Lengkapkan Koleksi


 Pagi hari minggu seperti kebiasaan pergi memburu batu tanda aras. Ada kelapangan bolehlah pergi mencarinya. Semalam ketika melalui Jalan Semenyih di simpang Taman Seri Jelok. Perasan spray biru tulisan BM dekat simpang tersebut. Maka pagi ini pergi melihatnya. Sebab apa? Tulisan BM itu pastilah terdapat batu tanda aras. Ketika melaluinya tidaklah nampak batu seketul itu. Pasti ada plat sahaja memandang ia terletak pada pembentung longkang.


BM#252 nombor siri B 1410 yang unik ini hanya ada plat atas konkrit pembentungan longkang sahaja. Sudah pastilah menjadi kegemaran Penulis kerana agak berlainan seperti batu seketul yang biasa itu.


Air mengalir deras turun dari longkang kawasan perumahan masuk ke dalam longkang utama di tepi Jalan Semenyih laluan FT001. Rupanya air jernih sahaja. Jikalau bukan kerana spray tulisan biru BM itu, sudah pastilah tidak perasan terdapat plat tanda aras di situ.


Tepi culvert ini tiada penutup besi. Oleh itu, pihak JUPEM terus meletakkan plat BM di situ. Jelas kelihatan air longkang itu sangat jernih. Tidak perasan kewujudan ikan di dalamnya memandangkan keghairahan menjumpai plat ini.


Penulis terpaksa mengemas rumput yang hampir menutup plat ini. Keliling dapat dilihat surveyor telah spray biru agar mudah dilihat. Penulisan ini memberi kesedaran pada masyarakat tentang kepentingan menjaga monumen negara dengan baik. Plat ini bukanlah sekadar sekeping besi biasa. Pada plat itu amat penting dalam memberi maklumat tepat tanda aras. Kerja-kerja pengukuran sangat penting merujuk kepada plat ini. Apabila ia dirosakkan pastilah menyukarkan kepada para Juru ukur untuk melaksanakan amanah yang diberikan. koordinat BM#252 B 1410 adalah 2.987559 darjah Utara dan 101.808372 darjah Timur.


Seterusnya bergerak semula balik ke Bangi melalui Bandar Teknologi Kajang. Kemudian akan melalui Persiaran Kajang 2 terus jumpa bulatan Kajang 2. Selepas bulatan terus melalui jejambat ke Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.


Terus balik ke Jalan Kajang - Bangi laluan B17 singgah di Agensi Nuklear Malaysia. Sudah perasan GCP 3 ini berada di hadapan pintu masuk agensi ini. Ada dalam sebulan lebih rasanya. Hanya berkesempatan untuk mendokumentasinya pada ahad pagi sahaja. Ini kerana pagi ahad trafik kurang. Checkerboard Marker nombor 3 ini adalah yang terbaharu. Sebelum ini berjaya menemui GCP 1 di Bangi Guest House dan GCP 4 di sempadan Sepang - Hulu Langat sebelah Lebuhraya PLUS. Hanya GCP 2 masih belum ditemui atau belum lagi kewujudannya dibuat.


Setiap hari malalui jalan ini sudah pastilah kewujudan GCP 3 ini sangat disedari. Cuma masa yang sesuai perlu dirangka bagi mengambil gambar. Ground Control Point ini menggunakan drone untuk mengukur ketepatan sesuatu titik. Maka pemilihan lokasi GCP ini sememangnya kawasan agak lapang yang boleh dikesan dari udara. Ketiga-tiga GCP yang ditemui ini sememangnya boleh melihat langit secara terus tanpa ada halangan seperti kanopi pokok, kabel elektrik mahupun talian voltan tinggi.


Hanya tinggal GCP 2 sahaja yang masih belum ditemui. Sudah pasti ada projek besar akan datang di Jalan Bangi - Kajang laluan B17 dan Jalan Semenyih - Dengkil laluan FT31 pada masa hadapan. Kepesatan pembangunan kawasan Bangi -Semenyih yang begitu pantas sudah pastilah memerlukan akses yang baik bagi mengatasi waktu puncak. Jalan satu lorong tidak dapat menampung peningkatan trafik yang tinggi terutamanya pada waktu puncak.


Paku ditengah-tengah checkerboard marker menjadi titik rujukan utama. Koordinat GCP 3 ini adalah 2.906853 darjah Utara dan 101.766668. Berhampiran GCP 3 ini terdapat BM#6 nombor siri B 62022. Melengkapkan peranan GCP dan BM bagi keperluan kerja Surveyor.


Kemudian terus bergerak ke hadapan dalam beberapa meter tiba di satu simpang. Simpang lampu isyarat Malaysia Genome Vaccine Institute (MGVI). Terdapat satu slab konkrit yang telah dicat merah berdekatan simpang tersebut. Sudah lama memerhatikan slab konkrit ini. Tertera JT TBM 1 berwarna merah.


Slab JT TBM 1 ini hampir tercabut juga akibat kerja-kerja pembersihan bahu jalan simpang tersebut. Nasib baiklah besi berpaku tersebut masih kukuh tidak tercabut. Cuma kedudukannya telah senget dan tidak berada di atas tanah dengan betul. Koordinat adalah 2.904740 darjah Utara dan 101.766668 darjah Timur.


Jalan masuk ke MGVI dengan papan tanda megah berdiri. Slab ini merupakan yang ketiga ditemui mengikut siri ini. Sebelum ini telah berjaya menemui slab JT TBM 5 perhentian bas bertentangan dengan UNIKEB. Manakala, slab JT TBM 4 ditemui sebelah istana kayu milik UKM di laluan B17 ini. Ada satu lagi slab berwarna merah ini yang belum lagi pergi melihatnya. Terdapat satu lagi slab yang dilihat berada di stesen minyak Shell Sungai Tangkas. Maka, JT TBM 2 dan 3 masih belum ditemui lagi.

Sebab itulah, terasa kepuasan bila berjaya melengkapkan satu siri pencarian. Lengkap satu set menunjukkan satu siri sistem yang lengkap bagi kerja-kerja pengukuran bagi sesuatu kawasan itu. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Banyak berjalan luas pemandangan. Setiap penemuan memberi seribu pengalaman dan pengetahuan baharu.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Lengkapkan Koleksi

  Pagi hari minggu seperti kebiasaan pergi memburu batu tanda aras. Ada kelapangan bolehlah pergi mencarinya. Semalam ketika melalui Jalan S...