Sungai Lui Pasca Banjir


 Sungai Lui pasca banjir sempat aku jenguk pada 20hb Disember yang lalu selepas  tiga hari banjir besar di Selangor. Sungai Lui di Alpine Camp semakin lebar dan cetek kesan banjir besar itu.


Pada 28 dan 29 Disember 2021 aku berkesempatan membantu misi banjir di Alpine Camp. Kem ini diusahakan dua sahabat sepedakian Deeno dan Pak Am. Mereka berdua adalah pendaki Everest berjaya menawan puncak gunung tertinggi di dunia. Terkesan dari banjir besar ini ramai rakan dalam kalangan pendaki dan penggerak rekreasi datang membantu membersihkan semula kawasan kem.


Hari pertama tiba membantu memilih batang-batang kayu untuk menambak tebing sungai Lui. Kayu tersebut telah siap dipotong menggunakan mesin pemotong kayu. Kemudian dikumpul dan masukkan ke dalam hilux. Seterusnya dilonggokkan di tepi sungai lokasi yang hendak ditambak.


Ada sebatang pokok kelapa yang tumbang telah merentangi sungai. Operasi memotong turut dijalankan. Malang semasa kerja memotong, mesin telah tersangkut di batang pokok. Situasi biasa bagi kerja-kerja seperti ini. Terpaksalah menggunakan mesin yang lain. Mesin yang  kedua turut tersangkut. Jadi menggunakan pelbagai ikhtiar bagi mengeluarkan semula dua mesin yang tersangkut tersebut. Akhirnya, kedua mesin dapat diselamatkan dan usaha memotong batang kelapa itu diteruskan. Setelah potong separuh batang kelapa itu, aliran sungai lancar tanpa halangan. Ini berkat kerjasama berpasukan.


Petang itu juga, memasukkan batu ke dalam sangkar bagi membuat tembok penahan air. Batu-batu sungai yang dikutip berhadapan kem digunakan bagi memenuhi sangkar. Tanah turut digali bagi kerja-kerja menambak. Ini kerana sungai telah menghakis tebing hingga ke struktur tandas.


Habis kerja hari pertama sebelah malam berehat. Monitor di V40 145.500MHz terdapat rakan yang menggunakan frekuensi. Lupa nak catatkan callsign tersebut. Sebelah siang tadi turut kelihatan di padang sebelah kem kenderaan bantuan banjir yang banyak. Pelbagai badan memberi bantuan banjir dari Kedah dan Perak. Berdasarkan bendera di kenderaan mereka. Kem ini terletak di Kg Orang Asli Paya Lebar. Hingga lewat petang Jabatan Amal dilihat kumpulan terakhir memberi khidmat bantuan banjir. Kemudian datang lagi kumpulan pacuan 4 roda turut memberi bantuan hingga masuk ke maghrib.


Hari kedua suasana kem berkabus. Suhu rendah dari malam hingga ke pagi. Pemandangan Gunung Hitam dibalik kabus menanti kemunculan mentari dari sebelah Genting Peres. Setelah sarapan kerja hari kedua adalah mengeluarkan khemah glamping yang terbenam akibat banjir. Banyak kayu balak hanyut tersangkut di pokok-pokok durian. Ada durian telah gugur daunnya menandakan akarnya telah terganggu dilanggar kayu-kayu hanyut. Tidak pasti pokok itu mampu meneruskan kehidupan atau disebaliknya. Ada pokok manggis yang dah mati. Beberapa pokok berdekatan tebing telah terhakis  berada di tengah sungai.


Kayu-kayu balak dilonggokkan ditebing bagi mengelakkan lagi hakisan. Sungai menjadi semakin lebar dan cetek. Airnya masih lagi keruh dan mengambil masa untuk kembali jernih. Kerja-kerja mendalamkan sungai kepada keadaan asal amat diperlukan. Ini penting untuk mengelakkan kejadian banjir berulang. Nasib baik lebar jambatan dapat menampung kelebaran terkini. Jikalau jambatan musnah, pasti terputus hubungan untuk ke sini. Jambatan besi inilah satu-satunya kemudahan yang dapat menghubungkan penduduk ke rumah masing-masing.


