Laman Ilmu


Pada 1 November 2026 yang lalu sempat pusing Tasik Kota Seriemas atau Laman Ilmu. Berjaya menghabiskan berjalan dengan jarak 1.25km dalam masa 26 minit 25 saat. Purata pace adalah 21:04/km. Mula berjalan jam 11:49 pagi. Ketika itu cuaca cerah. Penulis pertama kali berada di Kota Seriemas ini. Tidak pernah masuk ke dalam kawasan perumahan dan tasik ini. Pernah mencari belon kaji cuaca di sekitar padang golf sahaja.


Kota Seriemas ialah sebuah bandar terancang berkonsepkan resort seluas 2,400 ekar terletak di Nilai, Negeri Sembilan. Selepas meneroka Tasik Jentayu, Bandar Enstek terus bergerak ke sini pula. Alang-alang sudah dekat cuba meneroka taman rekreasi sebelah sini pula. Ada kelapangan dan masa bolehlah digunakan sepenuhnya bagi melihat kemudahan yang disediakan oleh pihak pemaju.


Melihat pada keadaan tasik ini bolehlah dijangkakan bahawa pembangunan Kota Seriemas ini telah lama dan berpuluh tahun. Air jernih dan ada pelbagai hidupan akuatik tinggal dalam tasik ini. Kesan kerja penyelenggaraan membuang rumpair yang banyak ini juga dapat dilihat. Sudah pastilah rumpair yang memenuhi ruang perlu dibuang serta dikawal pertumbuhannya.


Air melimpah keluar ke longkang mengalir arah berdekatan tanah perkuburan. Jernih kelihatan air tasik ini keluar melimpah masuk ke saluran longkang. Kelihatan di dasar tasik ada hidupan akuatik.



Jambatan atau titi merentangi alur untuk air melimpah slepas melepasi paras bahaya. Alur limpahan ini turut menghala ke longkang bawah seperti aliran air tasik ini. Sistem limpahan ini penting ketika aras air tasik melebihi semaksima yang direka keadaan tasik ini.


Keadaan tasik Laman Ilmu ini agak luas juga. Tempat masyarakat beriadah bersama keluarga. Aktiviti bersama keluarga mengeratkan lagi perhubungan. Turut memberi impak terhadap kesihatan tubuh badan.



Air tasik keluar melalui longkang ini terus ke sungai. Sungai terbsar di Nilai ini sudah pastilah Batang Labu. Bersih dan jernih air yang keluar dari tasik ini. Struktur longkang ini juga luas. Bolehlah menampung air yang agak banyak isipadunya.


Laluan siar kaki mengelilingi tasik Laman Ilmu ini. Oleh kerana perumahan ini sudah agak lama maka pokok-pokok pun sudah besar dan tinggi. Maka, banyak kawasan teduhan. Tidak menjadi masalah jika beriadah agak lewat di sini kerana teduh.


Tebing tasik berumput dan juga ada banyak pokok telah ditanam bagi menambah kehijauan. Pelbagai jenis pokok besar-besar memayungi persekitaran tumpuan ramai.


Pasti hilang sedikit masalah ketika melalui kawasan begini. Lupakan seketika masalah yang terbeban itu. Luangkan masa berada di taman yang menghijau disamping menghirup udara segar.


Lanskap dan kemudahan yang ada bagi menarik kehadiran masyarakat setempat. Maka, perlulah menggunakan kemudahan dengan berhemah. Pastikan sampah tidak dibuang merata-rata.


Kerusi bulat terletak di tengah bulatan. Menghadap tasik ketika berehat. Agak panas berada di tengah bulatan tanpa dikelilingi pokok.

Ada perasan satu pakcik membawa dua sangkar burung terkukur. Rasanya pakcik itu hendak pikat burung liar yang lain. Nampak burung denak atau pikat berada di atas tanah. Tidak pastilah sangkar itu digantungkan di atas pokok. Pakcik itu perasan Penulis sedang memerhatikan aktiviti yang dilakukan. Selepas itu terus ke hadapan tanpa menoleh.


Sebelah tasik ini adalah ladang kelapa sawit. Banyak kawasan di Kota Seriemas ini masih belum dibangunkan lagi. Maka, banyak kawasan lapang burung-burungpun bebas ke sana ke mari.


Ada lihat dua ekor itik yang lincah terbang dan berenang ke sana ke mari juga. Nampak kelibat manusia terus melarikan diri. Terdapat juga bangau terbang mencari makan. Kelihatan juga berada di gigi air. Nampak kelibat manusia terus terbang ke tempat lain pula. Reaksi biasa ketika nampak manusia menghampirinya.


Jambatan tepi tasik memudahkan melihat ikan-ikan berenang-renang. Lebih lagi dicelah-celah hidupan akuatik yang banyak hidup di dasar tasik ini. Salah satu punca air tasik ini jernih dengan adanya hidupan akuatik dalam dasar tasik tersebut.


Berbeza pula dengan  kawasan perumahan dalam pembinaan. Air tasik penuh dengan kelodak berlumpur. Kawasan lapang yang terdedah masih dalam pembinaan menyebabkan larian air membawa sekali kelodak dan hakisan tanah secara ekstrem. Seterusnya mendapan dalam dasar menyebabkan tasik menjadi cetek. Fenomena sama berlaku kepada aliran sungai juga. Nasib kawasan tasik yang luas dapat menampung air dengan lebih banyak lagi. Itulah fungsi kolam tadahan hujan bagi menampung kapasiti sebelum mengalir ke aliran longkang dan sungai-sungai. Maka limpahan air dapat diperlahankan di sungai-sungai dengan adanya kolam tadahan.


Kolam tadahan di rumah Penulis berfungsi dengan baik ketika air sungai melimpah. Air sungai akan masuk ke dalam kolam ketika limpahan tersebut. Maka, jumlah air dapat dialihkan sedikit ke kolam ini. Turut memperlahan arus serta jumlah air. Lencongan air dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan perumahan Penulis juga. Setelah air mula surut, air tadi akan keluar semula ke sungai. Pastinya ikan-ikan yang sudah masuk ke dalam kolam akan terus menetap menyebabkan pertambahan spesies ikan dalam kolam ini.


Pengurusan air yang cekap dan baik dapat membekalkan air secara berterusan. Manakan tidak, Malaysia menerima taburan hujan sepanjang tahun. Jika gagal mengurus dengan baik. Pastilah sumber air tidak mencukupi bagi kegunaan harian. Fenomena El Nino global beberapa bulan ke hadapan menjangkakan musim kering akan berlaku. Sebab itulah sediakan payung sebelum hujan.


Oleh itu, kawasan hijau terutama hutan janganlah dimusnahkan sesuka hati. Memusnahkan hutan secara tidak langsung turut mengganggu sumber air bersih. Banyak empangan dan tadahan air telah kering kerana kawasan tadahan hujan banyak telah dimusnahkan.


Baru-baru ini kawasan Batu 3 Shah Alam, Kg Melayu Subang telah banjir. Punca akibat penerokaan hutan di Bukit Cherakah secara berleluasa. Ini telah menyebabkan air Sungai Damansara melimpah kerana telah cetek akibat mendapan. 

Akhir kata sumber air perlulah dijaga dengan baik. Kelestarian alam dapat menjamin hidup sejahtera dengan alam sekitar yang baik dan bersih. Maka aktiviti riadah bersama keluarga dapat dijalankan dengan suasana persekitaran yang selamat.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

Bukit Sungai Linau 91m Sepang


 Pagi ini seperti yang dirancang  mencari satu lagi puncak yang ada tiang light beacon. Nampak satu bukit pada puncak ada satu tiang tegak dari puncak Bukit Lada semalam. Maka, pada pagi ini terus bergerak ke puncak berkenaan. Terlebih dahulu mengkaji kedudukan di atas peta satelit. Sudah diketahui kedudukan bersebelahan dengan kawasan tandus sekitar kawasan ladang kelapa sawit. Hasil pemerhatian kawasan tersebut dalam peta satelit ternyata ada binaan dan tiang seperti di Bukit Lada. Tidak syak lagi pasti lagi satu Aeronautical Observation Light Beacon milik CAAM akan dijumpai pula.


