Hari ini mencuba nasib mencari dua belon KLIA berhampiran Agensi Angkasa Negara (MYSA) di Banting. Mengapa mencuba nasib? Persoalan yang perlu dijawab. Ini kerana belon kaji cuaca KLIA ketika mendekati MYSA ini akan mati isyaratnya hingga altitud ketinggian 1000m. Sudah tiga kali belon KLIA mengalami situasi ini. Sudah pasti ia bukanlah satu kebetulan.
Berjaya ke titik akhir radiosonde 2405015294 telah jatuh bertarikh 9 Januari 2025 pada jam 21:22 malam. Koordinat 2.78406 darjah Utara dan 101.50457 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 1136m dan ketinggian maksimum 26,548m. Bergerak ke Jalan Turi dan meletakkan kereta di tepi jalan. Kemudian bergerak masuk melalui titi melalui kebun kelapa sawit. Berselisih dengan pekebun sedang membonceng motorsikal ketika menghala ke titik akhir.
Berjaya tiba di titik akhir merupakan kawasan penanaman ubi kayu yang masih rendah lagi. Bergerak melangkah batas-batas pokok ini. Sempat menandakan titik akhir menggunakan batang ubi kayu yang hampir reput. Asal boleh tegak dan nampak dari jauh sudah. Penanda penting bagi mengenal pasti arah belon bergerak hingga ke titik jangkaan (bomoh).
Hati merasa gembira kerana di hadapan mata adalah kawasan lapang. Kawasan jangkaan belon berdekatan titik akhir sahaja jikalau betul dan tepat. Bergerak ke hadapan sambil melihat bahagian kiri dan kanan tanah kebun yang baru habis menuai. Bergerak ke hadapan kemudian berpatah balik tidak dapat menemui apa-apa. Mustahil tidak jumpa kerana kawasan tersebut sangat lapang dan jelas mata melihat setiap sudut. Lainlah jika ada Pekebun yang telah menemui terlebih dahulu.
Antena cakera yang terdapat dalam MYSA tersebut boleh dilihat semasa misi pencarian belon kaji cuaca. Merujuk laman sesawang MYSA mempunyai dua jenis saiz antena berdiameter 5.0 meter dan 7.3 meter bagi jalur S dan X. Jalur-S Frekuensi uplink 2025 MHz hingga 2110 MHz manakala downlink 2200 MHz hingga 2290 MHz. Seterusnya Jalur-X frekuensi downlink sahaja 8000 MHz hingga 8400 MHz.
Bermula semula dari titik akhir bergerak ke arah belon jatuh pula. Blok sebelah pula, ubi kayu sudah mula tinggi. Memandang bahagian kiri dan bahagian kanan yang ditanam ubi kayu tersebut. Pasti boleh dilihat benang bergantungan di kawasan ubi kayu ini. Sayangnya tiada sebarang tanda yang boleh dikesan. Bahagian-bahagian longkang menjadi sempadan turut diintai.
Kemudian terus lajak hingga ke jalan Durian. Sepanjang pencarian mata terus melilau kiri dan kanan kawasan kebun. Burung-burung bangau turut merayau di kawasan ini. Terdapat burung lain juga berterbangan setelah melewati kawasannya. Cuaca tengah hari tersebut sangat membantu. Sepanjang pencarian cuaca mendung dan redup sahaja. Alhamdulillah! Suasana begini membuatkan terus bersemangat untuk terus mencari.
Pemandangan MYSA menghampiri Jalan Durian. Banyak kawasan kebun telah habis menuai. Jadi, Kawasannya lapang dan mudah dilihat dari mana-mana sudut pandangan sekalipun.
Ada papan tanda merah dipacak dari titi Jalan Durian. Laluan depan itu laluan dari titik akhir hingga ke sini adalah menghampiri 400m juga. Awan gelap boleh dilihat. Cuaca mendung sahaja sepanjang berada di Banting hingga ke petang.
Parit besar mengelilingi kawasan kebun ini. Bersebelahannya adalah Jalan Durian yang sering dilalui sejak aktif mencari belon kaji cuaca di kawasan Banting ini. Barulah hari ini berjaya mendekati MYSA. Selalu hanya melihat dari Jalan Durian ini sahaja.
