Berjaya mendapat Lesen Oppa


 Belon KLIA pagi semalam telah jatuh di Pulau Carey. Petang semalam bersama Arul 9W2OCX telah sampai ke kawasan jatuhan walaupun agak lewat tiba. Ini kerana WX hujan lebat sejak dari Puchong hinggalah ke Pulau Carey.


 Kami mencari isyarat erlebih dahulu ditepi lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE). Ternyata isyarat masih aktif lagi ketika jam menunjukkan 4.30 petang. Ini memberi keyakinan kepada kami untuk terus mencari melalui Ladang Sime Darby di Pulau Carey ini.


Kami memasuki melalui pintu utama. Setelah tinggal setahun tidak ke sini, pintu utama telah berubah wajah. Hampir tidak dapat mengecam kawasan ini. Namun, pondok mesin ATM tetap berdiri teguh ditempat asalnya. Arul 9W2OCX meletakkan jelopi dan kami ke pondok pengawal untuk  meminta kebenaran dan membuat pendaftaran terlebih dahulu.


Kemudian meneruskan perjalanan hingga menemui jalan tanah merah simpang pertama di sebelah kiri. Terpaksa meletakkan jelopi ditengah laluan kerana laluan selut dan berlopak. Maka terpaksalah menapak sambil diiringi hujan renyai yang masih turun.


Berjalan dalam keadaan basah dan lecak sudah menjadi kebiasaan dalam setiap misi pencarian. Selepas jumpa simpang pertama kami belok kanan. Melepasi parit sudah terlihat benda putih terapung. Namun, kehadapan lagi bagi mengunci koordinat terbaru melalui peranti raspi3 milik Arul 9W2OCX. Beberapa koordinat telah diperolehi namun termasuklah data yang lama punya. Sehingga tertipu membawa kepada jarak 45km.


Kemudian, mencari dalam lingkungan 127m dari titik akhir. Akhirnya raspi3 berjaya mengunci koordinat sebenar. Arul 9W2OCX memasukkan koordinat baru ke GPS waypoint. Bergerak ke titik baru ternyata benda putih dalam parit sebenarnya memanglah serpihan belon.


Benda putih yang terapung dipermukaan parit. Ternyata sememang serpihan belon yang telah dikesan semasa awal tiba. Namun peranti masih hidup walaupun berada dipermukaan air.


Akhirnya misi berjaya setelah mengharungi hujan lebat untuk ke sini mencarinya. Jam 6.30 petang berjaya menemuinya dan berlengah terus keluar sebelum gelap. Aksi Arul 9W2OCX memegang peranti lesen pertama untuk penulis. Alhamdulillah berjaya menmuinya sebelum masuk Tahun Baru 2024.


Jarak 9.8m peranti ke titik akhir bagi altitud 508m. Ini menunjukkan belon terus jatuh tepat pada altitud terakhir 508m itu. 


Video aksi Arul 9W2OCX memancing dalam parit. Kali ini bukannya mendapat ikan tetapi dapat belon yang sudah pecah.


Swafoto meraikan kejayaan mendapat lesen oppa pertama. Model kedua yang digunakan oleh Met Malaysia selepas DFM-17 ditamatkan penggunaannya sejak pemburu radiosonde wujud. Model WXR-301D merupakan buatan Korea berbanding DFM-17 dari Jerman.

73, Jojet de 9w2dya

Pemburuan Batu Tanda 0km dan 1km


 Oleh kerana belon kaji cuaca radiosonde masih lagi jatuh ke Selat Melaka walaupun monsun timur laut telahpun berlaku. Hobi baru dicari bagi memenuhi masa lapang. Kali ini memburu batu tanda jalan raya pula. Pemburuan batu tanda 0 Km dan1 km menjadi sasaran kali ini. Ideanya daripada group di Facebook iaitu Pemburu 0 km dan 0 mile Malaysia dan Menjejak Km 1 Malaysia.


Maka, pada hari ini bermulalah pemburuan batu-batu tersebut. Selepas solat zohor dari Masjid Bandar Seri Putra terus menghala ke Bangi. Namun, sudah tidak kelihatan sebarang petanda. Terus memandu menghala ke Semenyih pula. Tiba di Rinching Hilir terus mencari tempat yang sesuai untuk meletak kereta. Batu pertama Rinching Hilir B24 dijumpai berdekatan jambatan Sg Semenyih. Batu tanda jalan ini bersebelahan dengan Batu Tanda Kg Rinching Hilir ini. Batu ini mengarah ke Semenyih dari Jalan Enam Kaki.



Seterusnya menghala ke Semenyih belok ke kanan selepas melepasi jambatan. Jumpalah batu yang kedua Semenyih FT31 bertentangan dengan warung makan dari Bangi. Pemburuan seterusnya ke Broga pula. Batu tanda Broga N34 dijumpai dari arah Lenggeng berdekatan dangan Outback. Kem yang pernah penulis buat program Pendidikan Luar di sini.



Pemburuan diteruskan menghala ke Lenggeng. Batu tanda Ulu Beranang N34 dari Broga berdekatan dengan pintu kebun. Jarak ke Seremban adalah 27km lagi.



Tiba-tiba setelah memandu ke hadapan lagi kelihatan sebuah lagi batu tanda. Ulu Beranang 1km  namun tiada nombor jalan pula. Batu tanda Ulu Beranang ini merupakan batu asal berbanding yang baru dijumpai tadi.



Kemudian terus menghala ke Lenggeng N34 melalui jalan yang sama dari Broga tadi. Batu tanda Lenggeng N34 merupakan batu tanda yang pertama bagi Lenggeng daripada lima yang berjaya ditemui dengan jayanya. Kemudian singgah ke kedai bagi membeli bekalan air di kedai serbaneka.


Setelah melepas lelah, terus menuju keluar ke simpang jalan hala ke Sungai Jai. Masuk ke sebelah kanan dan terus ke hadapan hingga jumpa batu tanda Lenggeng N142 yang kedua. Kemudian berpatah balik menuju ke Pekan Lenggeng.


Melepasi Pekan Lenggeng terus melepasi jambatan Sungai Sompo pula. Kelihatan batu tanda yang ketiga Lenggeng N34 dari jalan Kampung Sompo. Meletakkan kereta berdekatan bahu jambatan itu. Jalan ke batu tanda Lenggeng N34 telah kedengaran salakan anjing dari rumah berhampiran. Tanpa mempedulikan salakan tersebut terus sahaja merakam gambar batu tanda umpama tiada apa-apa masalah.


Kemudian menghala semula ke Pekan Lenggeng terus masuk simpang kanan ke Pantai. Batu tanda Lenggeng N30 yang keempat berdekatan dengan rumah kampung. Kedudukan batu dari arah Pantai ke Lenggeng.


Akhir sekali, batu tanda Lenggeng N30 yang ke lima boleh ditemui di jalan Kg Rawa. Jalan kampung yang agak sempit ini perlulah memandu dengan lebih berhati-hati. Najis binatang ternakan juga banyak kelihatan dibahu jalan terutamnya atas rumput yang menghijau.


Pencarian diteruskan melalui jalan yang sama ke Sungai Jai. Batu tanda Sungai Jai N36 selepas simpang jalan N142. Laluan yang sama bagi batu tanda Lenggeng yang kedua tadi. Sebab itulah Lenggeng mencapai lima buah batu kerana terdapat lima laluan menghubungkannya. Rasanya ini rekod paling tinggi bagi batu tanda sesuatu tempat.


Terus memandu kehadapan lagi, terlihat batu tanda di dalam pagar rumah orang. Tanpa berfikir panjang terus masuk ke laman lapang tepi jalan itu. Batu terpapar nombor 1 sahaja. Kemudian terlihat papan tulisan beranang di atas rumput. Terus ambil, ternyata tulisan Beranang telah tertanggal. Ambil gambar sambil memegang tulisan menunjukkan bukti Beranang 1km dihadapan. Sebaliknya pula terpapar Lenggeng 7 km. Misi kali ini telah berjaya menemui dua buah batu tanda lama.


Seterusnya memandu hingga ke sempadan negeri dan membelok ke kanan menuju Daching Hilir. Penghujung jalan selepas membelok ke kiri terlihat batu tanda Daching Hilir N21 berhadapan rumah kampung. Berjaya merakam gambar memandu terus keluar ke Beranang. Masuk ke Jalan Enam Kaki tetapi hingga ke Km 2 terjumpa batu tanda tersebut. Berpatah balik mencari dengan berhati-hati ketika memandu. Tiba-tiba terlihat batu tanda yang hanya tinggal tapak sahaja. Batu tanda Km 1 telah musnah, mungkin kerja-kerja di tepi jalan tersebut.



Keluar dari Jalan Enam Kaki belok kanan terus ke arah Mantin pula. Menghampiri Mantin ambil belok kiri ke arah Sg Jai atau Lenggeng pula. Batu tanda Mantin N31 tepi kawasan komersial yang agak menuruni bukit. Meletak kereta terus di tepi jalan dan berpatah balik berjalan kaki bagi merakam gambar. Kemudian mencari di sekitar Pekan Mantin tiada batu tanda lagi. Hanya jarak untuk Seremban dan Kuala Lumpur sahaja yang wujud bagi Jalan nombor 1.


Memandu dari Mantin terus ke arah Nilai pula. Batu tanda Pajam FT3265 berada di tepi jalan arah ke Nilai tersebut. Meletak kereta di kawasan perumahan dan berpatah balik berjalan kaki bagi merakam gambar. Papan tulisan Pajam pun hampir sengit sudah.


Terus memandu ke arah Nilai kenderaan telahpun mulai sibuk. Batu tanda Nilai FT3265 berada di tepi pagar rumah. Sempat meletak kereta di hadapan bengkel motor. Tuan bengkel menanyakan kehadiranku. Memaklumkan untuk mengambil gambar batu tanda di tepi jalan. Diapun tersenyum simpul sahaja. Selesai sahaja mengangkat tangan sebagai tanda terima kasih.


Pencarian seterusnya ke arah Salak. Namun tidak menemui sebarang tanda. Seterusnya memandu ke arah Jijan, turut tidak juga menemui sebarang tanda. Akhir sekali terus ke arah Sepang selepas masuk kanan di persimpangan LBJ.


Masuk jalan Sepang B48 merupakan jalan yang telah di naik taraf  daripada dua lorong menjadi empat lorong. Maka, kedua belah arah laluan telah diletak batu tanda jarak. Batu tanda Sepang B48 telah ditemui bersebelahan dengan pondok bas. Kemudian terus memandu ke arah hadapan lagi. Merujuk dalam group FB, Sepang sememangnya mempunyai batu tanda 0 km.


Seingat penulis, sebelum jalan baru dibina batu tanda ini masih belum wujud lagi. Setelah siapnya barulah batu ini diletakkan di kedua arah jalan. Maka, batu tanda ini merupakan batu tanda 0 km yang pertama penulis temui.


Swafoto di tepi batu tanda 0 km Sepang yang menjadi sejarah peribadi penulis. Kawasan Sepang, Bukit Pelanduk, Sungai Pelek dan sekitarnya merupakan kawasan belon kaji cuaca radiosonde jatuh. Sebab itulah penulis agak mahir jalan-jalan kawasan sekitar ini. 

Kemudian solat asar pula di Masjid Sepang berhampiran batu tersebut. Usai solat terus memandu pulang ke Bangi. Sebenarnya, di Pekan Bangi pun ada batu tanda 1km. Batu tanda yang tiap hari dilihat namun tak sempat nak bergambar kerana kesesakan jalan raya waktu puncak pulang daripada kerja.

Selamat Memburu

73, Jojet de 9w2dya

Meneroka haiwan


 Cuti Deepavali yang agak panjang digunakan membawa harmonic meneroka dunia haiwan. Harmonic sangat suka dengan haiwan. Jadi, cuti ini digunakan untuk membawanya berjalan ke tempat menarik yang menyediakan kemudahan mendekati haiwan-haiwan.


Destinasi pertama yang diterokai adalah Taman Rama-rama Kuala Lumpur. Sebelum ini telah pergi ke Taman Burung bersbelahan sahaja di Taman Tasik Perdana. Taman Etnobotani Kuala Lumpur seiring dengan penggunaan nama pada masa kini.


Pada mula cuba mencari parkir di taman ini, namun gagal kerana kemudahannya amat terhad. Kemudian terus memandu terus ke Parkir bertingkat berhadapan Ibupejabat Polis Bukit Aman. Terus keluar dan melintas Taman Etnobotani berjalan terus ke Taman Rama-rama. Suasana kehijauan dengan bunyi riang-riang atau cicada mengiringi perjalanan kami.


Tibanya di Taman ini terus menuju ke kaunter pembayaran tiket. Bayaran untuk dewasa RM13 dan kanak-kanak pula sebanyak RM6 untuk warganegara. Masuk sahaja ke dalam, suasana hijau menghiasi keseluruan taman. Rama-rama terbang ke sana-sini mengindahkan lagi pemandangan. Ada yang jinak boleh cuba memegangnya. Ada terbang bebas bersama pasangan, mahupun berkumpulan.


