Sejarah Terumbu Layang-layang

ULANGTAHUN KE 38 PENDUDUKAN TERUMBU - LAYANG-LAYANG | UBI | MANTANANI | PENINJAU SIPUT 

PERCATURAN PENTING PERDANA MENTERI DI DALAM PENGUASAAN DI KEPULAUAN SPRATLY LAUT CHINA SELATAN

Humble Hut | Wisma Kaki Langit 

1.  Berikutan pengisytiharan perairan Zon Ekonomi Eksklusif Malaysia (ZEE) pada 20 Sep 1979 serta pewartaan Peta Baru Malaysia pada 21 Disember 1979, Kabinet telah mengarahkan agar kajian dilakukan untuk mendirikan tugu dan penempatan di beberapa buah terumbu batu karang yang berada dalam lingkungan ZEE Malaysia bagi mengukuhkan tuntutan Malaysia di Perairan Spratly. 

2. Selepas kehilangan Terumbu Laksamana, Terumbu Perahu dan Terumbu Semarang Barat Kecil yang kini di duduki oleh Filipina dan Vietnam. Namun begitu, kita berjaya mendapatkan terumbu lain iaitu Terumbu Layang-Layang, Terumbu Ubi, Terumbu Siput, Terumbu Mantanani, Terumbu Peninjau.

3. Tuntutan kerajaan terhadap Terumbu Layang-Layang di perairan Kepulauan Spratly ketika merupakan percaturan terpenting negara pada zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika mula mula menduduki jawatan Perdana Menteri pada tahun 1981. Di dalam Biografi A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad (halaman 344) pada tahun 1983 beliau telah bermalam di Humble Hut kali pertama dan beliau telah membuat keputusan untuk menjadikan Terumbu Layang-Layang sebuah Pulau Peranginan dan seterusnya meluaskan kuasa serta ZEE di kepulauan Spratly ini.

OP TUGU (APRIL 1980) – SEBUAH RANCANGAN GENIUS

4. Terumbu Layang-Layang terletak kira-kira 156 batu nautika barat laut Kota Kinabalu  Ketika awal pendudukan masih tidak terdapat sebarang infrastruktur di sana kecuali tugu yang siap dibina pada 21 Jun 1980 oleh No. 1 Skuadron, No. 2 Skuadron dan No. 8 Skuadrondan 91 Rejimen Bina dan No. 92 Skuadron, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Pegawai dan Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta bantuan logistik dari kapal KD SRI BANGGI dan  Skuadron Ke-5, TUDM Labuan Pesawat Nuri M23-33. Pada Mei 1983 kumpulan pertama seramai 11 orang anggota PASKAL mendarat melalui KD MUTIARA serta menduduki Terumbu Layang-Layang secara tetap. Modul ini digelar `Wisma Kaki Langit' memandangkan kedudukannya di tengah-tengah lautan luas bagai tak bertepi. Selanjutnya terumbu ini telah ditambak secara berperingkat-peringkat dan Stesen Lima telah dirasmikan oleh Perdana Menteri pada ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed.

5. Terumbu Ubi terletak diposisi 07°36’.4U dan 113°55’.8T yang meliputi kawasan seluas 11.4 kilometer persegi di atas Terumbu Ubi. Modul Terumbu ini berukuran 60 meter panjang, 24 meter lebar dan 4.5 meter tinggi ini dibina pada tahun 1984. 

6. Terumbu Mantanani berukuran 60 meter panjang, 24 meter lebar dan 4.5 meter tinggi. Modul ini dikandaskan di Terumbu Mantanani yang meliputi kawasan seluas 16.1 kilometer persegi. Terumbu Mantanani terletak di posisi 07°50ˊU 113°00ˊT di Pelantar Benua Malaysia. Stesen ini telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Dato’ Abdul Wahab bin Hj Nawi pada 3 Nov 86. Pada tahun 18 Mei 94, Terumbu Mantanani telah diisytiharkan kawasan larangan oleh kerajaan Malaysia. Terumbu Mantanani terletak 35 batu nautika di utara Terumbu Layang-Layang dan berhampiran dengan Pulau Kecil Amboyna milik Vietnam.

7. Terumbu Peninjau  yang terletak diposisi 08°07’.64U 114°34’.39T 70 batu nautika timur laut Terumbu Layang Layang yang siap sepenuhnya pada pada 10 Mei 1999. Modul ini dioperasikan untuk tujuan kerja-kerja saintifik dan penyelidikan marin. 

8. Terumbu Siput merupakan terumbu yang terkecil dengan keluasan 1.6 batu nautika persegi dan berada di posisi 08 07.5 U 114 05.3 T hampir dengan garisan sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di bahagian utara. Secara rasminya stesen telah diterima dan beroperasi mulai 18 Jun 99. Memandangkan Terumbu Siput merupakan salah satu unit barisan hadapan TLDM di Kepulauan Spratlys bersama empat terumbu yang lain, secara tidak langsung, stesen ini merupakan satu penempatan dan kedudukan yang terdedah kepada ancaman kuasa asing dan berisiko tinggi. 

TINDAKAN OFFENSIVE MENERUSI OPS PETALING

9. Sebelum itu pada 9 Mac 99, Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamed telah bersetuju mewujudkan Ops Petaling bagi mengukuhkan tuntutan negara ke atas Terumbu Siput dan Penijau. kawasan perairan yang juga dituntut oleh 5 buah negara lain iaitu Brunei Darussalam, Republik Filipina, Republik Rakyat China (RRC), Taiwan dan Vietnam.

10. Pengorbanan yang dilakukan oleh Unsung Heroes yang menduduki dan membangunkan terumbu terumbu ini perlu diiktiraf agar Malaysia Baharu masa hadapan tidak mensia-siakan pengorbanan mereka ini. Pencetus evolusi Terumbu Layang-Layang, Tun Dr Mahathir Mohamad serta warga ATM, terima kasih diucapkan kerana berjaya menakluk sebuah harta di Laut Cina Selatan yang berharga untuk negara.

11. 18 Jun nanti genap ulangtahun ke 38 (21 Jun 1980) pendudukan Terumbu Layang Layang oleh Kerajaan Malaysia. Di saat kita bergembira menyambut Syawal bersama keluarga tercinta, ada anggota kita berjauhan beberapa ketika daripada keluarga dan seterusnya menyambut Aidilfitri di terumbu ini demi memastikan tiada pencerobohan anasir anasir luar di kawasan milik kita ini. Terima kasih tuan-tuan. 

Selamat Menyambut Hari Raya dan Ulangtahun ke 38 pendudukan Malaysia di kawasan Terumbu kepada anggota yang bertugas di perbatasan di Gugusan Semarang Peninjau | Layang-Layang | Mantanani | Ubi | Siput | Peninjau

Mohd Hisyam bin Sah Nuddin
11 Jun 18

p/s - Rangkuman Penulis ketika melaksanakan Kajian Kes Pemilikan Terumbu di UKM.

Ihsan gambar dari PUSMAS TLDM.

No comments:

Post a Comment

Batu Tanda Sempadan Negeri WP Putrajaya/Selangor No. 1/72

 Selepas gagal mencari belon KLIA malam tadi. Operasi mencari batu tanda aras dilancarkan pula. Pencarian sekitar Persiaran Selatan dan Pers...