Bijak mencari jalan


 Kerja mencari belon kaji cuaca ini kadang kala bergantung kepada nasib juga. Ada hari ia jatuh dikawasan yang mudah dicari. Ada kalanya juga ia sangat sukar dan penuh dengan cabaran hingga menguji mental dan fizikal.


Rezeki belon KLIA pada pagi ini ia jatuh di kawasan kebun di Kampung Hulu Chuchoh, Sg Pelek. Sangat mudah mengambilnya. Kali ini aku mencabut antena radio dari tempat kereta diletakkan. Memilih tempat yang selamat dan sesuai bagi mengelakkan kesulitan kepada orang lain. Berjalan kaki sambil memegang radio. Menghampiri kurang 50m barulah kedengaran audio yang sangat kuat dari corong radio.


Ketika itu juga salakan anjing menyambut ketibaanku jua. Apa lagi! suara radio ditingkatkan melawan salakkan itu. Melewati beberapa batas pokok sebelum menjumpai peranti dan belon di atas rumput. Hanya jarak 1.6m dari titik akhir ke peranti yang dijumpai. Altitud ketinggian terakhir pagi ini adalah 66m sahaja. Sangat tepat serta berterima kasih kepada stesen feeder radiosonde 9W2MDZ di Nilai bekerja dengan cemerlang sekali.


Kedudukan peranti tenggelam dalam rimbunan rumput bersama longgokan benang.Akupun tidak mengenali jenis tanaman yang ditanam di kebun itu. Nak kata serai bukan serai. Tapi macam rumput yang rimbun berdaun hijau pekat.


Keadaan belon ketika dijumpai. Pada kali ini serpihan belon agak besar. Pecah berjurai dan meninggalkan beberapa serpihan. Ia berlonggok dengan peranti sebelah menyebelah. Begitulah keadaannnya setelah jatuh di kawasan lapang yang berumput.


Beginilah keadaannya belon dan peranti jatuh di kawasan lapang. Berdekatan antara satu sama lain. Masih belum berkesempatan melihat jatuh dihadapan mata. Sukar untuk menjangkakan ia jatuh di kawasan mana. Arah tiupan angin yang cepat berubah menyukarkan menjangkakannya. Ada perkongsian di Tiktok menunjukkan orang awam telah menjumpai belon ini jatuh di Seremban beberapa minggu yang lalu. Melalui media sosial ini juga aktiviti pencarian belon ini berjaya didedahkan kepada orang awam.


Gambar wajib diambil bagi mengesahkan peranti telah ditemui. Kemudian melaporkan pada laman sesawang Sondehub. Berlatarbelakang belon dan rumput-rumput menjadi saksi ia ditemui dengan selamat.


Benang yang masih belum digulung. Terpaksa melakukan kerja menggulung ditengah panas terik mentari pagi. Anjing tadipun sudah menghilangkan diri. Pekebun masih bercuti berhari raya pada pagi itu. Tidak terlihat sebarang kelibat disekitar kawasan kebun itu.


Isyarat boleh terus diaktifkan bagi ujikaji pemancaran ketika pulang nanti. Pergerakan atas darat untuk mencuba feeder radiosonde di sekitar Lembah Klang selain feeder Nilai.


Tanaman hijau yang diusahakan dengan bantuan Jabatan Pertanian. Tanaman berkelompok ini memberi peluang petani meneruskan kelangsungan hidup. Setiap papan tanda ada menerangkan projek yang diusahakan oleh setiap peserta.


Laluan berturap di tepi kebun arah kereta diletakkan kawasan pokok kelapa sawit. Itulah tempat yang paling sesuai dan selamat. Setiap kali misi kereta diletakkan jauh sedikit untuk mendapat bacaan jarum kompas digital yang tepat serta memantau kawasan sekitar. Ia juga bagus untuk kecergasan fizikal. Jikalau dekat dan sebentar seperti situasi ini tidaklah perlu membawa bekalan air. Jikalau jauh, pastikan bekalan air yang mencukupi dibawa menggunakan beg sandang.


