Hari ini belon KLIA pagi telah jatuh di sebelah Pusat Angkasa Negara, Banting. Berjaya dicari oleh Zahrin 9M2MDZ setelah berjaya mendekodkan koordinat baru. Ini kerana altitud ketinggian akhir sebenar sangat tinggi iaitu 1197m. Sebab itu pentingnya ada peranti yang dapat menjalankan perisian Auto-RX bagi mendapatkan lokasi terkini.
Radiosonde 2405015310 telah jatuh jam 9:22 pagi tadi. Koordinat 2.78159 darjah Utara dan 101.50802 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 1,197m dan ketinggian maksimum 28,126m. Koordinat yang berjaya didekod baru adalah 2.779950 darjah Utara dan 101.50711 darjah Timur. Berdasarkan koordinat baru ternyata tidak terlalu hampir dengan asal. Pastilah altitud ketinggian akhir sangat tinggi.
Credit 9M2MDZ |
Zahrin 9M2MDZ bersama hasil tangkapan pagi ini berlatar belakang Pusat Angkasa Negara. Bersebelahan dengan kawasan kebun tanaman kontan. Sejak memburu belon di sekitar Banting ini, penulis belum pernah ke sana lagi. Hanya melihat dari kejauhan sahaja.
Pokok paku-pakis jenis inilah semalam penulis berenang di Sungai Rambai. Peranti terselit di balik pokok paku-pakis. Sudah tahu koordinat terkini tidak perlu risau kerana sememang ia ada di situ. Masalah timbul jika mencari tiada hujung pangkalnya. Tahniah Zahrin 9M2MDZ ahli aktif Team SAR Central berjaya mendapatkan belon KLIA pagi tadi.
Hari ketiga berturut-turut melancarkan misi SAR sebelum sekolah kembali buka. Misi hari ini mencari belon yang belum dicari lagi disekitar Banting. Misi pertama di Sungai Kelambu. Radiosonde 2405015997 telah jatuh pada 19 Disember 2024 jam 9:38 pagi. Koordinat 2.80225 darjah Utara dan 101.59402 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 199m dan ketinggian maksimum 29,812m.
Banyak kali juga belon jatuh di kawasan Kg Sg Kelambu ini. Pernah juga belon jatuh di kawasan ladang solar sebelah loji rawatan air Sg Kelambu ini. Pengawal keselamatan menunjukkan radiosonde DFM-17 ketika itu. Ketika itu Arul 9M2OCX pergi mencari di sana. Gambar di atas pemandangan kilang besi Lion bersebelahan Sg Langat.
Memandu dari Banting hingga ke loji rawatan air Sg Kelambu. Rupanya ada laluan ladang masuk hingga ke titik akhir. Ada laluan masuk memudahkan pencarian. Semasa sampai dan meletak kereta di bahu jalan bersebelahan loji. Monyet-monyet melompat ke sana-sini. Terus bertempiaran lari setelah melihat kelibatku. Laluan ini menyambung ke jambatan besi yang digunakan lori berulang-alik. Tidak pasti lori yang berulang-alik ini membuat kerja untuk kilang besi ini. Terlihat juga sebelum sampai papan tanda projek JKR jalan raya menghubungkan Sg Kelambu dan kilang besi.
Jambatan besi selorong ini digunakan lori berulang-alik ke kilang besi. Mungkin jambatan ini hasil besi yang dikeluarkan oleh kilang tersebut. Penulis melalui bawahnya untuk meneruskan laluan ke ladang kelapa sawit sebelahnya. Kemudian terus masuk satu lorong hingga ke tebing Sg Langat. Oh! rupanya ini merupakan port memancing. Kelihatan dua bot nelayan sungai menahan jala. Sempat melambai tangan kepada salah seorang daripada mereka. Terpaksa berpatah balik kembali ke laluan ladang kelapa sawit yang berlopak dan lecah.
Seterusnya bertemu rintis TNB. Titik akhir antara dua tiang pylon ini. Kawasan seperti biasa bersemak namun masih boleh dilalui lagi. Kemudian mengenal pasti arah belon jatuh menggunakan kompas perismatik. Setelah dapat arah terus ke kawasan ladang kelapa sawit tersebut. Pemandangan arah loji rawatan air kelihatan di situ tangki air tersergam megah berdiri.
Tiang pylon ini pula pemandangan menghadap Sg Langat. Tiang inilah yang terdapat dalam tangkap layar di atas. Bergerak mencari seperti biasa baris demi baris kelapa sawit. Namun, tiada tanda belon dapat dijumpai. Kemudian mencari juga di bawah rentis TNB ini juga. Kebarangkalian jatuh dalam semak boleh dianggap juga. Setelah mencari baris sawit hingga ke tebing Sg Langat juga. Terlihat juga anak beranak babi hutan bergerak di sebelah sana.
