Belon pagi ini radiosonde 2405015328 sangat sukar dijumpai memandangkan altitud ketinggian akhir agak tinggi. Kawasan ladang kelapa sawit di laluan B60 Jalan Utama Seri Cheeding lokasi jatuhan. Jatuh jam 9:25 pagi. Koordinat 2.87267 darjah Utara dan 101.53217 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 436m dan ketinggian maksimum 24,359m.
Memandu dari Bangi hingga ke Olak Lempit terus masuk ke Jalan Bukit Perah untuk ke Seri Cheeding. Jalan dalam ini lebih cepat berbanding menghala ke Banting terlebih dahulu. Tiba di lokasi kejadian meletakkan kereta di tempat pengumpulan buah sawit. Kemudian berjalan masuk ke kawasan ladang kelapa sawit. Bergerak ke titik akhir. Terdapat dua motorsikal di situ menandakan pekerja sedang memetik tandan buah kelapa sawit.
Titik akhir bersebelahan penjuru belakang pusat tersebut. Ketika sibuk menentukan arah menggunakan kompas perismatik datang lelaki cina. Sudah pasti tuan punya tanah menanyakan tujuan kehadiranku di situ. Sudah pasti menunjukkan contoh peranti radiosonde kepadanya. Si empunya pun paham dan terkejut yang selama ini ramalan kaji cuaca menggunakan alat tersebut. Barulah dia faham cara Meteorologi membuat ramalan cuaca. Kemudian dia pun beredar pergi. Sangkaannya penulis membuat kerja mengukur tanah.
Setelah berjaya mengenal pasti arah belon jatuh terus berjalan ke arah tersebut. Bergerak ke arah yang dituju. Terhenti akibat parit. Melewati parit hingga ke hujung terdapat batang kelapa sawit mati jatuh merentangi parit itu. Melintas dengan berhati-hati. Setelah menjejak tanah sebelah terus kembali semula ke arah bearing tadi. Terus bergerak menyambung bergerak terus ke hadapan. Hampir 200m jarak isyarat tidak kedengaran. Berpatah balik sambil terus mencari. Kawasan jangkaan belon jatuh turut diselongkar. Selepas mencari satu jam setengah misi pencarian dihentikan.
Sebelum beredar sempat berjumpa salah seorang pekerja yang sibuk mengait tandan sawit. Memaklumkan kepada pekerja tersebut jika terjumpa peranti radiosonde. Berjalan keluar ke jalan besar hingga ke kereta semula. Misi kedua di Kampung Sungai Rambai. Malam tadi Hanif 9W2VHF berjaya mengunci koordinat terkini belon malam tersebut. Sayangnya tidak boleh masuk mengambil peranti kerana kawasan terlalu semak.
Radiosonde 2405015322 jatuh bertarikh 26 Disember 2024 jam 21:17 malam. Koordinat 2.90148 darjah Utara dan 101.49447 darjah Timur. Koordinat terkini yang dikuncikan oleh Hanif 9W2VHF adalah 2.90103 darjah Utara dan 101.49473 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 369m dan ketinggian maksimum 26,492m.
Bergerak ke Sg Rambai dari jalan Seri Cheeding tidaklah terlalu jauh. Perlu buat pusingan U di simpang SKVE sebelum belok ke kiri masuk ke Jalan Sg Rambai. Tiba di Jalan Teratai belok kiri juga. Lokasi pendaratan di sebelah kiri juga. Jarak dari jalan besar ke titik akhir hanya berbaki 50m sahaja.
Meletak kereta bersebelahan warung makan yang tutup di persimpangan jalan Bakawali. Setelah bersedia dengan kelengkapan terus ke titik akhir. Melintas jalan dengan berhati-hati. Meninjau terlebih dahulu kawasan lokasi. Ada laluan masuk di sebelah kabin. Kawasan bersemak ini telah dibiarkan oleh empunya tanah. Terdapat papan tanda Tanah untuk dijual di situ. Patutlah bersemak kerana tanah diabaikan untuk mendapat pemilik baharu.
Selepas meninjau terus bergerak ke belakang kabin. Tiada laluan untuk ke titik akhir. Pokok pakis melepasi kepala di hadapan serta kawasan keliling. Hendak tak hendak pencarian mesti diteruskan jua. Apa taknya? Koordinat terkini telah berjaya diperolehi. Rugi rasanya jika tidak cuba mengambilnya. Walaupun halangan besar di hadapan, objektif mengambil peranti perlu diteruskan.
Parang tidak bawa bersama untuk menebas laluan. Jadi, teknik rempuhan digunakan bagi membuka laluan. Rupanya ada pokok kelapa sawit muda telah ditanam di kawasan sekitar tanah ini. Nasib baik pokok pakis sahaja yang tumbuh. Bolehlah dirempuh sahaja bagi cepat mendapatkan peranti.
Akhirnya terlihat gumpalan benang di atas pakis. Peranti terselit di bawah pokok paku-pakis tersebut. Tanpa banyak soal terus mendapatkan peranti serta belon berada di hadapan sedikit. Terus tarik benang bagi mendapatkan belon. Usai bergambar terus keluar melalui laluan rempuhan tadi. Sampai warung makan barulah membuat kerja pelaporan di laman sesawang sondeHub.
Usai pelaporan di warung terus bersiap untuk solat Jumaat pula. Keluar sahaja jalan besar telah kelihatan Masjid Al-Firdaus menjadi pilihan. Usai solat Jumaat terus ke kedai makan sebelah stesen minyak Petronas.
Kemudian setelah tembolok diisi terus bergerak semula ke Jalan Kg Jenjarom. Belon pagi semalam berhampiran kuil itu. Pada kali ini mencari ke kawasan hadapan pula. Meletak kereta di hadapan Klinik Kesihatan Jenjarom. Memerhati di bahu jalan serta di dalam longkang juga. Bergerak hingga ke simpang tiga turut tidak menjumpai sebarang tanda.
Puas mencari bergerak pula ke Sungai Buaya. Ada beberapa belon jatuh di kawasan Sungai Buaya namun tiada kesempatan untuk mencari. Jalan Bakawali bersebelahan warung tempat berehat sebentar selepas berenang dalam pokok paku-pakis tersebut. Pemandangan hadapan itulah mencari belon yang berbaki 50m itu.
Jejak pencarian di Sg Rambai melalui peta satelit. Terpaksa berenang pada pokok paku-pakis yang menghalang pandangan. Agak penat juga menolak dan memijak pokok tersebut bagi membuat laluan ke peranti. Kalau menebas lagi penat, elok pijak lebih cepat untuk membuka laluan. Pengalaman meraduk resam banyak mengajar teknik untuk melepaskan diri di dalam semak. Dulu selalu naik gunung terpaksa menghadap masalah ini. Alah bisa tegal biasa. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.
Bergerak ke Sungai Buaya melalui Banting terus ke jalan menghala ke Pulau Carey. Letak kereta di Kg Sg Buaya. Berjalan menyusur tepi jalan tersebut dan masuk ke kawasan kebun kelapa sawit. Radiosonde 2405011534 telah jatuh pada 5 Disember 2024 jam 21:37 malam. Koordinat 2.85367 darjah Utara dan 101.4789 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 358m dan ketinggian maksimum 30,759m.
Pada kali ini menggunakan koordinat jangkaan jatuh oleh laman sesawang SondeHub. Titiknya di belakang rumah kawasan kebun. Jika tepat jatuh di kawasan itu sudah pasti telah dikutip. Pasti penghuni rumah menyedari benda pelik jatuh di atas kebunnya lalu simpan atau dibuang sahaja.
Credit 9W2VHF |
Kemudian bergegas semula ke jalan Seri Cheeding bagi memulakan pencarian kali kedua. Pada kali ini dengan talian hayat dari Hanif 9W2VHF membawa senjata untuk mendapatkan koordinat terkini. Beliau bersama Syukri 9W2UUE bermotosikal. Sayangnya senjata tersebut tidak berjaya mengesan koordinat terkini. Merata juga kami mencari hinggakan motorsikal turut dibawa masuk ke dalam kawasan ladang.
Credit 9W2VHF |
Setelah penat mencari kamipun bergerak pulang. Beberapa minit selepas itu, Hanif 9W2VHF memaklumkan telah berjaya mendapat koordinat baru. Mereka berdua bergerak melalui lorong sebelah pusat bahagian hadapan sedikit. Isyarat kuat menurut Hanif 9W2VHF. Koordinat terkini pada paparan di atas berjaya dikunci. Rupanya belon berada di dalam parit belakang pusat pengumpulan buah kelapa sawit tersebut.
Credit 9W2VHF |
Sikap tidak pernah kenal putus asa akhirnya membawa kejayaan. Matlamat tercapai dengan sifat kesabaran yang telah ditanam dalam jiwa. Kerjasama berkumpulan memudahkan pencarian. Akhirnya peranti radiosonde 2405015828 berjaya dalam genggaman Hanif 9W2VHF dan Syukri 9W2UUE.
Tuntasnya teknik mencari kini perlu berfikir dari luar kotak. Tidak disangka pula belon disaat akhir telah membuat pusingan U. Sangat dekat dengan titik akhir. Memang tidak disangka belon boleh berpatah balik. Jika jangkaan belon yang beralih arah itu bolehlah menjangka ia akan berpusing pula. Semuanya perlu Think out of the box. Bukan sekadar bergantung harapan bearing yang lurus itu. Sangat mencabar dan menduga akal pada misi kali ini. Semua teka-teki dapat dijawab setelah ia dijumpai dengan bantuan talian hayat. Alhamdulillah rezeki turut menyebelahi usaha.
Tahniah pada Hanif 9W2VHF dan Syukri 9W2UUE yang sanggup turun dari KL. Usaha berbaloi membawa hasil akhirnya.
Selamat Memburu!
Jumpa dan jumpa lagi
73, Jojet de 9w2dya
No comments:
Post a Comment