Bukit Mahkota Trail


Cuti umum hari ini aku berkesempatan untuk mencuba Mahkota Challenge Park ala-ala Putrajaya Challenge Park. Trail mountain bike ini  dirintas oleh Pak Din Nordin yang aktif dalam rekreasi luar. Pada hari ini dapat bersalaman didaratan bersama beliau dan tiga rakan lagi.



Aku memandu jelopi ke Seksyen 3 Bandar Bukit Mahkota Bangi dari base. Meletakkannya dideretan kedai di sini dan melintas jalan untuk ke pintu masuk trail.



Setelah mengesetkan RunKeeper untuk mengukur aktiviti solo trekking pada pagi ini, akupun bergerak mengikut penanda dan jejak tayar basikal. Tepat jam 8.00 pagi akupun mula bergerak untuk menikmati cabaran yang akan dilalui. Kawasan berhampiran dengan tasik yang agak besar di Bukit Mahkota ini. Terdapat dua pemancing yang leka menunggu umpannya dimakan.



Seterusnya perjalanan melalui kawasan pokok yang pernah terbakar ketika kemarau beberapa bulan yang lalu. Trail masih lagi di pinggir tasik yang penuh dengan tumbuhan yang membiak dipermukaannya menyebabkan keluasannya semakin kecil.


credit Deen Diamondback
Ketika asyik berjalan disimpang aku berjumpa Deen Diamondback bersama gergajinya untuk kerja-kerja menyelenggara trail akibat ribut dan hujan pada petang semalam. Beliau telah mengambil gambarku di atas. Terima kasih bang dan mencadangkan aku mengikut reverse trail kerana sesuai untuk xtvt hiking kerana akan mendaki bukit terlebih dahulu.



Selepas beberapa langkah atas info yang diberikan akupun bertemu titi pertama yang hampir rosak akibat banjir kilat semalam. Akupun melintas dengan penuh berhati-hati kerana beberapa rider pernah jatuh di sini. Selepas melintas terus berjalan dipinggir tasik hingga aku terlihat jambatan di  tasik kecil Rumah Kelab.



Sungguh besar tasik ini rupanya perjalanan masih tetap bersamanya. Jambatan yang dilihat itu menandakan berdekatan dengan kawasan Rumah Kelab.



Selepas melepasi kawasan pinggir tasik tibalah kita memasuki kawasan hutan kecil apabila bertemu dengan anak sungai kecil yang mengalir agak deras. Kelihatan beberapa ekor ikan berenang-renang di dalamnya.



Anak sungai ini tiada titi dibina bagi menghasilkan cabaran kepada rider untuk melintasinya. Maklumat daripada Pak Din kemungkinan titi akan dibina bagi memudahkan pergerakan.



Perjalanan diteruskan memasuki kawasan hutan kecil dan mula mendaki di kawasan bukit. Penanda yang tergantung di tempat strategik memudahkan pergerakan aku. Kelihatan batu-batu semulajadi tersusun di kawasan bukit itu. Puncaknya aku lihat merupakn kawasan lapang yang agak lembap.

Seterusnya menuruni ke simpang Hard Loop dan Easy Loop yang menjadi pilihan rider mengikut tahap kecergasan dan pengalaman mereka. Bagi aku hard loop memanglah mempunyai tahap kesukaran yang tinggi selepas melepasinya tadi.



Selepas simpang itu, kelihatan titi yang kedua yang kukuh berbanding titi pertama tadi. Aliran anak sungai dilembah bukit memberi satu cabaran yang hebat bagi mengawal basikal. Pada pagi ini tidak dinafikan sepanjang perjalanan agak licin akibat hujan semalam.



Jikalau gagal mengendalikan basikal dengan  baik dan hilang kawalan pasti boleh terjatuh. Titi yang mantap ini, memberikan sejuta keseronokan semasa menunggang di atasnya.



Melewati titi kedua pendakian di kawasan lalang menyejukkan mata memandang. Ia seolah-olah berada di Bukit Broga merupakan lalang yang tumbuh melata di atas bukit.



Malalui kawasan lalang di pagi yang indah memukau mata yang memandang. Perjalanan diteruskan serta puncak kelihatan dihadapan mata nun jauh di sana. Pergerakan semakin laju kerana tidak sabar untuk melihat pemandangan di puncak bukit walaupun kecerunan semakin tinggi.



Ketika melalui ke kawasan puncak aku terpandang sebatang pokok yang mempunyai sarang serangga. Kelihatan seperti tebuan akupun tidak pasti. Oleh itu, para rider sekalian selepas menuruni dari puncak bukit agar berhati-hati dengan sarang serangga ini dikhuatiri tebuan yang amat bahaya  serta boleh membawa kepada maut jika ia menyerang. Harap itu bukanlah sarang tebuan kerana sarang itu boleh dikatakan besar juga.



Pendakian diteruskan melalui kawasan lalang yang menghijau dengan dihiasi beberapa batang pokok yang memagari pemandangan. Memang cantik sekali apabila dapat melihat pemandangan seperti ini.




Puncak semakin menghampiri dan pemandangan indah menyaji mata yang memandang. Kelihatan pemandangan kawasan perindustrian Nilai di depan mata. Puncak menyajikan pemandangan 360 darjah yang sangat cantik. Kawasan persekitaran Bandar Bukit Mahkota dapat dilihat dari sini. Memang memberi kepuasan apabila dapat melihat pemandangan ini. Data dari RunKeeper menunjukkan puncak ini berketinggian 78 meter dari aras laut. 



Pemandangan 360 darjah sememangnya tidak dapat dilupakan ketika mentari menyinarkan cahayanya. Selepas berpuas hati melihat keindahan aku turun ke bawah sedikit dan berteduh dibawah pohon di situ. Kelihatan kelibat seseorang dari trek di bawah sana.




Oh rupanya hari ini aku tidak keseorangan di sini. Selepas beberapa ketika rupanya Abang Deen bersama gergajinya yang berjalan sedang memantau trail. Selepas itu, disusuli pula Pak Din yang mangayuh basikalnya.



Maka kamipun berbual-bual tentang keadaan trail pada pagi ini. Selepas itu kelibat dua orang rakan sedang berkayuh dari bawah nun jauh di sana.



Ternyata Pak Din memang mempunyai pengalaman yang tinggi dalam kayuhan ini. Banyak maklumat yang diberi tentang perkembangan dan masa depan MCP ini.


Dua orang kuat merupakan tulang belakang kepada pembangunan trail dan xtvt berbasikal di Bukit Mahkota. Melihat kepada potensi trail ini sangat baik untuk dikembangkan menjadi satu pilihan kepada rider untuk menguji jentera dan kemahiran diri di sini.


Keadaan topografi yang terdapat dua buah bukit memberi cabaran besar untuk mengujinya. Keadaan permukaan yang beralun dan berair dan lembap menguji kemahiran yang tinggi.


Kata pakar sekurangnya dua loop baru memberi cabaran dan kepuasan tersendiri bagi yang pernah melaluinya. 


Setelah bersembang seketika bersama-sama, semua orang meneruskan haluan masing-masing. Aku ada mengaktifkan radio dan cuba memanggil di V40 dan V66 tetapi sahutanku tidak dijawab pada pagi itu. Mungkin kuasa pancaranku tidak kesampaian sekurang-kurangnya rakan lokalan boleh menjawab. Setelah gagal CQ akupun teruskan perjalanan menuruni puncak ke puncak bukit kedua di hadapan melalui kawasan lalang.


Puncak kedua berada di hadapan mata, jika mengayuh pasti tercungap juga. Semasa melalui kawasan ini, di sana kelihatan beberapa rider sedang berkumpul di situ.


Mereka berehat seketika bagi melepaskan lelah sambil menunggu rakan yang belum kunjung tiba di belakang. Aku sempat bersalaman dengan mereka kelihatannya penunggang yang cukup berpengalaman dari pelbagai usia.


Selepas semua bergerak akupun meneruskan perjalanan turun ke bawah berselisih dengan  dua rakan yang berkayuh tadi termasuklah Pak Din. Mereka membuat dua pusingan rupanya pada pagi itu. Perjalanan di teruskan hingga ke pintu masuk tadi dan selisih dengan pemancing yang leka memancing di tasik.

Data Run Keeper menunjukkan masa yang dicatat adalah 1:20:32 dengan jarak 4.27km. Pada xtvt itu jumlah kalori yang dibakar adalah 315. Purata kelajuan aku adalah 18:50min/km. Catatan jam tangan sepanjang aktiviti ini adalah 1:44:27 dan seterusny pulang ke kereta dang singgah sarapan di Asik Maju.

Rupanya rakan-rakan yang berkayuh tadi turut berehat di Asik Maju termasuklah Pak Din. Sememang trail ini sangat bagus dan menarik untuk di terokai dan dicuba. Akhir kata terima kasih kepada Pak Din dan Deen kerana membenarkan aku mencubanya.

73, Jojet, 9W2DYA

2 comments:

  1. Salam, tumpang Tanya, boleh saya tau mana nk park keta n start masuk trail nie?

    johan_effendi@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. deretan kedai runcit tapak pasar malam anda boleh letak kereta lebih selamat kerana orang ramai di situ

    ReplyDelete

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...