Bercuti di Pulau Pangkor

Pada 14 Disember 2011 bermula percutian aku bersama xyl ke Pulau Pangkor Perak. Perjalanan dari base bermula 4.30 petang melalui ibu kota yang kesesakan jalan raya berlaku di jalan duta sebelum masuk ke PLUS. Singgah di restoran jejambat sungai buloh untuk makan dan solat asar dan ketika ini hujan lebat. Meneruskan perjalanan hujan turun di beberapa tempat menyebabkan aku memandu dengan lebih berhati-hati lagi. Seterusnya berhenti di R&R Tapah sebelum keluar melalui Gopeng. Mengikut jalan menghala ke Lumut melalui Tronoh dan Seri Iskandar selama hampir 2 jam. Tiba di Lumut mencaari tempat penginapan untuk bermalam akhir dapat bilik di Lumut Villa Inn Hotel.

Hari kedua 15 Disember bermula perjalanan ke Pulau Pangkor. Perkara pertama dalam fikiran adalah  tempat letak kereta. Jadi aku lihat banyak kereta diletakkan di padang sebuah sekolah maka bertanya kepada pengawal keselamatan itu lalu menjawab boleh meletak kereta dengan sumbangan ikhlas  kepada PIBG sebanyak RM10 sehari. Maka aku menyumbang sebanyak RM20 untuk 2 hari. Selepas itu terus ke jeti membeli tiket feri untuk ke Pangkor. Tambang dua hala seorang adalah sebanyak RM10. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 40 minit. Waktu ini kelihatan ramai orang ke Pangkor maka feripun penuh. Tiba di jeti Pangkor aku terus mengambil teksi yang merupakan sebuah van yang berwarna merah jambu. Destinasi kami adalah Teluk Nipah jarak perjalanan sejauh 6KM dan tambang sebanyak RM15.

Tiba di Teluk Nipah pemandu teksi membawa terus ke tempat penginapan cadangannya. Sebelum itu aku ingin ke Havana, tetapi menurut beliau tempat itu telah bankrap dan tutup. Sampai di Teluk Nipah aku lihat tempat yang pernah aku berkhemah sewaktu pendidikan Luar pada tahun 2005 lalu telah menjadi tinggalan kenangan sahaja. Mungkin pembangunan baru dalam perancangan kerajaan. Kami memilih Palma Beach Resort selama 2 malam. Penginapan chalet dua tingkat ini selesa dan menyediakan kemudahan seperti hotel. Kelihatan ramai juga pelancong dalam dan luar negara di sini.


Penginapan di Palma Beach Resort Teluk Nipah Pangkor

Selepas berehat aku dan xyl berjalan melihat sekitar Teluk Nipah. Banyak perubahan yang aku lihat di sini seperti deretan kedai-kedai dan juga ada menara Teluk Nipah. Kedai yang tersusun rapi dan mempunyai pelbagai warna yang menarik. Bangku rehat dan pelantar pemandangan menarik pelancong untuk menikmati deruan angin serta ombak. Pantai kelihatan semakin bersih dan bertambah cantik. Pengusaha sukan air mempamerkan  gambar-gambar menarik untuk memikat pelancong menggunakan perkhidmatan yang mereka sediakan seperti menaiki bot mengelilingi pulau dan teluk, jetski, banana boat, kayak dan snorkling.

Seterusnya aku mengambil teksi ke pantai Pasir Bongak. Berjalan-jalan untuk melihat apa-apa yang menarik. Sini hanya ada kawasan pantai yang mempunyai tempat penginapan  persendirian. Kami berehat untuk menikmati laksa di sebuah gerai di sini. Semasa makan aku terpandang antena rakan  yang terletak di rumah flat. Munkin berdekatan dengan Pusat Ko-kurikulum Jabatan Pelajaran Perak. Aku pernah ke sini suatu program Bina Insan Guru pada 2005. Setahu aku ramai jurulatih pusat Ko mempunyai callsign. Aku cuba memanggil di V40 tetapi tidak kedengaran sebarang feedback.
Menurut blog 9W2NIM antena ini merupakan paling tinggi dipasang oleh 9W2FTB dengan ketinggian 70 meter dari aras laut.


gambar dari man9w2nim.blogspot.com
 Selepas puas bersiar-siar xyl mengajak pulang ke Teluk Nipah kerana ingin mandi laut. Kami bergerak terus ke tempat penginapan. Pada petang itu ombak agak tinggi dan seronok berenang dalam cuaca yang agak panas. Pada waktu ini air pasang hingga ke tepi tembok dan mencecah pokok-pokok. Selepas puaas mandi laut terus pulang ke bilik dan bersiap sedia untuk makan malam. Pemandangan malam tidak kurang hebatnya. Cahaya-cahaya lampu menerangi sepanjang kedai-kedai di tepi pantai. Kami makan ikan bakar di salah satu kedai di sini iaitu ikan gerud-gerud memang sedap dibakar.