Jejak sepanjang misi pencarian radiosonde 2405015997. Loji Rawatan Air Labohan Dagang tertera dalam peta satelit. Loji ini mempunyai kolam tadahan air yang amat besar. Ini penting memastikan sumber bekalan air sentiasa cukup. Setelah berpuas hati mencari kembali semula ke kereta dan kembali semula ke Banting. Penulis belum pernah mencuba laluan dari Sg Kelambu ke Labohan Dagang ini. Jika ada, lebih dekat untuk balik ke Bangi tanpa menempuh Banting semula.
Kawasan ladang ini amat bersih juga. Namun sukar melihat benang atau peranti di hadapan mata. Kembali ke Kampung Sungai Lang untuk solat Zohor terlebih dahulu. Usai solat singgah makan tengah hari pula. Sambil makan merangka strategi dan perancangan untuk misi SAR seterusnya.
Ada kesempatan dan kelapangan ini tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Lebih-lebih lagi mencari dikawasan yang belum pernah dijejaki. Ini dapat menambahkan lagi pandangan dan pengalaman. Jauh berjalan luas pemandangan. Cuti yang tidak seberapa hari ini harus digunakan dengan bijaksana. Hasil walaupun pulang tangan kosong tidak mengapa. Apa yang penting dapat mencari mana-mana belon yang belum di cari lagi.
Misi kedua menghala ke pantai Morib. Bukanlah kawasan peranginan tersebut. Bergerak melalui laluan nombor 5. Terus melalui Jalan Tali Air. Keluar Jalan Tali Air belok ke kiri menghala ke Batu Laut. Seterus melepasi Kampung Endah sebelah kiri. Terus hingga jumpa laluan masuk seperti baru kerja pembersihan sahaja. Macam tahu-tahu sahaja hendak mencari belon di kawasan itu. Laluan elok dibersihkan memudahkan kenderaan melaluinya walupun agak sempit.
Pemandangan dari bawah jambatan besi Sungai Langat. Berdiri megah menara di kilang besi Lion tersebut. Sungai Langat di kawasan ini sangat lebar. Teringat sungai di Sarawak yang kebanyakannya amat lebar.
Bawah jambatan besi ini turut menjadi port memancing. Bunyi bising lori lalu-lalang menyebabkan umpan tidak dimakan. Pemancing tegar tidak menjadi masalah. Apa yang penting berjaya mendaratkan ikan.
Radiosonde 2405011521 telah jatuh pada 12 Disember 2024 jam 21:26 malam. Koordinat 2.70389 darjah Utara dan 101.46566 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 264m dan ketinggian maksimum 28,903m. Setelah meletakkan kereta terlihat dua buah pondok ringkas di tepi pantai yang dilindungi hutan paya bakau. Kemudian mencari laluan masuk ke dua pondok tersebut.
Ada laluan masuk tidak berturap ke pondok tersebut. Terdapat seekor anjing di bawah salah satu pondok tersebut. Telahanku pondok milik orang asal laut. Betul-betul menghadap hutan paya bakau. Kelihatan sisa sampah yang terdampar di atas pantai yang dipenuhi rumput menghijau. Titik akhir di dalam kawasan paya bakau tersebut. Jangkaan mendarat turut berada di kawasan hutan paya bakau.
Terdapat deretan pohon ru di sepanjang pantai berpasir yang dipenuhi rumput. Tidak kelihatan tuan punya pondok. Maka, tidak berani hendak ke pondok itu. Rasanya belon pasti tersangkut dalam kawasan hutan bakau tersebut. Setelah menunggu seketika, tidak kelihatan kelibat manusia berpatah balik ke kereta. Misi ketiga kembali semula ke Jalan Tali Air semula.
Radiosonde 2405011514 telah jatuh pada 16 Disember 2024 jam 9:32 pagi. Koordinat 2.77724 darjah Utara dan 101.47205 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 453m dan ketinggian maksimum 29,350m. Berpatah balik laluan sama menuju simpang empat Tali Air belok kiri. Kemudian beberapa meter meletakkan kereta di kawasan jualan tanah dan pasir. Bergerak mencari titik akhir ke hadapan sedikit. Rupanya di bawah backhoe terdapat beberapa ekor anjing. Kemudian menyalak terus ambil gumpulan tanah terus baling. Apa lagi? lintang-pukang anjing-anjing itu lari.
