Uji Garmin Instinct Tactical di Bukit Tunggul


 Pagi ini berkesempatan untuk mendaki Bukit Tunggul, Jenderam. Kali ini pendakian untuk menguji jam Garmin Instinct Tactical. Jam yang menjadi idaman sekian lama bagi memudahkan cara hidup sihat. Jam yang mengandungi fungsi GPS dapat mengukur jarak telah lama menjadi idamanku. Tidak perlu lagi menggunakan telefon pintar dengan aplikasi strava untuk merekod sebarang aktiviti.


Oleh kerana petang semalam hujan lebat, laluan ke puncak agak lecak. Kelihatan di laluan ke puncak, air turun melalui jalan masuk ke sungai. Pagi ini agak lewat sedikit selepas aktiviti memantau belon radiosonde. Lebih kurang jam 10 pagi baru bergerak ke tempat letak kereta. Kereta tidak banyak, mungkin pengunjung telah pulang atau sememangnya pagi ini tidak ramai.


Bermula dari kereta mode Tactical telah diaktifkan. Paparan masa, jarak, altitud, kadar nadi diaktifkan serentak. Sambil berjalan memantau progresif setiap fungsi bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik. Melalui kawasan air jeram kelihatan sekumpulan penunggang motorcross bersiap-siap untuk menawan puncak.


Selisih dengan beberapa pendaki dan pelari denai. Pasti sapaan diberikan setiap kali selisih sepanjang perjalanan. Banyak aliran air terbentuk di laluan akibat hujan pada semalam hari. Mendaki dengan berhati-hati kerana trek pendakian agak licin. Melepasi Bukit Janda yang dilabelkan. Penunggang motorcross telah memintasku. Nampak seronok melihat mereka meluncur laju dicelah-celah antara pokok. Oleh kerana trek licin, penunggang ini membawa dengan berhati-hati.


Deruan enjin motorsikal ini memecah kesunyian hutan pagi ini. Trek yang curam dilabel sebagai Bukit Bujang menjadi halangan besar kepada beberapa penunggang. Ada yang tidak lepas naik ke atas dan terjatuh. Terpaksalah berpatah balik ke bawah bagi mendapat momentum semula ke atas. Daya yang laju dengan mengawal motor dikawasan curam dan licin sememangnya agak sukar. Lebih lagi kepada penunggang yang pertama kali melaluinya.


Terdapat KRISS 110 menarik perhatianku tidak seperti motorcross yang lain. Walaupun kelihatan kecil berbanding yang lain, masih mampu hingga ke puncak. Dua penunggang berjaya di kawasan puncak. Bagi yang lain masih menunggu rakan-rakan sedaya upaya melepasi halangan. Tiba di beirut kelihat beberapa orang pendaki berehat di bawah beirut dan pilon. Hampir sejam pendakian ke puncak dibuat.


Pemandangan PICC dan Putrajaya yang jelas kelihatan pagi ini. Cuaca yang baik menyebabkan pemandangan sekitar jelas kelihatan. Selepas bertegur sapa dengan pendaki di puncak, perjalanan melalui permatangan ke pilon di hujung bukit. Laluan permatang kelihatan tanah-tanah seperti digembur adalah hasil tindakan haiwan mencari makanannya di situ. Pastilah kerbau pendek yang punya kerja.


Sampai di hujung bukit. Pemandangan sebelah Nilai jelas terpampang di hadapan mata. Selepas puas melihat pemandangan sekeliling bukit. Perjalanan berpatah balik melalui permatang semula. Terlihat batang besi yang kebiasaannya terdapat dipuncak-puncak sebagai penanda ketinggian. Rujuk kepada jam altitud besi itu 264m dari aras laut.


Tiba di beirut di sapa seorang pendaki. "Abang tak jumpa babi ke?" tanya beliau. Setelah melihat aku baru tiba dari bawah. "Takdelah, tapi kesan baru lagi kat tanah tu memang banyak babi" jawabku. "Tadi dekat situ saya terserempak dengan seekor babi, saya lari diapun lari." sambungnya lagi. "Sini memang banyak babi, hari tu waktu petang ada babi tunggal kat sini," ceritaku tentang pertemuan babi tunggal dua minggu lepas.


Altitud dipuncak merekodkan altitud ketinggian 277m dari aras laut. Kemudian turun bersama beliau ke bawah. Adalah teman bersembang sepanjang perjalanan turun. Kumpulan motorcross masih berehat dikawasan yang dilabelkan Bukit Beirut. Kawasan bawah pohon yang redup pasti menjadi pilihan melepaskan lelah. Beberapa tapak kemudian selisih dengan tiga penunggang basikal yang sedang menolak.


Selisih lagi dengan dua orang pendaki yang menggunakan pole semula. Tadi semasa naik sudah bersapa. Bila turunpun bersapa lagi. Memandangkan seorang daripada dua itu berjalan agak perlahan seperti mempunyai masalah di bahagian kaki. Biar lambat asalkan selamat.


Perjalanan terus melalui  bawah talian bervoltan tinggi. Kami berpisah di sini memandangkan motorsikal beliau diletakkan dekat kawasan rumah kampung. Aku turun melalui denai kawasan hutan hingga bertemu laluan ke tempat letak kereta. Berjumpa dengan aliran air dilembah bukit di sini. Aliran air melalui celah-celah batu menghasilkan bunyian yang mendamaikan. Terdapat marker dua dot sepanjang laluan tadi. Trek ini seperti jarang orang guna.


Keluar sahaja melalui aliran air kelihatan van kumpulan motorcross tadi. Beberapa meter ke arah jalan keluar adalah air terjun di tepi jalan sahaja. Hujan yang lebat menyebabkan aliran air agak deras. Bunyi jatuhan air yang agak kuat memanggil untuk mengambil gambar. Sebelum ini, air ini agak lesu kerana aliran anak sungai ini tidak menarik perhatianku.


Mandi dibawah jatuhan air di batu ini pasti menyeronokkan. Ada kolam kecil di bawah jatuhan itu. Hanya melihat dan bergambar kenangan sahaja. Tidak sampai ke bawah untuk menyejukkan badan.


Aliran sebelah kiri jeram di atas batu, manakala aliran air kecil sebelah kanan itu merupakan aliran yang ditemui semasa turun melalui bukit talian bervoltan tinggi. Air terjun ini beberapa minit berjalan dari tempat letak kereta sahaja. Atas sedikit tempat berkelah yang menjadi tumpuan pengunjung setiap hujung minggu jika tidak mahu mendaki puncak.


Pemandangan air terjun dari jalan ke puncak. Ia terletak sebelah kiri dari tempat letak kereta. Kadangkala kewujudannya tidak sedari jikalau aliran airnya perlahan. Jarak keseluruhan dicapai sepanjang perjalanan adalah 6.55km. Berjaya membakar 721 kalori dalam masa 2 jam 15 minit beraktiviti.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...