Pencarian khemah yang tertimbus dibahagi kepada dua kumpulan. Khemah yang tertimbus agak sukar untuk dikeluarkan. Semua perlu kerjasama berpasukan. Selepas  berjaya dikeluarkan dari lumpur dan tanah. Perlu tarik menggunakan hilux kerana semakin berat akibat lumpur dan tanah yang melekat. 


Aktiviti seterusnya bawa masuk ke sungai untuk membasuh khemah tersebut. Nasib baiklah sungai cetek sahaja. Boleh dibawa turun dengan mudah. Menggunakan penyapu mengeluarkan lumpur yang melekat. Rakan lain memegang khemah sambil membilaskannya.

Credit Deeno 

Kerjasama berpasukan menyebabkan kerja yang berat menjadi mudah. Aktiviti sukarelawan sebegini sangat bagus memberi pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Memasuki kawasan bencana alam pasti menimbulkan keinsafan pada diri dengan kekuasaan Yang Maha Esa.

20/12/2021
Pada sebelah malam pula, selepas makan malam aku dengan Atok pulang ke rumah masing-masing. Kami berkonvoi melalui Empangan Semenyih. Tiba di Pekan Semenyih masing-masing tukar haluan. Aku hala ke Bangi dan Atok ke Kajang untuk balik ke Shah Alam.

20/12/2021

Berbalik kepada hari ketiga banjir besar pada 20 Disember 2021. Beginilah suasana jalan di Batu 23 Sungai Lui. Jalan masih diliputi lumpur dan batu-batu sungai. Banyak tempat tanah runtuh dari arah Semenyih ke sini. Kadang tinggal satu lorong sahaja yang boleh dilalui.

20/12/2021

Tiang letrik tnb turut tumbang merentangi jalan raya. Nasib bekalan elektrik telah diputuskan bagi tujuan keselamatan. Tiang letrik yang hampir menyembah bumi akibat hakisan air anak sungai sahaja.

20/12/2021

Keadaan anak sungai menjadi lebar telah mengubah keadaan asal. Anak sungai yang kecil menjadi agak besar apabila taburan hujan yang tinggi. Hakisan berlaku menyebabkan aliran berpecah kepada beberapa cabang.

20/12/2021

Kesan banjir dapat dilihat limpahan air anak sungai meninggalkan sisa-sisa kayu dan mendapan tanah.  Kawasan menjadi rata dan lapang.


Aliran air masih masuk ke jalan raya utama. Aliran longkang telah tersumbat dengan longgokan kayu dan tanah di dalam longkang. Ini menjadi punca aliran air keluar membasahi jalan.


Kelihatan aliran air menjadi anak sungai semakin melebar daripada keadaan asal. Aliran masih keruh dan kapasiti masih mengalir agak laju. Ini menunjukkan simpanan air hujan masih lagi banyak mengalir.


Kesan limpahan air jelas kelihatan. Air aliran air melimpah hingga kawasan sekitarnya. Boleh menyebabkan tembok pagar rumah dihakis.


Kesan lumpur yang melekat di atas jalan. Apabila kering menghasilkan debu yang boleh menjejaskan kesihatan. Kuasa yang boleh menghanyutkan apa sahaja yang dilaluinya. Kemudian meninggalkan sisa-sisa dilaluannya.



Aliran air yang laju mengalir di atas jalan. Air melimpah kerana longkang yang tersumbat. Lumpur memenuhi jalan kesan banjir sebelumnya.


Aliran air memenuhi separuh jalan berdekatan dengan simpang Peres. Batu-batu berlonggok ditepi jalan. Puncanya akibat longkang telah tersumbat menyebabkan aliran air memenuhi jalan. Macam air sungai yang deras menuruni cerun bukit. Airnya sejuk juga, ada beberapa kereta singgah dan turun bermain air.


Limpahan lumpur memenuhi pinggir jalan. Air longkang menjadi sungai yang deras memenuhi jalan dan sekitarnya.