Parit yang ditumbuhi pohon akuatik yang berbunga warna ungu. Boleh dilihat kawasan kebun ini lapang sahaja. Pasti boleh melihat belon jikalau berada di depan mata. Namun, tidak jumpa juga. Mana agaknya ia jatuh?
Kawasan lapang bergerak arah titik akhir semula. Dua kali melalui kawasan yang sama masih tidak diketemui belon. Bergerak ke tepi titik akhir pula, manalah tahu ia terlajak hingga ke hadapan lagi. Sebelah titik akhir merupakan pokok ubi kayu yang agak besar juga.
Kawasan ubi kayu seumpama ini pasti boleh dilihat benang bersangkutan. Mata melilau setiap sudut tanpa tertinggal satupun. Bergerak dari satu batas ke batas yang lain. Sambil itu meninjau di blok sebelah juga. Parit turut ditinjau sama sekali.
Pemadangan MYSA paling hampir selepas mencari sebelah titik akhir. Barulah penulis dapat mengetahui sekeliling kawasan ini turut digali parit dan berumput bersebelahan pagarnya. Ini dapat mengelakkan binatang ternakan menceroboh kawasan tersebut. Seterusnya masuk semula ke kawasan kebun. Melewati kawasan penanaman pisang pula.
Jejak laluan sepanjang misi SAR di kawasan kebun tersebut. Menghampiri 1 jam 30 minit tiba semula ke kereta. Pergi makan tengah hari dan membuat analisa. Misi kedua selepas solat zohor terlebih dahulu. Misi kedua berada di belakang MYSA pula.
Misi kedua masuk melalui kawasan kedai Kampung Sg Lang ini. Kali ini bahagian belakang MYSA pula. Radiosonde 2405015299 telah jatuh pada 8 Januari 2025 jam 21:31 malam. Koordinat 2.78866 darjah Utara dan 101.51279 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 1101m dan ketinggian maksimum 29,231m.
Berjaya ke titik akhir kawasan kebun kelapa sawit. Koordinat titik jangkaan turut disetkan pada GPS Waypoint Finder. Kawasan kebun sawit ini agak bersemak. Bergerak ke kawasan kebun yang agak bersemak juga. Terjumpa satu kawasan kebun berpagar elektrik. Menyusur tepi pagar tersebut hingga jumpa laluan kebun.
Kemudian masuk semula kawasan kebun kelapa sawit. Menyusur parit hingga jumpa titi untuk menyeberang ke kawasan jangkaan belon jatuh. Berjaya meniti sebatang titi yang halus. Nasib baik tak patah titi tersebut.
Menghampiri titik jangkaan (bomoh) merupakan kawasan kebun ditanam tebu yang agak bersemak. Misi berakhir. Tidak perlu mencari kawasan yang amat bersemak ini. Berpatah balik ke titi semula. Kali ini rela melompat parit sahaja dari memijak titi halus tersebut. Teringat jatuh parit dekat Cheeding yang lalu.
Berpatah balik keluar dari kebun kelapa sawit mengikut laluan kebun semula. Kemudian menyusur kawasan tanaman lengkuas bersebelahan kebun berpagar elektrik tadi. Seterusnya bertemu kawasan lapang yang ada laluan kenderaan keluar ke tempat kereta diletakkan.
Sempat mengambil gambar binaan seperti roket di belakang MYSA tersebut. Tidak pasti fungsi menara yang dibina oleh MYSA ini. Nampak macam berfungsi untuk meletak antena juga.
Jejak misi kedua ini lebih kecil dan jaraknya lebih pendek sahaja. Ini kerana kawasan sangat bersemak sukar misi pencarian dijalankan. Kawasan sebelah belakang ini sangat bersemak berbanding kawasan kebun misi pertama bersebelahan MYSA ini.
Tuntasnya, altitud ketinggian akhir yang agak tinggi itu sememangnya sukar ditemui. Mungkin boleh mencuba lain kali pula. Ternyata kawasan ini mempunyai gangguan isyarat yang kuat bagi radiosonde.
Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi
73, Jojet de 9w2dya