Sangkut pokok


 Hari sabtu 2 November 2024 belon KLIA pagi telah jatuh berhampiran KLIA bersebelahan dengan Litar Antarabangsa Sepang. Seolah meraikan kejohanan Moto GP Malaysia 2024 yang diadakan keesokan harinya. Jatuh di kawasan ladang kelapa sawit Jalan Pekeliling 3. Ada laluan terus ke atas yang mempunyai kawasan lapang yang terdapat sebuah bangunan yang ditutup jalan masuk. Kelihatan seperti nurseri sahaja. Kawasan lapang yang berumput. Pemandangan dari sini sangat indah nian. Boleh melihat pemandangan lapangan terbang.


Radiosonde 2405015163 telah jatuh jam 9:29 pagi. Koordinat 2.75652 darjah Utara dan 101.72201 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 319m dan altitud ketinggian maksimum 26,477m.


Arul 9W2OCX memandu vanfire terus ke selekoh puncak pemandangan. Memang cantik pemandangan di atas bukit ini. Sebaliknya belon KLIA berada di hadapan kawasan ladang kelapa sawit. Merujuk kepada kekuatan isyarat berjaya menerima dengan penuh setiap bar.


Pemandangan sebelah Masjid KLIA. Stesen radar Bukit Tampoi pun boleh dilihat dari sini. Bentuk bulat putih di atas bukit itu senang dikenal pasti. Radar cuaca milik METMalaysia.


Pemandangan pentas sementara di Litar Antarabangsa Sepang turut dapat diperhatikan. Hujung minggu ini penganjuran Moto GP Malaysia 2024. Sibuk kenderaan menghala ke litar ini sepanjang ke sini. Belonpun turut meraikan penganjuran dengan mendarat berhampiran kawasan ini sahaja. Banyak simpang ditutup bagi melancarkan trafik. Polis Trafik turut disediakan khemah berdekatan simpang laluan utama.


Pagi ini Arul 9W2OCX telah membawa dua feeder bagi mendapatkan koordinat belon terkini. Dua stesen radiosonde tersebut adalah 9W2OCX_SAR dan Budak Giler. Kedua-dua feeder ini dapat bekerja dengan baik sekali. Berjaya mengesan koordinat baru memudahkan misi pencarian.


Aksi Arul 9W2OCX sedang mengaktifkan Budak Giler dan 9W2OCX_SAR dekat penghalang jalan. Berlatarbelakangkan terminal lapangan terbang KLIA 1. Cuaca pagi itu sangat baik. Ini membolehkan menghayati pemandangan indah sekitar kawasan KLIA ini. Jauh perjalanan luas pemandangan. Tempat yang tidak pernah pergi, telah sampai angkara memburu belon. Rupanya ada tempat tersembunyi yang menyajikan pemandangan indah.


Go Box Budak Giler sangat berat dan besar. Lagi satu yang kecil itu raspi dengan RTL-SDR dongle lebih mudah dibawa ke sana ke sini. Paling sesuai untuk misi mencari dan menyelamat belon.


Penulis masih belum memiliki lagi raspi dan RTL-SDR dongle yang sangat penting dibawa semasa mencari di lapangan. Ini penting jika altitud terakhir sangat tinggi perlu mendapatkan koordinat terbaru. Mendapat yang terbaru sangat membantu memudahkan pencarian belon. Lagipun radiosonde oppa ini mampu bertahan dengan lebih lama lagi berbanding radiosonde DFM-17.



Setelah berjaya mengunci koordinat yang terkini, maka kamipun berpatah balik turun ke simpang. Letak vanfire di tepi jalan berhampiran palang masuk ke jalan ladang. Terdapat pondok di situ tetapi banyak sampah bersepah. Menyusur jalan sawit yang kelihatannya baru disodok. Terus berjalan hingga ke titik akhir terpaksa meniti titi batu terlebih dahulu.


Melepasi titi batu suasana terus berubah seolah memasuki kawasan hutan. Bahagian baris sawit di sini sangat semak dan tidak berjaga. Pelepah kelapa sawit menutup cahaya masuk ke lantai. Kanopi yang menutup akibat pelepah yang tidak dipotong. Pelepah mati tergantung ke bawah hingga kering. Namun di lantai masih boleh dilalui hanya pokok-pokok  kecil sahaja yang tumbuh.



Tiba di koordinat baru yang telah diperolehi atas bukit tadi. Tiada apa-apa kelihatan benda yang dicari. Meraba-raba juga di kawasan persekitaran untuk memastikan bahawa sekurangnya benang dapat dijumpai. Melilau juga mata memandang ke sana dan ke sini tapi terus hampa. Memandang juga ke atas tetapi tidak juga nampak benang.


Kemudian menyemak semula koordinat yang bergerak-gerak akibat  ditiup angin. Masukkan sekali lagi agar menjadi pada kali kedua ini. Setelah yakin koordinat baru yang dimasukkan sekali lagi. Mata merenung tajam dan mendongak ke atas pokok. Sahlah benang kelihatan tersangkut dipelapah sawit antara dua batang pokok.


Kemudian memeriksa keliling dua batang pokok tersebut. Tiada juga apa yang tergantung. Ternyata belon dan peranti berada di atas pokok. Tidak nampak keduanya. Kanopi yang padat menyukarkan untuk pengesan belon dan peranti. Harapkan angin dan hujan yang lebat agar turun jatuh ke bawah lantai tanah.


Patutlah semasa berada di atas mendapat isyarat sangat baik. Rupanya peranti berada di atas pelepah pokok sawit yang agak tinggi ini. Berpatah balik jalan yang sama ke vanfire semula dengan penuh rasa kehampaan. Adat memburu belon. Ada juga berputih mata dan balik dengan tangan kosong. Pernah juga mendapat peranti yang tersangkut pada pelepah. Kebetulan pekerja ada berdekatan dengan lokasi belon tersangkut. Minta bantuan mengaitkan pelepah tersebut dan kemudian memberi sedikit saguhati atas bantuan yang diberikan. Apakan daya ladang macam ditinggalkan mustahil boleh berjumpa pekerja ketika itu.


Keadaan pohon kelapa sawit yang agak tinggi. Setakat galah sawit masih mampu lagi mengait. Sayang tiada siapa yang boleh diminta bantuan. Sebelah hadapan tersebut merupakan laluan ke atas pemandangan indah tadi. Arul 9W2OCX sekali lagi bawa vanfire naik ke atas.


Sekali lagi berpeluang menikmati pemandangan indah dari atas bukit ini. Cuaca masih baik memberi peluang menikmati pemandangan sekeliling dengan baik. Terfikir juga kami mengapa belon tidak jatuh sahaja atas bukit yang lapang mahupun atas jalan raya sahaja. Namun tetap ke kawasan ladang kelapa sawit seolah ada tarikan magnet. Mungkin faktor arah angin menyebabkan sering berlaku sebegini. Penulis secara jujur lebih suka belon jatuh di kawasan sawit berbanding kawasan penempatan. 


Kali kedua Arul 9W2OCX mengaktifkan kedua feedernya. Kelihatan stesen 9W2DYA_Chase turut diaktifkan. Belon yang tersangkut itu hanyalah berhadapan sahaja dengan kami.


Hampir satu kilometer perjalanan pada kali ini. Lambat mengaktifkan jam mode tactical menyebabkan ia tidak mencapai satu kilometer. Masa yang diambil hanyalah setengah jam sahaja. Tenaga yang dibakar hanya 154 kalori.


Gambar satelit sepanjang perjalanan yang lebih jelas dan terang. Penjejakan sepanjang pemburuan belon itu. Ternyata belon bergerak ke arah garis yang lurus. Bomoh lari sedikit dan jauh tidak tepat. Namun selari dengan jangkaan bomoh tersebut. Lupa nak ukur jarak ke titik akhir altitud asal 319m dari  koordinat baru tersebut.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2ddya

Hasrat Terkubur di Kubur


 Sebelum solat jumaat semalam, sempat mencari belon yang jatuh pada 17 Oktober 2024. Radiosonde 2405015207 jatuh malam hari tersebut di kawasan tanah perkuburan Sepang. Koordinat 2.69384 darjah Utara dan 101.74601 darjah Timur. Altitud ketinggian terakhir 165m dan altitud ketinggian maksimum 28,903m.


Memandu dari Bandar Seri Putra selepas bersarapan. Laluan kemudian ke Nilai dan melalui Salak terus ke Sepang. Tiba di simpang empat Pekan Sepang terus belok ke kanan masuk jalan sebelah Balai Polis terus ke kawasan perkuburan Cina. Meletak kereta berhampiran jalan yang berpalang. Kemudian siap beg sandang terus mencari laluan masuk ke ladang kelapa sawit.


Bergerak melalui pagar yang roboh membawa keluar ke jalan kampung. Selisih dengan seorang uncle india yang membonceng motorsikal. Menanyakan beliau jalan ke ladang kelapa sawit bersebelahan dengan tempat pembakaran mayat. Kemudian memaklumkan tujuan ke sana. Tanpa banyak soal suruh naik motor dan terus membawa tempat yang dituju. Bertemu semula keretaku yang diparkir tadi. Beliaupun berpatah balik kerana palang tersebut. Tiba ditempat dituju terus ucapkan terima kasih atas kesudian menunjukkan jalan.


Menyusur laluan tepi pagar kawasan perkuburan tersebut. Perlu melangkah longkang terlebih dahulu. Berjalan tepi pagar yang agak bersemak terpaksa diredahi juga. Kemudian melangkah parit sawit yang agak kering. Mudahlah untuk melepaskan diri. Menyusur semak beberapa langkah hingga masuk ke kawasan ladang yang lapang. Menyusur jalan ladang bertanah merah agak mudah. Kemudian beberapa langkah terlihat ayam hutan berterbangan lari lintang-pukang. Ada yang berkokok lagi.


Seterusnya tiba dititik akhir bersebelahan dengan tempat pembakaran mayat. Memastikan arah belon jatuh terlebih dahulu. Selepas mengenal pasti teruskan usaha mencari. Baris demi baris dilalui namun tiada kelibat benda yang dicari.


Setiap baris mempunyai ketinggian yang berbeza. Setiap teres telah dilalui namun tiada juga kelibat dapat dilihat. Mencari juga sebelah pagar bangunan. Tetap juga tidak kelihatan belon atau pun benang di kawasan bersemak itu.



Penghujung baris dan teres terdapat kawasan lapang. Memerhati dengan mata tajam jikalau belon jatuh di kawasan tersebut. Berpatah balik mencari sekali lagi baris demi baris. Tiba-tiba terdengar salakan anjing. Apa lagi? terus kejar sampai lari ke tempat lain anjing-anjing tersebut.


Pemandangan kawasan kubur yang berpagar. Kawasan perkuburan di dalam tersebut untuk orang islam. Sebelahnya merupakan bangunan pembakaran mayat. Kawasan perkuburan bercampur ini sangat luas. Pada pemerhatian penulis, kawasan perkuburan islam macam masih kosong lagi.


Pada firasatku belon telah melepasi kawasan ladang kelapa sawit ini. Kemungkinan bersebelahan dengan kawasan bangunan ini. Tanah perkuburan disebelahnya. Ada kelapangan lain boleh meninjau ke kawasan tersebut. Mungkin masuk dari pintu hadapan dan cuba melihat-lihat jika belon betul-betul mendarat di situ.

Puas hati melihat kawasan ladang kelapa  sawit yang sudah tidak dijumpai. Strategi seterusnya mencari kawasan yang lain pula iaitu kawasan bersebelahan bangunan ini. Berdasarkan pemerhatian arah belon bergerak lurus menghala ke penjuru tanah sebelah bangunan ini. Penulis merasa sangat optimis bahawa pasti belon terlajak ke arah sana.

Jumpa dan jumpa lagi.
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

Budak Giler Cemerlang


 Semalam selepas solat jumaat telah melancarkan misi mencari dan menyelamat belon KLIA di Ladang Teluk Merbau. Solat Jumaat terlebih dahulu di Masjid Pekan Sungai Pelek. Usai solat Arul 9W2OCX pun tiba. Naik sekali vanfire terus ke ladang Teluk Merbau tidak jauh dari situ. Meminta kebenaran kepada anak kepada Pengurus Ladang terlebih dahulu. Memaklumkan kehadiran untuk mencari belon kaji cuaca.


Belon KLIA pagi semalam radiosonde 2405015154 telah jatuh jam 9:15 pagi. Koordinat 2.62984 darjah Utara dan 101.72021 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir sangat tinggi iaitu 810m dan ketinggian maksimum 27,873m. Penulis sangat optimis belon dijumpai memandang kawasan ladang yang bersih dan lapang. Namun, dengan syarat budak giler dapat berfungsi dengan baik.


Semasa di rumah Pengurus ladang isyarat telahpun dapat didengar. Arul 9W2OCX mengeluarkan Go Box Budak Giler bagi mendapatkan koordinat terkini. Namun, gagal mengesan koordinat terkini tersebut. Maka, kami bergerak keluar dan jelopi diletakkan berhampiran pintu masuk ladang. Kemudian bergerak di belakang rumah pengurus tersebut mencari laluan. Berdasarkan GPS Wapoint finder, titik akhir berjarak 700m lebih.


Oleh kerana tiada laluan, kami berpatah balik mengikut laluan utama ladang sahaja. Percubaan menggunakan jalan terhampir pasti digagalkan oleh parit. Pasti berpatah balik ke pangkal jalan. Tiada jalan singkat menuju ke titik akhir. Hendak berjaya tiada jalan singkat. Perlu berusaha menghadapi pelbagai rintangan dan ranjau berduri. Walaupun jauh perjalanan lancar tanpa halangan parit dan lebih selamat lagi. Lagipun berjalan atas rumput setiap baris kelapa sawit ini sangat memenatkan kaki melangkah. Ladang kelapa sawit tua ini dipenuhi rumput yang menghijau.


Perjalanan diteruskan hingga ke titik jangkaan sondehub. Tiba di sana tiada isyarat bunyi setelah antena dicabut. Ini menandakan peranti sememangnya tiada di kawasan ini. Percubaan demi percubaan dibuat agar koordinat baru dapat dikesan. Arul 9W2OCX meminta bantuan cikgu Zak 9M2ZAK di Johor bagi menyelesaikan masalah ini.


Kemudian Arul 9W2OCX terus mencari dan mencari sehinggalah Budak Giler dapat mengunci koordinat yang terkini. Rupanya isyarat lebih kuat dari arah yang kami datang tadi. Bukannya di kawasan bomoh. Nampaknya kali ini bomoh tidak boleh pakai. Sepatutnya melihat garisan lurus terakhir arah belon jatuh. Arah bomoh bergerak ke kiri sedikit. Tangkap layar di atas hasil terjemahan Budak Giler berjaya mendapat koordinat terkini 2.62432 darjah Utara dan 101.7248 darjah Timur. Hampir 400m lagi untuk mendapatkan peranti tersebut.


Lihatlah kawasan ladang yang menghijau. Ada beberapa batang pokok sahaja yang tinggal. Ini menunjukkan betapa tuanya usia pokok tersebut hingga ada beberapa pokok yang mati dalam setiap baris. Berjalan atas rumput bersemak kadang-kala amatlah memenatkan. Namun, demi sebuah belon usaha perlu diteruskan jua.


Perjalanan menuju peranti berhampiran talian elektrik voltan tinggi. Petang itu cuaca cerah dan agak redup juga. Angin bertiup agak kencang. Tidak hairanlan belon pagi itu bergerak laju dan jauh ke depan jatuhnya. Tambahan dengan keadaan ladang ini yang agak lapang memudahkan terbang bergerak jauh ke depan .



Tiba di koordinat baru kelihatan peranti tersangkut dalam parit. Belon berada di depan kawasan semak bawah talian elektrik voltan tinggi. Arul 9W2OCX mencari pelepah yang boleh digunakan untuk mengait benang terlebih dahulu. Selepas benang berjaya ditarik barulah peranti berjaya dalam genggaman. Kemudian Arul 9W2OCX terus menarik benang bagi mendapatkan belon pula.


Pokok-pokok renek di kawasan rentis TNB ini menyangkutkan peranti dari termasuk ke dalam parit. Jikalau terlajak ke depan lagi pastilah kami tidak boleh mencapai.


Kurang lima meter altitud ketinggian terakhir 810m adalah jarak yang dijumpai peranti sajauh 805m ke titik akhir. Kebiasaannya jarak yang dijumpai separuh daripada altitud ketinggian terakhir itu. Bagi belon kali ini menyamai pula ketinggian altitud dan jarak yang dijumpai. Mungkin faktor angin yang kuat serta kawasan yang agak lapang menyebabkan ia meluncur jauh ke depan.


Aksi Arul 9W2OCX menggulung benang. Sebelah kanan beliau merupakan parit yang menjadi benteng terakhir belon mendarat. Nasib baik juga tidak tersangkut pada talian elektirik voltan tinggi berhampiran.


Arul 9W2OCX melaporkan kejayaan radiosonde 2405015164 melalui rakaman video penulis. Akhirnya Budak Giler bekerja dengan cemerlang mengesan kedudukan peranti terkini. Tanpa jasa Budak Giler pastilah sukar mengesan lokasi belon jatuh tersebut. Liputan internet kawasan sekitar serba sedikit turut membantu. maklumlah lokasi ladang ini berdekatan dengan Pekan Sungai Pelek dan Bagan Lalang. Tanpa internet perisian auto_rx pasti tidak dapat berfungsi dengan baik.


Pemandangan lokasi belon KLIA pagi semalam jatuh di bawah rentis TNB. Nasib baik peranti jatuh dalam parit. Belon bergerak ke hadapan terlebih dahulu diikuti peranti di belakang.


Go Box Budak Giler di lokasi belon KLIA ditemui. Pemandangan indah waktu petang yang berangin melupakan lelah mencarinya.


Stesen 9W2DYA-5 bergerak dari jangkaan bomoh ke koordinat baru belon ditemui. Ladang Teluk Merbau dikelilingi penempatan memudahkan mendapat liputan komunikasi.


Budak Giler secara langsung telah memberi koordinat terbaru dan di paparkan secara lagsung juga di laman sesawang sondehub. Rakan-rakan lain pasti dapat mengetahui pergerakan dan kejayaan setiap misi. Teknologi kini memerlukan internet memudahkan setiap misi dapat diketahui perkembangan dilihat dalam laman sesawang sahaja. Kehidupan dalam talian membuatkan hidup semakin pantas dan bergerak laju. Lambat pasti ketinggalan.


Hasil tangkapan petang jumaat yang mencabar fizikal dan mental. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk mendapatkan. Sangat jauh pergi dari titik akhir. Bertambah keadaan persekitaran dan angin yang agak kuat. Akhirnya ke parit juga masuknya.



Jarak lagi 100m pasti radio dapat menerima isyarat walaupun antena telah dicabut. Setelah mendengar bunyi, pasti peranti berada dipersekitaran tersebut. Jika tiada, menandakan tiadalah wujud di situ. Kemahiran mendengar dengan teliti memainkan peranan juga.



Aksi Arul 9W2OCX sibuk menghantar laporan penemuan ke laman sesawang sondehub. Rutin biasa semasa misi mencari dan menyelamat.


Wajah kepuasan pemburu belon setelah berjaya menemui apa yang dicari. Berbaloi membawa Go Box Budak Giler yang agak berat juga. Strategi lain bagi mengurangkan beban adalah memasukkan dalam beg sandang sahaja.


Jejak sepanjang pencarian hasil cerapan jam Garmin mode tactical. Jarak keseluruhan sejauh 8.44km. Masa yang diambil 2 jam 31 minit 26 saat. Total ascent 581m dan jumlah tenaga yang dibakar adalah 929 kalori. Pencarian yang paling panjang yang pernah dibuat demi sebuah belon.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya


Boundary Pillar 1881

  Cuti sekolah menghampiri penghujungnya. Sempatlah bercuti solo ke Port Dickson pada 3 dan 4 September 2026. Pada kali ini Damia tidak ikut...