Buat Sehabis Baik


 Pada hari ini berjaya menurunkan peranti radiosonde D22027805 bersama Arul 9W2OCX dan Abg Zahrin 9W2MDZ di Sendayan. Sebenarnya ini kali kedua aku sampai. Sehari sebelum raya pada 21 April 2023 telah cuba membawa turun peranti yang tergantung pada pokok di kawasan berbukit depan Taman Suriaman, Sri Sendayan.


Van Arul 9W2OCX telah diletakkan di Pencawang Utama TNB sebelah Taman Suriaman. Jarak hanya 115m sahaja dari situ ke titik akhir. Namun ia jatuh di kawasan berbukit yang agak tinggi. Jadi, perlu ikut laluan ke kebun getah di hadapan sedikit berjalan. Setelah segala persiapan di bawa, kami bertiga berjalan ke laluan masuk. Sebenarnya ini merupakan kawasan kebun getah tinggal. Namun, terdapat susu getah telah ditoreh terbiar lama dalam beg plastik pada pokok getah itu.


Terdapat kereta sorong diletakkan di kawasan kebun getah itu. Kami perlu mendaki bukit yang agak curam sebelum tiba di peranti yang tergantung itu. laluan agak licin memandangkan musim hujan waktu ini. Ketika tiba di sini suasana agak gelap kerana mendung. Angin bertiup agak kencang hingga menggoyangkan peranti yang telah tergantung lebih seminggu.


Peranti bergoyang-goyang ditiup angin. Masih kedudukan sama tidak berubah. Cuma tersangkut pada daun di hadapannya sahaja. Ingatkan sudah jatuh ke tanah mudahlah bawa pulang. Namun, masih tergantung elok di tempat yang sama.


Maka, ikhtiar perlu dilakukan bagi menurunkan peranti yang tergantung itu. Nasib baik dalam van Arul 9W2OCX ada tali kernmantle panjang lebih kurang 4 meter. Abg Zahrin 9W2MDZ telah mematahkan anak pokok getah yang melurus untuk dijadikan galah. Kayu galah yang minggu lepas untuk dijolok telah disambungkan.


Malangnya, kayu yang minggu lepas itu mereput. Patahlah kayu tersebut ketika hendak ditegakkan.Terpaksalah mencari jalan lain untuk memanjangkan galah tersebut. 


Kemudian Abg Zahrin 9W2MDZ mencari dahan atau kayu untuk dijadikan penyambung. Setelah jumpa, ikat semula pada galah untuk menjadikan ia lebih panjang. Setelah selesai, percubaan untuk menegakkan berjaya. Namun ia melendut dan perlu dibuat kait dihujung galah tersebut.


Semangat berpasukan ditunjukkan dalam misi untuk menurunkan peranti. Galah agak melendut kerana beban datang dari tali kermantle yang agak berat. Percubaan demi percubaan dilakukan masih tidak mengenai peranti.


Inilah rupa galahnya dihujung diikat kayu sebagai penyangkut. Penyangkut penting untuk mengait peranti agar tersangkut pada galah. Apabila tersangkut atau terbelit pasti boleh diturunkan. Namun segala perancangan tetap gagal kerana ia melendut juga kesan bebanan dari tali kernmantle tersebut.


Akhirnya, Arul 9W2OCX mendapat ilham menggunakan tali kasutnya untuk mengikat kedua kayu tersebut. Maka, berkorbanlah ia bagi memastikan objektif tercapai. Suasana semakin gelap, angin bertiup kenyang. Hujan turun semakin rintik. Cabaran manjadi sukar dengan situasi begini. Namun semangat tidak kenal putus asa terus membara antara kami.


Percubaan seterusnya setelah diikat menggunakan tali kasut. Pada kali ini, galah menjadi ringan dan mudahlah mencapai pada peranti. Percubaan demi percubaan untuk menurunkan peranti yang bergoyang-goyang mengikut tiupan angin. Mencabar sungguh!. Semakin mengena jerat namun sikap bersabar pasti membuahkan hasil.

Penuh bersemangat tinggi kedua rakan untuk menurunkan peranti semakin dalam genggaman. Usaha terus dilakukan tanpa mengenal jemu.


