Pagi ini meneroka bahagian timur Tasik Putrajaya. Bermula dari tempat letak kereta belakang blok D. Cuti hujung minggu pagi ini ramai orang beriadah. Amalan gaya hidup sihat perlulah diamalkan selalu.
Cuaca pagi tadi agak berawan juga. Namun, mentari mengintai di balik awan juga. Bergerak ke arah jeti Putrajaya cruise. Kemudian belok kiri menaiki tangga untuk menyeberang menggunakan Jambatan Putra. Ramai Pelari dan penunggang basikal bergerak ke sana ke mari melakukan aktiviti masing-masing.
Melepasi Jambatan Putra terus belok ke kiri mencari laluan turun ke sisir tasik. Ada laluan turun untuk kenderaan beroda. Pilih laluan tersebut yang lebih menurun dan rata berbanding tangga. Laluan untuk yang menggunakan kerusi roda. Kemudahan akses seperti ini memudahkan golongan OKU turun dan naik dengan lebih selamat dan mudah. Basikal turut boleh menggunakan laluan lancar tersebut.
Kompleks Perdana Putra dapat dilihat setelah berjaya turun di sisir tasik. Taman Wawasan kawasan hijau yang berdekatan. Ada kolam ikan selari dengan sisir tasik. Selisih dengan ramai pengunjung yang datang dari pelbagai arah. Meriah suasana maklumlah berdekatan dengan laluan utama dan kemudahan tempat letak kereta.
Pemandangan Jambatan Seri Bakti dilihat dari Taman Wawasan.Oleh kerana laluan adalah jalan tar, maka bolehlah penulis berlari-lari anak. Suasana redup dan nyaman di keliling pokok-pokok kaki bukit.
Pagar di tepi tasik sebelah kiri merupakan kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri Sri Satria. Tasik sebelah timur seperti sebatang sungai. Jarak agak dekat antara Presint 16 di seberang dan Taman Wawasan sebelah sini. Jalan tar kegemaran Penulis untuk berlari berbanding dengan permukaan simen yang keras.
Kubah bangunan Perdana Putra dapat dilihat dari sisir Taman Wawasan. Sudah pasti Pulau Putrajaya ini merupakan kawasan bukit yang tinggi. Takungan air empangan telah mengelilingi kawasan ini. Berbanding sebelah barat menghasilkan kolam takungan yang luas. Manakala, sebelah timur ini tasiknya panjang seperti sungai yang tidak mengalir.
Rumput tepi laluan tersebut sudah pasti menjadi pijakan penulis. Rumput lebih lembut permukaannya berbanding laluan bersimen tersebut. Kali kedua menggunakan laluan ini kerana pernah berlari pusing Pulau Putrajaya ini. Satu pusingan pulau ini dapatlah jarak 11 km.
Laluan yang berpagar tepi tebing adalah di sekitar Presint 18. Tercari juga kedai untuk singgah bekalan air. Namun, tidak terperasan wujudnya kedai di situ. Mungkin terlajak atau terlepas.
Tempoh 37 minit telah berlalu sejak bergerak dari Dataran Putra. Pada kali ini jam Garmin memberi kerjasama dengan baik. Berfungsi dengan baik tanpa berhenti tanpa amaran lagi. Aplikasi Gaia GPS digunakan untuk melihat kedudukan terkini dan merancang perjalanan. Elok juga ada peta kerana kawasan yang tidak pernah dilalui boleh dirancang perjalanan yang terbaik.
Terserempak dengan sekumpulan pendayung perahu panjang sedang berlatih. Bersemangat sungguh mereka berkayuh dengan mendengar arahan Ketua atau Jurulatih. Ada empat perahu panjang yang digunakan. Terlihat juga perahu yang lebih pendek. nampak seperti perahu untuk belajar mengayuh. Mungkin ahli baru belajar teknik kayuhan yang betul.
Warna merah jambu ini bergerak meninggalkan tiga lagi perahu. Kemungkinan bukan satu kumpulan yang sama. Merah jambu ini bergerak terus ke arah pengkalan mereka. Tertanya juga dimanakah tempat pendaratan perahu ini?
