Kajian Lapangan di Pulau Indah


 Susulan belon radiosonde KLIA yang jatuh pada malam 16 Februari 2022 yang lalu. Pagi tadi telah membuat kajian lapangan di Pulau Indah. Mencari titik terhampir bagi radiosonde D20043217 yang jatuh di Pulau Carey.


Koordinat 2 darjah 53.03' Utara an 101 darjah 17.89' Timur. Altitud ketinggian terakhir 95m menghampiri Selat Lumut di kawasan paya bakau.

Memandu dari base Bangi melalui Jenjarom masuk lebuhraya SKVE terus ke Pulau Indah. Stesen 9W2DYA-10 diaktifkan sepanjang perjalanan. Tiba di tepi laut memasukkan koordinat pada aplikasi GPS waypoint finder.


Jarak yang direkodkan adalah 3.960 km menghala ke barat dan terpaksa berpatah balik ke belakang. Kemudian memandu terus mengikut jalan menghala ke Pantai Acheh seperti yang dilabelkan dalam peta google.


Jarak terhampir dengan radiosonde D20043217 adalah 1045m. Tidak boleh menghampiri selat kerana sepanjang laluan merupakan tanah persendirian. Jadi lebar Selat Lumut hampir 1 kilometer. Maka ternyatalah belon radiosonde ini telah selamat jatuh ke dalam air pada malam itu. Kelihatan sepanjang Selat di Pulau Carey dari Pulau Indah merupakan kawasan paya bakau.


Cuba ingin ke arah pantai Acheh seperti dilabelkan dalam peta google. Namun laluan telah di tutup untuk kerja pembangunan kawasan tersebut. Singgah di Kuala Sg Kembong yang merupakan jeti pendaratan bot-bot nelayan.


Selat Lumut antara Pulau Indah dan Pulau Carey. Pemandangan jeti Sungai Kembong menghadap Pulau Carey yang dikelilingi paya bakau. Paya bakau berfungsi mengelak kejadian hakisan dan melindungi dari tiupan angin yang kuat juga akibat ombak kuat.


Deretan bot-bot nelayan di Kuala Sungai Kembong, Pulau Indah. Berehat sebentar menikmati mee goreng di kedai makan berhampiran. Pulau Indah lebih maju berbanding Pulau Carey yang dikuasai oleh ladang kelapa sawit sahaja.


Nun hujung di sana merupakan kawasan belon D20043217 dipercayai jatuh. Sememangnya pada malam itu ia jatuh ke dalam laut. Ini kerana altitud terakhir 95m adalah sangat menghampiri titik terakhir belon. Jika tidak masuk lautpun, ia tetap tersangkut di kawasan pokok-pokok bakau. Agak sukar untuk mendapatkannya kerana sangat berbahaya.


Pemandangan Bukit Jugra nun di hujung sana menjadi panduan navigasi maritim di Selat Melaka. Bersebelah kedai makan adalah bengkel bot fiber. Kelihatan pengusaha sangat sibuk menyiapkan tempahan.

Seterusnya memandu ke Morib melalui Telok Panglima Garang. Ingin meninjau belon D20052460 yang jatuh 26 Disember 2021. Jatuh pada malam hari di atas pantai sememang mustahil untuk dijumpai semula. Namun meninjau kawasan sekitar pantai jika terbabas ke kawasan pokok-pokok yang berhampiran.


Waktu tengah hari air laut surut. Pengunjung berjalan hingga ke tengah pantai mencari kerang-kerangan. Aku pula meninjau di sekitar pokok melihat benang-benang jikalau boleh menjumpai belon. Jumpa juga benang, tetapi bukanlah barang yang dicari.


Kemudian menyusuri longgokan batu pemecah ombak untuk ke kawasan morib lama. Namun tidak kelihatan benda yang dicari. Jarak ke titik akhir adalah 223m.


Jika jatuh di kawasan pantai sekali lagi perlu mencari dengan kadar segera sebelum orang lain menjumpainya.


Pemandangan jarak 223m menghadap kawasan pendaratan belon pada malam itu. Sebelah kanan banyak pokok terutamanya pokok ru. Hanya layang-layang yang terputus talinya tersangkut. Benang belon tidak kelihatan mahupun di kawasan semak.



Pencarian seterusnya ke Tanjung Sepat dan Kg Ladang Batu. Namun singgah solat zohor di Masjid Morib. Belon D20039954 altitud terakhir 796m. Pernah mencari pada tahun baru bersama Hanif 9W2VHF dan Yatt 9W2MFE. Pada waktu itu telah pusing keliling. Kali ini mencari mengikut arah belon di kawasan hadapan rumah antara sawit dan kebun pisang. Namun sememangnya tidak jumpa juga.


Selepas meninjau sebentar di Tanjung Sepat, terus memandu ke medan selera di Batu Laut. Makan agak lewat sebelum meninjau semula belon D20052398 di Kg Ladang Batu.


Ini merupakan belon yang bongsu dari tiga beradik yang mendarat secara selari di kawasan ini. Belon sulung dan tengah telah dicari pada minggu lepas. Belon tengah altitud  1081m berjaya dijumpai lokasinya walaupun peranti telah diambil orang. Nasib baik beberapa bukti telah ditinggalkan.

Credit 9M2EDX

Pada kali ini mencari semula di sekitar kawasan terakhir bersama Hanif 9W2VHF pada 15 Januari 2022. Namun mencari ke hadapan lagi hingga melepasi jalan . Kemudian mencari di kawasan sawit bersebelahan kebun pisang. Tetap tidak menjumpai sebarang tanda. Sewaktu hari kejadian mendarat di situ isyarat sangat kuat. Ketika itu masih belum memiliki ttgoSonde lagi untuk mengesan koordinat isyarat. Kemahiran mencabut antena juga masih belum dipelajari.

Selepas puas mencari, keluar semula dan balik ke jelopi setelah azan asar berkemundangan. Singgah solat di Masjid Kanchong Darat sebelum pulang ke Bangi.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Batu Tanda Sempadan Negeri WP Putrajaya/Selangor No. 1/72

 Selepas gagal mencari belon KLIA malam tadi. Operasi mencari batu tanda aras dilancarkan pula. Pencarian sekitar Persiaran Selatan dan Pers...