Sungguh gigih Abg Zahrin 9W2MDZ dalam percubaan menurunkan peranti yang tetap berdegil untuk turun. Buat sehabis baik teringat dalam cogan kata Pengakap Kanak-kanak sebagai perangsang dan motivasi diri kami.


Berehat seketika untuk mengumpulkan tenaga kembali. Penat lelah pasti berbayar setelah berjaya menurunkan peranti. Namun, masih tergantung bergoyang-goyang seolah-olah mencabar untuk mendapatkannya. Setelah meneguk air dan melepaskan lelah, usaha tetap dilakukan semula.


Akhirnya, peranti berjaya diturunkan setelah penyangkut berjaya menariknya. Usaha perlu berhati-hati agar ia tidak tersangkut dahan yang lain pula. Jatuh juga pada dahan dibawahnya. Namun, ditarik semula hingga jatuh ke lantai tanah yang semakin benderang kesan pijakkan kami.


Saat bahagia datang jua setelah berjaya menurunkan peranti yang tergantung tadi. Percubaan demi percubaan yang gagal pada mulanya bertukar menjadi kejayaan. Ini kerana sikap tidak pernah mengenal putus asa dalam jiwa kami. Betapa seronoknya Arul 9W2OCX dan Abg Zahrin setelah berhempas pulas berganding bahu dalam menyempurnakan misi.


Kemudian Arul 9W2OCX melaporkan kejayaan pada laman sesawang Sondehub seperti kebiasaannya. Kami berdua pula mengemas semula tali-tali yang digunakan pada galah tersebut. Cuaca semakin buruk. Hujan turun semakin lebat. Namun, terlindung daripada kanopi pokok di dalam hutan ini. Ketika itu, juga Yatt 9W2MFE telahpun tiba di bawah dekat tempat letak kereta. Berkomunikasi menggunakan radio ketika perjalanan turun.


Turun dengn penuh berhati-hati kerna lantai semakin licin akibat hujan. Terpaksa membantu pergerakan Arul 9W2OCX semasa turun kerana kasutnya belum diikat tali lagi. Setelah keluar dari hutan barulah kami basah kuyup. Terpaksa menunggu lama untuk melintas jalan kerana kenderaan sangat sibuk. Sewaktu keluar barulah kami tersedar tali kernmentle telah tertinggal di atas. Tali yang banyak berjasa terlupa kerana ketika percubaan tadi tertinggal di bahagian atas berhampiran pokok.


Selepas tali kasut telah berjaya diikat semula, kami berkonvoi untuk misi SAR yang terakhir di KLIA 2. Ketika dalam perjalanan hujan semakin lebat. Namun, usaha terus dijalankan sehingga sampai ke destinasi. Tiba di lokasi hujan masih turun dan kilat sambar menyambar di tepi runway KLIA 2 dekat Jalan Pekeliling.


Apa yang membuatkan kami ingin meneruskan pencarian adalah kerana isyarat masih lagi aktif. Ketika itu jam ditangan menunjukkan pukul 4 petang. Ia masih bertenaga di hujung-hujung kuasa bateri. Tanpa banyak fikir, keluarkan payung misi diteruskan juga.
Nasib baik Yatt 9W2MFE telah meninjau laluan terlebih dahulu sebelum tiba di Sendayan. Maka, ketahuilah kami laluan yang sesuai ke titik akhir.


Radiosonde D22029535 merupakan belon Klia pagi tadi. Sudah pastilah isyaratnya dapat didengar hingga jam 4 petang. Jatuh pada jam 9:32 pagi tadi di koordinat 2.72532 darjah Utara dan 101.67497 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir adalah 51m dan ketinggian maksimum 29,565m.


Pada mulanya kami melalui laluan di atas ban parit kering banjir KLIA. Kemudian terlihat pondok di tepi jalan. Kami berteduh seketika sebelum meneruskan perjalanan mengikut laluan berturap itu. Kelihatan motorsikal bersimpang-siur melalui jalan itu menuju ke Kg Hulu Chuchoh.


Menghampiri kurang 300m lagi kami membelok ke kanan memasuki laluan sawit. Setiap parit telah diletakkan titi konkrit. Ini memudahkan kami masuk ke baris kelapa sawit ke titik akhir. Kurang 50 m lagi kami masuk ke barisan sawit dengan tanah gambutnya yang lembik. Berjalan penuh berhati-hati supaya kasut tidak ditenggelami tanah itu.



Ketika menghampiri titik akhir, semua berjalan menderu ke hadapan. Ketika itu, semua orang mata melilau mencari tanda. Aku yang belakang sekali tertoleh benang terlebih dahulu di sebelah kiri kawasan rimbunan pakis. Yatt 9W2MFE terus masuk ke dalam rimbunan mengangkat peranti.


Kemudian Arul 9W2OCX mencari belon pula. Rupanya belon berada di tepi laluan sahaja. Tiada siapa yang perasan ketika melepasi laluan itu.


Pada kali ini, laporan ke Sondehub tidak dapat dijalankan. Liputan talian tidak dapat dicapai dalam kawasan ini oleh Arul 9W2OCX. Laporan di hantar di tepi rumah Api tempat kereta diletakkan.


Kawasan titik akhir yang lecah akibat takungan air kawasan tanah gambut. Hujan semakin reda membolehkan payung tidak digunakan. Lampu Led masih menyala tetapi tidak mampu menghantar isyarat pada corong radio. Detik-detik terakhir bateri hingga mencapai jam 4.30 petang.


Suasana parit dikawasan air banjir kering ketika perjalanan pulang ke kereta. Pertama kali melalui kawasan ini sehingga diberitahu oleh Yatt 9W2MFE sebentar tadi. Selama ini melalui Jalan Pekeliling tidak perasan kewujudan laluan ini.

Credits 9W2OCX

Kejayaan ahli SAR meraikan penemuan terakhir merupakan misi yang keempat pada hari ini. Rumpun paku-pakis menghiasi kawasan rata antara baris pokok kelapa sawit. Misi mencari menggunakan payung yang jarang dilakukan oleh setiap ahli. Namun, semangat kerjasama yang padu akhirnya membuahkan kejayaan.

Credits 9W2OCX

Meraikan kejayaan SAR dihadapan rumah Api tepi Jalan Pekeliling. Tempat yang paling selamat serta tidak mengganggu laluan trafik. Jalan Pekeliling sebelah runway KLIA 2 sering menjadi sasaran orang ramai melihat kapal terbang mendarat dan berlepas.

Credits 9W2OCX

Seterusnya kami berkumpul semula ke kedai mamak di Kota Seriemas. Menikmati juadah sambil membuat post mortem tentang misi SAR pada hari ini. Sebenarnya kereta kami diletakkan di sini sebelum bersama manaiki van Arul 9W2OCX untuk misi SAR pertama dan kedua sebelum kehadiran Yatt 9W2MFE yang baru tiba dari kampung.


Pencarian pertama bermula di kawasan perindustrian di Bandar Enstek. Radiosonde D22028512 telah jatuh 29 April 2023 jam 21:24 malam. Altitud ketinggian terakhir 240m dan ketinggian maksimum 25,313m. Koordinat 2.70458 darjah Utara dan 101.78692 darjah Timur.

Jarak 55.1m merupakan jarak titik akhir ke peranti yang dijumpai. Semasa tiba di kawasan indutri dalam pembinaan. Jalan masuk ke titik akhir masih belum berturap. Arul 9W2OCX terus memandu melepasi titik akhir di tepi jalan. Sila rujuk tangkap layar di atas. Kemudian Arul 9W2OCX masuk simpang pertama terus meletakkan van di tepi jalan.


Kemudian Arul 9W2OCX dab Abg Zahrin 9W2MDZ terus pergi ke kawasan tapak pembinaan sebelah jalan tersebut. "Ini haah dah jumpa!" Arul 9W2OCX menunjukkan peranti yang tergolek di atas kawasan lapang.


Kemudian kerja-kerja perekodan dilakukan. Abg Zahrin 9W2MDZ seperti biasa berperanan melaporkan setiap penemuan dalam Sondehub. Jarak jumpa agak tinggi kerana altitud terakhir pastilah tinggi iaitu 240m. Oleh kerana jatuh di kawasan lapang mudahlah dicari peranti tersebut.


Arul 9W2OCX membantu Abg Zahrin 9W2MDZ membuat laporan dalam laman sesawang Sondehub. Jalan sebelah tapak perindustrian ini telah berturap. Tapak perindustian ini berumput lalang menggambar ia telah tandus.


