 10 meter ini merupakan jarak titik akhir ke serpihan yang terhampir. Ini menunjukkan belon jatuh tepat pada altitud ketinggian akhir. Tapi, benang dan belon tidak dijumpai pula. Set lengkap kalau dijumpai pasti lebih mengesahkan lokasi yang tepat. Risau monyet menjumpai dari luar kawasan.
Lokasi radiosonde yang dijumpai telah ditandakan dalam aprs. Stesen 9W2DYA-5 telah diaktifkan sepanjang misi berjalan. Rakan-rakan boleh memantau setiap pergerakan penulis. Usai melapor penemuan dalam Sondehub. Terus bergerak ke kereta semula. Selisih dengan kawanan lembu semula. Memberi lembu-lembu bergerak terlebih dahulu bagi meragut rumput-rumput. Takut ia terkejut pasti lari lintang- pukang.
Ladang berjaga selisih juga pemandu traktor menghantar tandan sawit. Lembu yang hendaklah lintas diutamakan dahulu. Barulah penulis jalan ke kereta semula. Sebelum itu, singgah pekan Rantau untuk bersarapan terlebih dahulu. Sambil itu, membuat strategi misi SAR pada kali ini. Bekalan air dibeli kedai runcit sebelahnya.
Tandan kelapa sawit dilonggokkan di tepi laluan. Pasti ada pekerja yang akan mengutipnya. Laluan tanah merah ini nampak elok sahaja. Maklumlah musim kering pastilah kurang lopak air yang menyukarkan penggunaannya. WX cerah dan berawan sahaja.
Laluan menurun hingga ke tasik yang dipenuhi bunga teratai. Ada uga sarang burung tempua pokok tepi tasik tersebut. Tiba di kereta berehat seketika. Bergerak menuju Pondok Pengawal semula. Menunjukkan hasil pencariab pada Pegawai Polis Bantuan tersebut. Menurut beliau ladang ini, memang ada banyak monyet. Tidak hairanlah radiosonde ini menjadi mangsa kerana sangkaan adalah makanan mereka.
Hasil pencarian belon ini berjaya merekodkan jarak 2.53 km dalam masa 44:20 minit. Jumlah kalori yang dibakar 388 dan total ascent adalah 35 m.
Misi kedua hala ke Kampung Kachong. Bergerak keluar menghala ke Ayer Kuning semula. Tiba di Ayer Kuning belok ke kiri menghala ke Linggi. Berhenti di tepi jalan untuk setkan koordinat radiosonde H4913270. Terus bergerak mengikut Google Map yang telah disetkan koordinatnya.
Rupanya laluan yang dipilih google map lebih jauh. Terpaksa berpatah balik setelah tiba di Kampung Kundur Tengah. Misi yang kedua ini dekat dengan Rantau. Bergerak melalui Ayer Kuning lebih dekat.
Radiosonde RS92-SGP H4913270 telah jatuh pada 5 Ogos 2025 pada jam 12:36 tengah hari. Koordinat 2.59391 darjah Utara dan 101.99245 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 1,497 m dan ketinggian maksimum 26,292 m. Jatuh kawasan ladang kelapa sawit sebelah Kampung Kanchong.
Meletak kereta di bahu jalan belakang papan tanda kawasan lintasan hidupan liar. Menyeberang jalan mencari laluan masuk pula. Ada parit agak dalam kawasan ladang kelapa sawit ini.
Memantau keadaan sekeliling parit tersebut. Alhamdulillah ada batang balak yang merentangi parit tersebut. Tanpa berlengah terus menggunakan batang tersebut sebagai titi. Akhirnya berjaya melintas parit dan bergerak ke titik akhir. Ada aliran air perlu dilepasi pula. Bergerak terus ke titik akhir melalui laluan sawit yang berumput.
Jarak 0.3 m titik terhampir dengan titik akhir. Bukti berjaya menjejaki titik akhir. Keliling titik akhir terang dan tidak bersemak. Tiada tanda-tanda belon ada di situ.Terus menghala arah terakhir belon jatuh. Namun, jangkaan Sondehub belon arah ke kiri.
Strategi pertama mengikut arah lurus belon. Terpaksa melintas anak sungai terlebih dahulu. Melompat anak sungai tersebut yang agak cetek. Bergerak ke arah tebing yang tidaklah terlalu tinggi. Menyusur laluan ladang yang berumput tetapi semakin mendaki. Sepanjang laluan tidak ternampak juraian benang belon. Bergerak hingga 400m dan berpatah balik ke arah puncak bukit.
Ketika di puncak aktifkan aprs bagi mengetahui ketinggian bukit tersebut. Paparan aprs bagi stesen 9W2DYA-5 adalah altitud 79 m. Masih memerhati keadaan sekeliling namun masih tidak diketemui belon juga. Turun semula ke bawah hingga bertembung dengan sekawan lembu. Terus mencari arah kiri titik akhir pula sambil menanti beberapa ekor lembu melepasiku. Ada empat ekor yang tertinggal kumpulan. Berdiri seketika bagi lembu tersebut bergerak melepasiku. Ini penting elakkan daripada lembu ini terkejut dan lari lintang-pukang.
Lembu-lembu meragut rumput dengan tenang. Terdapat juga lembu jantan memandang dengan tenungan tanpa berkelip dari jauh. Tunggu dan lihat sahaja. Ada peluang menggunakan laluan lain bagi melintasi anak sungai yang bertebing tinggi. Maklumlah laluan lintasan awal tadi telah dipenuhi lembu meragut rumput sekitar kawasan tersebut.
