Halangan semak berair


 

Sabtu 28 Sepetember 2024, usai pameran Radio Amatur di SK Bukit Changgang terus mencari belon KLIA yang jatuh pagi. Berkonvoi tiga jelopi bersama Arul 9W2OCX dan Weerut 9W2RUT. Aksi Puma One berada dihadapan penulis. Kami berkomunikasi melalui simpleks V47 145.5875MHz. Seronok sambil berkonvoi menggunakan komunikasi radio. Segala maklumat dapat disampaikan dengan segera.


Belon KLIA pagi itu radiosonde 2405015832 telah jatuh jam 9:32:42. Jatuh bersebelahan Gamuda Cove  dan Pulau Kempas. Koordinat 2.87596 darjah Utara dan 101.60561 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir adalah 390m dan ketinggian maksimum adalah 31,099m.


Kami memasuki persimpangan Gamuda Cove yang terkenal dengan taman temanya. Menghampiri titik akhir kami berhenti di tepi jalan berhampiran. Menghadap kawasan ladang kelapa sawit. Ada jarak 700m lebih lagi ke titik akhir. Namun kelihatan ladang kelapa sawit tersebut agak bersemak seperti tidak diurus dengan baik. Melepasi tol Gamuda Cove isyarat telah dapat didengari.


Berhenti di tepi jalan tersebut Arul 9W2OCX mengeluarkan go-box Budak Giler bagi mendapatkan koordinat terkini. Setelah berjaya dikunci koordinat baru, terus masukkan ke dalam GPS Waypoint Finder. Kemudian mengikut Weerut 9W2RUT berpandukan waze ke titik akhir. Rupanya dari Gamuda Cove sudah boleh melalui laluan ke Pulau Kempas dan Bukit Cheeding. Patutlah banyak kereta lalu-lalang di situ.

Seterusnya memandu hingga ke pintu pagar Petaling Tin. Kawasan bekas penempatan pekerja perlombongan bijih timah. Maklumat tersebut dari Wikipedia. Kemudian kami berpatah balik keluar dan parking di tepi jalan ke hadapan sedikit. Ketiga-tiga jelopi diparkir tepi jalan berdekatan dengan rumah penduduk. Berpandukan GPS Waypoint Finder mencari jalan termudah dan senang. Rupanya laluan tersebut adalah kawasan Petaling Tin yang dimasuki awal tadi. Terdapat bekas binaan rumah ada di tepi jalan tersebut.

Credit 9W2OCX
Kami bertigapun memulakan misi pencarian mengikut laluan bersebelah tasik yang besar dipercayai lombong bijih timah pada masa dahulu. Laluan berpasir yang rata memudahkan berjalan mencari titik akhir.


Video yang dirakam Arul 9W2OCX menunjukkan isyarat masih lagi aktif ketika melewati 2.30 petang. Nasib baiklah koordinat baru telah berjaya dikesan oleh Budak Giler. Bertambah yakinlah untuk meneruskan misi pencarian.

Credit 9W2PRX

Tangkap layar koordinat terkini oleh Budak Giler telah dikongsikan oleh Man Viper 9W2PRX. Kawasan biru tersebut merupakan tasik bekas lombong bijih timah.


Laluan boleh berkenderaan ini, namun kami berjalan kaki sahaja. Tidak pasti laluan ini hingga ke mana bawanya. Sebelah kanan merupakan tasik dan sebelah kiri hutan bersemak tinggalan penempatan perlombongan bijih timah.


Sempat mengaktifkan stesen 9W2DYA-5 ketika berjalan tersebut. Kelihatan stesen 9W2OCX-6 lokasi di pintu Petaling Tin dan stesen 9W2RUT-6 di jalan Gamuda Cove. Jadi, betullah waze membawa kami melalui laluan bertar.


Persoalan laluan yang cantik tadi telah terjawab. Rupanya laluan tersebut menghala ke kebun sayur-sayur di tepi tasik besar tersebut.


Batas-batas tanaman sayur-sayuran di buat menghadap tasik besar. Kemudian kami berpatah balik kerana tiada laluan untuk ke titik akhir. Berpatah balik laluan masuk kebun tadi kemudian belok ke kanan melalui laluan satu lorong bermotosikal pula. Pastilah pemancing-pemancing tegar menggunakan laluan tersebut.


Pemandangan hujung tanjung kawasan kebun yang kami pergi sebentar tadi. Gambar di ambil dari laluan motorsikal tersebut. Rela berjalan jauh dari berenang menyeberang tasik tersebut.


Semakin jauh kami lalui laluan tersebut semakin bersemak kawasan sekitarnya. Resam banyak tumbuh di tepi laluan. Isyarat di kawasan ini masih lagi aktif seperti sebelumnya.


Kalau bukan kerana belon pasti kami tidak akan sampai di kawasan ini. Bertapa cantik dan indah nian pemandangan kawasan tasik yang luas ini. Jauh berjalan luas pemandangan. Tidak terucap dengan kata-kata bertapa indahnya ciptaan Tuhan. WX pun panas terik mengizin misi pencarian dijalankan.


Kawasan tasik besar bersebelahan dengan Paya Indah. Boleh meneroka kawasan sekitar kawasan Paya Indah dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak Gamuda Cove.


Kawasan arah ke titik akhir penuh resam dan kawasan berpaya. Nun jauh di sana kawasan ladang kelapa sawit tinggal. Berhenti setakat di sini sahaja kerana tiada laluan masuk untuk ke titik akhir yang tinggal berbaki 358m sahaja lagi. Rezeki tidak menyebelahi pada kali ini. Maka terpaksa berpatah balik semula melalui laluan yang sama. Selisih dengan pemancing mengatakan tasik ini terdapat ikan Toman.

Credit 9W2OCX

Berhenti di papan tanda Kampung Asli Pulau Kempas sebagai bukti kami telahpun sampai di sini. Man Viper 9W2PRX turut berselisih dengan kami di sini. Kami memaklumkan bahawa misi telah gagal kerana halangan muka bumi.

Berbaki jarak 358 m untuk ke titik akhir. Namun, gagal disebabkan halangan terbesar adalah bentuk rupa bumi yang berpaya dan bersemak.


Hasil cerapan jam Garmin telah merekodkan jarak laluan misi pencarian tersebut adalah 3.99km selama 1jam 4 minit 5 saat. Kemudian kami berkonvoi menjadi empat jelopi. Kami keluar semula ke Gamuda Cove sambil berkomunkasi radio di simpleks V47 145.5875MHZ. Melepasi tol Putrajaya Elite Arul 9W2OCX bergerak keluar dulu menghala ke Puchong. Kemudian, Man Viper 9W2PRX memotong kami bergerak ke Putrajaya. Akhir sekali Weerut 9W2RUT bergerak melalui MEX untuk ke Seri Kembangan. Penulis menghala ke Bangi melalui Putrajaya.

Walaupun misi gagal disebabkan keadaan muka bumi, semangat kerjasama berkumpulan telah diamalkan. Ini penting bagi menjamin kejayaan di masa hadapan . Sudah pastilah kawasan antara Gamuda Cove dan Tasik besar ini ditandakan sebagai kawasan larangan mencari belon.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Melilau Mencari

  Belon KLIA pagi tadi jatuh di Hulu Teris dalam kebun kelapa sawit. Sebelum itu, berkumpul di kedai makan dekat Kota Warisan terlebih dahul...