Ajoe 9W2XOR memburu belon KLIA




 Hari ini belon KLIA terbang menghala ke Rembau. Ajoe 9W2XOR bercuti di Senawang sempat memantau belon KLIA terbang hingga ke hutan.
Credit 9W2XOR

 Koordinat terakhir yang berjaya dicerap beliau menggunakan rdzTTGOsonde adalah 2.63293 darjah Utara dan 102.18300 darjah Timur. Sayangnya belon Klia pagi tadi jatuh di kawasan hutan belantara. Sehubungan dengan itu, Tim SAR Sentral mempelawa Ajoe 9W2XOR mencari belon di Sungai Pelek. Beliaupun bersetuju untuk mencuba nasib belon yang jatuh pada 7 November yang lalu.

Semasa SAR digalakkan mengaktifkan aprs bagi memudahkan rakan-rakan memantau. Stesen 9W2DYA-5 telah di tiba dilokasi pertemuan. Menunggu Arul 9W2OCX bergabung melancarkan misi.


Stesen minyak Shell di Kota Warisan menjadi tempat berjumpa dengan ahli SAR yang lain. Berkumpul di sini bagi kawasan pencarian sebelah Salak, Sepang, Kota Seriemas, Enstek, Nilai, Sg. Pelek, Bukit Pelanduk dan Tanjong Sepat.


Setelah Arul 9W2OCX tiba dengan bermotorsikal, kamipun bergerak ke Sungai Pelek melalui Kg Hulu Chuchoh. Laluan pintas walaupun jalannya agak teruk sangat menjimatkan perjalanan berbanding jalan biasa. Manakala, Ajoe 9W2XOR bertolak dari Senawang melalui Sendayan.

Radiosonde D22028733 telah jatuh pada 7 November 2022 jam 9:45 pagi. Tiada siapa melancarkan misi kerana sibuk dengan tugasan. Meraikan kedatangan Ajoe 9W2XOR, bolehlah mencuba mencarinya. Kebiasaannya jatuh di kawasan ladang kelapa sawit tiada yang mengusik atau mengambil. Namun, kerja-kerja ladang terutama mengemas kadangkala ia turut hilang atau dimusnahkan.


Pada mulanya, menunggu Ajoe 9W2XOR di kawasan perumahan berdekatan belon jatuh. Setelah tidak menjumpai jalan masuk, terus menyusur di jalan utama. Akhirnya satu laluan masuk telah dikenal pasti. Meletakkan kereta di tepi jalan berdekatan laluan masuk tersebut. Jarak 900m untuk ke titik akhir. Laluan sawit lecah dan basah kesan hujan pada malamnya. Menghampiri 100m lagi terpaksa masuk ke dalam ladang. Namun dihalang oleh parit yang agak luas.


Ajoe 9W2XOR telah menemui batang sawit jatuh mengarah ke parit. Apa lagi? kamipun menggunakan batang sawit itu untuk menyeberangi parit kecil itu. Berjaya menyeberang terus menghala ke titik akhir.


Tiba di titik akhir bergerak ke arah belon dijangka jatuh. Altitud ketinggian terakhir agak tinggi iaitu 759m. Selepas menyemak gambar tangkap layar arah belon. Misi pencarian diteruskan. Melihat keadaan persekitaran kawasan ladang ini sangatlah bersih dan kemas. Pastilah mudah untuk mencarinya. Sangkaan kami itu jauh meleset sekali. Peranti dan belon tidak dapat ditemui.


Memeriksa di kawasan jangkaan belon mendarat serta persekitarannya masih tidak ditemui. Melihat-lihat di atas pokok jikalau ada benang yang tersangkut masih juga gagal.


Jarum biru kompas digital GPS waypoint finder bukti titik akhir berjaya dijejaki. Arah belon yang tepat membawa diri terus ke tampat belon dijangka jatuh. Oleh kerana, ladang ini bersih dan kemas. Jarak penglihatan boleh mencapai hingga ke hadapan lagi. Kelihatan sekawan lembu meragut rumput ditemani bangau yang setia meneman.


Serpihan tulang haiwan turut ditemui ketika sibuk mencari. Mata haruslah tajam serta peka dengan keadaan persekitaran.


Inilah batang sawit yang tumbang merentangi parit kecil. Nasib berjaya menemuinya. Mudahlah kami untuk menyeberang ke titik akhir. Ketika ini, melintas untuk pulang semula ke kereta. Misi gagal kerana tidak berjaya menemuinya.


Perlu berhati-hati meniti batang sawit ini. Ia agak licin. Ia boleh menyebabkan tergelincir lalu jatuh dalam parit kecil ini. Pasti basah kuyup jikalau terjatuh masuk ke dalam parit ini. Keselamatan nyawa menjadi keutamaan semasa misi mencari dan menyelamat.


Laluan sawit ini turut diperhatikan keadaan sekelilingnya. Kemungkinan belon terlajak melewati daerah ini. Namun, tetap tiada sebarang tanda peranti atau belon ditemui.


Laluan ini menjadi sempadan antara pemilik ladang. Ini berdasarkan kawasan ladang dari segi kekemasannya berbeza amat ketara. Sebelah kanan berpagar kawat duri, manakala ladang yang kami masuki hanya parit menjadi sempadan.


Setelah tiba di kereta, aku memberikan peranti dan belon KLIA yang pernah dicari dulu kepada Ajoe 9W2XOR. Ada juga bingkisan dibawa pulang ke Pahang. Kami berdua merancang pula mencari satu lagi belon yang telah jatuh di Tanjung Sepat.


Laporan ke laman sesawang SondeHub dilakukan Arul 9W2OCX. Walaupun gagal menemuinya, pasti ada peluang orang lain untuk mencuba nasib pula. Tanda pangkah pada ikon itu menunjukkan peranti gagal ditemui setelah mencarinya.


Radiosonde D22028951 jatuh pada 9 November 2022 jam 9:22 pagi. Jatuh di kawasan rumah menyukarkan mencari. Berjaya pergi ke titik akhir koordinat 2.65729 darjah Utara dan 101.57218 darjah Timur. Kami ditemani seorang jumpa  ketika meletak kereta dihadapan rumahnya. Beliau sanggup meneman kami ke titik akhir dan persekitarannya.


Oleh kerana sukar mencarinya misi dihentikan sahaja. Mungkin jatuh di dalam halaman rumah penduduk kampung ataupun di atas atap rumah. Kemudian terus kembali semula ke Kota Warisan sebelum pulang ke destinasi masing-masing.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...