Bukit Rupa 107m Bangi


 Selepas solat Jumaat, baru aktiviti mendaki bermula dengan menawan Bukit Rupa 107m dari aras laut. Bukit ini terletak di Hutan Simpan Kekal UKM Bangi.


Bukit kategori belakang rumah sangat dekat dengan base station. Mingikut pintu belakang UKM terus ke Jalan Tun Ismail Ali. Pintu gerbang yang tertera Hutan Simpan Kekal UKM menyambut ketibaan pengunjung.


Meletak kereta berhampiran pintu gerbang itu. Bersiap sedia untuk menawannya dengan bekalan air yang secukupnya. Melangkah mengikut anak tangga yang disediakan hingga tiba di kawasan permatang. Ini bermaksud laluan landai tidaklah memenatkan.


Susunan konkrit empat segi menjadi tangga memudahkan pendakian. Agak licin kerana baru lepas hujan. Cuaca seharian hujan dari pagi akibat pengaruh taufan Rai yang sedang membadai Filipina.


Melepasi permatang barulah melalui denai yang agak luas. Mengikut firasatku trek ini sudah lama tidak dimasuki orang. Agak bersemak dan tidak diselenggara dengan baik. Banyak pelepah dan dahan ranting merintanginya. Namun masih boleh dijejaki.


Beberapa minit kemudian sampailah dipuncak Bukit Rupa 107m dari aras laut. Ada beirut kecil sebagai penanda puncak tertinggi di Hutan Bangi.



Kerja-kerja merekod data dilakukan di atas batang besi penanda puncak ini. Bacaan jam Garmin turut dibuat di atasnya bagi mendapat kedudukan yang tepat. Altitud ketinggian 64m dari aras laut telah direkodkan. Perjalanan ke puncak ini mengambil masa kurang 10 minit sahaja.


Ada papan tanda yang tertulis Mercu Tanda Bukit Rupa yang sudah tertanggal jatuh ke bumi. Ada satu yang baru diikat disalah satu tiang beirut. Kertas penanda aku pula disandarkan pada tiang penanda puncak.


Semua papan tanda sebagai ingatan semasa bergambar kenangan. Resam memenuhi ruang di balik beirut ini. Silap haribulan beirut inipun akan ditelannya jika tiada kerja-kerja pembersihan.


Plat besi ini jatuh daripada rangkanya. Nasib baik tiada yang bawa pulang untuk dijadikan kenangan. Puncak ini turut ditanda dalam peta google. Tiada masalah untuk mengetahui lokasinya.


Sebuah pondok rehat turut dibina dikawasan puncak. Berhadapannya ada satu papan tanda menunjuk arah rintis untuk diterokai. Namun kelihatan bersemak dan kayu balak tumbang berdekatan arah trek itu.


Beirut inilah yang sering dicari jikalau ada tanda stesen trigonometri pada peta topo. Menunjukkan puncak tertinggi bagi sesuatu kawasan persekitarannya. Oleh kerana berada dalam hutan simpan, pastilah binaannya kekal hingga dimakan masa.


Koordinat puncak Bukit Rupa 107m boleh direkodkan serta membuat pencarian pada peta google. Bukti telah sampai di puncak.


Tiang penanda ketinggian yang ditanam di atas tanah. Menjadi rujukan bagi menentukan kedudukan yang tepat bagi sesuatu puncak. 


Cuaca agak redup disebabkan mendung. Angin turut bertiup agak kencang di puncak ini. Semasa melalui permatang tadipun angin bertiup agak kuat juga. Kedengaran bunyi enjin kenderaan dari lebuhraya Plus serta jalan Bangi.


Puas merekod dan menikmati suasana puncak. Perjalanan turun ke bawah dengan berhati-hati. Catatan masa bagi pendakian puncak ini adalah 22:16 dengan jarak 930 meter. Misi seterusnya adalah pencarian puncak Bukit Rambai 149m.


Destinasinya adalah Taman Universiti dekat Sungai Tangkas. Pada tahun 2004 pernah berkursus di Siber Square ini. Kini bangunannya kelihatan usang dan ditinggalkan. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih menjalankan operasinya. Kursus TOT bagi Jurulatih Pembinaan Karektor untuk program PLKN.


Pencarian puncak Bukit Rambai bermula dari sini kerana titik yang paling hampir. Meredah laluan ke kebun sayur sebelum masuk trek kelapa sawit. Kelihatan pokok sawit tua ditinggal dan tidak diuruskan dengan baik. Umpama berada dalam hutan juga ketika melalui trek.


Asalnya jalan tanah merah menjadi denai yang hanya boleh dilalui motorsikal dan basikal sahaja. Sedikit mendaki dan turun semula hingga berjumpa kolam kecil di hujung trek. Ada aliran air  mengalir dari dua punca yang berbeza. Bergabung menjadi anak sungai. Airnya cetek kesan dari kawasan ladang yang ditarah bagi pembangunan pada bahagian atas.