Oleh kerana jalan pulang melalui KLIA semula. Aku melancarkan misi kedua pula di stesen minyak Shell KLIA. Aku tidak memilih stesen minyak Petronas kerana ia terlalu padat dengan kenderaan. Kedua-dua stesen ini merupakan jalan masuk yang terhampir untuk mencari radiosonde D22028965. Ia jatuh pada jam 20:50 malam bertarikh 18 April 2023.


Sebelum bertolak, sempat mendapatkan dua botol minuman sebagai bekalan dalam perjalanan. Merujuk kompas digital jarak ke titik akhir adalah 964m. Stesen minyak Shell lebih jauh ke hadapan sedikit berbanding stesen minyak Petronas. Maka, persediaan bekalan air yang cukup perlu disediakan.


Laluan dari belakang stesen minyak Shell. Perasaan lega setelah melihat jalan tanah seperti ini memberi harapan besar untuk mendapatkan peranti. Ini menunjukkan kawasan ladang kelapa sawit ini dijaga dengan baik. Maka, perjalanan diteruskan mengikut arah anak panah kompas digital.


Jam Garmin turut diaktifkan mode tactical. Tidak setkan koordinat, hanya guna sepanjang pencarian. Ia dapat membantu menyemak laluan yang telah dilalui sepanjang perjalanan. Aprs terus diaktifkan bagi meninggalkan jejak stesen 9W2DYA-5 secara real-time. Semua orang boleh melihat pergerakan stesen 9W2DYA-5 ikon kereta merah bergerak dan berada ketika itu.


Laluan sebelah kiri itulah arah dari Shell. Sebelah kiri dan kanan gambar merupakan parit besar gambar di atas. Ketika berjumpa simpang seperti ini, aku membuat penyemakkan kedudukan di aprs. Percaya kepada GPS waypoint finder ke mana arah yang ditunjukkan. Cari jalan yang lebih selamat serta memudahkan. Nasib setiap parit di ladang ini disediakan titi konkrit. Mudahlah untuk melintasnya.


Stesen 9W2DYA-5 telah berjaya sampai ke titik akhir. Oleh kerana, antara baris pokok agak semak perlulah berhati-hati ketika mencari. Penyemakan kedudukan belon jatuh dapat menentukan kejayaan mendapatkannya. Kedudukan mudah dikenal pasti berdasarkan laluan  yang selari dengan parit. Kali ini, belon berada dikedudukan bawah sedikit dari parit. Tengok parit ketika dititik akhir itu, maka arah belon jatuh berada di belakangnya. Maka pusingkan badan ke belakang. Ikut arah barat daya jalan ke hadapan sedikit nampak benang tergantung.

Jarak titik akhir ke peranti yang ditemui adalah 8.9m. Nampak macam mudahkan? Hakikatnya perlu mahir dalam menentukan arah kedudukan. Pengalaman berkali-kali mencari telah menjadikan mahir dan cekap. Sebenarnya kedudukan gambar menegak pada peta google dan sondehub itu adalah selari dengan arah utara. Kitalah yang perlu menyelaraskan peta dan anggota badan dengan tepat arah yang hendak dicari. Sebab itulah pentingnya belajar subjek Geografi. Mengajar tentang kemahiran membaca peta dan menentukan arah mata angin walaupun ada teknologi digital masa kini.


Peranti elok tergantung mencecah tanah. Bukan sebab dek benang itulah pasti tidak perasan di mana ia berada. Sebab itulah kita kena mencari ke hadapan sedikit dari titik akhir. Titik akhir berdasarkan altitud ketinggian terakhir. Kadang ia terlajak ke hadapan sedikit bergantung sejauh mana ketinggian yang dicapai.


