Misi Mencari Radiosonde D20054270 Berjaya di Banting


 Cuti Tahun Baru Cina dipenuhi dengan dua misi pencarian radiosonde di Banting. Belon D20054270 telah jatuh lapan hari yang lalu pada 24 Januari 2022. Jatuh jam 21:08 dengan altitud ketinggian terakhir 69m.


Koordinat belon radiosonde ini 2 darjah 45.22 Utara dan 101 darjah 34.38 Timur. Bearing 216 darjah ke arah barat daya. Berkumpul di Petronas di Kanchong Darat bersebelahan Jalan Durian. Sementara menunggu Hanif 9W2VHF tiba, sempat membeli sarapan roti dan susu kotak.


Selepas bersiap dengan koordinat belon ini, Hanif 9W2VHF mengetuai perjalanan. Merujuk peta google satelit, perjalanan melalui Jalan Durian, Jalan Salim berakhir di Jalan Apong. Namun tiada nama papan tanda tersebut kecuali Jalan Durian sahaja.


Kami melalui jalan berturap hingga jalan tanah merah kawasan ladang kelapa sawit. Tiba di persimpangan Jalan Durian dan Jalan Salim, meletakkan kereta ditepi jalan. Terpaksa dilakukan kerana permukaan jalan tidak mengizinkan jelopi melaluinya. Sebenarnya tiada papan tanda nama jalan tersebut. Sekadar merujuk pada peta google sahaja.


Kemudian bermotosikal terus ke lokasi pendaratan belon berdekatan kebun kelapa sawit berhampiran kebun tanaman. Melalui jalan kebun hanya boleh dilalui dengan motorsikal sahaja. Selisih dengan Pak Cik yang mengerjakan kebun di situ. Memaklumkan tujuan dan bertanyakan arah. Tiba di kebun sawit perasaan lega kerana hutan tempat pendaratan boleh dimasuki.


Hanif 9W2VHF telah memasukkan koordinat belon D20054270 pada aplikasi GPS Waypoint Finder. Alat bantu yang paling berkesan menunjuk arah yang tepat. Terpaksa melangkah parit. Terus meredah hutan yang agak semak dibawahnya dengan pokok pakis. Semakin lama berjalan semakin dekat destinasi.


Tiba di titik terakhir belon, seperti biasa memerhatikan keadaan sekeliling. Beberapa langkah dari titik itu sudah kelihatan benang tergantung. Sudah pasti dilantai keliling pakis adalah peranti radiosonde.


Koordinat peranti yang dijumpai adalah 2 darjah 45.2159 Utara dan 101 darjah 34.3791 Timur. Manakala belon kelihatan tergantung sebelah hadapan. Hanya bahagian atas yang diikat bersama kayu dan belon kecil hijau yang tinggal. Sebahagian besar belon tidak kelihatan dilantai. Pasti sudah pecah atau jatuh ditempat lain.



Setelah mengemas serta bergambar kenangan, bergerak keluar semula ke kebun sawit. Tiba di tempat letak motor, berehat seketika. Kami mendapat panggilan daripada Pak Ann 9M2VJP. Sudah tahu kejayaan kami, setelah berjaya menghantar gambar ke dalam group.


Kami akan bertemu Pak Ann 9M2VJP kedai makan belakang petronas tadi. Oleh kerana anggota SAR telah bertambah, maka satu lagi misi akan dilancarkan. Belon D20054252 masih belum dicari. Pernah mencari tetapi tidak dibenarkan masuk kerana banjir.


Apabila Pak Ann 9M2VJP tiba, maka berkongsi pada beliau tentang misi seterusnya. Oleh kerana, beliau ada kelapangan bolehlah ia dijalankan. Kami menikmati makan tengah hari terlebih dahulu sebelum bergerak ke Taman Langat Utama.


Kami berkonvoi sambil berkomunikasi menggunakan radio di frekuensi 145.500MHz. Pak Ann 9M2VJP menaiki jelopi bersamaku. Menggunakan radio berkomunikasi bersama Hanif 9W2VHF menunggang motorsikal yang sangat berjasa pada hari ini.


Hanif 9W2VHF bergerak dihadapan terlebih dahulu bagi meninjau laluan masuk. Pak Ann 9M2VJP menyemak lokasi melalui peta google. Hanif 9W2VHF sekali lagi telah memasukkan koordinat belon D20054252 pada aplikasi GPS Waypoint Finder.


Kami memasuki lorong yang kedua setelah lorong pertama telah berpagar. Kemudian bertemu simpang Y berdekatan dengan pondok-pondok pekerja yang agak kecil. Ikut sebelah kiri lorong terus hingga titik terhampir. Meletak kereta di tepi lorong sebelum meneruskan pencarian.


Belon ini masih jatuh di kawasan ladang kelapa sawit. Titik terakhir kurang 200m dari tempat parkir jelopi dan motor. Maka, kami bertiga memulakan langkah ke titik terakhir.


Kami berjalan mengikut baris pokok sawit dari satu baris ke satu baris yang lain. Mata melilau kiri dan kanan serta atas dan bawah. Namun tiada sebarang tanda yang boleh membawa kejayaan pada misi kedua ini. 

Credit 9W2VHF

Belon D20054252 jatuh pada hari Krismas tahun lepas pada jam 21:22. Altitud terakhir ketinggian 633m. Agak tinggi serta sudah beberapa minggu telah jatuh. Mungkin menjadi asbab sukar dicari.

Credit 9M2VJP

Kami terpaksa memberhentikan misi setelah hujan rintik mula turun. Pulang semula ke Taman Langat Utama. Sampai terus menghilangkan dahaga di kedai makan berhampiran parkir kereta Pak Ann 9M2VJP. Ambil kesempatan untuk Hanif 9W2VHF memeriksa ttgoku yang tidak dapat bersambung dengan hotspot. Rupanya masalah telefonku setelah menguji menggunakan telefon Hanif 9W2VHF berfungsi dengan baik.

Credit 9M2VJP

Misi pada hari ini berjaya membawa pulang satu radiosonde daripada dua percubaan. Bertiga kali ini bersama Hanif 9W2VHF dan Pak Ann 9M2VJP. Secara peribadi, penemuan radiosonde hari ini merupakan kali ke-10. Berkat kerjasama berpasukan yang kukuh diantara kami pengejar radiosonde. Tahniah kedua rakan berjaya melancarkan misi bersama pada kali ini.

73, Jojet de 9w2dya


No comments:

Post a Comment

Radiosonde RS41-SGP T4040282 di Selat Melaka

  Ahad pagi semalam radiosonde RS41-SGP T4040282 telah muncul di Selat Melaka. Kemungkinan dilepaskan dari Lumut oleh pihak berkuasa keselam...