Rama-rama yang hinggap di daunan boleh melihatnya secara lebih dekat lagi. Ada yang begitu pantas terbang hingga tidak boleh disentuh terus terbang menghilangkan diri.


Spesies Rajah Brooke yang banyak kelihatan hinggap di jaring-jaring kurungan dengan banyak. Oleh kerana, kini musim tengkujuh telah membataskan pergerakan.


Susunan bunga raya yang telah disembur dengan air bercampur madu menjadi tempat makanan bagi haiwan ini. Selain bunga, pisang dan hirisan nenas juga disediakan.


Puas meneroka di luar taman, kami masuk pula dibahagian dalam ruang pameran pula. Pelbagai spesies serangga turut di pamerkan. Seterusnya ruang jualan cenderamata untuk dibawa pulang. Taman ini antara destinasi utama para pelancong yang berkunjung di Kuala Lumpur.


Kemudian, kami ke Taman Tugu. Taman Peringatan Tugu Negara pada masa kini dalam proses menaik taraf. Maka ia telah berpagar dan tidak boleh dimasuki pelancong. Hanya bahagian belakang sahaja boleh dilihat. Kunjungan ke Tugu Negara sebagai tempat bersejarah yang harus dikunjungi bagi memperingatkan jasa-jasa pahlawan negara mempertahankan negara daripada ancaman musuh.


Tugu Negara yang telah dibangun sejak 57 tahun yang lalu seharusnya di naik taraf bagi meningkatkan lagi kemudahan dan keindahannya. Sebelah pintu utama terdapat kemudahan gerai dan tandas. Kami mengambil kesempatan untuk menghilangkan dahaga dan mengalas perut. Cuti Deepavali telah memberi peluang bercuti di tempat sejarah ini. Ramai pengunjung tiba walaupun matahari tegak di atas kepala. Semangat patriotik dapat dilihat dan disemai oleh ibubapa kepada anak-anak.


Setelah perut diisi perjalanan diteruskan ke Taman Tugu. Kawasan hutan yang dibangunkan untuk pemeliharaan dan mengekalkan kawasan hijau di tengah bandaraya Kuala Lumpur. Stesen 9W2DYA-5 menunjukkan altitud ketinggian 84m dari aras laut. Kawasan parkir merupakan kawasan dataran puncak bukit ini. 


Kayu landasan keretapi menjadi laluan pejalan kaki di taman ini. Terdapat dua buah tayar keretapi turut menghiasi sebagai tempat duduk berehat. Sangat kreatif mengekalkan peninggalan sejarah untuk tatapan generasi kini.


Kemudahan buaian turut disediakan. Oleh kerana kerusi buaian ini besar. Penulis turut mengimbau zaman kanak-kanak turut bermain bersama harmonic. Pintu gerbang kuning di belakang itu merupakan  rintis hutan yang kami lalui.


Taman Tugu destinasi rekreasi dan pendidikan alam sesuai untuk anak-anak meneroka keindahan alam. Pelbagai kemudahan disediakan seperti surau, tandas, kerusi dan meja tempat rehat dan pelbagai aktiviti. Parkir yang luas memudahkan ia diakses. Pelbagai rintis disediakan mengikut pilihan pengunjung.


Laluan rintis berwarna biru dengan jarak satu kilometer panjangnya. Treknya sangat luas dan berjaga. Laluan curam dan bertangga memudahkan pergerakan namun tetap berhati-hati. Suasana agak gelap ketika menuruni lembah. Aliran air mengalir lesu ada ketika deruannya dapat didengari. Ada beberapa titi dilalui merentangi anak sungai.


Penghujung laluan ketika menghampiri Taman Tugu, hujan mula turun. Namun, kanopi pokok menutupi titisan hujan hanyalah tempias sahaja. Keluar sahaja dari trek hutan itu, hujan semakin lebat menyambut kedatangan kami. Maka, ramai pengunjung lain turut berteduh menanti hujan berhenti di bawah dewan-dewan berbumbung yang disediakan.


Keesokannya kami meneroka di Semenyih pula. Ostrich Wonderland menjadi destinasi pertama. Bayaran tiket dewasa RM20 dan kanak-kanak RM15 sahaja. Tarikan utamanya pastilah burung Ostrich. Tapi sayangnya burung banyak yang botak bulunya. Harmonic seperti biasa memberikan makan pada haiwan-haiwan yang terdapat di situ.