Bot Belimbing menyusur tasik dengan perlahan agar tidak mengganggu arus perahu. Kelebaran tasik seperti sungai pastilah menghasilkan ombak yang agak tinggi. Jarak yang pendek pasti gelombang bergerak dengan lebih pantas menghempas tebing.
Sayup perahu telah meninggalkan jarak yang jauh. Kawasan ini tebing berpagar sebagai langkah keselamatan. Ini dapat mengelakkan pengunjung terjatuh ke dalam air.
Pemandangan Jambatan Seri Setia merupakan jambatan kedua yang akan dilepasi. Berlatar belakang bangunan di Dataran Gemilang.
Satu berlalu melepasi Jambatan Seri Setia. Elevation 30m dan kepantasan 4.4 km/h. Garisan jejak berwarna biru cair.
Papan tanda Sisir Tasik Presint 4 berdekatan Jambatan Seri Ehsan. Menyeberangi tasik menggunakan jambatan ini bagi melengkapi pusingan.
Pemandangan tasik umpama sebatang sungai dari atas Jambatan Seri Ehsan. Sesuai untuk aktiviti sukan yang tidak ada gangguan.
Kemudian turun semula ke bawah dari jambatan menyusur anak tangga. Masuk semula ke laluan pejalan kaki bagi meneruskan perjalanan ini.
Berada di bawah Jambatan Seri Setia. Tempat penyimpanan perahu panjang dan segala jenis aktiviti rekreasi air. Rupanya di sinilah pengkalan perahu itu berlabuh.
Perjalanan di teruskan hingga ke Jambatan Seri Bestari. Tidak boleh terus kerana tiada laluan disebabkan Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri di situ. Maka terpaksalah melencong di Presint 16 itu. Terpaksa mendaki tangga ke jalan. Terus menghala ke Taman Warisan Pertanian. Beli air mangga yang sedap terus dapat menghilangkan dahaga badan.
Terus bergerak ke Jambatan Seri Bakti. Turun bawah semula tepi jambatan tersebut untuk ke laluan tasik semula. Pemandangan Jambatan Seri Bakti dari tepi tasik selepas turun. Bermulalah laluan ke Upper Bisa.
Kompleks bangunan kerajaan boleh dilihat dari laluan ini. Memberi pemandangan indah denan biasan bangunan pada permukaan tasik.
Bagunan KPM berlatar belakang empangan pertama Upper Bisa. Air paya turun dari empangan tersebut. Ada boya putih penanda kawasan penghujung yang boleh dinaiki kenderaan air.
Pulau yang menjadi habitat burung membuat sarang di atas pokok-pokok tersebut. Banyak burung bertenggek pada dahan pokok-pokok di situ.
Pokok di pulau ini menjadi tumpuan burung-burung membuat sarang. Ketika tiba di situ suasana sangat meriah dengan bunyi-bunyian serta pergerakan ke sana ke mari.
Terdapat burung bertenggek pada palang penghadang di tepi empangan. Penulis bergerak perlahan-lahan untuk melihat empangan air kawasan tadahan Upper Bisa ini.
Pemandangan Jambatan Seri Bakti dari empangan Upper Bisa Satu. Hadapan itu adalah Tasik Putrajaya yang boleh dilalui bot.
Empangan yang memisahkan antara Tasik Putraja dengan Upper Bisa satu. Bahagian bawah rupakan air Tasik Putrajaya manakala bahagian merupakan kawasan Wetland Upper Bisa. Empangan ini berdekatan dengan Kompleks C dan perumahan Presint 16.
Air melimpahi empangan turun dengan kadar laju juga. Musim hujan pasti air kekal turun dengan kapasiti yang banyak. Terdapat juga sampah-sampah domestik tersangkut. Pada keseluruhannya Tasik Putrajaya dikawal rapi tentangan mutu air serta segala pencemaran.
