Belon Ozone D20029122

Credit 9W2SMF

 Hampir jam 11 pagi tadi kedengaran isyarat aktif di frekuensi 401.110MHz. Namun tiada data direkodkan di Sondehub dan aprs.fi

Namun isyarat kedengaran dicorong radio menjadi tanda tanya bagi kami yang mengejar radiosonde ini. Auto-rx yang digunakan untuk mengesan radiosonde tidak berfungsi walaupun frekuensi yang sama sering digunakan.

Credit 9W2SMF

Jangkaan belon ozone D20029122 terbang hingga benua Afrika. Lagi satu gambar pertama menunjukkan lokasi hingga ke utara benua Eropah. Tidak pasti lokasi belon ini berada ketika itu. Hasil cerapan abg Mike fox 9W2SMF lokasi di atas.

Credit 9M2TPT

Hasil cerapan 9M2TPT Wak Mid tentang amaran yang dikeluarkan kepada Sonde DFM 20029122. Altitud yang terlampau tinggi.

Credit 9W2RUT

Lagi satu amaran turut dipaparkan oleh Weerut 9W2RUT kepada belon ozone D20029122. Terbang melepasi paras amaran.

Credit 9W2SMF

Peranti yang boleh mengesan koordinat sesuatu belon radiosonde. Hasil pemantauan oleh abg Mike fox 9W2SMF. DFM17 20029122 di latitud -16.42956 dan longtitud 0.14058.

Credit 9W2RUT

Satu lagi dipantau oleh Weerut 9W2RUT menggunakan peranti jenis yang sama. Hasil dapatan koordinat hanya terpapar longtitud 22.43981. Kedua stesen mendapat koordinat yang berlainan.

Rupanya belon ozone yang ditunggu tidak boleh dikesan oleh auto-rx. Maka tidak tahulah kewujudannya di situ. Namun ia telah dilepaskan tanpa disedari oleh kami semua. Nasib baiklah memantau di frekuensi. Barulah tahu bahawa ia sering dilepaskan waktu tertentu sahaja.

73, Jojet de 9w2dya

5 Misi Pencarian Radiosonde di Pulau Carey


 Semalam telah melancar lima misi pencarian belon radiosonde di Pulau Carey. Pencarian bersama dua stesen lagi iaitu Hanif 9W2VHF dan Yatt 9W2MFE. Berjaya membawa pulang dua belon radiosonde daripada lima misi. Masing-masing setakat ini telah mempunyai dua koleksi radiosonde setiap orang. Secara peribadi aku telah berjaya menemui tujuh belon radiosonde setakat ini.


Berkumpul jam 9 pagi di Balai Pengawal yang mempunyai papan tanda Muzium Perladangan. Setelah semua anggota tiba, menuju ke Kg Melayu untuk mencari belon radiosonde D20050676. Belon ini telah jatuh pada 5 Disember 2021 pada jam 21:04 dengan altitud ketinggian terakhir 553m. Hanif 9W2VHF memandu kami menggunakan google map hingga ke simpang yang telah ditutup oleh palang. 


Kemudian berjalan ke titik terakhir 2 darjah 50.16' Utara dan 101 darjah 22.86' Timur. Terpaksa melalui jalan yang dipenuhi air kesan banjir. Nampaknya kawasan persekitaran masih terdapat air bertakung. Setelah menghampiri titik terakhir begitu semak dan air bergenang di sana-sini. Situasi ini menyukarkan tugas pencarian. Maka misi ini dibatalkan kerana risiko bahaya. Boleh baca entri tentang belon ini pada https://9w2dya.blogspot.com/2021/12/belon-klia-jatuh-di-pulau-carey-lagi.html
Entri ditulis pada 6 Disember 2021 dalam blog ini.


Kemudian ke Pondok Pengawal Sg Kurau. Memaklumkan kepada pegawai bertugas untuk mencari belon. Selepas pendaftaran terus ke destinasi Misi kedua 2 darjah 51.06' Utara dan 101 darjah 21.16' Timur. Mencari tempat parkir yang selamat di lorong dalam kelapa sawit muda yang baru membesar. Berjalan menuju titik terakhir terpaksa melangkah beberapa parit. Tiba titik terakhir mencari mengikut baris pokok disebelah kanan.


Jumpa disebabkan ternampak belon hijau yang kecil tersangkut di pokok. Kemudian Hanif 9W2VHF dan Yatt 9W2MFE mengikut benang untuk mendapatkan peranti. Rupanya peranti telah berada dibawah rumput. Maklumlah ia jatuh pada 4 November 2021. Hampir 2 bulan jatuh baru ditemui. Jatuh arah selatan sebaris dengan titik terakhir dengan jarak lebih kurang 75m. Koordinat seperti gambar di atas. Altitud ketinggian terakhir 563m. Meraikan kejayaan dengan bergambar kenangan. Sebenarnya hampir berputus asa, namun rezeki terpandang di saat akhir berjaya jumpa benda yang dicari. Alhamdulillah misi berjaya dengan WX cerah dan panas ketika itu. Boleh baca entri sebelum ini https://9w2dya.blogspot.com/2021/11/misi-mencari-radiosonde-di-pulau-carey.html
Entri ditulis pada 5 November 2021 dalam blog ini.


Misi ketiga hendak mencari radiosonde D20052319 ditepi pantai.  Pernah mencari pada 23 Disember 2021 dengan berjalan kaki dari Pantai Tanjung Rhu. Sewaktu itu, banjir menyebabkan jelopi tidak boleh masuk ke kawasan berhampiran. Boleh baca semula pada entri https://9w2dya.blogspot.com/2021/12/misi-mencari-radiosonde-di-pantai-rhu.html
Entri pada 23 Disember 2021 dalam blog ini.
Oleh kerana tidak jumpa jalan ke kuarters yang pernah sampai dulu. Misi yang ketiga di tepi pantai dibatalkan. Pergi ke surau Ar-Rahman untuk solat Zohor sebentar.


Misi keempat diteruskan ke gereja. Yatt 9W2MFE memandu kami dengan bantuan google map. Hanif telah mengesahkan kawasan gereja telahpun berjaya tiba menggunakan motorsikalnya. Kami meletakkan kereta di persimpangan berhampiran kawasan itu. Kemudian berjalan ke titik terakhir belon D20052467 jatuh pada 21 Disember 2021 jam 9:23 pagi. Koordinat 2 darjah 53.05' Utara dan 101 darjah 19.82' serta altitud ketinggian terakhir 344m.


Setelah mengenalpasti titik terakhir. Misi pencarian dimulakan mengikut baris pokok sawit arah ke utara. Akhirnya bertemu juga peranti D20052467 dalam keadaan yang telah bersepai dan pecah berhampiran pokok di tepi jalan.


Koordinat radiosonde yang kedua berjaya ditemui seperti gambar di atas. 2 darjah 53.0945' Utara dan 101 darjah 19.7978' Timur. Sebenarnya ia jatuh pada pokok di hadapannya. Ini dapat dibuktikan dengan tali benang yang tersimpul pada bahagian pucuk pokok itu. Berhampiran pokok tersebut terdapat kesan cebisan peranti. Baterinya telah diambil atau hilang tidak ditemui. Nasib baik litar peranti dan kod bar tertulis masih melekat. Ini membuktikan kami berjaya menemui belon itu. Kami percaya pekerja telah menemuinya yang jatuh lebih 18 hari yang lalu.


Misi terakhir di penghujung jalan dari jalan gereja itu. Kami tersilap meletak kereta menyebabkan terpaksa berjalan jauh. Belon D20052410 telah jatuh pada 19 Disember 2021. Koordinat 2 darjah 52.65' Utara dan 101 darjah 18.03' Timur. Altitud ketinggian terakhir 514m. Arah jatuh adalah dari arah kami masuk ke titik akhir. Masih mencari ikut baris pokok sawit. Mencari baris demi baris sebelah kanan dan kiri namun tidak berjaya.


Misi terpaksa dihentikan kerana hari  telahpun lewat. Jam 5.30 petang operasi berakhir dan berjalan semula ke jelopi. Singgah Surau Ar-Rahman semula untuk solat Asar. Kemudian kami berhenti makan di tepi jalan menghala ke Banting di Teluk Panglima Garang.


Hanif 9W2VHF menguji semula peranti yang kami jumpa. Walaupun telah jatuh lebih dua bulan, setelah bateri dimasukkan. Peranti berjaya diaktifkan semula. Menggunakan peranti ttgo yang boleh mengesan koordinat radiosonde. Berjaya mengesan peranti radiosonde itu serta melihat gps berfungsi dengan baik.



Kejayaan berjaya mendapatkan dua belon radiosonde daripada lima misi pencarian. Menifestasi semangat berpasukan dengan kerjasama padu dan erat. Tidak mudah berputus asa serta tabah menghadapi ujian dan cabaran dalam kalangan kami. Kejayaan pasti datang kepada orang yang bersabar serta fokus pada matlamatnya. 

Misi seterusnya akan dilancarkan di Banting pula. Memandang ketika ini belon asyik jatuh ke laut. Inilah masa yang sesuai mencari gali semula belon yang telah jatuh ke darat semula.

73, Jojet de 9w2dya

Jom Kejar Belon Kajicuaca

 Belon kajicuaca atau radiosonde boleh diburu dan dicari. Boleh dapatkan perantinya serta belon jikalau tidak pecah yang teruk. Bagi yang suka adventure aktiviti memburu belon ini sangat menyeronokkan.


Boleh rujuk laman sesawang aprs.fi merujuk kepada objek belon yang terbang itu. Belon dilepaskan dua kali sehari pagi dan malam. Jam lebih kurang 7:35 sudah boleh memantau di frekuensinya. Penerbangan kebiasaannya mangambil masa dalam dua jam bergantung kepada ketinggian sesuatu penerbangan dan cuaca.


Kemudian setelah mendarat boleh merujuk koordinatnya serta altitud ketinggian terakhir. Segala data dipaparkan disini boleh dirujuk.


Selain aprs.fi,  kita juga boleh merujuk SondeHub Tracker. Laman sesawang sondehub.org menjadi rujukan kerana turut memaklumkan kawasan belon dijangka mendarat. Turut terdapat aplikasi pada telefon pintar. Koordinat turut dipaparkan pada sondehub ini sebagai rujukan ketika misi pencarian. Boleh gabung kedua-duanya mengikut kesenangan dan kesesuaian peranti yang dimiliki.


Belon yang berkeadaan baik dipegang oleh Yatt 9W2MFE di Kg Orang Asli Pulau Kempas, Banting. Belon kempis pada altitud ketinggian maksimum. Ada terkoyak sedikit mungkin sewaktu terlanggar pokok.


Belon yang hancur dipegang oleh penulis di Kg Orang Asli Sg Judah, Pulau Carey. Hancur belon meletop di altitud ketinggian maksimum yang agak tinggi.


Koleksi belon penulis dalam pelbagai rupa dan bentuk. Belon pertama masih berkeadaan baik namun pecah dibahagian atasnya. Dua belon lagi pecah dan tidak nampak rupa. Belon yang bawah sekali bertukar warna kerana dijumpai lebih  dua minggu selepas jatuh.


Peranti radiosonde yang dipegang oleh Hanif 9W2VHF dijumpai di Kg Orang Asli Sg Judah, Pulau Carey. Segala data meteorologi dipancarkan dari peranti ini. Ketika ini, peranti masih berfungsi lagi dan dapat dipantau melalui frekuensi 401.111MHz. Belon ini dilepaskan dari KLIA Sepang.


Inilah peranti radiosonde jenis DFM17 keluaran Graw yang dilepaskan oleh MET Malaysia. Ada empat tempat iaitu KLIA, Bayan Lepas, Kota Bharu dan Kuantan. Bagi rakan di selatan tanahair pula, boleh memburu belon radiosonde dari Singapura.

Berikut frekuensi yang boleh dipantau;

Bayan Lepas WMKP 400.170MHz

Kota Bharu WMKC 401.910MHz

Kuantan WMKD 402.010 MHz

KLIA Sepang WMKK 401.110MHz

Gemas 403.000MHz

Changi WSSS 400.500MHz

Changi WSSS 402.150MHz

Paya Lebar WSAP 401.900MHz


Penulis bersama Weerut 9W2RUT berjaya menemui radiosonde buat pertama kalinya di Puchong gateway Seronok dan puas setelah memantau berbulan-bulan akhirnya kumpulan kami berjaya mendapat satu.


Peranti dijumpai tersorok dicelah-celah daun. Namun tali benang menyelamatkannya dari ditinggalkan. Tali yang menyambung antara belon dan peranti sememangnya sangat panjang. Juntaian tali antara penanda bagi mencari belon ini.

Selamat mencuba dan memburu belon kajicuaca. Rasailah keseronokkan memburunya. Sudah cuba baru tahu mudah atau sukar untuk mendapatkannya.

73, Jojet de 9w2dya

Misi Mencari Radiosonde D20039850 berjaya di Pulau Kempas, Banting

 

Misi mencari radiosonde D20039850 berjaya bersama Yatt 9W2MFE di Pulau Kempas pada semalam hari. Altitud ketinggian terakhir adalah 218m. Jatuh pada malam 4 Januari2022 dan cari pada pagi 5 Januari 2022.

Credit 9W2SGJ

Bertemu di simpang Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting. Memandu dari base singgah sekejap di Petronas Olak Lempit. Pertama kali menggunakan Jalan Bukit Perah ke Kg Seri Cheeding. Yatt dari Klang akan terus ke titik pertemuan. WX pagi itu mendung dan hujan. Nasib baik apabila sampai di Pulau Kempas hujan telahpun reda dan cerah kembali. Ini memudahkan kami meneruskan misi pencarian.


Sebenarnya Sufian 9W2SGJ turut menghala ke lokasi kejadian dari basenya di Bukit Changgang. Kami QSO di frekuensi V40 145.500 MHz. Namun, beliau telah tersalah jalan walaupun jarak semakin dekat tetapi laluannya amat sukar. Jadi tak sempat untuk turut serta kerana perlu segera ke Damansara juga. Mungkin misi pencarian lain boleh turut serta. Tak lari belon dikejar. Belon yang sudah jatuhlah. Belon yang terbang tinggi memang tak terkejar. lebih-lebih lagi masuk ke laut.


Kami parkir kereta bersebelehan dewan. Kemudian bersiap sedia dengan hand-held masing-masing. QRV V40 kerana Sufian 9W2SGJ akan contact apabila menghampiri lokasi kejadian. Melalui hadapan rumah yang ada anjing kami disalakkannya. Buat tak tahu dan berjalan hingga ke titik terakhir. Menyemak koordinat terakhir dan mula mencari dikawasan sekitarnya. Arah dari titik terakhir adalah menghala ke tenggara. Semasa pencarian ini, masih dapat contact dengan Sufian sehingga beliau QRT mohon mendarat.


Kamipun mencari kawasan sekitar dari koordinat terakhir mengarah ke tenggara. Cari dan cari dengan mata melilau ke lantai dan mendongak ke kanopi pokok. Akhirnya Yatt 9W2MFE terpandang sesuatu yang tergantung di hadapan mata. Itulah belon yang kami cari masih dalam keadaan baik sekali. Jaraknya hampir 50m dari titik terakhir. Arah ke tenggara seperti dijangka. Apa lagi? Saat yang ditunggu mengambil gambar kenangan. Betapa seronoknya Yatt 9W2MFE dengan pertemuan belon ini. Namun perantinya tersangkut di atas pokok kegembiraan terhenti.


Sementara itu, tugas merekod koordinat ditempat pertemuan dilakukan menggunakan jam garmin. Pelbagai ikhtiar dilakukan Yatt bagi mendapatkan peranti yang berada di atas pokok. Sehingga tali benang yang panjang itu terputus. Barulah peranti tergantung dapat dilihat. Terayun-ayun di tiup angin di atas pokok getah itu.

Credit 9W2MFE

Akhirnya perlu meminta bantuan dari orang kampung. Sebelum itu ada bertanya seorang Pakcik bertanyakan orang yang boleh menolong mendapatkan peranti di atas pokok itu. Namun pakcik itu tidak dapat membantu mencarikan orang. Kamipun keluar semula ke kereta sambil mencari-cari orang yang boleh membantu. Yatt 9W2MFE mengemas belon dan dibawa sekali simpan ke dalam jelopi. Semasa  berjalan ke kereta terlihat seorang pakcik sedang menebang pokok pinang mati. Yatt menanyakan jikalau ada orang yang boleh membantu menyelesaikan masalah kami.


Pakcik itu cuba membantu dengan membawa galah sawit. Kamipun memberitahu lokasi pokok getah itu. Beredar terus ke jelopi dan parkir berhampiran di rumah pakcik yang pertama kami jumpa bertanya tadi. Berjalan semula ke tapak pendaratan di pokok getah itu. Beberapa minit kemudian pakcik yang keduapun tiba dengan galah sawit. Kamipun menunjukkan peranti yang terangkut di atas pokok getah itu. Usaha dilakukan namun tidak sampai ke peranti. Kemudian pakcik pertampun datang semula. Diapun membantu dengan membawa galahnya untuk disambung hingga dapat mengait peranti tersebut. Setelah galah disambung hampir 50kaki, usaha menjatuhkan peranti berjaya. Kamipun memberi sedikit saguhati kepada kedua pakcik atas bantuan yang diberikan.


Alhamdulillah peranti berjaya diturunkan, maka misi kami berjaya. Yatt gembira semula kerana berjaya mendapat peranti radiosonde yang diidamkan. Hasil penat lelah berbaloi dengan pelbagai ikhtiar. Usaha tanpa mengenal jemu membuahkan hasil. Bagi meraikan kejayaan kami lepak di kedai makan Rimbayu. Sebelum masing-masing pulang ke destinasi.

73, Jojet de 9w2dya

Dua Misi Mencari Radiosonde Berjaya di Pulau Carey


 Semalam 4 Januari 2022 berjaya mendapat dua radiosonde di Pulau Carey. Misi pertama bersama Hanif 9W2VHF di perkampungan Orang Asli Sungai Judah, Pulau Carey.


Objek aprs D20039807 altitud terakhir adalah 239m jatuh di kawasan ladang sawit dalam perkampungan itu. Isyarat terakhir pada jam 9:28 pagi. Beberapa minit sebelum mendarat bergerak ke Pulau Carey dari Bangi. Hanif 9W2VHF sanggup mengambil cuti untuk misi mencari radiosonde ini. Beliau turut bergerak dalam jangka masa yang sama.

Beberapa minit setelah sampai di kampung itu, Hanif 9W2VHF turut tiba bersama motorsikalnya dari Gombak. Isyarat radiosonde  frekuensi 401.111MHz masih lagi aktif.


Kami bersiap sedia dengan radio masing-masing bagi mengesan kedudukan terakhir. Berjalan di Lorong Penghulu dari parkir di kawasan lapang berdekatan dewan. Koordinat telah dicatat bagi memudahkan mengesan kedudukan terakhir. Jam Garmin turut diaktifkan.


Ketika ramai anak-anak Orang Asli berkumpul di situ. Menanyakan nama lorong yang dilalui. Namun tidak mendapat sebarang reaksi daripada mereka. Kamipun berjalan mengikut lorong hingga ke hujung. Hanif 9W2VHF berkongsi pengalaman dengan mencabut antena hand-heldnya. Walaupun sudah dicabut isyarat masih lagi diterima. Semakin dekat semakin kuat isyarat diterima.


Berdasarkan garisan isyarat terakhir belon menunjukkan arah selatan. Jadi, kebarangkalian belon akan terus jatuh ke arah selatan. Kamipun cari titik terakhir berdasarkan koordinat di aprs.fi. Terpaksa melangkah parit kecil untuk ke situ. Berdekatan titik terakhir terdapat bangkai jelopi di tengah kebun sawit.

Credit 9W2VHF

Swafoto di lorong Penghulu, dengan WX sangat baik panas dan cerah pagi itu. Keyakinan sangat tinggi bagi misi kali ini. Optimis kerana altitud terakhir adalah ketinggian 239m.


Bermula dari titik terakhir berdasarkan koordianat, berpecah mencari di kawasan sekitar. Radio ditangan masing-masing masih lagi kuat isyaratnya. Pencarian ke arah selatan di sekitar radius beberapa meter dahulu. Tiba-tiba terlihat olehku benang yang terjuntai. Apalagi akupun memanggil Hanif. 


Hanif tiba sahaja ke tempat ku. Barulah selak di bawah tali benang itu. Peranti radiosonde masih menyala-menyala berwarna oren. Kuat betul isyarat yang diterima dari lantai bumi di bawah semak. Bayang dari parkir kereta yang lebih 400m boleh diterima isyaratnya.


Mengambil gambar terlebih dahulu lokasi ia jatuh di balik daun. Jikalau bukan kerana benang, pasti kita tidak dapat menyedari ia berada dibawah itu. Belon masih tidak kelihatan lagi. Setelah tarik benang barulah belon muncul tersangkut dari atas.


Kelibat belon yang telah hancur tergantung kerana tersangkut pada pokok kelapa sawit. Kemudian Hanif mengemas belon yang selama ini menjadi idamannya. Alhamdulillah berjaya mendapat satu radiosonde oleh Hanif 9W2VHF yang sanggup datang dari Gombak. Berbaloi usaha kali ini.


Wajah keseronokan terpacar setelah penat lelah terbayar. Ganjarannya mendapat apa yang diidamkan selama ini. Usaha tanpa merasa jemu membuahkan hasil.


Jarak dari titik terakhir alitud 239m lebih kurang 10m sahaja. Tidak terlalu jauh dari jangkaan. Namun arah jangkaan adalah tepat ke selatan.


Bagi mengesahkan lagi kedudukan tersebut. Koordinat diambil dari bacaan jam garmin sebagai rujukan masa hadapan. Nampaknya ia tidak lari terlalu jauh.

Credit 9W2VHF

Aku memegang belon yang hancur meletup jatuh ke bumi dalam beberapa jam yang lalu. Tahap kehancuran bergantung kepada ketinggian maksimum yang dicapai sesuatu belon itu.

Credit 9W2VHF

Secara peribadi, ini merupakan pertemuan kali ke-3 belon radiosonde. Keseronokan menjumpainya hanya orang yang mencari sahaja faham.

Kemudian kamipun mengemas belon seblum beredar dari tapak pendaratan itu. Bergerak semula ke parkir kereta dengan misi yang berjaya. Bagi meraikannya kami makan di warung berdekatan tepi jambatan SKVE. Bercerita tentang pengalaman yang baru dikutip dengan teruja.


Berkongsi cerita dan pengalaman sambil menikmati juadah. Apa yang pasti perut lapar setelah penat mencari belon radiosonde. Bateri pada peranti masih aktif semenjak jam 7:35 pagi lagi.


Selepas menghilangkan penat dan berkongsi cerita. Hanifpun bergerak pulang ke Gombak. Akupun mencari surau untuk solat Zohor. Kemudian berpatah balik ke jalan berdekatan kampung tadi. Pada 27 Disember 2021 terdapat dua belon radiosonde telah mendarat di kawasan itu. Maka, oleh kerana ada masa kelapangan lagi. Bolehlah meninjau-ninjau semula ke tapak pendaratan itu.


Oleh kerana data belon tersebut masih ada dalam simpananku. Misi sebelah petang pula dilancarkan. Objek aprs D20054369 altitud ketinggian terakhir adalah 284m. Bermula dari jambatan atas sungai. Jam garmin diaktifkan bagi mendapat koordinat. Setelah berjaya mendapat longtitud yang tepat. Maka mencari latitud memerlukan masuk ke kawasan ladang kelapa sawit semula.


Mengikut lorong ke dalam ladang kelapa sawit yang agak kemas dan berjaga. Jadi tidak perlu risau tentang semak. banyak lorong setiap baris memudahkan pergerakan. Mencari koordinat yang lengkap terlebih dahulu. Kemudian menandakan koordinat itu di kawasan tersebut. Sebenarnya Yatt 9W2MFE dan Abg An 9M2VJP mencarinya pada tarikh tersebut namun gagal.


Mulai titik terakhir itu, mencari setiap baris pokok ke arah selatan berdekatan jalan raya. Tidak jumpa berpatah balik. Begitulah teknik pencariannya. Sehinggalah ternampak segumpal seolah sampah. Namun apabila terlihat benang terjuntai, maka sahlah benda yang dicari telahpun dijumpai. Melangkah aliran air antara baris sawit untuk mendapatkan peranti radiosonde itu. Belonpun agak hancur juga, bertambah beberapa hari terkandas disitu hingga pudar warna latex itu. Jarak tapak jumpa dari koordinat terakhir lebih kurang 30m. Selang dua baris dari titik akhir.


Pertemuan belon radiosonde ini merupakan kali ke-4 secara peribadi. Berbaloilah datang ke Pulau Carey dengan membawa pulang satu juga. Sebenarnya banyak lagi tapak pendaratan belon radiosonde di Pulau Carey ini. Jikalau ada berkesempatan datang ke sini lagi, boleh mencari sebanyak mungkin.

73, Jojet de 9w2dya

Stainless Steel Bench Mark (SBM)

  Pagi ini beriadah di Taman Canal, Alam Sari, Bangi. Merujuk kepada aplikasi jam Garmin adalah di Semenyih. Sebelum itu bersarapan roti tel...