Berhenti untuk membasahkan tekak serta memeriksa kedudukan terkini. Malangnya gagal mendapat isyarat kerana berada di kawasan lembah sekitar pokok kelapa sawit. Kemudian melintas aliran air untuk mendaki ke kawasan bukit yang diteroka untuk pembangunan.


Mendaki ke kawasan tinggi mengikut kesan tayar motorsikal. Rupanya tayar motorsikal ini mungkin dimiliki oleh pekerja rumah kongsi untuk keluar ke arah yang aku datang tadi di Taman Universiti.


Sampai sahaja di kawasan paling tinggi. Kelihatan pemandangan Bandar Baru Bangi, Bandar Teknologi Kajang serta Semenyih dihadapan mata. Namun yang menjadi kegusaranku adalah langit yang gelap menandakan hujan akan turun.


Kawasan dataran tinggi ini membolehkan isyarat liputan komunikasi diterima semula. Stesen 9W2DYA-10 telah berjaya membuat plot dikawasan sekitarnya. Ketahuilah bahawa kedudukanku berhampiran Taman Harmoni dan Hillpark. 
 

Puncak Bukit Rambai berada dihadapan mata. Berjalan terus hingga berjumpa kawasan rumah kongsi berdekatan Hillpark. Kelihatan ada jalan dibelakang rumah kongsi itu. Malangnya perlu ikut jalan lain untuk ke sana. Maka, terpaksa berpatah balik kerana tiada jalan ke puncak berdekatan kawasan tersebut.


Awan semakin gelap. Langkah perlu dilajukan bagi menyelamatkan diri dari kebasahan. Teringat suasana begini ketika berkayak ditengah lautan. Pasti ombak menjadi kuat, bertambah pula dengan tiupan angin. Memang mencabar ketahanan fizikal dan mental. Cuaca boleh berubah sekelip mata. Haruslah peka dengan perubahan persekitaran terutama bahaya yang mendatang. Sediakan payung sebelum hujan. Payungpun tak bawa memang kena hujanlah jawabnya.


Awan berarak mendung kelabu. Berpatah balik dikawasan lapang sebegini boleh mengundangkan keliru. Oleh itu, pastikan tanda-tanda persekitaran dapat dikenalpasti agar laluan yang dipilih adalah tepat. Jangan panik! Bawa bertenang dan cuba ingat kembali jalan yang dilalui tadi. Carilah kesan tapak kasut yang dilalui tadi mungkin dapat membantu kembali ke jalan yang benar.


Sempat menyemak kedudukan puncak walaupun keadaan tidak mengizinkan. Selaraskan arah utara menggunakan kompas jam Garmin bersama aplikasi peta topo lama. Ternyata dibelakang sebelah selatan itulah Bukit Rambai memanggil untuk ditakluki.


Menghadap ke belakang semula. Bertentangannya pasti itulah puncaknya. Hasil tinjauan didapati puncak turut ditarah sebahagiannya. Bagi mendapat jawapannya perlu sampai ke sana. Menyambung semula pencarian berpatah balik ke kawasan ladang kelapa sawit. Ketika ini membuka paparan trek pada jam Garmin agar tidak tersalah haluan. Sepanjang laluan sejak diaktifkan jam ini telah membuat penandaan. Jadi mudahlah untuk rujuk semula laluan yang telah dilalui dengan tepat. Ini dapat mengelakkan dari tersalah atau tersasar dari laluan yang sebenar.


Kemudin turun ke bawah untuk mencuba satu laluan lain di sebelah kiri. Ingatkan ada laluan arah ke puncak. Jauh kelihatan semula adalah rumah kongsi tadi. Patah balik semula ke kawasan aliran air. Hujanpun turun setelah berada dikawasan ladang sawit ini. Rasa lebih selamat berada di sekitar kanopi sawit berbanding kawasan bukit yang luas tadi. Sampailah permulaan trek sawit ini cuaca kembali cerah serta hujanpun berhenti. Syukur atas nikmatNya kerana dipermudahkan sepanjang perjalanan.


Cuba ke kawasan kebun dilaluan masuk dari Taman Universiti. Kedengaran azan Asar berkumandang dari Surau dan Masjid kawasan persekitaran. Berhenti di simpang dekat kebun sayur yang berpagar biru.


Puncak Bukit Rambai jelas kelihatan dari simpang ini. Kawasan kebun turut ditanam pokok durian. Laluan tepi pagar ke kawasan kebun bahagian dalam. 


Laluan hala ke Taman Universiti semula. Jalan yang digunakan untuk kembali ke parkir kereta semula.


Penyemakan semula dibuat berdekatan kebun sayur itu. Ternyata belakang kebun inilah puncak Bukit Rambai megah berdiri. Namun sukar untuk mencari laluan ke atas walaupun semakin hampir. Kawasan persendirian sukar untuk ditembusi.


Kawasan berpagar kebun yang menanam cili padi, setelah mengintai di pintu pagar yang terbuka. Puncak jelas kelihatan. Usaha mencari jalan lain pula pasti akan diteruskan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Usaha tangga kejayaan. Catatan masa aktiviti adalah 1 jam 22 minit 05 saat dengan jarak 5.34km.

73, Jojet de 9w2dya


No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...