Budak Giler Cemerlang


 Semalam selepas solat jumaat telah melancarkan misi mencari dan menyelamat belon KLIA di Ladang Teluk Merbau. Solat Jumaat terlebih dahulu di Masjid Pekan Sungai Pelek. Usai solat Arul 9W2OCX pun tiba. Naik sekali vanfire terus ke ladang Teluk Merbau tidak jauh dari situ. Meminta kebenaran kepada anak kepada Pengurus Ladang terlebih dahulu. Memaklumkan kehadiran untuk mencari belon kaji cuaca.


Belon KLIA pagi semalam radiosonde 2405015154 telah jatuh jam 9:15 pagi. Koordinat 2.62984 darjah Utara dan 101.72021 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir sangat tinggi iaitu 810m dan ketinggian maksimum 27,873m. Penulis sangat optimis belon dijumpai memandang kawasan ladang yang bersih dan lapang. Namun, dengan syarat budak giler dapat berfungsi dengan baik.


Semasa di rumah Pengurus ladang isyarat telahpun dapat didengar. Arul 9W2OCX mengeluarkan Go Box Budak Giler bagi mendapatkan koordinat terkini. Namun, gagal mengesan koordinat terkini tersebut. Maka, kami bergerak keluar dan jelopi diletakkan berhampiran pintu masuk ladang. Kemudian bergerak di belakang rumah pengurus tersebut mencari laluan. Berdasarkan GPS Wapoint finder, titik akhir berjarak 700m lebih.


Oleh kerana tiada laluan, kami berpatah balik mengikut laluan utama ladang sahaja. Percubaan menggunakan jalan terhampir pasti digagalkan oleh parit. Pasti berpatah balik ke pangkal jalan. Tiada jalan singkat menuju ke titik akhir. Hendak berjaya tiada jalan singkat. Perlu berusaha menghadapi pelbagai rintangan dan ranjau berduri. Walaupun jauh perjalanan lancar tanpa halangan parit dan lebih selamat lagi. Lagipun berjalan atas rumput setiap baris kelapa sawit ini sangat memenatkan kaki melangkah. Ladang kelapa sawit tua ini dipenuhi rumput yang menghijau.


Perjalanan diteruskan hingga ke titik jangkaan sondehub. Tiba di sana tiada isyarat bunyi setelah antena dicabut. Ini menandakan peranti sememangnya tiada di kawasan ini. Percubaan demi percubaan dibuat agar koordinat baru dapat dikesan. Arul 9W2OCX meminta bantuan cikgu Zak 9M2ZAK di Johor bagi menyelesaikan masalah ini.


Kemudian Arul 9W2OCX terus mencari dan mencari sehinggalah Budak Giler dapat mengunci koordinat yang terkini. Rupanya isyarat lebih kuat dari arah yang kami datang tadi. Bukannya di kawasan bomoh. Nampaknya kali ini bomoh tidak boleh pakai. Sepatutnya melihat garisan lurus terakhir arah belon jatuh. Arah bomoh bergerak ke kiri sedikit. Tangkap layar di atas hasil terjemahan Budak Giler berjaya mendapat koordinat terkini 2.62432 darjah Utara dan 101.7248 darjah Timur. Hampir 400m lagi untuk mendapatkan peranti tersebut.


Lihatlah kawasan ladang yang menghijau. Ada beberapa batang pokok sahaja yang tinggal. Ini menunjukkan betapa tuanya usia pokok tersebut hingga ada beberapa pokok yang mati dalam setiap baris. Berjalan atas rumput bersemak kadang-kala amatlah memenatkan. Namun, demi sebuah belon usaha perlu diteruskan jua.


Perjalanan menuju peranti berhampiran talian elektrik voltan tinggi. Petang itu cuaca cerah dan agak redup juga. Angin bertiup agak kencang. Tidak hairanlan belon pagi itu bergerak laju dan jauh ke depan jatuhnya. Tambahan dengan keadaan ladang ini yang agak lapang memudahkan terbang bergerak jauh ke depan .



Tiba di koordinat baru kelihatan peranti tersangkut dalam parit. Belon berada di depan kawasan semak bawah talian elektrik voltan tinggi. Arul 9W2OCX mencari pelepah yang boleh digunakan untuk mengait benang terlebih dahulu. Selepas benang berjaya ditarik barulah peranti berjaya dalam genggaman. Kemudian Arul 9W2OCX terus menarik benang bagi mendapatkan belon pula.


