QSO ISS to 9M2RPN 2008

RICHARD Garriot yang merupakan anak kepada angkasawan terkenal Amerika Syarikat, Owen Garriot telah melakar sejarah apabila menjadi orang biasa yang keenam menjelajah angkasa lepas menerusi Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Beliau yang merupakan seorang jutawan dan pereka permainan video terkemuka dunia telah mengambil keputusan untuk mendalami dunia sains selain memupuk minat terhadap golongan muda terutama pelajar melalui pengembaraannya itu.
Justeru, misi utama beliau adalah untuk mempelajari serta menimba pengalaman baru terhadap dunia penerokaan angkasa lepas sekali gus berkomunikasi melalui radio amatur bagi tujuan berkongsi pengalamannya dengan para pelajara di seluruh dunia. Maka dengan bantuan krew dan angkasawan di ISS beliau berupaya untuk berkomunikasi dengan pelajar terpilih pada satu program di Planetarium Negara kelmarin atas inisiatif Agensi Angkasa Negara (Angkasa).
Program tersebut amat signifikan sempena sambutan setahun Program Angkasawan Negara yang berlangsung dari 10 Oktober hingga 21 Oktober lalu. Seramai 16 orang pelajar Tahun Empat dari pelbagai sekolah seluruh negara telah dipilih untuk berkomunikasi dengan Richard Garriot menerusi radio amatur selama sembilan minit. Walaupun berada beribu batu jauh dari bumi Garriot masih berupaya untuk berkomunikasi dengan jelas bersama -sama pelajar berkenaan

Pelbagai soalan diajukan kepada beliau berhubung pengembaraan beliau ke ISS. Salah satu soalan yang diajukan oleh murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Wen, Labuan, Shaun Ho Ee Farn, adakah beliau berpeluang untuk menikmati kejadian siang dan malam ketika berada di ISS.
Richard menjelaskan, kejadian siang dan malam bertukar sebanyak 16 kali kerana ISS berpusing mengelilingi orbit.
Seorang lagi murid dari SJKC Chung Hwa Kota Kinabalu , Sabah, Nicholas Yeoh, pula ingin mengetahui tempoh perjalanan beliau dari bumi ke angkasa lepas.
Garriott menjawab, perjalanan tersebut sangat singkat yang hanya memakan masa selama lapan minit sahaja.
�Saya hanya mengelap badan sahaja bagi tujuan membersihkan badan selama berada di ISS,� katanya ketika ditanya murid dari Sekolah St Edmund Limbang, Cosmartin Allistair, semasa siaran secara langsung menerusi radio amatur dijalankan di Planetarium Negara.
Selain itu, Garriot turut menyatakan, saiz matahari yang dilihat dari ISS adalah sama seperti melihatnya dari permukaan bumi tetapi ia kelihatan lebih terang jika dilihat dari ISS.
Mengenai soalan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Kulim Bandar, Kedah, Muhammad Syahir yang ingin mengetahui bagaimana sekiranya beliau jatuh sakit, Garriot menceritakan, di ISS terdapat segala keperluan perubatan dan anggota krew semuanya terlatih dengan dunia perubatan.
Maka, ia tidak akan menjadi masalah, melainkan salah seorang mengalami sakit kronik dan kumpulan tersebut perlu pulang ke bumi.

Terdahulu beliau telah diterbangkan ke ISS menerusi roket Soyuz pada 12 Oktober lalu dan pulang ke bumi pada 22 Oktober.
Program khas tersebut turut disaksikan oleh Mejar Dr. Faiz Khaleed.
Ia mengulangi detik bersejarah sekumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Vivekananda, Jalan Templer, Petaling Jaya berpeluang berkomunikasi dengan angkasawan negara Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menerusi radio amatur pada tahun lalu.
Pengalaman Sementara itu, sempena sambutan ulang tahun itu juga, Dr. Faiz berkongsi pengalamannya mengenai kepentingan Program Angkasawan Negara.
Pada satu program syarahan yang dihadiri lebih 300 orang pelajar sekolah menengah di Pusat Sains Negara, beliau sempat berkongsi cerita dan pengalamannya sepanjang menjalani latihan sebagai seorang angkasawan ketika di Malaysia dan juga Rusia.
Menurut beliau, penyertaan negara dalam bidang sains baru itu perlu disokong kerana ia menyumbang banyak faedah dalam pelbagai sektor.
�Program ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan pembangunan sektor sains dan teknologi, ekonomi serta pendidikan negara.
�Tidak ada negara membangun di dunia ini yang tidak menitik beratkan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi,�� katanya.

Menurutnya, negara-negara seperti Rusia, Amerika Syarikat, Jepun dan China telah menyertai industri tersebut kerana mereka percaya program sedemikian mampu memberi keuntungan kepada banyak pihak. Fokus utama penghantaran angkasawan ke ISS sebenarnya bertujuan untuk menjalankan pelbagai eksperimen yang berkaitan dengan kehidupan manusia di dunia.
Antara bentuk eksperimen yang dijalankan ketika di ISS adalah seperti penyelidikan semikonduktor, realiti maya, pembiakan sel kanser dan penghabluran protein.
Untuk eksperimen sel kanser, ia melibatkan penyelidikan pola pembiakan sel ketika berada di dalam tubuh manusia.
�Jika kajian ini dilakukan di bumi, sel tersebut akan membiak secara mendatar. �Namun, melalui kajian di angkasa, sel-sel aktif akan membiak dengan jelas secara tiga dimensi peringkat demi peringkat,�� jelasnya.
Dengan kelebihan itu, eksperimen tersebut akan dapat menentukan peringkat pembiakan sel kanser yang paling sesuai untuk melaksanakan proses suntikan vaksin.
Bagi eksperimen penghabluran protein pula, ia dijalankan untuk mengkaji serta memperkembangkan struktur enzim tersebut agar dapat digunakan dalam pelbagai industri.
Melalui kesan mikrograviti yang terdapat di angkasa, proses penghabluran menjadi mudah di mana struktur enzim tersebut akan dapat dilihat dengan lebih jelas.

�Ia akan memudahkan proses penambahan atau pembuangan bahagian struktur yang terlibat agar dapat menghasilkan protein yang lebih baik, katanya.

No comments:

Post a Comment

Batu Tanda Sempadan Negeri WP Putrajaya/Selangor No. 1/72

 Selepas gagal mencari belon KLIA malam tadi. Operasi mencari batu tanda aras dilancarkan pula. Pencarian sekitar Persiaran Selatan dan Pers...