Kawasan pinggir jalan yang mengalami limpahan air dan lumpur. Sebelah hadapan kawasan tersebut terdapat aliran anak sungai yang melimpah. Banyak aliran air di kiri dan kanan jalan Sg Lui ini. Sebab itulah limpahan air dan lumpur dapat dilihat sepanjang jalan Sg Lui Batu 23 ini.


Keadaan separuh jalan di penuhi air serta longgokan kayu dan batu. Terdapat rumah hujung minggu di hadapan tempat kejadian ini. Aku turut membantu pemilik rumah membersihkan laluan bagi memudahkan kenderaan melaluinya. Mengalih batu-batu serta kayu-kayu dari sekcil-kecil hingga batu besar yang boleh dialihkan.


Lihatlah limpahan air yang memenuhi jalan tersebut. Sedikit demi sedikit batu dialihkan. Ketika melakukan kerja-kerja pembersihan ini. Banyak kenderaan jabatan dan agensi kerajaan melaluinya. Mungkin ingin membuat laporan kejadian banjir di Sungai Lui serta keseluruhan Hulu Langat. Terdapat juga orang perseorangan atau dari badan bukan kerajaan NGO menegur serta turut menyumbangkan makanan kepada kami.


Inilah punca air melimpah di atas jalan raya. Aliran longkang telah tersumbat oleh kayu-kayu dan batu-batu. Akibatnya air melimpah keluar membawa batu-batu dan longgokan kayu.


Keadaan rumah hujung minggu yang turut dilanda banjir berdekatan jalan Sg Lui. Air yang melimpah di atas jalan masuk ke kawasan rumah. Turut merobohkan tembok batu rumah ini. Banyak tinggalan kayu dan batu boleh dilihat dihalaman rumah. Air terus mengalir laju.



Nasib ada insan berhati mulia lalu dihadapan kami. Pemandu jentolak telah membersihkan jalan yang dipenuhi longgokan kayu dan batu. Maka jalan boleh dilalui dua lorong seperti sediakala. Kemudian minta undur diri kepada tuan rumah misi membersihkan jalan telah hampir sempurna.


Keadaan air yang deras keluar dari aliran longkang yang tersumbat. Kemudian balik kereta untuk melihat simpang peres pula beberapa meter dihadapan. Beberapa anggota bomba sedang membersihkan diri dengan tubuh yang disalut lumpur. Bertanya kepada salah seorang Pegawai. Baru balik dari operasi menyelamatkan orang terperangkap di Genteng Peres.


Keadaan simpang peres terdapat longgokan kayu dan batu di pinggir jalan. Simpang ini turut dibersihkan dari kesan limpahan banjir. Jalan menghala ke Genting Peres ditutup oleh JKR kerana tanah runtuh menimpa jalan. Beberapa siri menghantar bekalan makanan oleh pendaki menggunakan beg sandang telah dilakukan. Hobi mendaki membawa sumbangan menghantar bekalan kepada Kg Orang Asli Genting Peres. Tanggungjawab sosial dalam kalangan pendaki harus dipuji. Sanggup memikul beban hingga 35kg bukanlah mudah dengan jarak 8km sehala.


Kesan banjir di simpang peres, betapa kuatnya air menghanyutkan kayu-kayu dan batu. Aliran kecil bertukar menjadi sungai yang ganas. Kemudian berpatah balik ke Kg Paya Lebar. Terpaksa melalui semula kawasan pokok yang tumbang. Kali ini pokok yang tumbang boleh dilalui apabila jalan telah ditambak dengan beberapa batang kayu. Pada mulanya takut tak lepas kereta melaluinya.


Berpatah balik jalan dah boleh dilalui dengan bantuan jentolak. Sekurangnya satu lorong boleh dilalui dengan mudah.


Jalan dipenuhi tanah kesan limpahan air yang membawanya naik ke atas. Tanah masih lembap dan basah lagi.


Ini bahagian jalan yang dipenuhi tanah yang kering menerbangkan debu. Debu-debu berterbangan apabila kereta dibawa dengan laju.


Pintu Alpine Camp ditutup pada 20hb Disember terkesan dengan banjir besar. Cuaca cerah ketika singgah di sini. Gunung Hitam jelas kelihatan nun jauh dibelakang.


