Anjing bawa lari radiosonde D22028476

Cuti PRU-15 memberi pemburuan belon pada sebelah pagi tadi. Berkumpul bersarapan terlebih dahulu di Kota Warisan sebelum misi penyelamatan dijalankan. Memandu ke Sungai Pelek untuk memburu radiosonde D22028476 bersama Arul 9W2OCX. Melepasi simpang KLIA/Nilai Hanif 9W2VHF membuat panggilan untuk turut serta.


Kemudian menunggu Hanif 9W2VHF di Petronas KLIA. Setibanya Hanif 9W2VHF berkonvoi bersama Honda NSR. Menghala mengikut jalan pintas ke Hulu Chuchoh sebelum tiba di lokasi kejadian. Belon jatuh di kebun buah naga. Altitud ketinggian terakhir adalah 585m serta ketinggian maksimum adalah 29,081m.


Menghampiri lokasi jatuhan belon tidak kedengaran sebarang isyarat. Meletakkan jelopi dan motor berhampiran simpang kebun buah naga. Terus ke kebun tersebut, terserempak dengan tuan punya yang baru hendak keluar. Arul 9W2OCX memaklumkan kepada empunya kebun tujuan kedatangan. Kemudian, empunya kebun mengizinkan kami masuk. Beliau kemudian berjumpa pekerjanya bertanyakan belon yang jatuh di kebunnya itu.


Ternyata pekerjanya mengiyakan pertemuan belon di kebun itu. Menurut pekerja tersebut, anjing pelihaaran tuannya itu telah jumpa dan bermain-main. Lalu pekerja tersebut menunjukkan kami belon yang diletakkan diluar pagar. Tiba-tiba selepas kami melihat peranti, isyarat telah diterima semula dari corong radio. Pelik! ia aktif kembali. Kamipun keluar semula untuk mengambil peranti di luar pagar berhampiran jalan kebun.


Hanif 9W2VHF mengeluarkan rdzTTGOsonde untuk mengaktifkan radiosonde secara dalam talian. Malangnya isyarat terpadam setelah reset yang dibuat Arul 9W2OCX gagal menghidupkan semula. Ternyata peranti telah termasuk dalam parit di tepi pagar itu.


Menjadi rutin setiap misi, Arul 9W2OCX melaporkan penemun ke dalam laman sesawang SondeHub. Bahagian bawah peranti dipenuhi lumut-lumut rumpair menyebabkan air menyerap masuk. Radiosonde D22028476 dalam genggaman berjaya dengan bantuan pekerja kebun.


Hasil siasatan pada kayu pine tersebut, didapati gulungan benang tidak terlucut sepenuhnya. Isyarat peranti telah terpadam. Ia hidup kembali ketika kami menghampiri mencarinya. Ini juga penemuan kali kedua anjing suka main pada belon-belon yang baru jatuh. Sebelum ini di Tanah Merah, Port Dickson turut mendapat laporan yang sama dari empunya kebun. 


Nasib baik pekerja kebun jumpa dengan kadar segera melihat kelibat anjing-anjing bermain-main. Pasti lunyai peranti dan belon jika dibiar begitu lama. Monyet yang liarpun boleh cabut buka bateri dan menghancurkan polisterina peranti dengan mudah. Ia menyangka makanan yang enak tergantung elok di atas pokok kelapa sawit.


Ahli Tim SAR Sentral bergambar kenangan atas kejayaan menjumpai belon pagi tadi. Kedudukan sebenarnya kemungkinan di belakang rumah kebun buah naga tersebut. Maka, jarak ke titik akhir tidak diukur. Jarak 178m tersebut merupakan kedudukan tepi pagar kebun yang diletakkan oleh pekerja tersebut.

Oleh kerana jalan pulang melalui KLIA semula, maka misi seterusnya adalah radiosonde D22028476. Belon ini jatuh bertarikh 6 November 2022 pada jam 21:24 malam. Jatuh bersebelahan runway KLIA 2. Meletak jelopi dan motorsikal berdekat pintu pagar. Berjalan melalui laluan tepi pagar tersebut.


Jarak 598m dari jelopi diletakkan ke titik akhir. Hampir 600m mengikut jarum kompas digital yang tepat di atas bumi jaraknya. Sememangnya kami berjalan selari dengan pagar KLIA yang berkawat duri di atasnya.


Sayup mata memandang untuk berjalan 600m ke arah titik akhir. Laluan tepi pagar dalam keadaan baik ini sememangnya boleh dilalui kenderaan. Ambil keputusan berjalan kaki lebih selamat bagi mengelakkan sebarang kemungkinan. Ini memandangkan kawasan KLIA merupakan kawasan larangan yang berisiko tinggi.


Sebelah laluan tepi pagar merupakan parit kecil yang mengandungi aliran air. Ia membentuk sempadan kepada ladang kelapa sawit. Banyak burung berterbangan didapati semasa melalui jalan ini.


Cuaca tidak begitu terik. Redup sahaja ketika berjalan ke titik akhir. Sewaktu di simpang KLIA/Nilai kelihatan air memenuhi simpang hala ke Putrajaya dan Nilai. Pokok sawit sekitar kawasan tersebut turut ditenggelami air. Misi SAR sewaktu malam di sekitar kawasan ladang sawit akan ditangguh sehingga monsun timur laut berakhir.


Tiba kawasan titik akhir tidak kelihatan sebarang kelibat. Kemungkinan belon terlajak masuk ke dalam KLIA ini. Meninjau-nijau di atas rumput tidak juga kelihatan sebarang tanda. Kesan rumput baru sahaja dimesin boleh dilihat. Kemungkinan juga pekerja pemotongan rumput mengalihkan peranti dan belon tersebut.


Arul 9W2OCX berjalan hingga ke hadapan sedikit dari kawasan titik akhir. Harapan  benang tersangkut di pagar ini memudahkan ia dijumpai. Tetapi, ternyata ia terlajak hingga masuk ke dalam kawasan KLIA.


Kedudukan titik akhir radiosonde D22028984 berada di kawasan semak. Perlu melangkah parit yang tiada air untuk melihat sama ada belon jatuh di kawasan tersebut. Selepas ditinjau ternyata tidak kelihatan sebarang tanda untuk altitud 644m.


Rumpunan pakis liar merupakan lokasi titik akhir. Ia terletak antara dua kawasan ladang kelapa sawit. Mungkin ia kawasan kolam banjir bagi kawasan ini.
Jarak 12.6m merupakan jarak di laluan tepi pagar ke titik akhir. Berbaki lebihan jarak, pastilah menghala ke dalam kawasan KLIA. Jarak yang terlalu pendek ini sukar memastikan peranti boleh dijumpai bagi altitud 644m. Jangkaanku peranti berada lebih 50m ke dalam kawasan KLIA ini.


Walaupun tidak menjumpai belon dan peranti, hati puas kerana telah memeriksa kawasan tersebut. Jika tidak mencarinya, pasti hati tertanya-tanya sama ada ia telah dicari orang.


Pasca Covid industri penerbangan kembali bergerak aktif. Ini bagi memenuhi permintaan tinggi dalam dan luar negara. Sebuah pesawat Airasia sedang menunggu gilliran untuk berlepas menanti pesawat yang baru tiba. Ramai pekerja dipanggil semula setelah direhatkan sementara semasa pandemik yang lalu. Setelah fasa bertukar seiring dengan peningkatan ekonomi, maka rakyat terus bergerak ke hadapan bagi terus memajukan negara.


Seterusnya misi terakhir mencari belon di ladang kelapa sawit Jalan Sanitary Landfill. Pada misi kali ini, kami berdua sahaja meneruskan pencarian. Hanif 9W2VHF tidak dapat turut serta kerana ada urusan yang perlu diselesaikan.


Memandu keluar dari pintu pagar ini mengikut jalan Pekeliling. Kemudian melalui bulatan Masjid dan terus ke jalan Nilai/Labohan Dagang. Belok kiri di lampu isyarat dan masuk simpang pertama ke jalan sawit di sebelah tali air. Kereta diletakkan ditepi jalan memandangkan keadaan jalan yang tidak sesuai untuk dimasuki.

Radiosonde D22028709 jatuh pada jam 9:27 pagi bertarikh 14 November 2022. Altitud ketinggian terakhir 382m serta ketinggian maksimum adalah 26,473m. Koordinat 2.78337 darjah Utara dan 101.65269 darjah Timur.


Laluan yang terpaksa ditempuhi berjarak 700m. Lecak dan berlopak memandangkan kini merupakan musim hujan. Bersebelahan laluan sawit merupak tali air yang baru dicuci. Langkah persiapan menghadapi banjir besar.


Laluan masuk ke titik akhir. Sebelum itu melalui lorong pertama kawasan sawit yang matang. Ada berbaki 40m lagi ke titik akhir. maka terpaksa semula ke laluan utama untuk memasuki kawasan sawit muda. Ada parit antara dua kawasan ini. Akibatnya terpaksa keluar semula bagi memudahkan pencarian.



Jarak 32.1m merupakan jarak titik akhir ke peranti yang ditemui. Peranti di temui di hadapan titik akhir. Sebenarnya mengikut baris sawit dari titik akhir. Bergerak hingga jarak 100m kemudian berpatah balik mengikut baris sebelahnya semula. Kemudian di penghujung baris kelihatan belon dan peranti di atas rumput. Ikutkan hanyalah berhampiran sahaja dengan titik akhir. 



Peranti di atas rumput yang telah digenangi air. Memandangkan telah  empat hari yang lalu jatuh di situ. Arul 9W2OCX semasa mengangkat peranti telah dipenuhi air menitik-nitik. Kawasan rumput kelihatan telah kering.


Koordinat belon hasil cerapan jam Garmin 2 darjah 47.0132' Utara dan 101 darjah 39.1470' Timur.


Koordinat peranti hasil cerapan jam Garmin 2 darjah 47.0125' Utara dan 101.39.1476' Timur.


Arul 9W2OCX membuat perekodan memasukkan id radiosonde bagi melaporkan kejayaan penemuan. Belon kelihatan dihadapan Arul 9W2OCX.


Hasil tangkapan di atas rumput yang kering selepas ditenggelami banjir. Musim hujan kebanyakan ladang sawit telah ditenggelami air. Operasi dikawasan banjir akan dielakkan bagi faktor keselamatan.


Kawasan penemuan belon dan peranti di kawasan sawit muda Kesan hitam berdekatan rumput mati. Kawasan lapang sebegini kebiasaannya belon dan peranti berada bersebelahan sahaja. Jikalau tersangkut pada sesuatu, barulah belon berada dihadapan peranti. 

Jarak 272m merupakan jarak dari laluan utama ke titik akhir. Nasib baik ia jatuh di kawasan penanaman semula kelapa sawit. Kawasan  lapang dan mudah dicari dan tidak bersemak.


Laluan pulang ke kereta semula. Jalan tanah merah yang lecah dan berlopak kesan hujan yang turun setiap hari. Sebelah laluan merupakan rumput-rumput yang hidup di dalam tali air telah dibersihkan. Hidupan pokok air itu diangkat buang keluar ke tanah bagi melancarkan aliran air.
 

Lori sampah bersimpang-siur di jalan utama ke tempat pembuangan sampah  Tanjung Duabelas. Kawasan ladang kelapa sawit persekitaran  ini sering menjadi tempat pendaratan belon.

Laluan semakin teruk kesan kerja-kerja mencuci tali air. Jalan berlumpur tanah merah sangat sukar untuk dimasuki kenderaan. Lebih baik berjalan kaki sahaja. Sihat tubuh badan serta dapat menikmati keindahan persekitaran.

Credit 9W2OCX

Radiosonde D22028709 dalam genggaman. Terpaksa melalui berhampiran tebing tempat longgokan rumpair. Jalan berlumpur teruk menyukarkan pergerakan.

Akhirnya tiba di kereta dengan melepasi jarak 698m berjalan kaki. Cabaran dan kesukaran yang dilalui menambah satu pengalaman baru setiap kali misi dilancarkan. Hanya yang melalui pengalaman mengetahui keseronokkan memburu belon. Belum cuba belum tahu. Boleh monitor di APRS ssid 9W2DYA-5 dan 9W2OCX-5 setiap kali misi dilancarkan. Boleh turut serta mempelajari teknik mencari belon dengan betul.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...