Sempena cuti gantian Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor yang jatuh hari semalam. Maka hari ini cuti sempatlah meneroka lagi tasik rekreasi di Bandar Serenia, Dengkil. Ada beberapa taman rekreasi di Bandar Serenia ini. Hanya sempat mengunjungi dua taman rekreasi sahaja. Ada kelapangan lain boleh meneroka baki yang tinggal.
Bersarapan terlebih dahulu di Bangi Awani. Setelah selesai terus perjalanan melalui Jenderam laluan FT31. Tiba simpang empat laluan Dengkil Bypass laluan 29 belok kiri arah Kota Warisan. Terus perjalanan keluar ke persimpangan Bandar Serenia. Perancangan awal ingin meneroka Central Park. Memandangkan ada kerja-kerja masih berjalan perlu tangguh niat tersebut. Maka, teruskan perjalanan hingga terlihat satu taman tasik sebelah kiri Persiaran Bandar Serinia.
Kemudian masuk ke jalan pintu masuk taman ini. Letak kereta sebelah pokok untuk mendapatkan teduh sedikit. Keluar pintu kereta terus set jam Garmin mode berjalan. Pekerja-pekerja landskap sibuk melakukan kerja masing-masin. Ada kerja mesin rumput tepi siar kaki juga.
Laluan mengambil arah lawan jam seperti kebiasaannya. Rumput karpet masih dalam penyelenggaran. Terdapat notis melrang pengunjung memijak rumput karpet tersebut. Kelihatannya baru sahaja dimesin keadaannya.
Oleh kerana malam tadi hujan lebat. Terdapat sebahagian laluan siar kaki telah digenangi air. Terpaksalah melencong ke tepi tebing berdekatan Persiaran Bandar Serenia tadi. Pemandangan dari tepi tebing bersebelahan pagar pokok dan siar kaki sebelah Persiaran Bandar Serinia. Setiap bahu jalan ada siar kaki. Pastilah aktiviti berjalan dan berjogging boleh dilakukan di sekitar bandar ini selain taman rekreasi.
Terpaksa melencong ke siar kaki jalan utama bagi mengelakkan air bertakung di siar kaki taman. Sempatlah ambil gambar papan tanda bandar ini. Nama-nama kawasan perumahan ini sangat cantik. Mungkin nama-nama tuan puteri. Untunglah yang beli rumah di sini tidak perlu menyebut nama kebaratan sangat bagi sesetengah pemaju menamakan kawasan perumahan sedemikian. Nama yang ada seperti Ariya, Anisa, Aqila, Arina, Amani, Aiora, Adiva, Amalia dan Anira. Bila orang tanya, "Kau duduk kat mana?" Bolehlah jawab, "Aku duduk kat Anisa".
Kemudian masuk semula ke Taman Serenity melalui laluan masuk ke taman yang disediakan. Akses laluan mendatar sesuai untuk kenderaan beroda seperti basikal dan juga pengunjung berkerusi roda juga.Akses yang mesra pengguna seperti ini menggalakkan semua golongan melibatkan diri dalam menjaga kesihatan diri sambil menikmati keindahan kolam.
Pinggir tebing kolam ini ditanam rumput seperti kebanyakan taman rekreasi yang lain. Banyak kawasan lapang tidak ditanam pokok lagi. Mungkin itulah sahaja rekabentuk taman ini dibentuk bagi menarik pengunjung. Mungkin juga bagi jangka masa hadapan ada lagi hiasan pokok yang akan disempurnakan.
Pemandangan tasik latar belakang rumah pondok beratap merah. Rumah apartment di Bandar Sunsuria juga dapat dilihat dari taman ini. Hari kedua langit cerah membiru pasca jerebu. Awan tebal menandakan menghampiri monsun timur laut.
Pokok hujan-hujan yang telah dipelihara dan dikekalkan di taman ini. Pokok hujan-hujan merupakan pokok hiasan yang diperkenalkan sejak zaman British lagi. Pokok ini telah ditanam di Tanah Melayu sejak tahun 1876 lagi. Tidak hairanlah sememangnya ia boleh mencecah umur lebih 100 tahun. Mungkin tapak taman ini adalah rumah banglow Pengurus Ladang yang dibina sejak zaman British lagi.
Ada dua warna siar kaki ini. Satu putih dan satu lagi merah. Satu lorong pejalan kaki dan selorong lagi untuk aktiviti berbasikal atau beroda.
Kawasan ini lapang sahaja. Tiada kemudahan permainan kanak-kanak mahupun peralatan senaman. Pokok-pokok masih proses membesar lagi. Jadi, kurang kawasan teduhan. Berteduhlah di bawah dua batang pokok hujan-hujan yang bersejarah itu.
Kolam kecil dikelilingi rumput-rampai tumbuhan akuatik. Agak bersemak pada bahagian tebing kolam ini. Malahan kelihatn pokok senduduk juga tumbuh membesar pinggir kolam kecil ini. Air keluar dari pembentung bawah tanah terus mengalir ke kolam besar. Sinaran mentari kelihatan atas permukaan kolam. Ketika ini cuaca cerah dan agak panas juga. Nasib baiklah memakai topi.
Tumbuhan rumput akuatik yang banyak ditanam seperti inilah membantu menapis dan menjernihkan air yang berlumpur. Bakteria akan menguraikan enzim-enzim serta melarutkan sisa-sisa sedimen. Tambahan lagi hidupan akuatik turut memainkan peranan masing-masing dalam meneruskan kelangsungan hidup. Habitat dalam kolam ini sangat penting bagi rantai makanan hidupan sekeliling.
Buaian teknologi terkini tanpa palang atas yang tinggi. Sekadar tiang rendah seperti ini sudah memadai. Permukaan getah yang lembut memastikan kurang kesan kecederaan jika terjatuh. Pelbagai corak dan warna bagi menarik perhatian si kecil bermain. Kriteria yang perlu ada setiap taman bagi penyediaan kemudahan peralatan permainan mengikut standard antarabangsa.
Peralatan permainan jongkang-jongket menjadi tarikan utama juga ke taman. Pastikan hanya kanak-kanak bawah umur sahaja yang bermain. Penyalahgunaan peralatan permainan boleh merosakkan peralatan tersebut. Gunakanlah kemudahan dengan sebaik mungkin. Gelongsor pula dibina atas tanah seperti busut di belakang itu. Terdapat dua buah gelongsor pada bukit kecil tersebut. Tiada tangga. Anak-anak boleh terus kerabat busut itu untuk main gelongsor.
Ramp menghala ke kolam ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan kolam. Laluan jentera pengorek bersimen perlu ada bagi memudahkan pergerakan. Jika tiada, pastilah tanah tebing akan mendap dan rosak dibuatnya. Bot juga boleh ditunda masuk ke dalam kolam menggunakan ramp ini. Biasanya ramp akan cecah hingga ke dalam air memudahkan pergerakan. Tidak bagi kolam ini.
Papan tanda yang menceritakan tentang pemeliharaan Samanea saman iaitu pokok Hujan-hujan. Pemaju mengekalkan pokok ini dari ditebang dan mengekalkannya sangatlah dipuji. Pastilah dapat mengekalkan nilai sejarah yang harus diingati sepanjang zaman. Penulis dapati hanya terdapat dua pokok Hujan-hujan yang besar dan telah di pagar keliling.
Samanea Saman ini berdaun rimbun kini di bahagian bawah pula. Dahan bahagian atas tidak berdaun lagi. Menjadi tempat unggas-unggas berehat dan membuat sarang. Keliling bahagian bawah tersebut merupakan rumput karpet yang sedang di baik pulih. Perhatikan betul-betul terdapat seekor spesies bangau bertenggek pada dahan yang botak itu
Inilah jambatan yang dibina pada aliran air penghubung antara kolam kecil dan besar. Sebelah kanan merupakan kolam kecil dan sebelah kiri pula merupakan kolam besar. Ternyata konsep Taman Serenity ini menggambarkan kawasan yang mententeramkan jiwa. Suasana aman damai dan permai menjadi objektif utama direka sedemikian rupa. Sudah pastilah taman rekreasi dibina bagi memberi kesegaran minda dan semangat agar terus dapat bekerja dengan lebih baik lagi.
Pengunjung datang untuk melepaskan tekanan dan masalah yang ada. Wujudnya taman ini secara tidak langsung dapat melupakan atau menghilangkan masalah yang ada seketika mahupun hilang terus.
Hasil berjalan di Taman Serenity ini. Berjaya berjalan sejauh 1.55 km. Masa yang dicatat adalah 30 minit 05 saat. Purata pace adalah 19:28 /km. Jumlah kalori yang dibakar adalah124 kalori. Purata denyutan nadi adalah 106 bpm dan kadar nadi maksimum adalah 123 bpm. Purata cadence adalah 56 spm. Terus melangkah sambil meneroka taman rekreasi yang lain pula.
Jumpa dan jumpa lagi
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya






























No comments:
Post a Comment