Bukit Ayer Hitam 104m Puchong


 Pada hari ini berjaya menjejak Bukit Ayer Hitam 104m di Puchong. Memandu dari base station melalui Cyberjaya seterusnya masuk ke Pulau Meranti. Pulau yang tidak dikelilingi laut. Tiba di Bandar Bukit Puchong mengesan kedudukan melalui aprs dan peta topo.


Berjaya mendapat kedudukan terkini dan Bukit Ayer Hitam. Memandu ke titik yang terhampir di Jalan Pinggiran Bukit Puchong 2. Bukit Ayer Hitam telah dapat dikesan. Berada dihadapan jalan ini. Jalan ini juga terdapat Driving Range.


Anak panah pada topo menunjukkan puncak berdekatan sahaja dari kedudukan semasa. Pusing keliling bukit bagi meninjau jalan masuk ke dalam bukit. Memang terdapat trek di persimpangan lampu isyarat jalan Bukit Puchong dan Lebuh Bukit Puchong.


Puncak jelas kelihatan dari driving range. Masuk ke dalam untuk parkir. Melihat di kawasan itu serta membeli air 100 campur sebagai bekalan. Mendapatkan maklumat dari penjaga pusat itu. Menurutnya trek sudah semak dan tidak boleh dilalui.


Selepas bersiap sedia dengan beg dan bekalan minuman. Cuba mencari trek di sepanjang jalan tersebut. Namun, tiada trek ditemui. Sebaliknya adalah trek binatang kerbau pendek sahaja ditemui. Berpatah balik ke driving range untuk mencuba pula trek di simpang.
Masa catatan percubaan pertama pencarian adalah 41:21.7 dengan jarak 2.63km.


Walaupun puncak kelihatan dekat dihadapan mata, namun sukar untuk ke sana. Tak perlu mengambil risiko kerana ada pilihan lain. Kita mempunyai pilihan untuk tidak membahayakan diri. Pilihan kedua mungkin agak jauh namun lebih selamat dan kurang risikonya.
Dekat tapi risiko atau jauh tapi selamat. Sabar jawapan yang paling tepat. Tepuk dada tanya selera.


Kemudian pergi ke Masjid Bandar Bukit Puchong untuk solat zohor. Usai siap dengan beg dan air mendaki bukit dihadapannya. Kawasan Masjid ini dibina di kawasan bukit yang agak tinggi juga. Rizab paip gas dilalui hingga titik tertinggi. Boleh melihat pemandangan sekelilingnya. Mengemaskini kedudukan semasa bagi menentukan kedudukan puncak. Ternyata bukit yang kelihatan lebih tinggi pastilah puncak Bukit Ayer Hitam.


Puas melihat pemandangan sekitar berjalan turun mengikut denai rizab paip gas ini. Hingga berjumpa Lebuh Bukit Puchong melintas. Berjalan melawan arus dibahu jalan sehingga jumpa trek ke puncak. Berhampiran dengan simpang lampu isyarat mudah untuk dikenal pasti. Tidak mahu parkir kereta tepi jalan berdekatan trek. Walaupun kawasannya sesuai, tetapi memikirkan keselamatan lebih baik berjalan parkir di Masjid sahaja.


Rekod altitud ketinggian bagi titik tertinggi rizab paip gas adalah 31m dari aras laut. Masa sudah berlalu selama 5 minit sejak bermula dari parkir Masjid. 


Pemandangan Cyberjaya dan Putrajaya dari titik tinggi rizab paip gas. Berhadapan dengan kawasan perumahan Nilam di Jalan Bukit Puchong.

Pemandangan Hutan Simpan Ayer Hitam terletaknya puncak Bukit Wawasan. Berjaya menawannya pada hari sabtu lepas.  Rumput yang menghijau sepanjang rizab memberi satu pemandangan yang menarik disulami dengan kontur bukit yang beralun.


Laluan yang digunakan untuk turun ke Lebuh Bukit Puchong. Pemandangan arah timur ini menghadap Kota Kemuning dan sekitarnya.


Inilah laluan masuk ke puncak. Kelihatan ada kesan tayar motorsikal masuk ke dalam. Ikut sahaja jejak tayar motorsikal hingga berjumpa kawasan berair perlu berhati-hati kerana lecah. Kawasan lembah menghasilkan kolam takungan yang penuh dengan tumbuhan akuatik.


Kolam yang agak luas juga. Pemandangan puncak satu dapat dilihat dari sini. Pokok resam turut memenuhi ruang ditepi kolam ini. 


Inilah laluan di kawasan lembah dan berair. Sebelah kiri merupakan kolam takungan. Sebelah kiri lalang dan kanan resam memenuhi kawasan ini. Banyak burung bertenggek sekitar pokok kawasan ini. Teruskan perjalanan menyusur semak-samun yang masih boleh dilalui dengan mudah.


