Belon Ketiga Ramadan

Credit 9W2OCX

 Pagi tadi berjaya menemui belon KLIA radiosonde D20039755 di Sepang. Misi bertiga bersama Arul 9W2OCX dan Hanif 9W2VHF. Belon ketiga diperolehi pada bulan yang mulia ini. Arul 9W2OCX kali ketiga juga dan Hanif 9W2VHF kali keempat bagi bulan Ramadan. Empat malam berturut-turut belon KLIA telah jatuh ke darat.


Jatuh bertarikh 9 April 2022 pada jam 21:30 malam. Koordinat 2.66851 darjah Utara dan 101.62775 darjah Timur. Altitud lebih 10m daripada malam semalam iaitu 28m kepada 38m. Rezeki bulan puasa mendapat altitud bawah 50m.

Credit 9W2VDN

Tbeam Ayub 9W2VDN berjaya mendekod isyarat radiosonde serendah mungkin. Kedudukan base station yang tinggi menghadap sebelah Sepang hingga ke Pulau Carey memberi kelebihan. Pasukan SAR sangat beruntung apabila mendapat altitud ketinggian sangat rendah. Semakin rendah altitud semakin tinggi ketepatan lokasi belon dijumpai.

Oleh kerana pertama kali belon KLIA jatuh di kawasan Sepang ini. Lebih baik misi pencarian dijalankan sebelah siang sahaja. Merujuk kepada peta satelit google. Terdapat jalan masuk ke kawasan pendaratan belon. Ada jalan bernama Jalan Sekolah telah dilabelkan. Ia menjadi sandaran kami menuju ke titik terakhir belon.


Menyusur simpang ke kiri di penghujung Jalan Sekolah tersebut dari Banting. Jalan terus bersebelahan rentis TNB yang ditanam buah naga dan kandang lembu dan kambing. Kemudian jalan tar bertukar kelikir terus ikut selekoh dan beberapa meter tibalah ke titik akhir. Hanif 9W2VHF berpandukan GPS waypoint menentukan kedudukan. Arul 9W2OCX terlajak kehadapan sedikit sebelum Hanif 9W2VHF menyuruh mengundur van. Ketika itulah benang telah kelihatan merentangi pokok dari atas ke bawah. Terlalu dekat dengan jalan. Namun masih berada di dalam ladang kelapa sawit.


Aksi kami semasa mencari peranti radiosonde setelah benang kelihatan dari dalam van lagi. Video dirakam oleh Arul 9W2OCX bagi menghayati pengalaman keterujaan mendapatkan peranti yang jatuh dalam parit kering. Nasib menyebelahi kami lagi pagi ini. Belon selamat berada di dalam kawasan hijau tidak di atas jalan seperti semalamnya. Jalan kawasan ini sangat sibuk dengan pekerja-pekerja sawit mengutip hasil.


Jarak 10.1m dari van ke titik akhir radiosonde. Berdasarkan video yang dipaparkan jaraknya terlalu dekat bukan? Rezeki bulan yang mulia ini segala urusan pencarian dipermudahkan.


Peranti ditemui dibawah celah-celah pokok dekat parit kering. Belon pula ditemui di hadapannya beberapa meter tergantung elok dari pokok kelapa sawit. Walaupun rimbunan pokok yang memenuhi lantai, peranti masih dijumpai di bawahnya. Berdasarkan paparan video, peranti ini tersorok dicelah-celah daun. Jikalau tidak diselak dan dicari pasti ini berdiam diri di situ dengan selamatnya. Sebab itulah ia boleh ditemui berbulan-bulan lamanya selagi tidak diusik orang. Memandangkan berada dalam parit pasti ia tidak dipedulikan orang.

 Koordinat peranti yang direkodkan jam garmin 2 darjah 40.1081' Utara dan 101 darjah 37.6653' Timur. GPS waypoint tidak dapat berfungsi ketika ini. Tiadalah jarak dapat direkodkan dari peranti ke titik akhir. Nasib baik Hanif 9W2VHF dapat menggunakan GPS waypoint bagi mencari belon ini. Kerjasama berkumpulan amat penting dalam menentukan kejayaan.

Credit 9W2OCX
Penulis memegang peranti yang diambil dekat parit kering. Ketika ini berada di dalam parit. Belakang adalah jalan van diletakkan. Ada juga kenderaan lalu-lalang semasa proses pencarian radiosonde ini. Kawasan kebun sawit dimiliki oleh pemilik persendirian. Tidak bagi syarikat perladangan. Keliling kawasan ladang sawit mempunyai parti yang besar berfungsi sebagai pagar kawasan juga. Tanah pemilik persendirian rata-ratanya tidak mempunyai parit yang besar. Ini memudahkan Pengejar Belon untuk memasuki kawasan tersebut.


Hanif 9W2VHF disamping belon yang tergantung elok dari atas pokok. Berada beberapa meter dihadapan peranti yang dijumpai dalam parit. Kawasan persekitaran kebun kemas dan bersih berbanding tepi jalan.

Rekod koordinat belon dari jam garmin adalah 2 darjah 40.0979' Utara dan 101 darjah 37.6552' Timur. Belon tergantung bolehlah koordinatnya dicari dengan mudah. Jika tersangkut tinggi di atas pokok sangat sukar menentukan kedudukan yang tepat.

Credit 9W2OCX

Penulis menunjukkan kedudukan benang yang dilihat dari jalan. Benang yang panjang hampir 60m adalah penyelamat kepada peranti. Cari benang terlebih dahulu bagi memastikan mendapat peranti dan belon untuk tindakan seterusnya. Benang adalah antara klu utama dimaklumkan kepada orang lain semasa misi pencarian. Kemudian ikut arah benang bagi mendapatkan barang yang dihajati. Kedudukan belon mesti berada dihadapan peranti.

Credit 9W2OCX

Anggota Team SAR Central bergambar bersama belon yang tergantung elok. Bagaimana rupanya sewaktu malam? Ada berani untuk mendekatinya? Pasti menakutkan serta menyeramkan bagi orang yang tidak tahu benda yang dilihat itu.

Credit 9W2OCX

Kerjasama berpasukan yang padu membawa kejayaan gemilang. Tambah pula rezeki belon jatuh berhampiran jalan memudahkan pencarian. Perlu membuat kajian peta sebelum ingin memasuki sesuatu kawasan. Kami juga sempat bersembang dengan pemilik ladang berhadapan belon yang dicari. Menurut beliau babi banyak ketika waktu malam. Sempat menunjukkan hasil pencarian kepada beliau. Turut minta izin jikalau belon jatuh di dalam kawasannya pula. Beliaupun tanpa ragu mengizinkan memasuki kawasannya jika belon jatuh di situ.

Credit 9W2OCX
Perjalanan pulang mengikut laluan yang sama melalui Jalan Sekolah. Sambil-sambil itu membuat tinjauan  terhadap kawasan persekitaran sepanjang laluan. Banyak simpang siur kadang kala mengelirukan walaupun dengan bantuan GPS. Nasib baik ada papan tanda nama jalan bagi memudahkan ia dikenal pasti lokasi sesuatu tempat. Sampai di Petronas Kanchong Darat mengambil kereta dan motorsikal masing-masing. Kepuasan terpancar setelah misi berjaya walaupun di bulan puasa yang mulia ini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...