Hampir tidak jumpa


 Belon KLIA malam tadi hampir tidak dijumpai. Namun sikap tidak mudah berputus asa akhirnya membuahkan hasil. Belon jatuh jam 21:20 malam bertarikh 10 April 2023. Jatuh di ladang kelapa sawit tepi selekoh jalan Labohan Dagang - Nilai selepas jejambat Elite. Koordinat 2.7887 darjah Utara dan 101. 6698 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir adalah 48m.


Jarak yang dijumpai dari titik akhir adalah 5 meter bagi altitud 48m. Pada mulanya Zahrin 9W2MDZ telah tunggu di tepi jalan masuk menghala ke titik akhir. Manakala aku pula memandu dari Cheras melalui Dengkil. Selepas meletakkan kereta di tempat selamat, barulah misi pencarian dijalankan.


Berbekalkan satu lampu kepunyaan Zahrin 9W2MDZ. Maka kamipun melalui laluan sawit ke titik akhir. Nasib kawasan ini lapang dan mudah dilalui tanpa rasa ragu-ragu. Menghampiri 6 meter lagi, terhenti di sekitar kawasan rumput berair. Alamak! tak boleh masuk kerana kawasan ditenggelami air yang berumput tinggi macam lalang. Beberapa meter di hadapan kelihatan sebuah kolam melihat dari kegelapan malam.


Kami cuba mengintai-intai jikalau kelihatan benang atau lampu led berwarna merah di kawasan tersebut. Cubaan memadam lampu bagi mengesan lampu merah tersebut turut gagal. Cuba juga mencari di sekeliling kawasan kering  sekitarnya. Masih tiada petunjuk juga. Zahrin 9W2MDZ mencabut antenanya. Ternyata penerimaan isyarat dari corong radio sangat kuat.


Akhirnya, aku mengambil keputusan untuk cuba masuk kawasan berair tersebut. Ternyata rumput yang tebal setelah dipijak meyakinkan bahawa kawasan itu selamat untuk dimasuki. Perlu berhati-hati berdekatan dengan kolam itu sahaja. Memijak rumput sambil melihat-lihat kelibat peranti dengan bantuan lampu suluh dari telefon. Berjaya hingga titik akhir apabila jarum kompas menunjukkan angka kosong.


Mencari dan terus mencari disekitar titik akhir mengikut arah belon jatuh. Ternyata lagi 5 meter ke hadapan peranti berjaya ditemui di celah-celah rumput itu. Alhamdulillah benda yang dicari berjaya ditemui. Ambil gambar tujuan perekodan dan terus keluar dari kawasan berair tersebut. Zahrin9W2MDZ melaporkan kejayaan dalam laman sesawang Sondehub.


Selesai melapor, kami berpatah balik ke jalan masuk tempat kereta diletakkan. Berjalan diiringi bunyi peranti memecah kesunyian. Kejayaan kedua bagi Zahrin 9W2MDZ bagi hari itu. Belon pagi juga turut dijumpai pagi itu olehnya di Labohan Dagang.


Ternyata sangkaan awal mudah mencarinya adalah meleset. Cabaran ia jatuh di kawasan paya berumput amat menggusarkan, Nasib semangat berpasukan yang jitu memudahkan mencapai matlamat. Sikap tidak mudah putus asa dan kecewa tiada dalam diari pengejar belon. Cari sampai dapat hingga berpuas hati menerima ketentuan-Nya.


Peranti terus manyala hingga dibawa pulang ke Nilai oleh Zahrin 9W2MDZ. Ternyata jejaknya dapat dirakam dalam laman sesawang Sondehub apabila isyaratnya dapat diterima baik. Kelihatan belon menjejak laluan darat dengan baik sekali. Peranti pengesan isyarat radiosonde di basenya telah bekerja dengan cemerlang.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Radiosonde RS41-SGP T4040282 di Selat Melaka

  Ahad pagi semalam radiosonde RS41-SGP T4040282 telah muncul di Selat Melaka. Kemungkinan dilepaskan dari Lumut oleh pihak berkuasa keselam...