Belon KLIA Terbang Paling Lama dalam Genggaman


 Siang tadi berjaya mendapat belon KLIA radiosonde D20039748. Belon paling lama di udara pada hari khamis malam jumaat.


Terbang seperti biasa bermula jam 7:35 malam dan berakhir 23:43 malam. Merujuk keratan rentas penerbangannya dapat dilihat bahawa ia terbang pada aras yang sama dalam jangka masa yang panjang. Biasanya bentuk piramid seperti gunung dan bukit. Namun, kali ini agak berbeza umpama aerodinamik sebuah kereta.


Jam 23:43:00 berada altitud ketinggian 263m. Koordinat 2.8342 darjah Utara dan 101.45823 darjah Timur. Telah menghampiri kawasan ladang kelapa sawit dari arah jalan Sg Buaya. Stesen radiosonde yang menerima isyarat adalah 9M2TPT di Sungai Buloh. Sebelum itu merujuk tangkap layar lebih atas. Altitud ketinggian 987m di atas jalan Sg Buaya. Koordinat 2.84417 darjah Utara dan 101.45399 darjah timur.Stesen radiosonde yang menerima isyarat adalah 9W2RUT-2.

Seterusnya pada jam 23:43:20 telah bergerak ke hadapan sedikit. Koordinat 2.83298 darjah Utara dan 101.45816 darjah Timur. Altitud ketinggian menurun kepada 174m. Stesen radiosonde yang menerima isyarat adalah 9W2OCX. Radiosonde D2209748 ini berada di antara belakang kawasan TUDM Jugra dan Politeknik Banting.

Maju ke hadapan 12 saat lagi pada koordinat 2.83265 darjah Utara dan 101.45804. Ia bergerak ke selatan berterusan dan beralih ke barat sedikit. Altitud semakin rendah ketinggian 119m pula. Stesen radiosonde yang menerima  isyarat adalah 9W2RUT-2.

Akhirnya titik terakhir radiosonde D20039748 berada di koordinat 2.83247 darjah Utara dan 101.45833 darjah Timur. Koordinat inilah dimasukkan dalam aplikasi GPS waypoint bagi mencari belon KLIA di lapangan. Titik akhir ini, altitud ketinggian 57m. Sangat rendah bermakna agak mudah untuk mencarinya. Altitud ketinggian maksimum belon KLIA ini adalah 20159m. Stesen radiosonde yang menerima isyarat adalah 9W2RUT-2 di Seri Kembangan. Objek tanpa payung terjun menunjukkan ia telah mendarat dengan selamat.

Jarak 545m merupakan jarak berjalan kaki dari jelopi diletakkan. Semasa tiba terlihat seorang pekerja sawit sedang berehat di tepi jalan. Keluar sahaja, teruskan dapatkannya serta memaklumkan tujuan. Tanpa banyak soal, pekerja itu sudi menunjukkan jalan ke kawasan pendaratan belon. Merentasi titi konkrit, melangkah parit kering laluan lembu serta berpusing mencari laluan selamat. Akhirnya tiba di kawasan titik akhir. Jarum kompas digital bertukar hijau dan biru menandakan telah tiba serta berada di kawasan sekitarnya.

Akupun memaklumkan arah belon dijangka dijumpai. Pekerja tersebut terus melihat-lihat kawasan yang diperkatakan. Kemudian beliau telah ternampak benang yang melintang dan memaklumkan berjaya menemui objek yang dicari. Aku terpaksa melintas parit yang kering untuk menyampai ke sana. Peranti berada di bawah pohon renek elok tergantung dicelah-celah daun.

Sebenarnya, semalam Jumaat 1April 2022, Arul 9W2OCX telah mencuba mencarinya. Hampir dua jam berpusing mencari namun tidak menjumpainya. Ini menjadi tanda tanya kepadaku. Mustahil tidak jumpa selagi tiada orang mengambilnya. Kebiasaannya ia tidak hilang selagi orang tidak mengusik atau mengalihkannya. Berbulan-bulan jatuh masih tetap boleh dijumpai juga. Maka, misi pagi ini perlu dilancarkan secara solo untuk mendapat kepastian. Ternyata ia belum diusik mahupun diambil orang. Menurut pekerja tersebut, kawasan ini baru sahaja dikemas. Maka tiada siapa akan mengubah kedudukan atau mengambilnya.

Selain itu, pencarian perlu dilakukan bagi mencari jawapan mengapa belon ini terbang terlalu lama. Kebiasaannya tidak mencapai empat jam. Tetapi yang ini adalah sesuatu yang berbeza. Ada kes isyarat belon terus hilang semasa penerbangan. Ini kemungkinan cuaca buruk di atmosfera menyebabkan peranti dimasuki air.

Belon ini juga didapati telah kehilangan isyarat lebih kurang pada jam 10:30 malam. Namun kami dikejutkan bahawa ia masih lagi bernyawa dan mampu memberi jejak terkini semasa penerbangannya. Tenaga yang tinggal sebelum terputus isyarat adalah 2.75 volt. Tenaga yang selalunya akan terputus isyarat menyebabkan ia tidak boleh dijejaki lagi.

Akhirnya mendapat jawapan setelah melihat keadaan belon helium masih berkeadaan sempurna. Masih terdapat baki gas semasa dijumpai berada beberapa meter ke hadapan dari peranti. Tergantung elok dari pelepah pokok kelapa sawit. Belon kecil hijau sahaja yang pecah bersepai. Terdapat kesan tirisan pada belon kemungkinan terlanggar pokok semasa mendarat di situ. Belon tidak pecah hanya kempis sahaja.
Belon tergantung elok berada di hadapan peranti radiosonde. Bergerak turun ke arah selatan menuju TUDM Jugra. Merujuk  tangkap layar di atas ternyata belon mengarah turun ke arah selatan. Namun, setelah jumpa ia terus menegak arah condong sedikit arah tenggara. Mungkin sebab itu, Arul 9W2OCX tidak menjangka ia berada condong sedikit ke tenggara. Bertambah pula keadaan belon yang lengkap menyebabkan ia bergerak lebih jauh ke hadapan.

Kebiasaannya belon yang pecah tidak menunjukkan ia bergerak lebih jauh. Hanya bergerak beberapa meter dengan jarak yang agak kecil sahaja. Ini menyebabkan usaha pencarian menjadi mudah. Tiada bebanan hendak di bawa ke hadapan. Tapi, kali ini lengkap sifatnya menyebabkan ia bergerak lebih ke hadapan. Teori sahaja, tidak pasti betul atau tidak. Hanya orang yang belajar aeroangkasa mungkin tahu jawapannya. Penulis hanya berlatarbelakang sains sukan sahaja. Namun, minat terhadap hobi radio amatur membawa kepada mengkaji pergerakan belon kaji cuaca.

Koordinat belon diambil memandangkan ia tergantung elok. 2 darjah 49.9100' Utara dan 101 darjah 27.5179' Timur. Kebiasaannya belon tergantung jauh di atas pokok menyebabkan ia sukar untuk direkodkan kedudukannya.

Inilah jarak sebenar peranti radiosonde ke arah titik akhir. Jarak 57.6m bagi altitud ketinggian 57m. Hampir menyamai jarak altitud dan jarak dipermukaan bumi yang dijumpai. Bagi kes radiosonde D20054292 di Kg Tali Air pada 20 Mac 2022. Radiosonde ini telah dijumpai pada jarak 31.2m dari titik akhir. Altitud ketinggian terakhir adalah 59m dengan keadaan belon yang telah pecah separuh. Altitud lebih tinggi 2m namun jarak dijumpai adalah kurang kepada 31.2m berbanding belon ini yang lebih jauh kepada 57.6m jaraknya. Adakah keadaan fizikal belon mempengaruhi jarak yang dijumpai di daratan?


Koordinat peranti menjadi kewajipan untuk direkod seperti kebiasaannya. Koordinat 2 darjah 49.9221' Utara dan 101 darjah 27.5190' Timur. Pentingnya merekod data bagi rujukan masa hadapan. Laluan masuk yang digunakan untuk ke sini melalui IKBN Kuala Langat. Telah melalui kawasan pendaratan yang jatuh sebelah malam. Radiosonde D20054573 jatuh 3 Mac 2022 mencari bersama Hanif 9W2VHF. Mudah mencari jalan masuk kerana telah pernah sampai di kawasan ini.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...