Keluar semula kawasan tersebut dan bergerak ke tanah sebelah bagi mendapatkan kedudukan titik akhir. Pokok kelapa sawit yang tengah itu menjadi sasaran arah bearing seterusnya. Hadapan titik akhir ini merupakan tanaman rumput makanan haiwan ternakan. Sekali pandang seperti pokok tebu, hakikatnya bukanlah tebu tapi tanaman untuk makanan haiwan ternakan. Sebenarnya pada hari kejadian Swl Hafiz telah mencuba mencarinya. Namun turut tidak menjumpai sebarang tanda. Itulah pertama kali beliau mencuba mencari belon. Pengalaman yang berharga bagi kali pertama mencuba. Kini, Swl Hafiz telah berjaya mendapat beberapa peranti. Hebat! bukan? Semua bermula minat mengikuti Tiktok Zaki 9M2ZAK.
Kemudian bergerak ke tanah sebelah lagi kawasan kebun kelapa sawit yang baru dibersihkan. Bergerak hingga jalan tali air semula. Sepanjang penacarian tidak menjumpai sebarang tanda walaupun kawasan ini sangat bersih dan kemas. Ada dua kemungkinan belon itu jatuh. Pertama terlajak dan menyeberang tali air ini hingga kawasan ladang sawit di hadapan. Kedua jatuh dalam kawasan rumput 'tebu' berdekatan titik akhir tersebut.
Misi keempat di jalan Simpang Jugra. Bergerak dari Tali Air ke Simpang Jugra melalui Kelanang. Radiosonde 2405011526 telah jatuh pada 15 Disember 2024 jam 9:35 pagi. Koordinat 2.80699 darjah Utara dan 101.41575 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 454m dan ketinggian maksimum 30,969m. Melepasi jalan Sungai Yu belok ke kiri. Tiba di hadapan kawasan berpagar menghampiri titik akhir. Letak kereta di bahu jalan bersebelahan tali air juga.
Titik akhir berada di dalam kawasan berpagar di dalam. Pagar tembok yang agak tinggi. Masih boleh intai sebelah tepi yang tidak ditutup. Tidak kelihatan pula orang di dalam. Tali air ini menghadap sebelah Sungai Langat.
Pemandangan tali air menghadap Bukit Jugra. Kelihatan tali air ini sudah dicuci bersih membolehkan air mengalir tenang. Rumput di bahu jalan turut dijaga rapi menyebabkan tidaklah terlalu bersemak. Boleh dikatakan kawasan Banting bertanah gambut ini banyak dilihat tali air bersebelahan jalan utama. Sistem pengairan yang baik dan terancang ini dapat mengawal banjir dan juga untuk pertanian terutama ladang kelapa sawit yang banyak di sini.
Kawasan berpagar milik persendirian pastilah tidak boleh dimasuki. Jika ada pondok pengawal boleh juga pergi bertanya. Bersebelahan kawasan ini terdapat kolam ternakan. Merujuk tangkap layar di atas jangkaan jatuh menghala ke arah kolam tersebut. Merujuk kedudukan terakhir belon mengarah keluar ke tali air dan masuk ke kawasan ladang kelapa sawit.
Misi terakhir yang kelima bergerak ke jalan Ladang dekat Sg Buaya. Radiosonde 2405012515 telah jatuh pada 25 November 2024 jam 9:31 pagi. Koordinat 2.84398 darjah Utara dan 101.43697 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 366m dan ketinggian maksimum 20,452m. Walaupun belon sudah agak lama jatuh, boleh juga cuba mencari. Berdasarkan pengalaman lepas, peranti dapat dijumpai semula dengan syarat tidak diambil orang atau dikacau monyet.
Setelah tiba di lokasi kejadian, kawasan kampung dikelilingi pokok kelapa sawit. Meletak kereta di hadapan rumah penduduk. Merujuk tangkap layar di atas, kawasan tanah merah berdekatan titik akhir itulah tapak rumah yang sedang dalam pembinaan. Pastilah peranti dan belon berada di belakang rumah ini. Sayangnya tiada kelibat orang untuk minta izin bergerak ke belakang.
Lagi satu halangan terdapat sekawan lembu berada di sekitar sebelah belakang rumah itu. Lembu memandang sahaja kelibatku untuk ke situ. Lebih baik bergerak ke tempat lain manalah tahu belon terlajak ke hadapan lagi. Ketika mencari kedengaran azan Asar. Terus keluar kawasan kelapa sawit yang dijaga rapi.
Bergerak ke kereta masih tidak dapat melihat kelibat tuan rumah juga. Mungkin tengah berehat di dalam rumah. Kemudian terus bergerak ke masjid di Sungai Buaya. Usai solat Asar terus melalui jalan Sg Buaya ke Pekan Banting.
Walaupun tidak membawa hasil pada hari ini, namun puas hati kerana berjaya meneroka tempat baru. Jauh berjalan luas pemandangan. Peribahasa yang tepat digunakan pada kali ini. Setiap misi SAR ada pengalaman baru yang tidak boleh dijual beli. Hanya yang melalui dan merasai dapat menghargai setiap detik itu.
Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi.
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment