FELDA M.T.B FUNRIDE 2011



Ketika perjalanan dari Teluk Intan ke Sungai Klah aku terlihat banyak jelopi membawa montainbike di atas mahupun disangkut di belakang. Aku tertanya-tanya mesti ada jamboree atau perlumbaan. Ternyata benar rupanya ada FELDA MTB Funride 2011 bertempat di Sg Klah Hotspring, Sungkai merupakan tempat yang aku ingin tujui selepas bercuti di Pulau Pangkor.

Aku hanya berselisih jelopi dengan para  peserta yang kelihatan ingin pulang ke destinasi masing-masing. Aku tiba lewat hampir pukul 3 petang acara sudahpun tamat. Sampai di tempat letak kereta kelihatan kereta penuh terdapat juga jelopi rakan yang bercallsign lupa lak callsign dia kalau tak boleh tulis di sini.

Aku bersama xyl terus ke Felda Residence Hotsprings untuk check-in dan nasib menyebelahi kami kerana masih terdapat bilik yang kosong. Aku memeriksa bilik itu dan didapati terdapat dua biji mentol yang terbakar dan tidak menyala. Aku keluar ke reception untuk mengadukan tentang hal ini kepada front desk. Aku menunggu agak lama mentol itu untuk ditukar. Apabila mengadu hal ini sekali lagi masih belum ditukar juga sehinggalah petugas yang ditugaskan datang menggantikannya. Selepas itu, barulah aku masuk menyimpan barang ke dalam bilik.

Selepas itu, aku dan xyl terus ke taman air panas untuk melihat tempat-tempat menarik. Kelihatan ramai pengunjung datang untuk beriadah bersama keluarga. Menariknya di sini kita boleh mandi air yang sejuk atau air yang panas. Pilihan ditangan anda untuk menikmati kemudahan yang disediakan. Menurut papan kenyataan, pengunjung dinasihatkan berendam di air panas tidak lebih dari 30 minit dalam satu masa. Pengunjung yang mempunyai penyakit kronik tidak dibenarkan menggunakan kolam air panas. Terdapat kolam air panas yang besar dan juga deruan air terjun mini .

Selain itu, terdapat juga kolam air sejuk yang pasti menjadi tumpuan ramai terutama kanak-kanak. Aku dan xyl lebih berminat untuk berendam di kolam kecil suhunya tidak terlalu panas. Ramai juga pengunjung berendam kaki sahaja dan juga boleh berjalan dilaluan refleksologi.

Selepas puas beremdam perut terasa lapar pula. Aku dan xyl terus ke kiosk mencari apa-apa yang boleh mengalas perut. Kami melalui kawasan air panas dan tempat merebus telur. Kelihatan meriahnya suasana kolam air sejuk yang penuh dengan pengunjung. Sampai di kiosk aku pesan air dan roti john sahaja yang ada. Selepas menikmati xyl mengajak aku naik tram hingga ke pintu luar. Tiba di luar aku masuk semula dan melalui di titi kayu. Perjalanan ke dalam melalui titi kayu amat menarik. Punca-punca air panas telah dikonkrit membolehkan airnya bergerak dengan lebih lancar lagi. Asap keluar dicelah-celah batu dan dilaluan air itu. Papan amaran diletakan dikawasan punca air panas kerana suhunya tinggi sekali.

Seterusnya kami ke kolam besar air panas untuk menikmati suhunya. Berbanding kolam air sejuk di kolam air panas ini tidaklah terlalu ramai, tetapi masih ada pengunjung bermandi-manda di sini. Aku seronok bermandi di deruan air terjun mini di kolam ini. Biasanya kita mandi air terjun yang sangat sejuk tetapi di sini aku merasakan air yang panas menyegarkan badan juga.

Pada malamnya kami tidak mahu keluar memandangkan kawasan ini jauh ke dalam jaraknya. Jadi kami makan malam di coffee house sahaja. Suasana malam disini juga menarik dengan lampu-lampu menyinari beberapa sudut di pokok-pokok kelapa sawit. Kedengaran kemeriahan di taman air panas membukti terdapat masih ramai pengunjung lagi  kerana waktu cuti sekolah ditutup hingga jam 9 malam.

Keesokkan harinya 19 Disember 2011 selepas bersarapan aku dan xyl ke taman semula. Kali ini kami hanya untuk berendam kaki sahaja. Kami mengambil gambar kenangan di tempat-tempat menarik. Taman ini juga merupakan satu tempat untuk mengenali beberapa tanaman herba, hutan dan bunga-bungaan. Banyak pengetahuan dan pengalaman dapat diperolehi apabila pihak pengurusan melabelkan setiap pokok yang ditanam. Antara pokok yang ditanam, tongkat ali, kacip fatimah, temulawak, serai dan beberapa spesies lagi.

Aku dan xyl terus ke kolam rendaman suhu 42 hingga 50 darjah selsius. Suhunya boleh tahan panas tetapi rasa lega apabila kaki direndamkan ke dalam kolam itu. Di situ juga merupakan tempat merebus telur. 7 minit diambil untuk merebus telur yang masak. Terdapat gerai di situ menjual telur ayam untuk aktiviti merebus ini. 5 biji berharga RM2 sahaja.

Selepas puas berendam kaki, kami pulang semula ke villa sebelum check-out jam 12 tengahari. Badan terasa letih kerana banyak peluh keluar semasa aktiviti rendam ini. Rasa sihat dan segar serta mententeramkan perasaan bila telah melukakan aktiviti rendaman ini. Tapi perlu diingat air yang hilang perlu diganti semula dengan meminum air sebanyak mungkin untuk mengelakkan dehidrasi dalam badan.

Selepas check out, kami pulang ke base melalui tol Sungkai. Di sini aku hanya dapat monitor 147.987MHz sahaja.

73, Jojet, 9W2DYA

http://9w2dya.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

Radiosonde DFM09P 19025684 di Perairan antara Tioman dan Kepulauan Anambas

Credit 9W2DVZ   Pagi ini telah muncul satu belon radiosonde DFM09P 19025684 di perairan Tioman dan Kepulauan Anambas di Laut China Selatan. ...