Kelihatan jelas bulu ostrich telah togel. Meminta diberi dedak untuk dimakan. Letakkan dedak di dalam mangkuk yang dibekalkan. Ada kala mangkuk itu sekali digigitnya bagi menghabiskan makanan tersebut. Nasib baiklah mangkuk itu dijatuhkan ke tanah semula. Kalau jatuh ke tengah kurungan, pasti pening kepala cara nak mengambil.


Sekawan ostrich berteduh dibangsal tempat ia diberi makan. Matahari tegak atas kepala yang agak terik menyebabkan sekawan ini berlindung di bawah bumbung. Ada juga yang berlindung di bawah pokok berdekatan kandang.


Puas memberi makan haiwan harmonic pergi ke kawasan anak unggas yang baru menetas. Anak-anak ayam pelbagai spesies yang baru menetas dikumpulkan ke dalam kepuk. Ada yang jinak dan sebaliknya. Ada mudah ditangkap dan ada yang lari apabila cubaan untuk mengutip.


Terdapat seekor anak itik yang sesat di dalam kepuk ayam. Pasti mudah untuk mengenali itik tersebut. Ini memandangkan tubuh lebih besar berbanding ayam. Itik tunggal ini agak jinak. Harmonic sangat suka memegang anak itik. Sebenarnya, terdapat sangkar anak itik di bahagian lain. Ia dikurung untuk dijual kepada pengusaha ladang.


Puas berada di Ostrich Wonderland Semenyih, perjalanan diteruskan ke hadapan lagi. Melalui jalan bertar hingga bertemu Asia Camp. Laluan mendaki selepas itu, sebelum bertemu kolam yang melimpah air hingga ke jalan. Destinasi seterusnya adalah Saville Wonderland. Beralamat Lot 3476, kampung Pasir 43500 Semenyih.



Yuran masuk dewasa dan kanak-kanak adalah empat ringgit. Tiket Petting Zoo bagi dewasa adalah RM16 dan kanak-kanak RM14. Makanan Petting Zoo pula adalah lima ringgit satu bekas.


Tempat menunggang kuda turut disediakan. Sayangnya ketika kami tiba merupakan waktu rehat. Jam 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang merupakan waktu rehat. Selepas pukul 3.00 petang bolehlah melakukan aktiviti menunggang kuda.


Cubaan harmonic untuk mengusap seekor kuda yang bernama Sylvester. Semua kuda di sini sangat jinak menurut pekerja di sini. Cuma yang kecil agak nakal. Namun, harmonic berjaya mengusap dua ekor kuda yang berwarna putih. Terapi menyentuh kuda ini menggambarkan kasih sayang sesama pelbagai makhluk. Ia juga melatih menjadi berani berhadapan dengan haiwan.


Al-Lahif kuda putih yang agak kecil turut jinak apabila diusap. Diam dan baik sekali bertemu dengan pengunjung. Ini menunjukkan semua kuda di sini telah biasa bertemu dengan orang.


Stesen 9W2DYA-5 sempat diaktifkan bagi mengetahui kedudukan tempat ini. Agak jauh juga masuk ke dalam, namun mudah diakses kerana keadaan jalan masih baik di Kampung Pasir ini.



Suasana Petting Zoo yang menyajikan pelbagai haiwan seperti ayam, itik, angsa. rakun, ostrich, rusa dan arnab. Kelihatan beberapa ekor ayam merayau mencari makan.


Kandang rakun yang pertama sekali dilihat apabila memasuki lawasa Petting Zoo. Sangat besar dan gemuk. Hanya tidur sahaja di siang hari.


Kolam besar untuk kaki pancing mencuba nasib. Perkhidmatan menyediakan joran mesin, buloh dan pepas untuk aktiviti memancing di kolam besar dan kecil.

Kesimpulannya, membawa anak meneroka haiwan serta alam semulajadi sangat baik untuk perkembangan minda dan interaksi. Pengalaman ini pasti kekal dalam memori agar menjadi anak yang bijak lagi cerdik dalam mendepani cabaran masa hadapan.

73, Jojet de 9w2dya

Tanda Pelarasan UG0692 S1HSR04

  Hari ini telah berjaya menemui satu lagi Pillar Geodetik nombor rujukan UG0692 S1HSR04. Ini merupakan stesen ketiga berjaya ditemui selepa...