Misi Radiosonde D20041882 di Tanjong Sepat

Credit 9W2OCX

 Pagi tadi berjaya mendapatkan belon KLIA radiosonde D20041882 di Tanjong Sepat. Misi berempat disertai Arul 9W2OCX, Yatt 9W2MFE dan Nazmi 9M2EDX.


Seawal 8 pagi sudah mengambil Nazmi 9M2EDX di UKM Bangi. Seterusnya memandu merentasi Dengkil hingga ke Kanchong Darat. Memantau belon KLIA sebelah pagi tadi sepanjang perjalanan oleh Nazmi 9M2EDX menggunakan peranti rdzTTGOsonde.
Credit 9M2EDX
Kebiasaannya belon pagi sukar jatuh ke darat. Kebanyakannya akan jatuh ke laut. Maka, peluang untuk mendapatkannya amatlah tipis. Hanya mengharapkan belon sebelah malam yang selalunya pecah lebih awal. Faktor cuaca buruk sebelah petang selalunya menjadi faktor utama ia pecah lebih awal. Pecah awal membawa makna dapat jatuh ke darat amatlah tinggi peluangnya.


Tiba di Petronas Kanchong Darat, Yatt 9W2MFE dan Arul 9W2OCX telahpun menanti. Memantau kami tiba menggunakan aprs. Misi pagi berjalan menggunakan van yang banyak berjasa Arul 9W2OCX. Belon ini jatuh pada malam tadi bertarikh 15 April 2022 jam 21;28 malam.

Koordinat 2.69809 darjah Utara dan 101.55318 darjah Timur. Altitud ketinggian 335m dan ketinggian maksimum adalah 21006m. Wah! altitud bawah 350m mungkin agak sukar. Namun, sebelum ini telah berjaya juga mendapatkan radiosonde altitud bawah 600m juga.

Credit 9W2VDN

Namun, semenjak Ayob  9W2VDN mengaktifkan Tbeamnya. Altitud bawah 100m telah memudahkan pasukan SAR mencari radiosonde. Kawasan liputannya meliputi dari Sg Pelek, Tanjung Sepat, Banting dan Pulau Carey. Koordinat terkini 2.69736 darjah Utara dan 101.55419 darjah Timur. Altitud ketinggian 88.4m amat rendah serta memudahkan misi pencarian.


Jarum kompas digital menunjukkan arah titik akhir dari van diletakkan. Perlu berjalan di ladang kelapa sawit dengan jarak 210m. Semasa ingin memasuki kawasan ini, kelihatan seorang pekerja bersama anaknya sedang memunggah hasil menggunakan motorsikal. Kamipun memaklumkan tujuan masuk ke dalam kawasannya. Arul 9W2OCX turut mempelawanya mencari bersama.


Yatt 9W2MFE dan Arul 9W2OCX mengetuai pencarian diikuti Nazmi 9M2EDX sibuk merakam video. Aku pula dibelakang sekali memantau pergerakan mereka sambil melihat kompas digital ditangan.


Video yang dirakam oleh Nazmi 9M2EDX semasa penjalanan ke titik akhir. Kemudian mereka berdua terlajak ke hadapan sebelum berpatah balik.


Tiba dititik akhir kami berpecah. Arul 9W2OCX dan Nazmi 9M2EDX seperti di dalam video meneruskan mengikut laluan ke hadapan. Yatt 9W2MFE mencari sebelah kiri  titik akhir. Aku pula menyemak kedudukan dengan merujuk semula tangkap layar arah belon. Setelah mengorientasikan arah utara dan tangkap layar itu. Sahlah arah belon jatuh mengikut laluan sawit ini. 


Kemudian fokus arah sebelah kanan mengikut laluan yang dilalui oleh Arul 9W2OCX dan Nazmi 9M2EDX. Mereka berdua jauh ke depan, manakala aku memerhatikan di sebelah kanan laluan. Tiba-tiba terpandang benang. Sahlah benda yang dicari telahpun ditemui di kawasan pokok tumbang. Akupun memaklumkan sudah jumpa lalu mereka berdua berlari-lari berpatah balik ke arahku.


Video di kawasan pokok tumbang merupakan lokasi belon KLIA radiosonde D20041882 ditemui. Abg pekerja sawit turut ke lokasi pokok tumbang itu untuk melihat dengan mata kepala sendiri.


Kawasan pokok tumbang ini lebih semak berbanding laluan sawit bersebelahannya. Andainya misi dijalankan sebelah malam, pasti sukar untuk ditemui belon ini. Kedudukannya yang tersorok disekitar kawasan yang banyak pokok.


Belon tergantung elok tanpa mencecah tanah dikelilingi pakis dan di bawah pokok yang  redup. Berada dihadapan peranti seperti kebiasaannya.