Rumah perkampungan Orang Asli Paya Lebar berhadapan Alpine Camp dipenuhi lumpur. Kerja pembersihan lumpur giat dijalankan. Lumpur memenuhi setiap ruang di luar rumah. Sempat berbual dengan seorang pemuda orang asli di situ. Sibuk mengorek longkang bagi memberi laluan air lumpur mengalir.


Menurut beliau ketika itu, penduduk Kg masih belum menerima sebarang bantuan lagi. Tapi kini, bantuan datang mencurah-curah tanpa henti.


Air lumpur memenuhi longkang. Selut memonopoli setiap ruang. banjir paras pinggang menyebabkan rumah turut dimasuki air. Bagi rumah yang agak tinggi pasti selamat.


Air lumpur bertakung dalam kawasan kem. Kelihatan dipagar daun-daun tersangkut menunjukkan air deras melaluinya. Namun pagar masih tegak  kukuh berdiri.


Sepanjang pagar kelihatan lumpur dan daun-daun terlekat. Aliran air sungai memenuhi hingga ke arah perkampungan.


Kesan aras banjir dapat dilihat didinding rumah. Lumpur memenuhi keliling rumah. Banjir yang paling teruk juga menurut pemuda tersebut.


Kemudian memandu ke simpang Sg Laweng berdekatan Ikan Bakar. Restoran Ikan Bakar yang kolam bertukar warna oren. Bersiap memulakan aktiviti trekking dengan beg yang dipenuhi botol air. Ingin meninjau keadaan hulu selepas kejadian banjir besar.


Pemandangan kolam bertukar warna kuning berpunca dari tanah runtuh dibahagian hulunya. Tanah berwarna kuning akibat hakisan tanah oleh air yang deras.


Terdapat kawasan tanah runtuh sepanjang perjanan ke Sg Laweng. Pokok yang merentangi jalan telah dipotong bagi memudahkan laluan. Kesan tanah merah dikawasan runtuhan. Pokok buluh turut senget ke bawah menyembah bumi.


 Aliran air turut melalui di atas jalan ke Sg Laweng. Aliran yang laju membentuk aliran air kesan limpahan air yang banyak bagi kawasan tadahan.
Pandangan  kawasan tanah runtuh yang menutup jalan ke Sg Laweng. Tanah merah inilah menjadi punca kolam berwarna oren.


Laluan yang redup hala ke Sg Laweng. Keadaan sekitar yang baik tanpa gangguan tanah runtuh.


Aliran lumpur berwarna oren turun ke bawah hingga masuk ke kolam. Air sebegini menunjukkah hakisan berlaku akibat jumlah air yang sangat banyak. Kawasan persekitaran merupakan kawasan kebun buah-buahan.


Pintu masuk Kem Teratak Buluh Batu Hampar ketika melalui jalan ke Sg Laweng. Hadapan pintu masuk ini ada kawasan lapang untuk parkir. Namuan tanah runtuh yang berlaku sukar jelopi hendak melaluinya.



Jambatan besi di Sungai Laweng telah jatuh ke dalam sungai. Kelihatan air sungai amat keruh.


Kesan limpahan air Sg Laweng batu-batu beranjak. Air masih keruh selepas tiga hari banjir.



Sungai bahagian hulu turut terkesan taburan hujan yang tinggi menyebabkan jumlah air bertambah berkali ganda.


Masa perjalanan ke Sg Laweng mengikut rekod jam Garmin adalah 33 minit 33 saat. Altitud ketinggian Sg Laweng yang berjaya dijejaki adalah 139m dari aras laut.


Koordinat Sg Laweng direkodkan oleh jam Garmin. Boleh merujuk peta google lokasinya berdasarkan koordinat ini.

73, Jojet de 9w2dya

Belon Kota Bharu Radiosonde D22025480 menghampiri Sg Golok

Credit 9W2PRX   Belon Kota Bharu radiosonde D22025480 telah berjaya di selamatkan berhampiran tebing Sungai Golok oleh stesen 9W2GCQ pada ma...