Nampak macam terlalu optimis sangat. Apa taknya? Sememangnya puncak bukit itu terdapat tiang seperti Bukit Lada. Kemudian hasil siasatan pada peta satelit ternampak jelas kawasan puncak yang disasarkan itu jelas terlihat struktur tiang seperti Bukit Lada. Tanpa berfikirkan panjang misi seterusnya haruslah dirangka. Laluan masuk sama seperti semalam. Ini kerana kawasan akses ini sama seperti semalam juga. Cuma pada pagi ini agak lengang. Penghadang laluan telah menutup ruang untuk orang ramai masuk ke kawasan lapang bagi melihat pesawat berlepas di hujung landasan.


Kawasan tumpuan pemancing semalam ramai pengunjung. Pagi ini pula, suasana agak berbeza. Sunyi sepi tanpa orang dan kenderaan. Puncanya laluan masuk telah ditutup. Penulis hanya meletakkan kereta di tepi berhadapan penghadang tersebut. Laluan masuk seperti semalam juga cuma tidak masuk ke kebun durian. Laluan terus mengikut laluan sawit. Beberapa tahun dahulu pernah sampai di kawasan ini. Sebab itulah penuh keyakinan laluan pasti masih ada lagi. Pengalaman lepas memberi sedikit keyakinan untuk meneruskan misi puncak kedua light beacon.


Bergerak ke hadapan lagi laluan masih elok tetapi banyak pokok telah menghalang laluan. Kemudian melewati laluan sebelah penghujung lampu landasan telah mula agak semak. Ini menandakan bahawa laluan ini telah jarang digunakan. Namun, masih boleh lalu bagi berjalan kaki. Laluan kenderaan bermotor ini agak luas sebenarnya. Pokok senduduk juga turut menghalang laluan yang semakin menyempit. Oleh kerana biasa masuk hutan tidak menjadi masalah bagi Penulis untuk melepasinya.


Kemudian laluan halangan pertama berjaya dilepasi. Laluan bersemak bertukar menjadi laluan yang telah direndami air pula. Laluan ke hadapan lagi agak rendah. Maka, air telah memenuhi laluan rendah tersebut. Oleh sebab pernah melalui laluan tersebut. Penulis mengambil keputusan untuk terus meredah air banjir tersebut. Hanya lalu terus ikut laluan yang betul sahaja. Video itu dirakam semasa perjalanan balik. Mahu mencecah lutut juga kedalaman air yang diredahi itu. Maka, kasut speedgoat 6 pun diuji ketahanan berendam dalam air paya tersebut.


Keadaan laluan yang telah ditenggelami air paya. Sebelah kawasan lampu hujung landasan itu sememangnya rendah. Kawasan berpaya sememangnya sentiasa berair. Lagi-lagi musim hujan kini. Sudah semestinya aras air semakin meningkat. Sebab itulah musim ini perlu lakukan aktiviti sebelah pagi sahaja. Waktu pagi yang cerah kesempatan melakukan sebarang aktiviti. Manakala, sebelah petang kerap hujan turun.


Selepas melepasi halangan air tersebut, pemandangan ini terpampang di hadapan mata. Laluan rizab kawasan ladang kelapa sawit ini telah ditolak kemas oleh jentera. Hadapan itulah sebelah kiri di dalam parit telah berjaya menemui peranti radiosonde. Sudah lupa tahun bila. Ketika itu mencari sebelah pagi sebelum pergi ke sekolah sesi petang. Sempat mencarinya sebab belon kaji cuaca tersebut jatuh pada malam sebelum itu. Maka sempatlah merangka strategi dan mangkaji laluan masuk yang tadi itu. Hari ini telah berubah, laluan lapang dan mudah sahaja. Setiap kesusahan ada kemudahan selepas itu.


Kemudian masuk ke kiri laluan parit yang boleh diseberangi kerana kering. Lokasi puncak berada di kawasan sebelah laluan yang terang itu. Jikalau Penulis meneruskan laluan yang lapang itu. Pastilah kena seberang parit kering yang menjadi sempadan antara dua ladang. Lebih baik masuk siap-siap kerana puncak berada di dalam ladang sebelah kiri.


Setelah masuk laluan ladang sawit sebelah kiri, perjalanan semakin mendaki. Ada terlihat seekor anak lembu baring berdekatan laluan sawit. Semasa memandang telinga bergoyang-goyang. Tidak pasti apa masalah yang berlaku terhadap anak lembu itu. Jalan ke depan lagi ada dua ekor lembu dewasa pula meragut rumput.


Pemandangan laluan untuk terus ke puncak. Sebelah kanan merupakan laluan yang telah diterangkan itu. Antara dua laluan ini dipisahkan oleh parit kering yang agak dalam. Nasib baiklah ketika mendapatkan peranti tersebut terpaksa mencari laluan untuk turun ke dalam parit. Perlu berpaut dengan pokok-pokok yang ada di tepi parit tersebut.


Seterusnya memulakan pendakian lagi. Pemandangan KLIA landasan tengah telah mula kelihatan. Ini menggambarkan kawasan bukit semakin tinggi telah didaki.


Kemudian pendakian mengarah ke kanan telah menjauhkan laluan selari tadi. Hadapan sedikit ada laluan berpatah balik ke atas pula.


Sudah pastilah sepanjang ke puncak dari bawah tadi sering kedengaran deruan enjin pesawat yang simpang-siur berlepas. Kedudukan bukit pada hari ini ditengah antara landasan tengah dengan landasan Terminal 2. Maka, penerbangan berlepas kedua landasan ini dapat dilihat dengan jelas. Semalam di Bukit Lada, jelas kelihatan pelepasan di landasan tengah tentunya.


Tasik sebelah landasan tengah juga jelas kelihatan di hadapan mata. Tasik ini juga pernah menyambut belon kaji cuaca masuk ke dalam air. Setelah berpatah balik membuat pusingan U, permukaan semakin menegak dan agak cerun juga. Nafas semakin agak laju juga. Semasa mendaki tersebut terserempak dengan empat orang pekerja sawit yang sedang bersantai. Mereka bersantai di situ kerana pemandangan indah arah ke KLIA.


Kemudian melepasi mereka terus bergerak ke hadapan sedikit. Puncak hanya beberapa meter di hadapan. Jelas kelihatan di hadapan adalah tiang lampu dilindungi tembok konkrit. Terdapat juga sebuah pondok pada dinding konkrit yang berbelang itu. Bergerak menghampiri konkrit tersebut tertera Bukit Sungai Linau. Terjawablah sudah puncak seperti Bukit Lada semalam adalah Bukit Sungai Linau.


Pondok menunggu berada di puncak Bukit Sungai Linau. Bahan binaan seperti pondok ini terdapat di puncak Bukit Lada. Malangnya ia telah turut dirobohkan. Mungkin Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang berusaha membina pondok yang baharu pula.


Puncak Bukit Sungai Linau ini dikelilingi pokok kelapa sawit. Masih boleh nampak tiang beacon dari jauh. Pokok masih rendah belum melebihi puncak tiang lagi. Pemandangan light beacon bersebelahan dengan pondok. Ada pangkin boleh duduk sambil berehat. Rasanya lembu pun boleh berteduh bawah pondok tersebut. Apatah lagi beberapa ekor kambing boleh turut menumpang ketika hujan turun. Buktinya terdapat najis lembu yang sudah kering ada atas pasir pondok tersebut. Tidak bersimen lantai. Sekadar tanah sahaja yang ada. Apa yang penting ada bumbung untuk berteduh.


Binaan konkrit ini dibina menghadap utara. Perasan bayang cahaya matahari berada di sebelah barat. Nasib ada pondok. Tidak perlu lagi berteduh dibalik dinding seperti semalam di puncak Bukit Lada. Kedudukan konkrit Bukit Lada nampak macam tak ikut matahari terbit. Macam senget sahaja menumpang teduh semalam. 



Mengambil koordinat Bukit Sungai Linau penjuru sebelah kanan papan tanda tersebut. Pastinya arah timur laut. Dari penjuru itu mengarah ke Bukit Lada mendapat jarak lurus 1933m menggunakan GPS Waypoint Finder yang telah disetkan koordinat terlebih dahulu.


Gambaran dari arah belakang pula. Selepas mendapat koordinat, ingin tahu altitud ketinggian bukit ini pula. Rekod maksimum jam Garmin bagi puncak ini adalah ketinggian 95m. Manakala, ukurun purata ketika pusing-pusing di sekitar konkrit adalah ketinggian 91m.


Turut mendapat altitud ketinggian 91m adalah aplikasi Gaia GPS. Pagi ini aktifkan Gaia GPS sewaktu hala mendaki sahaja. Elevation dicatatkan 91m. Elok juga guna aplikasi peta offline ini. Mengesahkan lagi penjejakan ke puncak dengan lebih jelas dengan bantuan peta ini. Backup bagi mode tactical jam Garmin. Kompas perismatik magnet turut bawa bersama di dalam beg sandang. Maklumlah beg peralatan operasi SAR radiosonde.


Stesen 9W2DYA-5 turut diaktifkan bagi mengetahui altitud ketinggian yang berjaya direkodkan. Hasilnya aprsdroid ini merekodkan altitud ketinggian 87m sahaja. Perbezaan tolak campur 4m pula. Semalam perbezaan 5m di Bukit Lada. Selain dapat mengetahui altitud ketinggian. Kedudukan di atas peta aprs turut dapat dikenal pasti secara nyata.


Selain monitor frekuensi airband, turut monitor repeater yang berhampiran seperti Marts linking di Gunung Telapa Buruk. Cuba juga memanggil di calling channel V40 145.500MHz tetapi tiada berjawab.


Tiang light beacon ini berpalang selang-seli ketinggian. Senang untuk mendaki ke atas puncak bagi kerja penyelenggaraan. Konduktor kilat turut ada di atas puncak tiang tersebut. Dinding konkrit yang dicat berbelang merah putih pula melindungi tiang daripada diceroboh atau dirosakkan. Atasnya pula terdapat kawat duri. Memastikan tiada sesiapapun boleh melepasi tembok tersebut.


WX pagi itu sangat cerah. Langit membiru dan awam berkepul-kepul. Awan pagi ini lebih banyak dan ada yang sudah mulai gelap beransur-ansur. Sememangnya tidak boleh terlalu lama sangat berada di atas puncak. Perlu peka terhadap perubahan cuaca semasa. Sekelip mata cuaca boleh berubah tanpa amaran.


Laluan penerbangan dari puncak Bukit Sungai Linau. Lalu celah-celah daun pokok kelapa sawit. Tiada pemandangan 360 darjah di sini. Perlu mendongak ke langit.


Bunga-bunga liar atas rumput berdekatan pondok. Putih bersih berseri kembang mekar di pagi hari. Tidaklah melihat rumput sahaja yang dikelilingi pokok kelapa sawit. Ada kuntum-kuntum bunga ini menambahkan keceriaan dan warna kehidupan.


Menurut Meta AI, ini adalah bunga Pukul Lapan Putih atau White Buttercup. Cirinya Bunga putih lima kelopak dan bahagian tengah warna kuning pekat. Daun hijau gelap dan tepi bergerigi. Tumbuh melata di atas tanah. Tumbuh meliar itulah Turnera Subulata.


Keadaan pondok menunggu terdapat pangkin boleh diduduk berehat. Bolehlah melepas lelah selepas penat mendaki puncak bukit ini.


Ada gambar bukti sudah sampai puncak yang kedua light beacon milik CAAM. Nasib baik tiada group dekat FB. Kalau tidak mesti bergambar sebagai bukti sudah sampai. Lupa pula nak swafoto di Bukit Lada semalam sebagai bukti sudah sampai juga. Puas mendokumentasi terus turun ke bawah semula. Perlu melalui laluan yang sama juga.


Turun semula ke tempat berjumpa pekerja sawit tadi. Sempatlah mengambil video kapal terbang ini. Oleh kerana hari ini bercuti, mereka bersantai sambil menikmati keindahan pemandangan sekitar.



Seberang jalan dan parit terdapat kawasan tandus dan berbatu. Kawasan kurang subur ini terdedah kepada panas dan lembap sepanjang tahun. Ia membentuk satu landskap pemandangan yang menarik kesan proses luluhawa. Penulis tidak minat untuk menerokanya. Rasanya pernah ada peranti radiosonde jatuh di sekitar kawasan tandus tersebut. Hunter radiosonde yang lain berjaya menemui radiosonde di kawasan itu.


Kawasan keliling KLIA Sepang ini menjadi lokasi belon kaji cuaca mendarat. Maka, sebab itulah mana-mana ceruk di sekitar kawasan ini telah dijelajahi. Bertepuk dahi jika ia masuk ke dalam kawasan lapangan terbang sahaja. Melopong tengok dari jauh sahajalah.


Selepas puas mengambil video dan bergambar, turun ke bawah lagi melalui laluan ini. Turun dan berpatah balik ke laluan bersebelahan parit semula dan terus turun hingga bertemu kawasan banjir semula.


Pemandangan berdekatan parit dan laluan sebelah luar tersebut. Pemandangan terus ke landasan tengah dan kawasan hangar kargo. Boleh dilihat awan telah mula gelap. Maka, perlu deras sampai ke kereta semula. Lagi-lagi nak meraduk air banjir itu. Laluan keluar lain ada. Tapi sudah pasti perlu berjalan jauh untuk mendapatkan kereta semula. Penilaian risiko perlu dibuat dengan tepat agar tidak mendatangkan sebarang masalah.


Pemandangan Bukit Lada berjaya dikesan semasa menuju ke bawah. Boleh dilihat dengan jelas tiang light beacon di atas puncak. Lagi-lagi keadaan keliling bukit sudah botak. Jelas kelihatan dan dapat dikesan dengan mudah. Lantaran kejayaan menawan puncak Bukit Lada telah membawa kepada pencarian Bukit Sungai Linau pula. Gara-gara hantaran Ijat Loloque dan Mozu daripada stesen 9M4HK.


Oleh kerana bukan disebabkan oleh stesen 9M4HK tersebutlah. Pasti kejayaan kedua puncak ini pasti tidak dapat direalisasikan. Puncak yang agak senang pasti boleh dijejaki lebih lagi dekat dengan base station di Bangi.


Laluan yang diguna pakai sepanjang penerokaan Bukit Sungai Linau ini. Memaparkan peta satelit lebih mudah mengetahui lokasi tersebut. Koordinat Bukit Sungai Linau yang dicerap adalah 2.699516 darjah Utara dan 101.718018 darjah Timur.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya






Laman Ilmu

Pada 1 November 2026 yang lalu sempat pusing Tasik Kota Seriemas atau Laman Ilmu. Berjaya menghabiskan berjalan dengan jarak 1.25km dalam ma...