Sekali pandang macam kawasan berumput. Percaya tak? sebenarnya inilah pemandangan kolam takungan. Ada tumbuhan seperti rumput hidup di dalam kolam ini. Sudut pandangan yang berbeza. Jangan tertipu dengan pandangan mata. Lihat  dengan teliti sebelum menilai sesuatu. 


Melepasi kawasan lembah terpaksa mendaki perlahan mengikut laluan kawasan kebun getah. Pemerhatin kawasan sekitar menunjukkan kebun ini seperti tidak dijaga lagi. Bersemak dan tak terurus. Getahpun tidak ditoreh bagi mendapatkan hasil.


Kemudian keluar dari laluan untuk mendaki ke kawasan yang lebih tinggi. Puncak pertama ini disemakkan kedudukan serta ketinggiannya. Prosedur biasa bagi mencari titik tertinggi setiap kali masuk kawasan pencarian.


Koordinat juga direkodkan bagi memudahkan penyemakan semula di peta google. Koordinat jam Garmin ini sama dengan peta google. Jadi setiap kali penerokaan boleh disemak sesuatu kedudukan di atas peta google. Post mortem boleh dilakukan tentang perkara yang berlaku sepanjang perjalanan.


Altitud ketinggian bagi puncak pertama adalah 44m dari aras laut yang direkodkan oleh jam Garmin. Hampir setengah jam perjalanan aktiviti sejak bermula dari parkir masjid. 


Semasa hendak turun semula ke trek jalan tanah merah. Tiba-tiba kelibat babi sedang turun dengan laju setelah melihatku. Terkejut dengan kehadiranku. Pada kali ini babi berada jauh ke bawah dan lari lintang-pukang apabila menyedari melihat manusia. Aku pula berada di atas rasa lebih selamat lagi. Dua  hari berturut melihat kelibat babi. Teringat semasa membawa aktiviti trekking di KOLA Tasik Kenyir. Anak beranak babi turun berderu ketika kami hendak melalui satu kawasan di situ.


Masuk semula ke trek jalan tanah merah yang biasa wujud di setiap kebun getah. Terdapat dua batang pokok yang menghalang laluan Tidak menjadi masalah bagi melepasinya. Sekadar tunduk dengan berhati-hati bagi meneruskan pencarian. Kemudian jumpa dua simpang. Ambil ke kiri dan terus menyusur hingga ke puncak Bukit Ayer Hitam 104m.


Melihat kepada kawasan yang lebih tinggi di hadapan hati merasa gembira. Hajat tercapai serta melihat kawasan persekitaran bagi mengesahkan kawasan tersebutlah yang paling tinggi. Semak di peta topo serta jam Garmin.


Koordinat puncak Bukit Ayer Hitam direkodkan untuk rujukan semula. Kawasan persekitaran terdapat batu-batu tunggul. Pemandangan biasa di puncak-puncak bukit walaupun tidak seluas mana.

Jam Garmin merekodkan altitud ketinggian 72m dari aras laut bagi puncak Bukit Ayer Hitam. Masa aktiviti telah berjalan selama 41:10. Waktu semasa pukul 2.27 petang. Merakam bukti seperti biasa menggunakan kertas A4. Kemudian berjalan di atas puncak permatang ini melihat-lihat sekeliling. Ada juga kawasan pemandangan walaupun tidak seluas mana.


Tidak jumpa penanda puncak. Mungkin telah hilang semasa pembukaan kebun getah ini. Ketika sibuk nak ambil gambar pemandangan. Tiba-tiba hujan panas turun. Tanpa berfikir panjang terus turun mengikut laluan berpatah balik semula. Nasib kerja-kerja merekod data telah diambil. Boleh berjalan terus tanpa menoleh ke belakang lagi.

Rupa-rupanya hujan lalu sahaja. Beberapa detik kemudian hujanpun reda. Turun semula hingga ke pintu masuk trek. Berjalan tepi jalan semula dan melintas mendaki rizab paip gas. Melalui laluan di situ terus ke jelopi di Masjid. Singgah kedai makan untuk mengisi perut walaupun agak lewat. Baru sedar belum makan lagi disebabkan kenyang menambah koleksi puncak navigasi.

Tinggi mana bukit itu, pasti ada jalan masuk ke puncak. Lebih lagi dikelilingi dengan pembangunan. Cuma kena pandai mencari akal untuk menyelesaikan sesuatu rintangan dan masalah. Perlu strategi yang bijak serta banyak bersabar. Kesabaran ada ganjarannya selepas itu. Tunggu detik yang sesuai pasti beroleh kejayaan.

Oh! lupa, catatan masa aktiviti mendaki puncak adalah sejam 7 minit dengan jarak 3.45km. Selamat Mendaki.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Batu Tanda Sempadan Negeri WP Putrajaya/Selangor No. 1/72

 Selepas gagal mencari belon KLIA malam tadi. Operasi mencari batu tanda aras dilancarkan pula. Pencarian sekitar Persiaran Selatan dan Pers...