Berjaya Jumpa Radiosonde 2405011788 di Kampung Jimah


 Belon KLIA malam tadi radiosonde 2405011788 telah berjaya dijumpai tengah hari tadi. Pencarian secara solo itu sempena cuti sekolah seminggu ini. Maka bolehlah melancarkan operasi pencarian secara solo. Itupun bergantung kepada lokasi ia jatuh. Jikalau jatuh dalam hutan secara automatik terus diabaikan. Jika jatuh ladang kelapa sawit boleh diambil perhatian.


Permulaan cerita pastilah tentang fakta penerbangan terlebih dahulu. Belon KLIA ini isyarat terakhir jam 21:31:02 jatuh berdekatan Kampung Jimah Lama. Penulis sendiri pertama kali sampai di sini. Koordinat 2.63167 darjah Utara dan 101.85247 darjah Timur. Altitud ketinggian maksimum 28,897m dan altitud ketinggian terakhir 244m agak rendah. Stesen radiosonde 9W2MDZ_Base di Nilai berjaya mendapat isyarat hingga ke altitud rendah ini.


Kajian pemetaan dibuat malam tadi sejak tahu altitud yang paling rendah. Akses terdekat perlu dikenal pasti agar boleh sampai ke titik akhir. Ternyata Kampung Jimah merupakan pintu masuk yang boleh digunakan. Pemanduan dari base Bangi melalui Nilai terus ke Sendayan lebih pantas.


Tiba di Kampung Jimah mengikut arah google map. Ternyata lorong itu tutup hanya untuk rumah penduduk kampung sahaja. Berpatah balik dan terus memandu ke hadapan lagi mencari laluan masuk. Namun, jarak ke titik akhir semakin jauh. Akhirnya berpatah balik ke lorong tadi iaitu Lorong Air Panas. Letak kereta di hadapan sebuah kedai makan.


Bersiap sedia berkasut serta beg galas mengandungi barang keperluan seperti air minuman, kompas serta pisau. Masuk ke kedai mendapatkan minuman isotonik sambil mendapatkan maklumat dari tuan punya kedai. Ternyata laluan itu boleh digunakan untuk ke kawasan ladang kelapa sawit. Memaklumkan tujuan kehadiran untuk mencari belon yang jatuh pada malam tadi.



Kemudian Makcik tersebut juga memberitahu di dalam kawasan tersebut ada kolam air panas. Patutlah lorong tersebut dinamakan Lorong Air Panas. Ternyata ada kolam air panas di situ. Menurut beliau lagi, kolam itu jarang orang pergi sejak ada kes kematian di situ.


Sebelum melangkah berdoa terlebih dahulu. Jam garmin diaktifkan mode tektikal. Mudah mengumpul data jarak sepanjang perjalanan. Terus berjalan hingga penghujung jalan tar lorong tersebut. Terpaksa melintas parit yang kering. Terdapat tiang batu sempadan berdekatan parit itu. Tidak pasti syarikat perladangan yang mana memiliki ladang ini.


Melapasi parit kering itu telahpun berada dipersekitaran ladang kelapa sawit. Tangan kanan memegang telefon dengan aplikasi GPS Waypoint Finder diaktifkan. Manakala sebelah lagi memegang radio. Jalan menyusur laluan sawit berpandukan arah titik akhir. Mudah kerana ada laluan terus yang panjang tanpa memerlukan masuk selekoh. Hampir 300m barulah arah kompas berubah masuk ke kanan.


Kemudian terus menyusur hingga bertemu anak sungai. Anak sungai yang cetek ini pasti boleh diredahi. Habis kasut basah untuk menyeberanginya. Perlu mencari tebing yang mudah dipanjat. Selepas panjat kurang 100m untuk sampai ke titik akhir. Melalui lorong dan laluan sawit hingga memaksa mendaki sedikit. Kawasan titik akhir ini merupakan sawit yang berbukit.


Tebing dari arah Kampung Jimah landai sahaja seperti pasir pantai yang mudah turun. Manakala arah ke titik akhir belon amatlah bertebing tinggi. Perlu mengenal pasti tebing yang boleh dipanjat dengan selamat. Memandangkan tebing tinggi terbentuk kesan air sungai yang merempuh menyebabkan hakisan.


Hasil cerapan jam Garmin berjaya menghabiskan jarak 4.98km bagi misi ini. Boleh dilihat garisan lurus dari barat ke timur. Seterusnya ada beberapa selekoh mengikut kontur bukit. Masa keseluruhan yang diambil bagi misi ini adalah 1 jam 36 minit 30 saat.


Melepasi selekoh terakhir hingga menapak ke titik akhir. Tangkap layar aplikasi GPS Waypoint Finder menunjukkan jarak 0.9m adalah bukti telah tiba di titik akhir.


Kemudian mengenal pasti arah belon berakhir. Menyusur hingga jarak 120 m menghampiri sungai. Namun, tiada tanda-tanda radiosonde dijumpai. Kemudian berpatah balik ke titik akhir semula. Pada kali ini menyemak semula kedudukan dengan bantuan kompas magnet pula. Setelah mengenal pasti arah yang tepat terus menyusur ke depan lagi.


Selepas beberapa langkah terlihat benang bergantungan. Ternyata sahlah benda yang dicari telah berjaya dijumpai. Alhamdulillah rezeki kali ini menyebelahi diri. Berbanding misi semalam yang gagal dijumpai di Bukit Pelanduk. Belon pecah sepenuhnya tinggal bersama winder. Peranti dan winder serta belon jatuh di atas tanah disambung dengan benang yang tersangkut pada pelepah. Benang itulah kunci yang memudahkan misi pencarian ini. Nampak benang sahaja pasti ia dapat dijumpai.


Koordinat peranti radiosonde hasil cerapan jam Garmin. Jam Garmin ini sangat penting digunakan  dalam setiap misi pencarian. Aktifkan mode tactical dapat menggunakan pelbagai fungsi yang ada. Salah satu yang sering digunakan adalah penentuan koordinat peranti radiosonde yang dijumpai.


Radiosonde bernombor siri 2405011788 berjaya dalam genggaman. Agak kotor kerana percikan tanah akibat hujan malam atau pagi tadi. Lebih 12 jam peranti ini telah kehabisan bateri. Radio yang dibawa bersama bagi mengesan isyarat yang masih lagi aktif. Satu model contoh turut dibawa bersama di dalam beg sandang. Ini penting menunjukkan bukti kepada orang lain yang ingin mengetahui rupa peranti yang dicari itu. Sebagai langkah keselamatan serta menambah keyakinan dan kepercayaan orang lain terhadap misi yang dijalankan.

Jarak 54.9m ini merupakan jarak peranti radiosonde yang dijumpai dari titik akhir. Titik akhir altitud ketinggian 244m. Ini bermaksud bagi ketinggian terakhir 244m itu, radiosonde telah bergerak jatuh kehadapan  hingga 54.9m  barulah dapat dijumpai. Kadangkala boleh juga ditemui di titik akhir tersebut. Sebab itulah kena periksa terlebih dahulu titik akhir jika peranti betul-betul tepat jatuh di situ. Setelah memeriksa tiada barulah bergerak ke arah belon jatuh ke depan lagi sehingga peranti ditemui.


Lagi satu prosedur selepas berjaya menemui peranti radiosonde. Mesti melaporkan penemuan dalam laman sesawang SondeHub Tracker. Ini memudahkan rakan lain maklum peranti telah berjaya ditemui di lokasi tersebut. Jadi, tak perlulah bersusah payah pergi mencari sekali lagi.


Selesai merekod data, perjalanan pulang melalui laluan yang sama. Perjalanan juga mudah dengan melihat  jam Garmin jejak yang telah ditandakan. Pastikan laluan sama dengan jejak di dalam jam Garmin tersebut. Jika terkeluar laluan pastilah telah tersalah masuk laluan yang lain. Maklumlah dalam ladang kelapa sawit ini banyak simpang. Tersalah pilih pasti tidak kembali ke pangkal jalan.


Kembali ke lorong Air Panas pasti melegakan perasaan menandakan misi pencarian telah berjaya. Kembali ke kedai makan untuk memesan nasi goreng kampung terlebih dahulu. Usai makan barulah boleh pulang. Makcik kedai itu turut tanya samada berjaya jumpa benda yang dicari itu. Tunjukkan peranti tersebut, maka fahamlah mereka rupa peranti itu.

Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Radiosonde 2405011762 berjaya di Sendayan

  Belon KLIA pagi tadi radiosonde 2405011762 berjaya ditemui bersama Arul 9W2OCX di Sendayan. Jatuh jam 9:49 pagi agak lewat kerana altitud ...