Sayangnya kelibat belon tidak nampak. Terselit atau tersangkut pada pelepah sawit. Ketika menyentapnya ia terus tersangkut dan akhirnya benangpun putus. Rezeki peranti yang berada di bawah ketika ditemui. Sebab itulah mencari belon ini bergantung kepada nasib dan rezeki. Ada rezeki memang pasti dapat membawa pulang dan begitulah sebaliknya.


Radiosonde D22028965 telah ditemui dengan altitud ketinggian terakhir 47m. Lagi rendah altitud lagi mudahlah hendak mencarinya. Kemudian terus melaporkan penemuan dalam laman sesawang Sondehub.


Pemandangan kawasan peranti yang dijumpai dari titik akhir. Kawasannya agak bersemak. Benang terjuntai menjadi petunjuk utama memudahkan pencarian.


Jejak yang dilalui dari Shell hinggalah berjaya menemui peranti. Nasib kawasan persekitaran KLIA ini mempunyai capaian internet yang bagus. Sudah pastilah aprs berfungsi dengan baik. Makluman semua aku menggunakan penyedia talian oleh Maxis. Setakat misi yang dijalankan liputannya sangat baik di sekitar Lembah Klang ini. Ini termasuklah di ladang-ladang kelapa sawit KLIA, Pulau Carey, Banting, Sepang, dan Labu.


Titi konkirt yang dilalui dari titik akhir setelah berjaya menjumpai peranti. Tanpanya pasti sukar untuk menyeberangi setiap parit yang wujud dalam ladang yang luas ini. Kemudian aku melalui laluan berselisih dengan dua orang sedang memancing dalam parit ini di hujung jalan. Menurut mereka, ikan semakin sukar untuk dipancing pada masa ini.


Laluan yang digunakan setelah berjaya melintasi titi tadi. Penghujung laluan ini bertemu dengan dua orang pemancing. Mereka bermotorsikal. Sempat bertanya kepadaku "Abang datang dengan apa?" "Berjalan kaki dari Shell. Kereta letak di sana" jelasku kepada salah seorang daripada mereka. Hari cuti semua laluan telah berpalang. Bagi yang bermotorsikal boleh menyelit masuk ke dalam kawasan ini tanpa masalah.


Bertemu semula parit yang besar di hujung laluan tadi. Bergerak ke hadapan semula untuk masuk kembali ke laluan arah Shell. Indah panorama parit, pokok dan awan. Suasana desa yang mendamaikan. Banyak berjalan luas pandangan.



Ini merupakan simpang terakhir arah ke Shell semula. Semasa pergi tadi meletak pelepah membuat simbol anak panah. Setiap isyarat ini dapat mengingatkan arah yang tepat haluan yang sebenar. Kadang meletakkan botol plastik yang ditemui di kawasan sekitar sebagai penanda di setiap simpang. Ini penting untuk mengelakkan tersalah masuk simpang dan arah yang salah. Ilmu pengakap yang dipelajari sejak sekolah rendah lagi.


Seorang pengejar belon, perlu juga mempunyai ilmu pandu arah atau navigasi. Ia mambantu melancarkan pergerakan bagi mengelakkan kejadian sesat. Perlatan kompas serta bateri yang mencukupi serta power bank dapat membantu meneruskan kelangsungan hidup.


Laluan jejak stesen 9W2DYA-5 ketika menghampiri stesen minyak Shell KLIA. Terpampang pada tangkap layar di atas jam 12:51 tengah hari berakhir di garisan penamat. Nasib bekalan air yang dibeli dapat menghilangkan dahaga badan.


Stesen minyak Shell di hujung jalan menandakan berakhirnya dua misi pencarian pada hari ini. Alhamdulillah urusan dipermudahkan dan berjalan dengan lancar sepanjang pencarian ini.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Radiosonde RS41-SGP T4040282 di Selat Melaka

  Ahad pagi semalam radiosonde RS41-SGP T4040282 telah muncul di Selat Melaka. Kemungkinan dilepaskan dari Lumut oleh pihak berkuasa keselam...