Radiosonde 2405011762 berjaya di Sendayan


 Belon KLIA pagi tadi radiosonde 2405011762 berjaya ditemui bersama Arul 9W2OCX di Sendayan. Jatuh jam 9:49 pagi agak lewat kerana altitud ketinggian maksimum adalah 30,526m. Altitud ketinggian terakhir adalah 188m agak rendah. Koordinat 2.67243 darjah Utara dan 101.83538 darjah Timur. Ini boleh dikatakan sebagai cabutan bertuah atau jackpot kerana jatuh di tempat yang mudah akses. Bahasa lainnya tepi jalan sahaja untuk pergi mencari.

Jarak tepi jalan ke titik akhir cuma 117m sahaja menggunakan aplikasi GPS Waypoint Finder. Menunggu Arul 9W2OCX memandu dari Port Dickson. Sudah berpakat untuk melancarkan operasi pencarian bersama. Maka, perlu menunggu hingga tiba barulah masuk ke kawasan pencarian. Dua lot tanah industri yang masih kosong di Sendayan ini.


Isyarat dapat didengari mulai simpang Gadong menghala ke Masjid Sendayan lagi. Tiba di tepi jalan lokasi pencarian sudah pastilah isyarat diterima dengan lebih jelas lagi. Frekuensi untuk hand-helds ini adalah 399.975MHz. Peranti radiosonde ini frekuensi 400.000MHz. Rakan-rakan di Lembah Klang boleh memantau frekuensi tersebut bermula 7.35 pagi dan malam. Belon kaji cuaca KLIA dilepaskan sebanyak dua kali setiap hari. Sambil monitor boleh lihat pergerakan belon di laman sesawang SondeHub Tracker.


Kelihatan stesen 9W2OCX-8 dan 9W2OCX-9 dalam perjalanan ke lokasi kejadian. Stesen 9W2DYA-5 pula menunggu seperti yang dijanjikan. Tak perlu tertanya-tanya. Sebagai pengamal radio amatur boleh memantau pergerakan rakan ham melalui APRS. Ia dijalankan secara real-time atau secara langsung pada ketika itu juga. Sepanjang misi pencarian belon stesen 9W2DYA-5 sentiasa diaktifkan agar rakan lain boleh memantau pergerakan penulis.


Pemandangan dari tempat lepak penulis menunggu Arul 9W2OCX. Lokasi kejadian bersebelahan kilang lampu automatif Koito Malaysia SDN BHD. Nasib baik lah lokasi kejadian masih tanah lapang lagi. Pernah mencari bersama Arul 9W2OCX di Sendayan juga. Merujuk peta adalah kawasan lapang, setelah tiba telah tersergam indah bangunan kilang. Maka, belonnya sudah pasti jatuh di atas bumbung bangunan tersebut. Berputih matalah kami.

Sebelum Arul 9W2OCX tiba, sempat mengenakan kasut terlebih dahulu bagi memudahkan pergerakan. Andaian ini merupakan kawasan lapang. Selepas masuk barulah tahu keadaan sebenar. Setelah Arul 9W2OCX tiba sempat bertukar koordinat untuk memasukkan dalam telefonnya. Setelah selesai, maka kamipun bergerak berpandu arah kompas GPS Waypoint Finder ini.


Ternyata sangkaan meleset mengandai satu kawasan lapang yang luas. Hakikat sebenarnya kawasan telah mula bersemak dan dipenuhi resam. Resam yang meninggi sudah pasti menghalang laluan. Terpaksalah memilih laluan yang boleh dimasuki berpandukan arah kompas.


Video rakaman Arul 9W2OCX semasa pencarian djalankan. Ketika itu, radio telah dicabutkan antenanya. Masih dapat isyarat menandakan peranti berdekatan sahaja untuk dicari. Jika antena dicabut dan tiada bunyi, ini bermakna peranti masih jauh untuk dicapai.


Menghampiri titik akhir berada dikawasan bersemak yang agak tinggi. Kemudian Arul 9W2OCX bergerak ke depan sedikit. Terus beliau nampak benang yang tersangkut dari dahan pokok. Belon berada di atas dahan yang tinggi. Peranti radiosonde berada di atas tanah. Jarak titik akhir ke peranti yang dijumpai adalah 21.3m sahaja bagi altitud ketinggian terakhir 188m.


Cerapan koordinat jam Garmin. Hasil misi kali ini merujuk mode tactical adalah jarak 0.59km dalam masa 19:04 minit sahaja. Hanya 75 kalori berjaya dibakar bagi misi yang paling cepat ini. Itulah maksud jackpot bagi setiap pencarian. Mudah akses dan dekat dengan kemudahan jalan.


Radiosonde 2405011762 berjaya dalam genggaman. Menggagau juga untuk mendapatkannya. Maklumlah pokok resam yang melata. Nasib baik juga tersangkut atas dahan pokok. Bolehlah melihat benang terjurai dari atas. Bayangkan kalau jatuh atas resam. Jenuh juga hendak mencarinya. Alhamdulillah syukur jumpa juga akhirnya. Itulah dalam kemudahan masih tetap ada kesusahannya. Barulah sangat bermakna dalam menghargai setiap kesusahan itu. Tiada yang mudah dalam kehidupan seharian. Semuanya tetap perlu berusaha juga.



Arul 9W2OCX melaporkan penemuan dalam laman sesawang SondeHub Tracker. Rutin setiap misi pencarian setelah ditemui mahupun tidak.


Kawasan pokok tinggi yang menjadi batu penghalang belon bergerak jatuh ke hadapan lagi. Jika tiada pokok, pasti belon akan jatuh ke dalam kawasan semak resam. Ini sangat menyukarkan lagi pencarian. Benang pasti sukar dilihat berbanding tergantung pada dahan pokok. Kriteria menjadi pemburu belon terbaik adalah mempunyai daya penglihatan yang tajam dalam mengesan benang yang tergantung.

Credit 9W2OCX

Meraikan kejayaan bersama sebagai satu pasukan yang mantap. Boleh dilihat benang yang tergantung di sebelah kiri gambar. Latar belakang pula pokok-pokok liar yang tinggi serta rumpun resam. Sangat mencabar juga persekitaran pada misi kali ini.


Stesen 9W2DYA-5 berada dilokasi peranti dijumpai. Altitud ketinggian yang dicatatkan adalah 61m dari aras laut. Sememangnya persekitaran Sendayan kawasan berbukit. Selepas berjaya keluar kami bersembang terlebih dahulu sebelum ke destinasi masing-masing.


Seterusnya misi kedua dilancarkan secara solo ke Bagan Lalang. Radiosonde 2405011786 telah jatuh pada 16 September 2024  jam 21:23 malam. Altitud ketinggian akhir agak tinggi iaitu 1144m. Sahaja ingin mencari pada titik jangkaan yang dikirakan oleh laman sesawang SondeHub ini. Hendak membuktikan adakah perkiraan itu dapat menjumpai belon tersebut.

Bergerak menuju LBJ dan belok ke kiri menuju Pekan Sepang. Tiba di Sungai Pelek berhenti makan tengah hari. Usai makan berhenti solat zohor di Surau Bagan lalang. Kemudian ke Jalan Kepah lokasi titik jangkaan tersebut berada. Meletak kereta di sebelah kedai makan. Seterusnya masuk ke kawasan kebun kelapa sawit. Jarak 0.7m merupakan bukti telah sampai ke jarak jangkaan tersebut. Ternyata tiada tanda dapat menjumpai belon.


Nasib baiklah kawasan jangkaan merupakan kawasan kebun kelapa sawit. Sebelahnya pula kebun pokok kelapa mawar. Sempadan kebun ini di penghujung merupakan parit besar. Jarak ke parit dari titik jangkaan lebih kurang 115m. Tiada juga tanda belon dapat ditemui bagi titik akhir altitud 1144m.


Meronda setiap baris kiri dan kanan titik jangkaan. Blok sini kebun sangat kemas dan bersih. Sebelah kiri kebun ini merupakan kebun kelapa mawar.


Kebun kelapa mawar yang sangat bersih terjaga oleh tuan pemilik kebun.


Sebelah belakang kebun kelapa mawar merupakan kebun buah naga. Tersergam megah bangunan sarang burung walit. Kebun buah naga bersemak seperti tidak diurus dengan baik.


Kebun sebelah kanan agak terurus juga bersempadan dengan Jalan Kepah dipisahkan parit. Kemungkinan belon berat ke arah ini merupakan jangkaan laluannya. Tidak dapat bergerak ke depan hala ke titik akhir kerana terdapat beberapa rumah orang kampung. Kebarangkalian jatuh laman rumahpun boleh terjadi juga.


Jarak 431m merupakan titik jangkaan belon yang dikirakan oleh laman sesawang SondeHub bagi altitud terakhir1144m. Namun, tidak juga jumpa di kawasan persekitaran titik jangkaan ini. Puas mencari terus keluar semula dari kebun kelapa sawit tersebut. Singgah ke kedai makan untuk pesan sirap limau bagi menghilangkan dahaga seketika. 

Bagi misi kedua ini, jarak yang dilalui adalah 1.93km dalam tempoh 56 minit 39 saat. Sebanyak 269 kalori telah berjaya dibakar.

Selamat memburu!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Radiosonde 2405011762 berjaya di Sendayan

  Belon KLIA pagi tadi radiosonde 2405011762 berjaya ditemui bersama Arul 9W2OCX di Sendayan. Jatuh jam 9:49 pagi agak lewat kerana altitud ...