Komunikasi Satelit


 Pagi ini berkesempatan mengikuti aktiviti komunikasi satelit di tasik dekat Presint 4 Putrajaya. Ia dirancang oleh Ayub 9W2VDN untuk memburu beberapa satelit pada pagi tadi. Beberapa stesen turut hadir memberi sokongan bagi menjayakan aktiviti komunikasi satelit seperti Tn Haji Din Mega 9M2DGA, Sufian 9W2SGJ, Che Taa 9W2CLH, Pak CD 9W2GCD, Taufik 9M2RAD, Sidek 9W2VSV, Nizam 9W2VAV dan Firdaus 9W2GFA.

Credit 9W2CLH
Mengikut tentatif program terdapat dua satelit akan dipilih bagi tujuan komunikasi. Satelit tersebut adalah 10.21AM - SATELLITE S0-50 (44⁰) 11:48AM - SATELLITE AO-91 (56⁰) .


Oleh kerana tiba selepas 10.30 pagi melepas untuk melihat pemburuan satelit SO-50 yang dijadual laluannya jam 10.21 pagi. Bertolak dari base di Bangi melalui Desa Putra ke Putrajaya. Kelihatan beberapa stesen telah tiba awal di lokasi yang dijanjikan. Beberapa jelopi dengan antena radio yang tinggi mengesahkan lagi lokasi tersebut adalah betul.


Beberapa stesen memegang  satelit antena moxon dan yagi dual band merupakan peralatan penting bagi memburu satelit untuk berhubung. Antena yang bersifat mengarah bagi menangkap gelombang radio dengan tepat adalah amat penting. Penggunaan antena yang bersesuaian memudahkan penerimaan audio stesen lain dengan mudah dan jelas. Kebanyakannya adalah hasil tangan sendiri atau homebrew. Kepuasan terpancar apabila mendapat contact menggunakan antena tersebut.



Komunikasi satelit perlu mahir mengetahui kedudukan satelit semasa kerana ia bergerak mengikut orbit. Kesan doppler memerlukan frekuensi turut bergerak seiring dengan pergerakan satelit. Kedudukan darjah satelit yang tepat memudahkan komunikasi berjalan lancar. Awal dan akhir laluan merupakan darjah kedudukan yang kecil agak sukar untuk mendapat isyarat.


Bulan Syawal masih diraikan dengan rakan-rakan membawa juadah masing-masing. Sambil makan boleh bersembang tentang komunikasi satelit mengikut pengalaman dan pengetahuan individu.


Sufian 9W2SGJ beraksi dengan salah satu antena satelitnya berlatarbelakang tasik Putrajaya. Beliau antara stesen yang aktif dalam komunikasi satelit.


Tn Haji Din Mega 9M2DGA sanggup datang dari Johor dikhabarkan. Percubaan untuk memancar dalam komunikasi satelit. Masa inilah kita dapat mempelajari dari rakan-rakan yang mahir serta berpengalaman. Segala teori dan pengetahuan dapat diamalkan serta dilakukan secara langsung. Aktiviti lapangan seperti ini dapat mempraktikkan segala ilmu itu bagi mengukuhkan lagi pengetahuan yang ada.


Ayub selaku tuan rumah Putrajaya berjaya mengadakan perjumpaan bagi memeriahkan lagi aktiviti radio amatur selepas pandemik Covid-19. Aktiviti seperti ini sangat berfaedah bagi mengeratkan lagi hubungan sesama stesen disamping dapat bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman.


Banyak perkongsian ilmu dan pengalaman dapat disebarkan kepada rakan lain. Sebelum memburu satelit seterusnya, Tn Haji Din Mega telah mencuba memancar di pengulang Nesrac di Gunung Telapa Buruk. Sementara itu, rakan lain turut menguji antena dan radio masing-masing. Penerimaan audio ke pengulang diterima sangat baik di frekuensi. Pasti talaan ke arah pengulang mestilah tepat agar radio dapat befungsi dengan baik. Sufian 9W2SGJ telah menunjukkan kedudukan pengulang dari tempat aktiviti di Presint 4.


Rakan lain memantau di radio bersama antena masing-masing. Semasa ini boleh diuji penerimaan sama ada baik atau tidak. Jika terlalu rapat diantara satu sama lain tidak menerima sebarang audio. Jarak dua meter barulah audio dapat diterima antara satu sama lain. Terbukti panjang gelombang yang digunakan adalah 2 meter bagi frekuensi 145.375MHz. Kurang jarak dua meter isyarat tidak dapat diterima dan bahasa mudahnya pekak tidak kedengaran sebarang audio dan isyarat.


Ayub 9W2VDN juga telah membuktikan kedudukan elemen yang menegak dan melintang turut mempengaruhi penerimaan isyarat. Jadi pengetahuan itu dapat digunakan semasa komunikasi satelit berjalan. Inilah radio amatur yang sentiasa membuat ujikaji bagi mendapatkan keputusan akhir yang terbaik. Pengalaman-pengalaman seperti ini dapat dipraktik untuk masa hadapan.


Keseronokkan dan keterujaan dapat dirasa apabila kita mencuba melakukannya sendiri.  Pasti seronok antena dan radio yang digunakan berjaya mendapat contact  stesen luar dengan jarak yang jauh. Cuaca yang baik turut membantu mendapat isyarat dengan baik.


WX pagi tadi cerah dan berawan di tepi tasik. Kelihatan air tasik yang tenang menjadi latar belakang aktiviti dijalankan. Mungkin ada sebab lokasi ini dipilih. Adakah ia mempengaruhi penerimaan gelombang radio?

Antena yagi tiga elemen bagi mode VHF. Komunikasi satelit memerlukan dua mode VHF dan UHF digunakan bagi berkomunikasi dengan baik. Bergantung pada satelit yang dibina bagi penentuan sama ada VHF untuk memancar atau UHF untuk menerima atau sebaliknya.


Menurut Ayub 9W2VDN lagi ukuran diagram antena perlulah tepat bagi mendapat hasil yang mengagumkan. Aksi satelit kedua berjalan lancar. Boleh menonton video di bawah suasana komunikasi satelit berjalan.


Satelit AO-91 Fox 1B merupakan satelit kegemaran rakan ham untuk mendapat contact. Penerimaan isyarat satelit AO-91 ini sangat baik. Oleh itu, ramai stesen menunggu ketibaannya setiap kali melintas di ruang angkasa negara. Tambahan kedudukan darjah laluan pagi ini agak tinggi memudahkan komunikasi berjalan iaitu 56 darjah di Putrajaya.

Semakin ke penghujung laluan ia menjadi semakin sukar sebelum ia menghilang. Arah laluan bagi penghujung menghadap tasik. Namun masih dapat diterima kerana keadaan persekitaran yang lapang dan luas ini memudahkan gelombang bergerak tanpa halangan.


Masa laluan satelit agak pendek lebih kurang 10 minit sahaja. Oleh itu setiap detik sangat berharga untuk mendapatkan sebanyak mungkin contact. Perlulah mengetahui jadual laluan serta arah laluannya bagi menjalankan aktiviti komunikasi satelit.


Walaupun memancar di bawah rimbunan pokok, isyarat masih dapat dihantar dan diterima dengan baik.  Nasib baiklah lokasi yang dipilih mempunyai pokok yang merimbun. Boleh berteduh dari sinaran terik mentari pagi itu.

Antena yang dipegang oleh Tn Haji Din Mega 9M2DGA melakukan percubaan mendapat contact disaat akhir. Tiga elemen pendek yang kelihatan digambar bagi mode UHF. Ia kelihatan bersilang dengan yang panjang VHF. Antena satelit dual band ini yang paling sesuai untuk komunikasi satelit.


Sebenarnya sepanjang kami berada di sini, kami telah diperhatikan oleh sistem kamera CCTV di tiang lampu itu. Kamera CCTV ini boleh bergerak memantau aktiviti pengunjung di taman ini. Perasan semasa kami turun ke bawah tepi tasik ini. Kamera CCTV turut mengekor mengarah kedudukan kami berada. Menurut  Cik Taa 9W2CLH terdapat 100 buah CCTV di persekitaran.


Aksi Sufian 9W2SGJ mendapatken kedudukan terbaik walaupun di bawah panas terik. Penghujung laluan satelit bagi mendapat contact detik-detik terakhir.


Kedudukan Ayub 9W2VDN lebih tinggi bagi percubaan saat akhir penghujung laluan satelit. Haruslah mencari kedudukan terbaik bagi mendapat isyarat yang sempurna.


Aksi Sidek 9W2VSV yang membelakangi  tasik mamantau di frekuensi menggunakan handheld.  Kedudukan jarak yang agak jauh antara stesen lain lebih baik untuk mengelakkan gangguan isyarat.


Tamatnya satelit AO-91 Fox 1B, kerja-kerja mengemas antena dilakukan oleh si pemburu satelit. Seronok dapat melihat rakan-rakan beraksi didepan mata bagi komunikasi satelit. Stesen-stesen luar dapat didengari menunjukkan satelit ini menjadi pilihan ramai.


Aksi Ayub 9W2VDN bagi percubaan untuk mendapat contact di satelit SO-50 walaupun kedudukan hanya 8 darjah sahaja. Percubaan berjaya setelah panggilan disahut oleh Mr Kob E21EJC dari Bangkok, Thailand. Walaupun kedudukan darjah yang rendah namun masih dapat membuat contact ke Bangkok disebabkan keadaan muka bumi tasik yang lapang tanpa halangan. Ternyata lokasi ini sangat sesuai untuk memburu satelit komunikasi.


Akhir kata , Tahniah diucapkan kepada Ayub 9W2VDN selaku penganjur untuk komunikasi satelit pagi tadi. Aktiviti yang sangat bagus untuk menambah pengetahuan dan pengalaman bagi sesiapa yang ingin menerokanya. Aktiviti seperti ini harus diteruskan bagi merancakkan lagi aktiviti radio amatur selepas dua tahun akibat pandemik Covid-19. Tak lupa juga kepada rakan ham yang lain turut hadir memberi sokongan. Dapatlah berkenalan serta bertukar-tukar fikiran dan pengalaman.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...