Stesen Cuaca Water Level PPJA03 mengukur ketinggian aras tasik tersebut secara masa nyata (real time). Boleh rujuk laman sesawang iems.ppj.gov.my bagi mendapatkan data tentang aras tasik dan suhu sekitar. Maklumat yang dicerap stesen PPJA03 ini adalah aras tasik, kuasa bateri dan status dalam talian atau tidak. Stesen ii menggunkan tenaga solar sepenuhnya. Jadi maklumat keupayaan bateri turut dipaparkan.
Pemandangan tasik serta Kompleks kerajaan di hadapan. Luas juga kawasan tanah bencah ini yang mengalir air dari Sungai Bisa.
Air tasik tanah bencah tenang sahaja. Pokok memberi perlindungan yang baik kepada burung-burung di situ.
Papan tanda mengenai Wetland Upper Bisa turut memaparkan spesies burung liar yang terdapat di sini. Kewujudan wetland ini secara tidak langsung memberi habitat yang selamat setiap spesies burung yang ada.
Wetland Upper Bisa(UB) berkeluasan 23.6 hektar dengan jumlah air yang ditakung adalah sebanyak 430 juta liter yang berpunca dari Sungai Bisa. Manakala kedalaman puratanya adalah 3 meter. Ianya dibahagikan kepada dua sel iaitu Upper Bisa 1 (UB1) dan Upper Bisa 2 (UB2) yang berperanan penting untuk merawat air larian permukaan bagi kawasan tadahan seluas 400 hektar. Antara tumbuhan akuatik yang ditanam di sini ialah Rumput Purun dan Lembang.
Berbanding lain-lain sel Wetland yang terletak di Presint 13, Wetland UB terletak di Presint 16, di tengah-tengah bandar Putrajaya serta dikelilingi oleh bangunan Kerajaan, kawasan perumahan serta lot-lot komersial.
Di sini turut dibina 9 buah pulau-pulau kecil bagi menyediakan sebuah habitat yang kondusif untuk burung-burung liar. Kini impian telah terlaksana apabila ratusan burung dari spesies Pucong Seriap, Pucong Serandau, Pucong Kuak, Bangau Kendi dan Botak Padi telah mendiami dan membiak di pulau-pulau UB sejak 20003.
Pemandangan UB 1 dari empangan UB2. Masih kelihatan garis putih melintang adalah Jambatan Seri Bakti lagi. Sebelah kanan kompleks Kerajaan tersergam indah.
Pemandangan Wetland UB 2 dikelilingi bangunan dan penempatan di dalam bandar. Kawasan tadahan yang menyelamatkan kawasan sekitar daripada kejadian banjir. Oleh itu, sumbar alam sekitar tanah bencah ini perlulah dikekalkan pelihara dan pemuliharaan berkala dilakukan.
Empangan di UB 2 lebih kurang sama sahaja binaan di UB 1. Seberang tasik ada kawasan berpagar untuk pengunjung menikmati pemandangan indah nian.
Kawasan bencah ini tidak dalam paling dalampun purata 3 meter sahaja. Tidak hairanlan boleh lihat burung berdiri dalam tasik ini. Suasana lebih meriah di Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi. Burung-burung berada dalam air tasik mencari ikan.
Ada dua titi dibina bagi laluan pintas untuk elak mengelilingi tasik. Kedua titi telah ditutup bagi kerja penyelenggaraan. Penulis pula lebih suka mengelilingi tasik bagi melengkapkan satu pusingan bagi perjalanan tersebut. Hujung kawasan tasik ini terdapat kawasan struktur Latihan Bina Semangat yang agak lama kelihatannya.
Menghampiri hotel dan pusat membeli belah di sini terdapat satu papan tanda yang bercorak. Turut wujud pokok bunga hiasan di bawah. Tertera PUTRAJAYA LAKE AND WETLAND UNESCO ECOHYDROLOGY DEMONSTRATION SITE SINCE 2010.
Terdapat juga kolam ikan serta tumbuhan akuatik bersebelahan dengan tasik. Tidak ada pula burung-burung datang mematuk ikan-ikan tersebut.














































No comments:
Post a Comment