Kawasan pemandangan tapak industri yang lapang bersebelahan dengan ladang Tanah Merah, Bukit Pelanduk.


Jejak stesen 9W2DYA-5 ke peranti D22028512 di kawasan perindustrian Enstek terdiri syarikat antarabangsa yang terkenal. Kawasan yang kami lalui itu sedang dalam pembangunan. Oleh itu, dapatlah kami dengan mudah ke tempat yang ditujui.


Seterusnya misi kedua diteruskan di Ladang Bukit Pelanduk. Jejak stesen 9W2DYA-5 dari Enstek ke ladang Tanah Merah. Nasib baik ada jalan berturap dari Taman Eka Matahari. Percubaan masuk mengikut laluan dari Taman Eka Matahari jarak kurang 1500m sahaja. Namun, kawasan pembinaan di dalamnya tidak sesuai untuk dilalui. Kami bernasib baik apabila Abg Zahrin 9W2MDZ menanyakan kawannya yang tinggal di situ laluan ke Tanah Merah.


 Perlu membuat pusingan U terlebih dahulu sebelum masuk ke kiri selepas papan tanda Kg 107 Ekar Tanah Merah. Laluannya berturap hingga masuk ke kawasan ladang. Nasib baik pintu ladangpun tidak berkunci. Pondok pengawalpun tiada orang untuk memaklumkan kebenaran masuk.


Tiba menghampiri titik akhir memaklumkan uncle yang bekerja di situ. Beritahu kehadiran di situ mencari belon kaji cuaca. Diapun membalas ok sahaja. Saujana mata memandang kawasan ladang yang luas sebelah Tanah Merah, Bukit Pelandok.


Nasib baik peranti jatuh berhampiran jalan sahaja, Pastilah mudah untuk akses kawasan tersebut. Pokokpun muda lagi ditanam mengikut teres-teres. Pasti mudah untuk mencarinya.


Radiosonde D22028206 telah jatuh pada 26 April 2023 jam 21:51 malam. Altitud ketinggian terakhir 87m dan ketinggian maksimum 27,042m. Koordinat 2.68008 darjah Utara dan 101.7891 darjah Timur. 



Meraban juga nak cari walaupun nampak mudah. Mana taknya? kawasan berumput antara baris sawit. Terpaksa periksa arah belon mendarat dari kedudukan jalan berturap. Arul 9W2OCX dan Abg Zahrin 9W2MDZ memeriksa setiap baris teres bahagian bersemakk rumput hijau tersebut. Pada mula tidak mudah jumpa. Malulah kalau tak jumpa juga bagi altitud ketinggian terakhir hanya 87m sahaja. Sudahlah tiga orang yang datang mencarinya. Tak jumpa juga memang cari pasal sahaja.


Setelah menujuk arah belon jatuh. Arul 9W2OCX memeriksa semula setiap baris. Ketika itulah ternampak benang pada laluan tersebut. Berdasarkan benang tersebut perantipun dapat dicari terlebih dahulu. Manakala belon berada di hadapan baris sawit yang lain pula. Padahal laluan tersebut telah dilalui oleh Abg Zahrin 9W2MDZ terlebih dahulu. Namun, terlepas melihat sebarang tanda. Rezeki Arul 9W2OCX pula yang dapat jumpa benang terlebih dahulu.


Usaha mengeluarkan peranti yang terpelusuk dalam rimbunan daun-daun antara baris kelapa sawit. Jikalau bukan kerana kelibat benang pasti peranti sukar untuk ditemui.


Akhirnya dapat juga radiosonde D22028206 di jumpai dicelah-celah pokok rimbunan menghijau. Kemudian seperti biasa, Arul 9W2OCX menghantar laporan penemuan dalam laman sesawang Sondehub.

Jarak 20.4m jarak peranti yang dijumpai dari titik akhir altitud 87m.


Abg Zahrin 9W2MDZ sedang mendapatkan belon hadapan dari peranti.


Papan tanda Kampung 107 Ekar yang kami lalui untuk ke radiosonde yang kedua bagi perjalanan yang panjang untuk misi hujung minggu.

73, Jojet de 9w2dya

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...