Pokok-pokok renek di kawasan rentis TNB ini menyangkutkan peranti dari termasuk ke dalam parit. Jikalau terlajak ke depan lagi pastilah kami tidak boleh mencapai.


Kurang lima meter altitud ketinggian terakhir 810m adalah jarak yang dijumpai peranti sajauh 805m ke titik akhir. Kebiasaannya jarak yang dijumpai separuh daripada altitud ketinggian terakhir itu. Bagi belon kali ini menyamai pula ketinggian altitud dan jarak yang dijumpai. Mungkin faktor angin yang kuat serta kawasan yang agak lapang menyebabkan ia meluncur jauh ke depan.


Aksi Arul 9W2OCX menggulung benang. Sebelah kanan beliau merupakan parit yang menjadi benteng terakhir belon mendarat. Nasib baik juga tidak tersangkut pada talian elektirik voltan tinggi berhampiran.


Arul 9W2OCX melaporkan kejayaan radiosonde 2405015164 melalui rakaman video penulis. Akhirnya Budak Giler bekerja dengan cemerlang mengesan kedudukan peranti terkini. Tanpa jasa Budak Giler pastilah sukar mengesan lokasi belon jatuh tersebut. Liputan internet kawasan sekitar serba sedikit turut membantu. maklumlah lokasi ladang ini berdekatan dengan Pekan Sungai Pelek dan Bagan Lalang. Tanpa internet perisian auto_rx pasti tidak dapat berfungsi dengan baik.


Pemandangan lokasi belon KLIA pagi semalam jatuh di bawah rentis TNB. Nasib baik peranti jatuh dalam parit. Belon bergerak ke hadapan terlebih dahulu diikuti peranti di belakang.


Go Box Budak Giler di lokasi belon KLIA ditemui. Pemandangan indah waktu petang yang berangin melupakan lelah mencarinya.


Stesen 9W2DYA-5 bergerak dari jangkaan bomoh ke koordinat baru belon ditemui. Ladang Teluk Merbau dikelilingi penempatan memudahkan mendapat liputan komunikasi.


Budak Giler secara langsung telah memberi koordinat terbaru dan di paparkan secara lagsung juga di laman sesawang sondehub. Rakan-rakan lain pasti dapat mengetahui pergerakan dan kejayaan setiap misi. Teknologi kini memerlukan internet memudahkan setiap misi dapat diketahui perkembangan dilihat dalam laman sesawang sahaja. Kehidupan dalam talian membuatkan hidup semakin pantas dan bergerak laju. Lambat pasti ketinggalan.


Hasil tangkapan petang jumaat yang mencabar fizikal dan mental. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk mendapatkan. Sangat jauh pergi dari titik akhir. Bertambah keadaan persekitaran dan angin yang agak kuat. Akhirnya ke parit juga masuknya.



Jarak lagi 100m pasti radio dapat menerima isyarat walaupun antena telah dicabut. Setelah mendengar bunyi, pasti peranti berada dipersekitaran tersebut. Jika tiada, menandakan tiadalah wujud di situ. Kemahiran mendengar dengan teliti memainkan peranan juga.



Aksi Arul 9W2OCX sibuk menghantar laporan penemuan ke laman sesawang sondehub. Rutin biasa semasa misi mencari dan menyelamat.


Wajah kepuasan pemburu belon setelah berjaya menemui apa yang dicari. Berbaloi membawa Go Box Budak Giler yang agak berat juga. Strategi lain bagi mengurangkan beban adalah memasukkan dalam beg sandang sahaja.


Jejak sepanjang pencarian hasil cerapan jam Garmin mode tactical. Jarak keseluruhan sejauh 8.44km. Masa yang diambil 2 jam 31 minit 26 saat. Total ascent 581m dan jumlah tenaga yang dibakar adalah 929 kalori. Pencarian yang paling panjang yang pernah dibuat demi sebuah belon.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya


No comments:

Post a Comment

Reruai Change Maker di KLESF 2024

  Pada hari sabtu yang lalu bertarikh 9 November 2024, berkesempatan membawa Damia ke KLESF 2024. Pesta Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur ...