Hulu Sungai Bangi


 Hasil kajian peta satelit yang teliti punca air Sungai Bangi bermula dari Alam Sari. Setelah tinjauan dibuat semasa berjoging jalan Alam Sari - Bangi Avenue ternyata sungai ini telah dikonkritkan. Maklumlah hasil pembinaan kawasan perumahan baru mempunyai sistem perparitan yang teratur.


Sungai ini melalui di bawah jalan Alam Sari - Bangi Avenue. Berdekatan sempadan kedua kawasan perumahan ini. Bersebelahan dengan bangunan IWK terdapat sungai mengalir jernih keluar dari pembentungan bawah jalan tersebut. Masa meninjau tidak lama dahulu memang terdapat banyak ikan. Rasanya sudah jadi tempat memancing. Kelihatannya kawasan tebing amat bersih. Ada laluan masuk dari jalan ke sungai ini. Sudah pastilah kaki pancing menjalankan aktiviti hobi mereka.


Kolam bersebelahan simpang tiga dekat sempadan itu, jalannya belum dibuka. Hasil tinjauan semasa berjoging, jalan ini mungkin di buka selepas rumah pangsapuri berhadapan jalan tersebut siap. Semasa berjoging sebahagian jalan di pagar depan pangsapuri ini. Apabila siap nanti pastilah jalan penyambung ini pasti dibuka memendekkan lagi laluan hala ke Semenyih.


Kolam bersebelahan simpang tiga ini berfungsi juga sebagai kolam tadahan banjir. Punca air sungai Bangi ini dipelihara dan dijaga dengan baik menjadi kolam takungan. Laluan berjoging turut dibina keliling kolam ini. Usaha pemaju sangat dipuji kerana mengekalkan sumber air semulajadi iaitu Sungai Bangi.


Ada tangga penghubung ke bahagian atas aliran sungai ini. Sangat bagus bagi kekuatan otot kaki terutamanya betis dan paha. Lari ulang-alik menggunakan tangga pasti menguatkan stamina di samping kekuatan otot kaki tadi.


Lepas tangga akan bertemu aliran sungai masuk ke dalam pembentungan hala ke bawah kolam tadi. Kelihatan banyak sampah tersangkut pada bahagian jeriji pembentung tersebut. Air bah menghanyutkan sekali sampah terutama botol plastik.


Cahaya mentari kurang menyinar akibat jerebu kategori tidak sihat pagi itu. Suasana pagi seperti berkabus sahaja. Namun suasana jerebu tersebut tidak sesuai untuk pergi berjoging. Bahagian tebing aliran sungai turut ditanam pokok hijau.


Reka bentuk aliran sungai ini sangat dalam. Pasti jikalau air naik  tidak melepasi kawasan perumahan sebelah kiri tersebut. Kejuruteraan teliti seperti ini sangat mesra alam. Air mengalir dengan lancar. Kombinasi air dan tumbuhan hijau memastikan aliran ini terus kekal mengalir. Sedia maklum tumbuhan berfungsi sebagai kawasan tadahan air.


Atas lagi ada satu lagi kolam tetapi Penulis tidak berkesempatan untuk membuat tinjauan. Susunan batu-batu membentuk jeram. Bahagian tebing jeram ini turut ditanam pokok-pokok.


Alam Sari ini masih terdapat satu bukit mengekalkan kehijauan kawasan. Punca kawasan tadahan juga memastikan sumber air sungai ini terus berkekalan. Sebab itulah air terus mengalir walaupun musim kemarau sekalipun.


Turun semula menggunakan tangga ke arah kolam semula. Untunglah kawasan perumahan mempunyai taman yang mempunyai aliran air. Penulis perhatikan di sini ada beberapa taman telah disediakan untuk kemudahan penduduk. Taman perumahan Penulis terdapat sebuah tasik. Namun, kawasan keliling tasik tersebut tiada laluan untuk beriadah. Jika ada, pasti seronok berjoging keliling tasik.


Begitu juga di Bandar Seri Putra tiada satu taman riadah. Terpaksalah berlari di tepi jalan sahaja. Ramai juga yang lari di kolam banjir yang kering berhampiran simpang tiga. Tempat riadah yang terhampir adalah di Universiti Islam Selangor. Tasik UIS terdapat laluan pejalan kaki. Sangat selamat untuk beriadah dan berekreasi juga.


Manakala, di Bukit Mahkota pula boleh beriadah di Rumah Kelab. Tasik kecil tersebut turut dikelilingi laluan pejalan kaki. Ada satu tasik yang besar tetapi tidak dimajukan. Mungkin pemaju baharu ada cadangan projek yang lebih baik.  Bandar Puteri Bangi pula ada Oasis. Siap Penulis pernah lihat ada memerang di tasik itu. Tempat riadah bersama keluarga sesuai untuk pelbagai lapisan umur.


Kolam ini banyak ikan rupanya. Berenang-renang dengan seronoknya tanpa ada gangguan. Besar-besar pula saiznya. Ini bermakn air kolam ini sesuai untuk habitat hidupan akuatik. Tambah pula deruan air mengalir turun dari atas. Pokok hiasan melorot sampai mencecah air. Apabila taman ini dibuka barulah kerja-kerja penyelenggaraan pokok hiasan pasti dilaksanakan.


Sementara itu, Ecohill pula ada juga taman di atas bukit. Laluan pejalan kaki hingga ke puncak setinggi 93 m dari aras laut. Penulis suka berjoging di bukit ini. Boleh menikmati pemandangan sekeliling 360 darjah. Ecohill 2 pun ada taman termasuklah Bukit Tempurong dijadikan Adventure Park.


Paling menarik adalah taman tasik di Eco Majestic. Bersebelahan dengan pusat membeli-belah. Kini menjadi tumpuan pasangan pengantin abadikan memori indah pemandangan tasik yang indah nian ini. Maklumlah, taman awam di Putrajaya perlukan permit untuk sesi fotografi. Kini, tiada yang percuma semua berbayar. Maka, hidup ini banyak pilihan. Pilihlah lokasi yang percuma sahaja. Selagi menawarkan pemandangan cantik dan indah sebagai memori yang tidak akan datang kembali. Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.


Bandar Baru Bangi ada Tasik Cempaka. Tumpun riadah masyarakat sekitar. Sungai Air Hitam yang diempangkan membentuk tasik. Selain itu menjadi tumpuan burung hijrah singgah mencari makan. Putrajaya pula bandar dalam taman. Sememangnya banyak lokasi untuk beriadah terutamanya di sekeliling Tasik Putrajaya.


Pembentung air dari kolam The Lawn. Salah satu punca air Sungai Bangi ini. Terdapat dua kolam di taman The Lawn. Mengalir melalui pembentungan yang bertutup hingga ke kolam ini. Lihatlah kejernihan air anak sungai ini. Sudah pasti bukan sisa buangan domestik mengalir dalam aliran ini. Air longkang pasti kotor dan berwarna hitam serta menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.


Penhujung penjuru hadapan tersebut merupakan aliran keluar ke sungai. Sewaktu meninjau di tepi tebing kolam ada kesan peninggalan sisa sampah di atas rumput. Kesan paras tertinggi air kolam ini. Jikalau musim tengkujuh pasti paras air lebih tinggi.


Sebelah penjuru kiri merupakan air masuk dari atas yang ada jeram itu. Manakala sebelah kanan pula air dari sebelah apartment dalam pembinaan tersebut. Kolam ini ada tiga punca saliran air masuk.


Pokok hiasan terjurai hingga mencecah ke permukaan aliran air dari The Lawn. Menutup keseluruhan pembentung aliran masuk ke dalam kolam. Setelah dibuka pada umum taman ini pastilah lebih kemas lagi.


Keadaan air kolam masuk ke pembentungan hala ke Sungai Bangi melalui bawah jalan raya. Air melimpah turun ke bawah menghasilkan bunyi air yang menenangkan. Elemen bunyi, warna serta bau dapat menarik pengunjung di taman ini. Gabungan unsur tersebut menaikkan lagi nilai estetika sesuatu taman. Tambah pula cahaya yang baik  sesuai pada waktu malam pula.


Dua pembahagi air masuk ke dalam satu saluran di bawah jalan raya yang masih belum dibuka lagi. Kemudian mengalir lagi di bawah saluran di jalan Alam Sari - Bangi Avenue terus mengalir ke Pekan Bangi.

Atasnya terdapat lagi saluran air masuk ketika limpahan air paling tinggi. Pembinaan kolam ini telah mengukur tahap air limpahan jika berlaku air naik mendadak. Kolam ini telah direkabentuk hingga tahap kapasiti yang paling tinggi mampu ditampung. Satu kejuruteraan yang amat praktikal sekali.


Tuntasnya, pemaju yang mempunyai visi mengekalkan sumber alam semulajadi haruslah dipuji. Ini kerana alam semulajadi haruslah dijaga serta dihormati. Ini dapat mengelakan bencana alam yang lebih teruk berlaku. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Mengadaptasi dengan alam membuatkan kehidupan lebih harmoni.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Pixel Park

  Pixel Park terletak di Setia Alam Sari.Taman ini berdekatan jalan lama laluan 31. Pihak pemaju telah membina jalan empat lorong. Hanya dua...