Berlangsung di Taman Eko Rimba Gunung Nuang, Hulu Langat. Kolaborasi pihak Tentera bersama Jabatan Hutan Selangor Tengah bersama pendaki-pendaki bermatlamat untuk memastikan trek ke Gunung Nuang selamat untuk didaki. Buat masa ini, trek ini masih lagi ditutup kepada orang ramai. Jangkaan dibuka semula Mac 2019. Itupun bergantung kepada keadaan keselamatan trek ini kemungkinan boleh dipercepatkan.
Pelbagai unit dari pelbagai Kem bergabung untuk menjayakan program Forest Trail Care ini. Para pendaki daripada pelbagai kelab mahupun orang perseorangan berganding bahu dengan pihak tentera dan Renjer Hutan bermula pada hari ini.
Peserta mendaftarkan diri di khemah pendaftaran mengikut kumpulan yang diberi. Peserta sukarela ini, perlu memilih tugasan yang diberi mengikut kumpulan. Ada 6 kumpulan dibentuk mengikut tugasan yang telah ditetapkan. Peserta perlu merujuk peta lakaran dipapan putih yang menunjukkan kawasan tugasan. Aku memilih kumpulan lima yang bertugas memastikan tiada sampah sepanjang trek. Kumpulan ini bersama 30 kekeuatan anggota tentera dan 9 orang pendaki mendaftar. Borang diisi maklumat diri juga bagi tujuan keselamatan.
Selepas mendaftar, aku bersarapan nasi lemak di khemah makan. Duduk bersama pendaki-pendaki lain yang rancak berbual tentang pengalaman gunung-gunung yang telah ditawan. Sambil menyuapkan makan aku sekadar mendengar tanpa menyampuk. Begitulah pendaki bila bertemu pendaki bertukar-tukar pengalaman dan info adalah lumrah apabila ada peluang bertemu walaupun pertama kali berjumpa. Hubungan mesra ini dieratkan oleh minat yang sama tanpa mengira usia.
Selepas bersarapan membuat pengurusan diri, dan melihat-lihat persekitaran di Taman Eko Rimba nama baru bagi Hutan Lipur. Bersembang-sembang dengan pendaki lain rupa rakan guru juga. Rakan guru kepada adikku yang pernah mengajar di SK Taman Rakan dan seorang lagi di SK Bandar Seri Putra. Mereka berdua memilih kumpulan 6 bertugas memastikan sungai-sungai bebas daripada pelbagai virus dan penyakit bersama Pegawai daripada RSAT.
Sebelum sesi taklimat oleh Pena Celoreng yang merupakan Pegawai Pemerintah di Kem Sungai Buloh. Edaran baju t-shirt berlaku di khemah pendaftaran mengikut kumpulan. Sesi taklimat diadakan di dewan diikuti dengan ucapan daripada YB Hulu Langat. Antara intipati ucapan YB adalah harapan menjadikan Gunung Nuang sebagai destinasi pelancongan yang utama.
Upacara perasmian di pintu utama Taman ke Gunung Nuang. Liputan media massa turut serta bagi mendapatkan berita. Temuramah bersama YB Hulu Langat turut diadakan di situ.
Gambar kenangan bersama semua yang terlibat turut diadakan. Kemudian sesi senaman ringan dan memanaskan badan diadakan.
Sebelum bertolak memulakan tugasan, sempat mengambil sebungkus roti dan minuman tenaga 100 plus. Penting bagi bekalan untuk perjalanan nanti. Kumpulan berlepas mengikut giliran jalan beramai-ramai melalui jalan yang telah disimen.Sebelum itu, beberapa buah jelopi telah bergerak ke pondok 4 untuk menghantar barang seperti tali nylon dan tangga.
Sebelum bergerak juga, aku berjumpa rakan-rakan pendaki yang mempunyai radio bagi menyelaras frekuensi yang mereka guna pakai. Bagi tentera pula mereka dibekal radio dan GPS setiap Unit. Radio yang digunakan seperti telefon selular motorola pada zaman awal 90an. Sebab aku pernah pakai telefon seperti itu sewaktu ketika dahulu. Rasanya mode digital yang tentera gunakan kecil dan mudah dibawa. Di sini juga ada jelopi bahagian komunikasi menegakkan antena vertikal sahaja yang biasa untuk mode digital pada telahanku. Lupa hendak tanya anggota bertugas maklumlah masing-masing sibuk dengan tugasan.
Kira-kira jam 10:15 pagi kumpulan 5 bertolak ke destinasi. Sebelum itu, seorang anggota telah mengetuai bacaan doa. Kumpulan kami dibekalkan guni untuk mengisi sampah-sampah yang akan ditemui setiap pondok dan laluan denai. Ada enam pondok perlu dilepasi sepanjang trek laluan berkenderaan. Pada permulaan laluan bersimen memudahkan pergerakan. Kemudian menempuh laluan tanah merah yang baru sahaja diperbaiki untuk program ini bagi memudahkan kenderaan pacuan empat roda.
Pada pagi itu, jelopi hanya sampai di pondok 4 sahaja. Segala peralatan yang dibawa ditinggalkan di situ. Ini disebabkan laluan semakin sukar dilalui terutamanya hakisan akibat musim hujan masa ini. Laluan selepas itu semakin sempit dan bersemak. Satu guni kosong ditinggalkan pada setiap pondok untuk diisi sampah.
Selepas dua jam berjalan dengan jarak hampir 6km tibalah di pintu rimba. Ada dua buah pondok kecil serta bangku batu disediakan untuk melepaskan lelah. Ada sebuah wakaf diseberang sungai selesa untuk bersolat. Air sungai meluncur laju dicelah-celah batu menghasilkan bunyi yang mengasyikkan. Aku bersama 5 pendaki lain turut berehat bersama anggota lain dalam kumpulan 5.
Kelihatan sebuah papan tanda menunjukkan lokasi Gunung Nuang. Ia menunjukkan jarak antara satu tempat dengan tempat yang lain. Ini membolehkan mengunjung mengetahui jarak sebenar di antara satu tempat dengan yang lain. Jadi kami akan melintas tiga aliran sungai sebelum sampai ke Kem Lolo.
Tiba di Empangan lolo, kumpulan lain sedang sibuk memasang tali merentangi sungai. Dua tali direntangkan mengikut tahap kesukaran. Batu-batu dialih bagi memudahkan pendaki memijaknya ketika melintas sungai. Aku bersama 5 yang lain meneruskan ke Kem Lolo yang tidak berapa jauh dari situ. Sampai di situ memulakan kerja mengemas dan pembersihan. Selepas itu, mengambil peluang untuk berehat di sungai yang terlalu dingin. Ikan-ikan tengas berenang-renang di dalam sungai yang agak deras. Ikannya agak besar juga menunjukkan ia terpelihara daripada ancaman musuh.
Pada pemerhatianku Kem lolo agak semak disebelah tempat kami berehat menunjukkan sudah jarang digunakan sejak ia ditutup. Elok juga ditutup bagi memulih setiap kawasan terutamanya di laluan denai. Beberpa kumpulan lain juga berehat di tempat kami berehat. Mereka adalah kumpulan yang akan memasang tali di Kem pacat hingga ke Puncak Pengasih.
Semasa melalui trek selepas melintas sungai di Empangan Lolo kelihatan kamera perangkap hidupan liar. Pasti ada pihak yang membuat kajian dapatan data hidupan liar di situ. Maklumlah apabila Gunung Nuang dah ditutup kajian seperti ini mencari data amat sesuai untuk dilakukan.
Selepas menikmati keindahan persekitaran Lolo dan menghilangkan lelah. Chek Mat mengajak aku, shima dan seorang lagi rakan untuk bergerak pulang ke Taman Eko Rimba. Jam 2:30 petang aku dan Chek Mat bergerak dahulu menanti 2 orang yl bersiap. Shafeeq Badek dan Mohammad masih lagi tinggal dan menyuruh kami berempat jalan terlebih dahulu.
