Misi Radiosonde Pantai Kelanang dan Mendaki Bukit Jugra


 Malam tadi belon KLIA telah jatuh berhampiran perairan Pantai Kelanang. Altitud terakhir direkodkan adalah 71m. Memang sangat hampir dengan permukaan. Malangnya tetap jatuh ke laut.


Misi mustahil mencari radiosonde adalah yang ketiga dalam bulan ini. Seawal jam 8 pagi lagi bertolak ke Banting dari Bangi. QRV 401.111MHz bagi belon KLIA D20039747. Terus ke laut juga walaupun awan banyak di ruang udara pagi ini.


Ingatkan pagi ini jatuh ke darat. Tetap laju melepasi garisan pantai Morib. Tiba di Banting suasana basah menandakan baru sahaja hujan turun. Menuju arah ke pantai Kelanang melalui ladang kelapa sawit di kiri dan kanan jalan. Tiba di Pantai Kelanang kelihatan air bertakung merata tempat. Tanya kepada peniaga mengesahkan bahawa hujan lebat telah turun pagi tadi.


Tempat letak kereta yang luas serta terdapat medan selera. Banyak khemah didirikan di sini bagi pengunjung yang bermalam. Ada kemudahan tandas dan surau turut disediakan bagi kegunaan pengunjung.


Pantai berpasir putih dengan pokok ru menjadi pilihan pengunjung berkhemah di bawahnya. Air surut pagi ini membawa pengunjung pergi ke tengah pantai yang agak berlumpur. Pokok bakau merupakan sistem pertahanan hakisan semulajadi kawasan pantai ini. Mata meliar-liar jikalau kelihatan payung terjun yang terdampar. Manakan dapat memandangkan pengunjung yang ramai pasti terjumpa terlebih dahulu. Terutama yang berkhemah dari semalam lagi.


Melepasi surau longgokan batu menjadi agen penghalang hakisan. Akupun menyusur laluan tepian batu ini melihat-lihat kawasan persekitaran.


Berjalan hingga ke hujung mencari sehingga dapat menjumpainya. Kelihatan di tengah laut nelayan mencari sesuatu sebagai mata pencarian. Hanya berdiri sahaja. Aras laut paras pinggang sahaja. Menjaring ikan atau mencari kerang tidak pasti. Tapi memang kelihatan ramai sibuk melakukan di tengah laut itu.


Sebelah kiri merupakan kawasan paya bakau. Banyak monyet mencari makan melompat  ke sana-sini. Sehinggalah longgokan batu tiada. Pencarian masih lagi gagal. Arus laut sangat kuat juga. Keberangkalian hanyut lebih jauh mungkin boleh terjadi.


Jika air laut melimpah melepasi paras tebing. Kawasan hutan bakau mengambil peranan menghalang air terus mengganas masuk ke daratan. Aliran air terdapat di sebelah hutan bakau. Habitat yang baik untuk hidupan dua alam.


Kedudukan stesen 9W2DYA-10 di hujung jalan. Ketika ini tetap memantau radio belon KLIA sambil mata meliar meneruskan pencarian.


Jam 9:42 pagi isyarat terputus dari Pantai Kelanang. Altitud ketinggian terakhir direkodkan adalah 770m. Kemudian berjalan ke pintu hadapan untuk mengambil gambar tulisan Pantai Kelanang sebagai mercu tanda tempat peranginan ini.


Terdapat gerai jualan hasil laut di sini. Bolehlah membeli hasil laut yang segar dibawa pulang. Kemudian pergi ke medan selera untuk mengalas perut. Pesan nasi ayam dan teh ais. Sesudah kekenyangan pencarian diteruskan ke sebelah atas Pantai Kelanang. Rupanya ada satu lagi kawasan letak kereta di sebelah belakang medan selera. 


Terdapat pos kawalan Pertahanan awam bagi mengawal aktiviti pantai. Aku menyusur pantai yang kelihatan banyak siput berada di dalam air yang cetek kejernihan. Kawasan pokok bakau membentuk pagar di gigi pantai. Ramai pengunjung berjalan ke arah kawasan pantai yang lapang. Keliling dengan kawasan hijau sambil bermain air dan dihempas ombak.


Oleh kerana air surut pagi itu, membolehkan pengunjung bergerak bebas memilih kawasan yang sesuai untuk bermandi-manda. Walaupun jauh berjalan pasti berbaloi jika tempat itu sunyi dari gangguan orang lain. 


Pemandangan kawasan bakau membentuk tembok penahan ombak semulajadi. Tertinjau-tinjau bawah pokok jikalau benda yang dicari dapat dikenal pasti. Tapi tiada apapun boleh dicari. Berjalan sekeliling bakau yang dibawahnya anak-anak bakau membentuk duri-duri di atas pasir.


Anak-anak bakau ini adalah kesinambungan penting meneruskan kewujudan spesies ini. Masih tidak kelihatan benda yang dicari jauh ke dalam ini. Itulah misi mustahil yang telah maklum akan hasilnya. Lebih baik mencuba daripada tidak bertindak sesuatu.


Satu sudut terdapat aliran air mengandungi ikan belacak yang agak besar. Nampak kelibat aku terus berenang-renang dipermukaan. Laju betul renangan ikan itu. Seberang sana ketam bergerak aktif diatas permukaan tanah berlumpur bermain-main.


Aliran air lesu jangan disangka tiada sesuatu. Pada fikiranpun risau dengan sang bedal atau seangkatan dengannya. Peluang untuk meneroka sebigini harus tidak dilepaskan. Elok juga kejar belon ini. Banyak tempat dapat dijelajahi. Jauh berjalan luas pandangan. Pepatah melayu ada berkata.


Seterusnya pemanduan ke Masjid Al-Muttaqqin Kg Permatang Pasir. Tempat permulaan untuk mendaki Bukit Jugra. Selain Rumah Apinya ada laluan denai hutan hingga ke puncak bukit. Meletak jelopi disebelah masjid. Kenderaan banyak walaupun jam menunjukkan 11 pagi. Ini bermakna ramai pendaki masih berada di atas trek. Rujuk peta google telah ditandakan tempat permulaan trek Bukit Jugra. Kemudian boleh sembang dengan pendaki lain yang baru turun. Bersapa dan bertanya lebih-lebih lagi kali pertama sampai di sini.


Aktifkan applikasi yang berkaitan pada telefon pintar. Memberi kedudukan sebenar secara langsung. Kali ini ingin mencuba aplikasi peta topo. Aplikasi ini memaparkan peta topo yang lama. Ketinggian puncak merujuk peta ini adalah 242m dari aras laut. Jam turut diaktifkan dengan mode tactical yang boleh merekodkan altitud semasa.


Laluan bertar ke kolam takungan yang agak curam adalah halangan pertama. Sampai dipintu pagar terdapat papan tanda di permulaan trek hutan. Menyusur di tepi pagar kolam takungan itu hingga ke hujung sehingga permulaan kawasan hutan. Semasa melalui di tepi pagar inilah tiga ekor Lotong yang comel bermata, hidung dan mulut putih sedang menikmati daun.


Treknya agak mencabar juga. Selepas mendaki terpaksa menurun semula ke bawah. Naik semula hingga dilabelkan Bukit Jugra. Sepanjang laluan disediakan tali untuk langkah keselamatan. Ini kerana gaung yang curam disebelah bawahnya. Ramai masih aktif mendaki dan menurun dari puncak. Tak kira bangsa melakukan aktiviti untuk kecergasan dan kesihatan. Pelbagai peringkat umur juga. Muda mahupun tua turut dilihat sepanjang laluan.


Hampir sejam berjaya menawan puncak. Kawasan lapang bekas tapak stesen menara pemancar mungkin. Ada kesan bekas tiang di dataran itu. Kelilingnya terdapat beberapa tiang antena komunikasi tegak berdiri. Catatan jam merekodkan altitud ketinggian 231m dari aras laut. Lagi 11m telah hilang ketinggiannya akibat tanah yang dirata mungkin.


Dataran yang lapang dikelilingi tiang antena. Nasib jumpa batu aras JPUM. Ada buktilah menunjukkan titik tinggi di puncak Bukit Jugra.


Batu penanda aras segi enam tertera Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPM). Ada abjad TP dan nombor 372. Beberapa meter terdapat batang besi tercacak sebelahnya.


Tiang besi yang sering dijumpai dikawasan bukit atau tempat tinggi. Mungkin dahulu ada beirut jikalau dilihat kepada peta topo lama itu. Berjaya juga sampai titik trigonometri selepas tiba dikawasan dataran ini. Kepuasan terasa setelah berjaya berada titik paling tinggi setiap bukit.

Laluan bertar mengelilingi dataran menghubungkan hingga ke Rumah Api. Pemandangan Selat Melaka di hadapan sana. Banyak tinggalan bangunan JKR di sekitar puncak ini.


Bekas tapak tiang pemancar mungkin yang masih lagi terdapat di dataran. Hujung sana ada laluan bertar untuk turun ke bawah Rumah Api. Puas menjejak kaki di kawasan titik tertinggi puncak Bukit Jugra. Perjalanan turun mengikut laluan yang sama. Sampai di jelopi tepat jam 1 tengah hari. Azan berkumandang beberapa minit selepas itu. Pergi ke Masjid beberapa langkah sahaja untuk menenunaikan kewajipan. Habis solat terus pulang ke base station di Bangi.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

DFM09 17030735 telah ditemui di Jerantut

Credit 9W2PRX Maklumat dari group bahawa Abg Man 9W2PRX telah memaklumkan radiosonde DFM09 17030735 telah ditemui oleh orang awam di Jerantu...