Dapat dua belon pada pagi ini.

Pagi ini berjaya melancarkan dua misi bersama Arul 9W2OCX dan Yatt 9W2MFE. Radiosonde D22028630 jatuh pagi tadi di Bukit Changgang.

Radiosonde D22028630 jatuh di hujung Jalan Muis, Bukit Changgang. Koordinat 2.8512 darjah Utara dan 101.62975 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 265m serta ketinggian maksimum adalah 29,125m.


Manakala belon KLIA malam tadi radiosonde D22028120 jatuh jam 21:55 di Banting. Koordinat 2.81913 darjah Utara dan 101.54206 darjah Timur.


 Altitud ketinggian 145m dan ketinggian maksimum adalah 28,391m. Pagi ini berkumpul di Dengkil terlebih dahulu. Kemudian bergerak ke Jalan Muis Kg Bukit Changgang. Arul 9W2OCX memandu vannya hingga ke penghujung jalan. 


Isyarat radio diterima tersekat-sekat dari jalan besar lagi. Tiba di sini, Arul 9W2OCX terus mencerap koordinat terbaru menggunakan rdzTTGOsonde. Berjaya mengunci koordinat 2.85116 darjah Utara dan 101.62955 darjah Timur.

Jarak lagi 274m merupakan jarak dari van diletakkan. Ini bermaksud kami akan berjalan kaki ke tempat belon jatuh. Apabila berjalan di atas permukaan bumi jarak sebenar lebih jauh daripada itu. Terpaksa melalui lorong-lorong sawit bagi menjejak peranti. Ada pekerja ladang menabur racun di kawasan persekitaran.


Elok tergantung kayu pine dari pelepah sawit di atas. Manakala, belon pula elok terbaring di atas tanah. Pergantungan terhadap benang memudahkan pencarian dijalankan. Kedua belon dan peranti dipisahkan oleh pelepah pokok kelapa sawit. Kedua-duanya berada di atas tanah. Belon berada arah hadapan peranti mengikut arah angin semasa jatuh.


Lampu menyala lagi menandakan isyarat masih aktif berjaya membantu mengesannya dengan bantuan rdzTTGOsonde. Jarak tidak terlalu jauh berbanding menggunakan koordinat asal. Persekitaran pokok kelihatan kerja-kerja mengutip sawit telah dilakukan. Banyak buah-buah sawit yang gugur bertaburan di atas tanah. Menunggu untuk dikutip masuk ke dalam guni pula.

Semasa hendak bergerak ke van, kami selisih dengan uncle yang sibuk mengutip butir-butir buah sawit yang bertaburan. Kami memaklumkan tujuan kehadiran kami di situ pagi ini.


Koordinat hasil cerapan jam Garmin adalah 2 darjah 51.0794' Utara dan 101 darjah 37.7672' Timur. Arul 9W2OCX seperti kebiasaannya melaporkan penemuan radiosonde D22028630 di laman sesawang SondeHub.


Misi seterusnya kami mencari belon yang jatuh pada malam tadi di Banting. Radiosonde D22028120 jatuh di sebuah pulau yang dikelilingi oleh Sungai Langat. Jalan masuknya di Bandar Mahkota terpaksa melalui jalan yang agak kurang elok ke tapak pembinaan kawasan perindustrian.


Pemandangan Sungai Langat dari atas jambatan ke kawasan pembinaan kilang. Terpaksa berpatah balik kerana tapak jatuh belon di seberang sungai sebelah hadapan. Google map menunjuk jalan yang boleh dilalui kenderaan sahaja. Nasib baik bertanya pekerja yang lalu-lalang arah ke ladang kelapa sawit di seberang sungai. Menurut pekerja tersebut, perlu melalui jambatan kecil yang merentangi paip gas di sana. Ada perasan tadi semasa melalui jalan ke sini tadi. Maka, terpaksa berpatah balik melalui jambatan yang tinggi tadi.

Jejak stesen 9W2DYA-5 boleh dipantau melalui aprs. Sepanjang misi pencarian ini, aprsdroid telah diaktifkan sebagai langkah keselamatan. Setiap lokasi pencarian dapat dipantau secara langsung melalui aprs. Maka, lokasi kita berada turut dapat dikenal pasti. Ini memudahkan kita menentukan kedudukan setiap saat kita berada. Rakan yang memantau di aprs turut mengetahui setiap pergerakan yang dilalui.

Arul 9W2OCX meletakkan vannya ditepi jalan yang sedang dalam pembinaan. Kawasan tapak industri sekali lagi kami tempuhi. Nasib baik cuaca menyebelahi kami. Mendung sahaja walaupun waktu sudah menghampiri tergelincir matahari.


Kami terpksa merentasi kawasan lapang bagi menuju lokasi belon jatuh. Hala ke kawasan IWK yang bersebelahan kawasan ladang kelapa sawit. Namun, terdapat parit yang besar membataskan pergerakan kami ke sana. Jadi, kami berpatah semula ke hadapan menghampiri ladang sawit. Ternyata ada laluan ke ladang sawit mengikut rumah api TNB yang sedang dalam pembinaan.


Nasib terus menyebelahi kami lagi. Ternyata di belakang rumah api TNB tersebut adalah laluan ke ladang sawit tersebut. Ada palang di laluan utama itu. Terpaksa melalui dibahagian tepi dengan  memanjat tanah yang agak tinggi dengan berhati-hati. Kami berhenti di kawasan berpalang tersebut seketika bagi memberi laluan pada laungan azan zohor.


Jarak berbaki 189m dari palang ke titik akhir. Kelihatan ladang sawit ini agak terbiar telah lama ditinggalkan. Mungkin akan berubah menjadi kawasan pembangunan masa hadapan. Maka, kami terpaksa mengharungi rumput-rumput yang agak tinggi. Setiap selang baris pokok sawit kelihatan pokok senduduk mendominasi kawasan semak. Bertambah sukar pergerakan akibat kawasan tersebut dipenuhi air.


Rumput-rumput yang dilalui itu dipenuhi air. Semua kawasan digenangi air lebih-lebih lagi musim tengkujuh telahpun berlaku. Tidak hairanlah kawasan ini dikelilingi air walaupun terdapat parit dikelilinginya. Turut menjadi halangan adalah rimbunan semak antara baris pokok. Sukar untuk melaluinya kerana ia menghalang laluan.


Walaupun kelihatan laluan yang mudah. Hakikat sebenarnya air telah memenuhi hingga ke betis. Sudah pasti kasut akan tenggelam basah. Itulah pentingnya berkasut setiap kali misi pencarian dilakukan bagi tujuan keselamatan.


Akhirnya kami membuat keputusan mencari laluan utama bagi memudahkan pergerakan. Laluan utama pasti tidak bersemak dan mudah dilalui. Kemudian kami terlajak ke hadapan setelah dipisahkan oleh parit. Kemudian berpatah balik bagi memasuki kawasan belon jatuh.


Ternyata ada laluan masuk ke titik akhir tanpa melompat parit. Laluan ini kami terlepas ketika mula melalui hingga terlajak ke hadapan. Kami meredah rumput yang berair dengan berhati-hati. Jarak semakin menghampiri titik akhir. Sepanjang laluan berumput ini sangat memenatkan kami semua. Apa taknya? Rumput yang panjang dipenuhi air mengurangkan pergerakan serta sangat memenatkan apabila kaki melangkah.


Kami meneruskan pencarian walaupun jarak semakin menghampiri. Benang yang tergantung menjadi pedoman kami seperti kebiasaannya. Namun, ia berada di selang hadapan sebaris pokok lagi. Yatt 9W2MFE mencari laluan sebelah kiri. Manakala aku terus meredah semak ke benang yang tergantung itu. Beberapa langkah di kawasan semak itu, kelihatan peranti berada di dalam semak. Kemudian meneruskan ke hadapan sedikit untuk melihat belon pula.


Terpaksa menyelak celah-celah daun bagi mengambil peranti yang tergantung atas daun dan dahan pokok renek yang membentuk semak itu. Kalau bukan kerana benang pastilah tidak menyedari peranti jatuh di dalam semak itu. Altitud ketinggian terakhir145m ini sangat membantu. Stesen radiosonde 9M2TPT di Sungai Buloh telah bekerja dengan cemerlang bagi mendapat altitud serendah ini.


Koordinat hasil cerapan jam Garmin 2 darjah 49.1449' Utara dan 101 darjah 32.5246' Timur. Semasa menghapiri peranti ini, terpaksa mengharungi pokok yang berdaun berduri. Habis tangan calar-balar kesan semasa mengaharunginya. Sangat berbisa rasa ditangan. Jikalau badan tidak tahan pasti kesan alahan boleh terjadi pada kulit.


Belon yang agak bersepai elok terjatuh atas pokok renek. Oleh kerana belon agak besar dilihat mudahlah ia dicari di kawasan itu. Kalau pecah sepenuhnya dengan tinggal kayu pine sahaja pasti ia boleh jatuh dicelah-celah daun. Apapun, benang yang panjang itulah telah membantu memudahkan pencarian.


Hasil cerapan koordinat belon oleh jam Garmin adalah 2 darjah 49.1417' Utara dan 101 darjah 32.5205' Timur. Belon sentiasa berada dihadapan peranti semasa jatuh. 


Pokok sawit tua yang agak tinggi telah berjaya menahan belon dan peranti dari memasuki kawasan semak. Andai jatuh dalam kawasan semak menyukarkan misi pencarian.


Persekitaran tapak belon jatuh diterangkan bagi memudahkan kerja perekodan. Semak melebihi paras tubuh badan sanggup diharungi demi belon. Hanya orang yang minat sahaja sanggup menempuhi onak dan duri. Perasaan gembira dan berbaloi setelah yang dicari telah dijumpai dalam keadaan baik.


Muka yang tidak berapa hendak senyum itu berpunca dari terpaksa mengharungi perjalanan yang mencabar. Sangat memenatkan bagi misi kali ini. Habis lenguh kaki hingga tidak larat meneruskan langkah. Nasib baik tempat yang ditujui berjaya sampai. Bolehlah melepaskan lelah sebelum kembali ke pangkal jalan.


Pelaporan penemuan terus dibuat lokasi kejadian. Ini memastikan pelaporan itu tepat pada lokasinya. Kepuasan pasti terpancar diwajah setelah pelaporan berjaya dihantar dengan baik. Nasib baik internet dipersekitaran ladang sawit ini sangat baik. Jika, tidak terpaksa keluar terlebih dahulu di kawasan yang ada liputan.


Wajah kepuasan berjaya mencapai kejayaan setelah mengahrungi pelbagai rintangan. Kerjasama berkumpulan yang mantap telah mencapai objektif dengan jayanya. Kami bergerak keluar melalui laluan sawit yang lebih selamat. 


Tiba dipalang dengan hati yang lega setelah mengharungi kawasan semak yang berair. Sewaktu hendak menghampiri palang ini, kelihatan beberapa ekor anjing. Nampak kelibat kami, anjingpun keluar ke kawasan lapang tapak pembinaan. Sebelum, itu semasa menghampiri titik akhir, kedengaran kelibat babi berlari lintang-pukang yang disedari oleh Yatt 9W2MFE. 


Laluan dari palang ke rumah api TNB. Sebelah kiri dan kanan laluan ini merupakan kawasan berpaya. Kolam-kolam yang jernih airnya dapat dilihat semasa datang tadi.


Kolam disebelah kiri yang jernih airnya menjadi tarikan bangau untuk datang mencari ikan. Kelihatan sekawan lembu-lembu mencari makan di sekitar kawasan hijau di sini. Ini merupkan laluan dari rumah api TNB ke tapak pembinaan yang luas. Cuaca masih mendung memudahkan kami melalui kawasan lapang pulang ke van tanpa perlu berpanas.


Pemandangan saujana mata memandang ini merupakan kawasan lapang tapak pembinaan kawasan industri. Pemandangan tangki air dalam pembinaan serta jejambat yang melintasi Sungai Langat di pulau ini. Projek mega ini memerlukan akses yang baik dan bersistematik bagi memudahkan ia beroperasi dengan baik.


Nun jauh di sana kelihatan rumah api TNB yang baru kami lepasi. Kawasan pemandangan ladang kelapa sawit yang ditinggalkan dari kawasan lapang. Awan gelap memenuhi langit menandakan musim tengkujuh sedang dilalui kini.

Jarak 561m dari van yang diletakkan ke titik akhir. Hampir 2km jangkaan kaki kami melangkah bagi melengkapkan misi yang sangat yang mencabar ini. Seterusnya kami bergerak semula ke Dengkil dengan hati yang gembira berjaya bawa pulang dua radiosonde pada kali ini.

Credit 9W2OCX
Tiba di Dengkil, Arul 9W2OCX telah membelanja kami air teh ais yang sangat sedap bagi menghilangkan dahaga dan penat. Wajah keseronokan berjaya mengharungi cabaran dengan jayanya.


Credit 9W2OCX
Namun bingkisan dari pulau itu tetap kami dapat. Terpaksalah membuang pacat yang melekat kekenyangan. Biasalah kawasan lembap seperti itu adalah habitatnya.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...