Seramai 18 peserta telah mengikuti program ini bermula berkumpul seawal 7:30 pagi. Selaku ketua program, telah berada di situ seawal 7:30 seperti dalam tentatif. Sebelum itu, jam 6:00 pagi selepas solat subuh bertolak ke Petronas berhampiran sekolah untuk menjemput dua pelajar sebagai helper. Kemudian terus ke Lekas Highway untuk ke tempat tujuan. Sebelum itu juga sempat berkonvoi dengan seorang lagi rakan guru, Mahadzir yang menunggu di Kajang Utama.
Jam 8:15 pagi bermulanya sesi taklimat oleh ketua program tentang keselamatan dan perjalanan sepanjang program. Sesi suai kenal turut diadakan kerana ia turut diserta oleh rakan-rakan guru dari sekolah yang berlainan. Sesi ini penting supaya peserta boleh saling kenal-mengenal diantara satu sama lain. Kata kunci bagi kumpulan ini adalah Hussein Onn.
Selepas itu, bacaan Doa oleh Ustaz Husni bagi memberkati program ini berjalan dengan sempurna. Alhamdulillah sepanjang aktiviti berlangsung cuaca baik walaupun hujan turun sewaktu perjalanan turun dari puncak. Kemudian, sesi memanaskan badan oleh Aiman anak kepada seorang rakan guru, Asrul.
Tetapi sebelum itu pembayaran permit mendaki sebanyak RM5.00 dibuat dikaunter. Aku membayar untuk 18 pax berjumlah RM90.00. Peraturan terbaru dikeluarkan bahawa kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan mendaki.
Tepat 8:30 pagi pendakian bermula dari tangga yang disediakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan. Peringkat awal pendakian sangat curam dan mencabar. Ia sebagai pemanas enjin bagi meneruskan pendakian dengan jarak lebih 4km.
Pondok-pondok hentian turut disediakan bagi melepaskan lelah. Trek sangat lapang dan luas memudahkan pendakian. Nasib baik treknya kering menandakan tidak hujan semalamnya. Maklumlah sekarang ini hujan turun setiap hari diikuti kilat sambung-menyambung.
Ramai pengunjung lain turut bersama-sama ke matlamat yang sama iaitu puncak Gunung Angsi setinggi 825 meter dari aras laut. Tidak hairan sewaktu dibawah tadi, tempat letak kereta telah dipenuhi.
Peserta turut tidak melepas bergambar kenangan di tempat- tempat yang menarik. Contoh di waterfall view memberi satu pemandangan yang indah dan menarik untuk diabadikan sebagai kenangan. Pemandangan Lekas highway turut dapat dilihat dari sini.
Perjalanan diteruskan dilaluan yang agak landai sehingga terus mendaki apabila semakin menghampiri puncak. 18 minit to summit tertulis papan tanda yang dilekatkan pada pokok.
Sewaktu di sini, selisih dengan ramai pendaki lain turun ke bawah dari puncak.
Ada juga berehat di bawah pohon sambil berbual-bual menanti air kopi masak dan juga mee segera pilihan ramai. Bau kopi memenuhi ruang puncak memberi satu kenikmatan apatah lagi pabila dapat menghirupnya. Nikmat tak terhingga sewaktu badan kehausan menempuh cabaran sebentar tadi.
Papan tanda Gunung Angsi menjadi sasaran lensa kamera untuk tatapan kenang-kenangan. Bukti telah sampai ke puncak sebagai satu pencapaian dan kepuasan peribadi disamping semangat berpasukan.
Setelah sejam menikmati suasana puncak dan melepaskan lelah, perjalanan turun dimulakan. Penggunaan radio dua hala sewaktu pendakian seperti ini amat penting. Segala maklumat dan pergerakan dapat disampaikan antara orang dihadapan dan belakang.
Perjalanan turun mengambil masa dua jam setengah. Walaupun masanya lebih awal 30 mimit tetap memberi cabaran sewaktu menuruninya. Silap langkah dan perhitungan pasti boleh mendatangkan kemalangan. Hujan turun sewaktu menghampiri tempat permulaan. Apabila sampai di tempat letak kereta ternyatalah hujan turun dengan lebatnya berbanding sewaktu di hutan yang agak rintik kerana dilindungi oleh kanopi pokok.
Tahniah kepada semua peserta yang berjaya menawan puncak Gunung Angsi dengan jaya dan selamat. Semangat kerjasama yang tinggi serta tolong-menolong dapat ditonjolkan.
73, Jojet de 9W2DYA
No comments:
Post a Comment