Radiosonde D20073342 telah dimusnahkan monyet


 Petang tadi berjaya menemui belon KLIA radiosonde D20073342 yang telah jatuh pada 22 September yang lalu. Namun, peranti telah hancur dipercayai dimusnahkan oleh monyet. Ini berdasarkan peranti telah tergantung di atas pelepah pokok kelapa sawit. Aku berjaya menarik benang yang tergantung dari atas berupa kayu penyambung antara benang dan peranti.  Sebenarnya diperbuat daripada plastik elok tertinggal dan masih kukuh ikatan bersama benang.


Bahan bukti yang tertinggal ditunjukkan dalam gambar di atas. Habis musnah dikerjakan monyet yang menyangka peranti boleh dimakan. Bateri tinggal satu sahaja. Habis dikopek kulit bateri yang disangka buah yang boleh dimakan pasti. Itulah yang biasa terjadi jika lewat beberapa hari pasti menjadi habuan binatang liar.


Sebelum berjaya menemui peranti yang hancur ini, terpaksa berjalan kaki dari pintu pagar utama. Jelopi tidak boleh dilalui. Terpaksalah menapak hingga ke titik akhir. Koordinat 2.72256 darjah Utara dan 101.46579 darjah Timur. Meletak jelopi tepi jalan Kg Endah. Ladang kelapa sawit milik persendirian ini terpaksa menempuh sebanyak tujuh blok sebelum berjaya menemuinya.


Papan litar dan pelekat nombor siri menjadi bukti bahawa telah berjaya menemuinya walaupun tidak sempurna. Jikalau ia di bawa lari monyet pasti ia tidak dapat dikesan. Maka, gagallah misi pencarian. Serpihan yang tinggal ini berjaya dibawa pulang. Ini merupakan antara cabaran dalam setiap misi pencarian. Jumpa dalam keadaan sempurna atau sebaliknya. Matlamat utama menjumpai setiap peranti dititik akhir dengan tepat.


Proses setiap misi mencerap koordinat yang dijumpai menggunakan jam Garmin. Sebenarnya lebih kurang 20 meter lagi ke titik akhir dihalangi oleh parit besar. Menghampiri titik akhir dengan menggunakan bearing 183 darjah hasil isyarat terakhir. Berjaya menemui peranti yang hancur ini dengan jarak 35.2m. Kelibat benang kelihatan terlebih dahulu sebelum melihat polisterina yang membalut papan litar bersepai di atas tanah. 


Sebelum tiba ke blok ke tujuh ini dari pintu utama, telah masuk blok kelima terlebih dahulu. Namun, jarak belum menghampiri. Perlu melintas parit antara setiap blok. Pekerja sawit ditemui sebelum ini telah menumpangkan dengan motorsikal ke blok sebelah. Mereka sedia maklum kehadiranku kerana Abg Man Viper 9W2PRX pada hari sebelumnya telah berjaya menemui radiosonde D20073184 di kawasan ini juga.

Credit 9W2PRX

Selepas dihantar ke blok 6 jarak tinggal kurang 100 meter sahaja lagi. Namun, seperti kebiasaannya halangan utama ke blok sebelah adalah parit. Parit merupakan sempadan setiap blok. Menyusur parit dengan harapan boleh menyeberanginya. Akhir berjaya menemui batang sawit yang tenggelam dalam parit tersebut. Pijak batang sawit dan terus melompat ke tebing sebelah berjaya membawa ke titik akhir.


Jarak 1061m merupakan jarak jelopi ke titik akhir. Jarak keseluruhan misi adalah 3.66 km selama 1 jam 09:21 Jumlah kalori yang dibakar 413 kalori. Seronok meneroka kawasan sambil melancarkan misi pencarian. Kasut yang digunakan Asics Gel-Sonoma 6 trailrun. Vest pemantul cahaya turut dipakai bagi tujuan keselamatan diri. Ia mudah dilihat orang jarak yang jauh. 

Menghampiri pertukaran monsun timur laut. Perubahan arah angin kini dapat dilihat. Belon KLIA mula kerap jatuh ke darat. Altitud ketinggian maksimum mencecah 30 ribu meter. Hasilnya belon jatuh dengan kelajuan tinggi dan tepat menghampiri titik akhir.

Buktinya belon ini dijumpai jarak 35.2m bagi altitud ketinggian 220m. Manakala, radiosonde dijumpai Abg Man Viper jarak 81.1m bagi altitud ketinggian 712m. Ketinggian maksimum adalah 31,156m serta Abg Man Viper 9W2PRX adalah 30,891m.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...