Hari ketiga 16 Disember 2011, kami merancang untuk melakukan pelbagai aktiviti air. Snorkling adalah aktiviti yang paling sesuai disebelah pagi. Selepas memakai BA dan gogle aku dan xyl dibawa oleh boatman terus ke Pulau Giam berhadapan dengan teluk Nipah. Bot memacu laju terus ke sana dalam beberapa minit sahaja. Tiba di Pulau Giam boatman memberi makan ikan-ikan untuk kami melihatnya. Selepas membuat janji jam berapa aktiviti kami ini habis terus turun ke pantai untuk memulakan aktiviti.


Snorkling di Pulau Giam
 Selepas mengetatkan topeng dan cuba merendamkannya dan air tidak masuk barulah kami menyelam melihat ikan-ikan berenang-renang. Membuat water confidance terlebih dahulu bagi menyesuaikan kaeadaan diri dan BA dapat berfungsi dengan baik. Apabila semua dalam keadaan baik kami menyelam dan melihat ikan-ikan berenang-renang. keadaan banyak berubah di sini. Aku dapat melihat banyak batu karang telah musnah dan juga ikan semakin sedikit. Semasa Pendidikan luar 2005 aku dapati tempat ini amat cantik. Tapi kini banyak batu karang telah pupus. Oleh itu, pihak berwajib harus mengambil tindakan bagi memulihara dan memelihara khazanah alam untuk diwarisi generasi akan datang. Semakin jauh ke depan aku lihat terdapat beberapa kelompok batu karang masih bertahan. Ikan-ikan lebih suka berlindung disebaliknya untuk berlindung dan mencari makanannya. Hampir 3 jam kami melakukan aktiviti yang seronok ini. Pengunjung semakin bertambah menyebabkan pulau ini bertambah meriah dengan pelbagai gelagat melakukan aktiviti ini. Jika anda lapar atau dahaga terdapat gerai burger menjual pelbagai makanan dan minuman. Selepas tamat tempoh seperti yang dijanjikan boatman datang mengambil kami untuk pulang ke Teluk Nipah semula.


Sebelah petang pula, kami melakukan aktivit kayak. Aku memberitahu xyl bahawa aktiviti ini selamat dan menyeronokkan. Aku memberitahunya jika kita terbalik BA yang dipakai akan mengapungkan di dalam laut seperti membuat aktiviti snorkling tadi. Lagipun aku sememangnya berpengalaman dalam mengendalikan kayak dan tahu hendak membuat apa jika berlaku sesuatu kerana aku telah pelajari semasa Pendidikan luar dan juga semasa aktif  kegiatan rekreasi di universiti dahulu.


Apabila telah berkayuh, xyl aku berasa takut melihatkan ombak agak tinggi dengan deruan angin yang agak kuat. WX pada sebelah petang itu mendung sahaja menyebabkan angin agak kuat. Aku meyakinkan bahawa kita pasti akan selamat. Destinasi kami adalah pulau Giam dihadapan. Akupun mengajarnya teknik untuk memegang paddle yang betul serta meletaknya jika penat dan aku terus mengayuh hingga ke pulau ini. Perjalanan mengambil masa 15 minit sahaja terus ke pantai di pulau giam. Kami berenang dan berehat di pantai itu. Ramai pelancong turut berada bermandi-manda di situ. Aku melihat dilangit dan awan mendung menyebabkan aku mengambil keputusan untuk pulang ke Teluk Nipah. Kami bersiap sedia mengayuh terus berpandukan Menara Teluk Nipah. Perjalanan lancar walaupun ombak agak besar dan angin menderu. Selepas tiba di pantai Teluk Nipah berehat sebentar untuk aktiviti seterusnya iaitu mengelilingi pulau.


Kami menaiki bot ke tempat-tempat menarik yang dibawa oleh boatman yang berpengalaman. Destinasi pertama dari pantai Teluk Nipah ialah monkey bay. Menurut jurupandu kami tempat ini mendapat nama kerana banyak monyet berkeliaran di sini. Pelancong dari Taiwan selalunya makan tengahari dan berkelah melalui pakej yang disediakan oleh resort di Pangkor Laut.


Selepas itu kami ke Pulau Mentagor melihat batu yang berbentuk ikan paus. Manakala di hadapan sedikit terdapat jeti yang dimiliki oleh Maritim Malaysia. Kemudian beliau menunjuk ke arah teluk yang merupakan kawasan baru untuk batu karang. Usaha yang dilakukan oleh pengusaha pelancong ini untuk memastikan kesinambungan batu karang akan terus kekal haruslah dihargai. Mereka tidak mementingkan keuntungan semata-mata, tetapi mempunyai tanggungjawab bagi memelihara dan memulihara keindahan semulajadi. Kawasan ini akan dibuka apabila batu karang dan ikan-ikan ini telah mencapai kematangan.

Seterus kami ke Pulau Giam semula tempat snorkling pagi tadi. Boatman memberi ikan makan tetapi tidak kelihatan seekorpun. Seterusnya ke arah paling hadapan menghadap Selat Melaka beliau menunjukkan batu berbentuk kepala buaya dan disebaliknya pula berbetuk  penyu. Perjalanan diteruskan ke Teluk Man yang mempunyai pantai yang memutih serta air yang kehijauan. Tempat ini dahulu diusahakan oleh Man. Ramai pelajar sekolah selalu mengadakan aktiviti perkhemahan. Rasanya ini tempat aku dicampakkan semasa aktiviti survival.

Selepas itu kami melihat beberapa pemancing sedang mencuba nasib memancing sotong di atas batu. Apa yang uniknya terdapat dua batang pokok seolah-olah berpasangan. Mereka menggelarkan pokok love.




Tiba di Coral beach kelihatan ramai pengunjung bermandi-manda.  Ada tapak perkhemahan dan juga chalet yang paling berdekatan dengan laut. Sebuah restoran western food juga ada di sini. Kami seterusnya ke pantai pulau Giam semula untuk mandi-manda. Puas untuk aktiviti sehari di Teluk Nipah dan sekelilingnya kamipun pulang untuk bersiap makan malam.

Jalur yang aku dapat RX semasa di Pangkor ini adalah 146.750MHz, 147.675MHz, 147.925MHz dan 147.712MHz.

Hari keempat 17 Disember 2011 selepas check out terus ke Pekan Pangkor untuk membeli ole-ole makanan laut. Tetapi sebelum itu, perut perlu diisi terlebih dahulu. Menaiki feri ke Lumut dalam 40 minit memandangkan hujung minggu pelancong sememangnya bertambah ramai. Tiba di Lumut terus ke jelopi menyimpan beg dan aktiviti selanjutnya pula membeli t-shirt kenang-kenangan.

Destinasi kami seterusnya adalah ke Teluk Batik. Tiba di sini kelihatan pantai ini dipenuhi ramai orang bermandi-manda dan juga aktiviti sukan air seperti banana boat. Kemudian bersiar-siar di gerai jualan cenderahati. Kemudian aku mencari-cari tempat penginapan bermalam kerana di Teluk Batik full house. Aku melalui ke Outward Bound Malaysia Lumut dan berpatah balik. Cantik juga OBS ini tetapi awas anda sedang diperhatikan oleh CCTV.



Kemudian kami ke Marina Island Resort Pangkor di Teluk Muroh berdekatan dengan TLDM. Pembangunan pulau baru menempat pelbagai kemudahan seperti marina, jeti ke Pangkor, hotel dan kawasan perniagaan. Terdapat sebuat apartment hotel iaitu Best Western. Sekali lagi kami bernasib baik bahawa terdapat bilik yang kosong. Kamipun menginap di bilik studio kerana kami berdua sahaja. Bilik di tingkat 4 berhadapan dengan marina dan juga kelihatan Pulau Pangkor. Aktiviti petang itu adalah mandi di kolam renang yang tidak berapa besar. Berhadapan dengan hotel kelihatan lagoon yang berpantai. Aktiviti sebelah malam kami keluar mencari makan di kedai ikan bakar berhampiran di Teluk Muroh.

Hari kelima 18 Disember 2011 selepas bersarapan kami berjalan ke jetty point. Masa bersarapan tetamu sangatlah ramai menyebabkan makanan cepat habis. Sepatutnya pihak pengurusan hotel perlulah peka dengan keadaan ini memandang hujung minggu di musim cuti sekolah. Selain itu tempatnya sempit dan tidak dapat menampung tetamu yang ramai untuk menikmati hidangan dalam keadaan selesa. Nasib baik staff yang baik dapat melayan kerenah para tetamu dengan baik sekali.



Kami melihat deretan bot atau kapal layar persendirian di marina. Kemudian berjalan ke jetty point untuk melihat kemudahan yang ada. Feri ke Pangkor mengambil masa 10 minit sahaja dan tambang RM10 dua hala seorang. Tempat letak kereta sehari RM5 sahaja  kemudahan lain seperti tandas dan pusat perniagaan dan restoran makan dan minuman. Selepas ini jika ingin berkunjung ke Pangkor lebih baik naik dari Marina Islands kerana lebih dekat dan tempat kereta telah tersedia dan murah. Selepas check out perjalanan aku ke Teluk Intan kerana xyl ingin mengimbau kenangan semasa zaman persekolahannya. Dapat juga melihat Menara Condong Teluk Intan selepas itu pekena mee rebus Abdullah dekat the store.

Perjalanan ke Sungai Klah melalui Bidor dari Teluk Intan.

73, Jojet, 9W2DYA

http://9w2dya.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Radiosonde DFM09P 19025684 di Perairan antara Tioman dan Kepulauan Anambas

Credit 9W2DVZ   Pagi ini telah muncul satu belon radiosonde DFM09P 19025684 di perairan Tioman dan Kepulauan Anambas di Laut China Selatan. ...