Setelah melepasi anak sungai terus mencari sebelah kiri titik akhir. Berdasarkan titik jangkaan sondehub ia membelok ke kiri. Inilah cabaran jika jangkaan belon mendarat tidak pada garisan lurus. Lebih-lebih lagi altitud ketinggian akhir adalah 1,497 m. Namun, mencari juga kerana ladang ini sangat bersih dan kemas. Boleh memnatau saujana mata memandang. Lebih-lebih lagi terlihat benang terjuntai dari dahan.
Misi kedua ini berjaya merekodkan jarak perjalanan 2.95km. Mencari belon selama 1 jam 4 minit 36 saat. Jumlah kalori dibakar adalah 507 kalori dan total ascent adalah 297 m. Kembali laluan sama ke kereta melalui titi balak tadi. Berhenti makan dan solat di Pekan Rantau. Semasa makan membuat perancangan misi terakhir di Linggi pula.
Usai makan dan solat zohor bergerak ke Rumah Murah Linggi. Akses terdekat untuk radiosonde RS92-SGP L2344152. Jatuh pada 3 Ogos 2025 jam 13:37 petang. Koordinat 2.50244 darjah Utara dan 101.99548 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 1,246 m dan ketinggian maksimum 25,633 m.
Tiba di Rumah Rakyat Linggi jalan paling hujung sekali. Ada lelaki India menyambut kedatanganku. Memaklumkan kehadiran untuk masuk ke dalam kawasan ladang tersebut. Kemudian menunjukkan ke arah parit yang kering baru digali nampak gayanya. Pasti bertujuan elakkan dicerobohi lembu-lembu. Ternyata persekitaran ladang di Rantau ini terdapat banyak lembu bebas bergerak di dalam kawasan ladang.
Jarak ke titik akhir dari Rumah Murah Linggi ini lebih kurang 700 m juga. Berjaya melepasi parit terus berpandukan arah kompas digital. Terus bergerak melalui laluan dalam ladang tersebut. Kemudian keluar ke laluan ladang yang lebih besar seperti baru diperbesarkan. Terus bergerak ke titik akhir. Ketika menghampiri barulah memasuki barisan pokok kelapa sawit. Pokok jarang-jarang mungkin faktor tanah berbatu yang kurang sesuai untuk menanam pokok.
Jarak 0.1 m titik terhampir bagi titik akhir berjaya direkodkan. Titik akhir agak lapang kawasan berbatu laterit warna kuning berlubang-lubang kecil. Jadi pokok tidak padat. Ini menyebabkan semak tumbuh melata. Ada pokok berduri selalu terlanggar menyebabkan bagai dicakar kucing dibuatnya.
Pemandangan dari titik akhir menghala ke penanaman semula pokok kelapa sawit. Habis pokok tua ditebang bagi laluan pokok baru tumbuh. Jikalau ikutkan teori seperti misi pertama tadi. Pastilah belon ada di sekitar titik akhir ini juga. Sayangnya sudah puas mata memandang sekeliling namun tiada juga tanda dapat dilihat. Kebarangkalian juga telah dikutip oleh pekerja sawit. Kelihatan pelepah dan tanda sawit telah dikerjakan.
Strategi pertama misi mencari arah garis lurus belon menghala. Sama macam misi kedua titik jangkaan sondehub adalah ia berpatah balik. Ini sudah pastilah menjadi cabaran besar bagi mengenal pasti arah sebenar belon ini jatuh. Bergerak ke arah garis lurus arah belon hingga jarak 200 m. Kemudian berpatah balik ke arah titik jangkaan sondehub pula.
Ketika berpatah balik ke arah titik akhir, sekawan lembu mula bergerak turun ke bawah. Ternyatalah misi kali ini banyak kali terserempak dengan sekawan lembu. Setiap kali misi pasti berhadapan dengan lembu-lembu di sini. Mencari berat ke arah kiri titik akhir dan berpatah balik ke belakang merupakan titik jangkaan.
Parit yang membentuk kolam. Ketika sedang mengintai terdapat seekor biawak dalam air tersebut. Kemudian berenang lintang-pukang melihat kelibatku. Parit ini berdekatan dengan titik jangkaan. Masih tidak menjumpai sebarang tanda di sekitar kawasan ini. Bergerak naik semula ke titik akhir sambil mencari-cari lagi.
Rumah sarang burung Pungguk ada dibina di ladang ini. Pengawal perosak secara mesra alam tanpa menggunakan sebarang racun perosak. Kawasan rumah burung ini kemungkinan belon berpatah balik ke belakang berdasarkan titik jangkaan sondehub. Namun tidak juga jumpa benang terjurai dari dahan.
Jejak stesen 9W2DYA-5 ketika misi terakhir dekat Linggi. Ternyata altitud ketinggian akhir yang lebih seribu meter sangatlah mencabar. Lebih-lebih lagi arah angin titik jangkaan bukan garisan lurus. Tidak pasti berpatah balik atau tepat di sekitar kawasan titik jangkaan tersebut. Kemungkinan ada pekerja sudah melakukan pembersihan mengutip belon dan peranti sekali tanpa meninggalkan jejak.
Bagi misi terakhir ini berjaya bergerak dengan jarak 3.78 km dalam masa 1 jam 15 minit 28 saat. Jumlah kalori yang digunakan adalah 660 kalori dan total ascent sangat tinggi iaitu 743 m. Had masa bagi setiap misi cukup satu jam. Tidak boleh lebih takut misi lain tidak boleh dilakukan pula.
Puas mencari misi SAR kali ini pulang dengan puas hati walaupun mendapat bekas Vaisala sahaja. Balik melalui Jalan Siliau sebelum masuk ke Sri Sendayan. Singgah solat asar terlebih dahulu sebelum pulang ke Bangi melalui Labu dan Nilai.
Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment