Terjun Parit


 Pagi ini sempat menyinggah base Arul 9M2OCX untuk mengambil bateri hand-held. Dua set bateri hand-held tersebut boleh dicucuk dengan kabel usb type-C. Dua bateri hand-held tersebut akan digunakan untuk radio bagi tnc aprs yang sudah lama tidak diaktifkan. Ketika ini aprs LoRa sangat mendapat sambutan seantero negara. APRS VHF 144.390MHz perlu turut diteruskan kerana masih ada lagi penggunanya.


Kemudian bergerak ke Sri Cheeding kerana terdapat belon kaji cuaca yang masih belum dicari lagi. Bergerak dari Puchong Utama melalui Kampung Lombong seterusnya Rimbayu. Belon KLIA ini telah jatuh pada 13 Januari 2025 jam 9:42 pagi. Koordinat 2.88194 darjah Utara dan 101.58511 darjah Timur. Altitud ketinggian akhir 486m dan ketinggian maksimum 29,352m.


Tiba lokasi kejadian masuk ke jalan kelikir yang agak luas. Meletak kereta di tepi jalan tersebut. Kiri dan kanan merupakan parit yang agak luas. Nasib baik ada titi maka bolehlah masuk kawasan tersebut. Setelah bersiap berkasut serta beg sandang barulah melalui titi tersebut. Rupanya kawasan mendarat perlu melintas parit. Terpaksa berpatah balik ke jalan besar dan letak kereta di laluan masuk ladang tersebut.


Setelah meletak kereta berpandukan GPS Waypoint Finder terus menghala ke titik akhir. Tiba satu halangan parit lagi. Nasib baik ada batang kelapa yang tumbang merentangi parit tersebut. Tanpa banyak fikir terus meniti batang pokok tersebut. Baru meniti, tiba-tiba hilang keseimbangan badan terus jatuh masuk parit tersebut. Agak dalam juga hingga paras dada itik. Nasib baik telefon berpaut pada batang kayu tersebut. Bahagian badan habis tenggelam bersama beg dan dompet dalam seluar.


Tenggelam sahaja badan terus anjak menggunakan titi dan terus naik ke darat semula. Berjalan balik semula ke kereta untuk keluarkan barang-barang yang ada dalam dompet. Telefon agak kotor dan lap sedikit agar tanah gambut tidak melekat. Nasib baik guna baju dan seluar yang cepat kering. Kasut basah lencun itu perkara biasa. Selesai mengemas, terus bergerak ke hadapan lagi mencari jalan masuk kawasan ladang tersebut. Ada palang dan laluan masuk. Terus ke titik akhir.


Sampai titik akhir terus mengarah belon jatuh. Cari punya cari hampir sejam tidak jumpa juga. Kawasan kebun ini nampak seperti baru sahaja dikemas beberapa hari. Pelepah masih menghijau dan baru dilonggokkan tempat pengumpulan pelepah. Tidak pasti belon terlajak ke hadapan lagi kebun orang lain yang agak bersemak.


Cukup menghampiri sejam misi ditamatkan memandangkan menghampiri waktu Zohor. Menghampiri kereta terlihat batu TBM di kawasan kebun. Koordinat 2.882991 darjah Utara dan 101.584800 darjah Timur. Sejam mencari belon baju dan seluarpun telah kering. Pulang ke base melalui Gamuda Cove dan keluar ikut Serenia dan terus menghala ke Jenderam.

Jumpa dan jumpa lagi
Selamat Memburu!
73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Terjun Parit

  Pagi ini sempat menyinggah base Arul 9M2OCX untuk mengambil bateri hand-held. Dua set bateri hand-held tersebut boleh dicucuk dengan kabel...