Nazmi 9M2EDX hampir tidak kelihatan umpama melakukan penyamaran. Persekitaran belon tergantung itu. Tidak dapat dibayangkan jika misi pencarian pada waktu malam. Siangpun sukar hendak cari, inikan pula malam yang gelap. Hanya benang menjadi harapan untuk menyelamatkan belon.


Yatt 9W2MFE membawa pulang peranti D20041182 merupakan lesen untuk bulan puasa. Kami bertiga yang lain telahpun memilikinya bagi misi sebelum ini. Pengalaman berbeza walaupun di bulan yang mulia ini. Tidak menjadi halangan kami Pemburu Belon tidak melepaskan peluang yang ada. Alhamdulillah, semua misi dipermudahkan apabila semua belon jatuh berhampiran laluan masuk.


Koordinat direkodkan oleh jam Garmin 2 darjah 41.8286' Utara dan 101 darjah 33.2612' Timur. Peranti tersepit dicelah-celah dahan pokok yang tumbang. Kali ini benang terputus sebelum ingin memisahkan antara peranti dan belon. Pelik! pertama kali menemui benang yang telah terputus. Mungkin kekuatan kesan semasa jatuh melanggar dahan-dahan kayu itu.


Arah jarum kompas digital dari peranti yang ditemui ke titik akhir. Jarak yang direkodkan adalah 32.8m dari altitud ketinggian 88.4m. Defisit yang agak besar 55.6m menunjukkan kekuatan angin semasa mendarat agak lemah. Kadar V/H adalah -7.2m/s dan 5.1m/s sememangnya agak rendah. Namun, menjadi persoalan bagaimana benang boleh terputus?


Kerja-kerja meleporkan penemuan ke laman sesawang sondehub dijalankan. Namun usaha itu terbantut memandangkan capaian talian tidak menggalakkan. Kadang kala liputan di kawasan ladang sawit sangat lemah mahupun tiada langsung. Terpaksalah melakukannya diluar kawasan ladang ini.

Credit 9W2OCX

Hasil tangkapan dicatatkan pada kertas bagi rujukan bersama. Mudah merujuk semula untuk mengetahui setiap data pencarian. Kebiasaannya benang digulungkan pada kayu belon hijau. Kelihatan belon hijau telah pecah pada kayu tersebut.

Credit 9M2EDX

Hasil tangkapan diletakkan dilaluan barisan kelapa sawit yang lebih lapang dan luas. Laluan ini tempat pencarian misi kali ini. Namun, tersorok di kawasan pokok tumbang disebelah kanan laluan. Kelihatan Abg pekerja sawit bersama anaknya melihat bahan bukti pencarian. Satu pengalaman yang berharga bagi mereka terutama anaknya dapat melihat belon yang pecah.


Sesi penerangan tentang belon dan peranti turut dijelaskan oleh Arul 9W2OCX. Abg pekerja dan anaknya tekun mendengar segala penerangan yang diberi. Penerangan sangat jelas dan tepat hingga Abg pekerja sangat faham tentang perkara yang diperkatakan. Objektif penyampaian tercapai setelah Abg pekerja boleh menghuraikan semula fungsi setiap bahan yang diperkatakan.


Menjadi tugas kami juga menyebarkan maklumat berkaitan perkara yang dicari. Berkongsi maklumat kepada masyarakat amat penting agar faham tentang kepentingannya. Jadi, masyarakat akan tahu kepentingan belon kaji cuaca dilepaskan ke ruang udara. Data-data yang dicerap sangat perlu diambil bagi mendapatkan ramalan kaji cuaca yang tepat.
Credit 9W2DVZ

Kemudian selepas sesi penerangan dan mengemas, kami minta izin untuk beransur pergi. Ucapan penghargaan kepada Abg pekerja kerana memberi kerjasama membenarkan misi dijalankan di kawasannya. Setelah keluar kawasan barulah laporan ke Sondehub dapat dilakukan. Kami berpatah balik semula ke Petronas Kanchong Darat.

Mengambil jelopi masing-masing sebelum pulang ke destinasi. Sebelum jam 11 pagi misi ditamatkan memandangkan bulan yang mulia ini. Kelihatan stesen 9W2DYA-10 dan 9W2OCX-5 menuju ke rumah masing-masing. Kerjasama yang padu menjadi kunci kejayaan setiap misi. Apa yang penting? Kerjasama... kata wonderpet.

73, Jojet de 9w2dya

1 comment:

  1. salam bang,selepas abang recover belon tu apa yg abang perlu buat.dan adakah aktiviti ini recovery ini untuk suka2 atau memang MET malaysia yang minta utk di recover.ni kali pertama saya dengar aktiviti ni.di mana ye says nak cari info lanjut tentsng aktiviti ini.terima kasih

    ReplyDelete

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...