Sementelah menunggu di Empangan Lolo sempat menikmati keindahan terjunan air ke bawah. Empanganpun sudah dipenuhi tanah dan batu. Dahulu ketika pertama kali datang ke sini ia membentuk kolam yang amat dalam. Empangan ini menadah air ke stesen jana elektrik di Pangsoon melalui saluran paip air. Merujuk aplikasi data Runkeeper yang diaktifkan ketinggian di Empangan Lolo adalah 536 meter dari aras laut.
Tepat jam 2:45 petang barulah kami bergerak turun ke pintu rimba. Berhati-hati turun di kawasan berbatu yang agak licin ke bawah. Berselisih dengan anggota tentera kumpulan lain yang bertanyakan jarak ke Lolo. Melintas sungai yang terakhir, tiba di pondok terakhir kelihatan jelopi dan YB Hulu Langat menyambut kehadiran kami. Dua orang jurugambar mengambil gambar ketika sampai. Wah! jelopi sudah boleh sampai ke sini. bisikku. Rupanya langkah kanan kali ini. apabila mendapat bungkusan nasi ayam setiap seorang untuk makan tengahari.
YB Hulu Langat bersama keluarga turut hadir ke Lolo memberi sokongan kepada peserta. Beberapa anggota tentera membawa bungkusan makanan dan air minuman untuk dihantar ke Kem Lolo. Kemudian YB Hulu Langat bergerak pulang menaiki jelopi.
Tinggallah jelopi yang terakhir yang membawa makanan tadi. Rupanya pemandu jelopi itu kenal kepada Chek Mat. Begitulah jika pernah mengadakan aktiviti rekreasi bersama pasti akan bertegur sapa di mana-mana berada. Lagipun aku sudah jumpa beliau pagi tadi bila menanyakan frekuensi radio yang digunakan untuk jelopi. Selepas makan, kamipun mula perjalanan berjalan. Beberapa minit kemudian, jelopi yang terakhir berselisih dengan kami. Seperti orang mengantuk disorongkan bantal, kami dijemput naik duduk dibahagian belakang tempat barang. Apa lagi melompat kegembiraan naik ke atas jelopi itu.
Aku dan Chekmat duduk menjulur kaki dibelakang manakala Shima dan kawannya berada di dalam. Walaupun sempit dapat menumpang jelopi adalah satu rahmat kerana dapat menjimatkan masa dan tenaga. Perjalanan menaiki jelopi ini sangat adventure juga. Apatah lagi apabila melambung-lambung melalui permukaan yang tidak rata. Ini pengalaman yang ketiga naik pacuan 4 roda. Sebelum ini pernah naik hilux ke Kuala Mu untuk naik Yong Yap dan paling lagend naik land rover sayur Cameron highland pergi Yong Belar.
Tiba berhampiran papan tanda 1.5km Hutan Dara, jelopi yang dinaiki telah terbabas ke tepi. Memaksa semua penumpang turun untuk percubaan keluar dari tempat yang tersekat. Pemandu jelopi beberapa mencuba untuk keluar dari tersekat namun gagal walaupun kami telah cuba meletak beberapa batang kayu di bahagian tayar.
Semangat kerjasama dapat ditonjolkan ketika membantu untuk mengeluarkan jelopi ini. Seorang renjer hutan, 3 orang pegawai tentera dan dua orang pendaki bekerjasama dalam misi mengeluarkan jelopi tersekat. Akhirnya, tuan jelopi menggunakan winch serta ditambat di sebatang pokok. Usaha berjaya keluarkan jelopi menggunakan kaedah ini.
Tidak terlupa juga kepada semua yang terlibat terutama anggota tentera dalam kumpulan 5 serta unit-unit yang lain serta para sukarelawan pendaki gunung. Syabas dan tahniah semua. Usaha seperti ini perlu diteruskan dan disokong oleh semua pihak.
73, Jojet de 9W2DYA
No comments:
Post a Comment