Km 0 Dungun, Kuantan, Lapangan Terbang, Maran dan Temerloh


 Hari keempat 18 Februari 2024 telah berjaya menjumpai empat batu penanda jarak km 0.Mula Dungun,Kuantan, Lapangan Terbang, Maran terdapat dua batu penanda dan akhir di Temerloh.


Manakala batu tanda aras pula berjaya mendapat sepuluh stesen. Pagi selepas daftar keluar Hotel UiTM Dungun. Bergerak tepi pantai tidak jauh dari hotel tersebut. Kelihatan beberapa orang berjogging dilaluan yang disediakan.


Tiba di tepi jalan tukar sandal kepada selipar jepun terlebih dahulu. Maklumlah pasir banyak lebih sesuai berselipar di atas pantai. Perlu turun berhati-hati mengikut akar pokok ru menjadi tangga. Pantainya agak menurun ke bawah.


Pasir putih melandai menghampiri gigi air. Kalau air pasang pastilah pantai ini agak merbahaya kerana pantai menurun agak curam. Pasti kaki tidak jejak tanah kerana bentuk muka bumi pantai ini sangat curam tidak sesuai untuk aktiviti bermandi-manda.


Keadaan pagi itu agak mendung. Awan hitam menyelubungi cahaya matahari. Pantai bersih dan putih ketika air sedang surut.


Keadaan ombak pula sangat kuat membadai pantai. Pepatah melayu ada menyatakan kalau takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai. Kalau ombak tiga beradik datang, jangan tunggu pasti bahaya menanti. Orang-orang tua sudah berpesan. Ingatlah pesanan mereka hingga ke anak cucu.


Melihat laut yang terbentang luas disamping bunyi deruan ombak pasti menenangkan jiwa. Lebih-lebih lagi berkaki ayam, terus tubuh bersatu dengan bumi. Kita seharusnya berkaki ayam di pantai bagi merasa kelembutan pantai hingga menusuk ke jiwa. Aliran darah terus berjalan lancar ke seluruh anggota badan.


Video rakaman 360 darjah pemandangan sekeliling di pantai laut China Selatan berdekatan dengan Hotel UiTM Dungun. Menonton video suasana lebih dapat dirasai dengan deruan ombak membelah pantai. Tipuan angin turut dapat didengari menghilangkan hati yang gundah-gulana.


Video kedua ini lebih dekat dengan pantai. Bermain dengan ombak pasti menyeronokkan. Awas! jangan masuk ke dalam laut. Ombak besar dan kuat sangat tidak sesuai bermandi-manda. Hanya menikmati keindahan ciptaan Tuhan serta bersyukur atas nikmat yang diberi.


Puas menikmati keindahan laut dan pantai bergerak terus ke jalan utama. Misi pertama pagi itu mencari batu penanda jarak km 0 Dungun. Sempat isi minyak terlebih dahulu bagi menyambung perjalanan hingga ke Temerloh pula.


Batu ini berdekatan dengan deretan kedai. Mudahlah kereta diparkir. Berjalan kaki beberapa langkah untuk berswafoto. Habis sahaja, membuat pusingan U ke arah Kuantan pula. Sepanjang pemanduan dari Dungun ke Chukai tidak kelihatan satu stesen tanda araspun. Setelah laluan ke Gambang baru terlihat beberapa stesen. Tidak sempat hendak berhenti kerana lokasinya tidak sesuai untuk jelopi berhenti.


Masuk kawasan Kuantan, menggunakan google map untuk ke batu penanda km 0 Kuantan. Rupanya berdekatan dengan masjid sahaja dan sebelah padang bola. Meletak jelopi sebelah padang dan jalan ke Zero Mileage.


Batu penanda km 0 Kuantan bersebelahan dengan Masjid Negeri. Pasti mudah untuk mencarinya. Pemandangan menghadap Masjid Negeri.


Pemandangan sebelah jalan raya dan padang bola sepak. Batu penanda milik JKR Pahang ini lebih besar berbanding yang biasa kita jumpa ditepi jalan. Monumen seperti ini amat penting menunjukan kiraan jarak sesuatu tempat bermula.


Sesi berswafoto bersama batu penanda km 0 Kuantan. Ikutkan hati sekadar mengambil gambar batu semata sudah cukup bukti bahawa telah tiba di sini. Namun bagi menghantar gambar ke dalam group pemburu km 0 terpaksalah berswafoto. Jika tidak, pasti hantaran anda tidak disiarkan atau diluluskan masuk ke dalam group facebook tersebut. Apapun yang penting kepuasan diri sendiri berjaya mencari setiap batu penanda. Masuk dalam group sekadar untuk berkongsi dengan orang lain sahaja.


Kemudian pemanduan terus  ke arah Maran. Kali ini di Kuantan, telah jumpa batu tanda aras yang terukir nombor stesen ditepi batu tersebut. Nombor stesen C 6001 jelas dilihat daripada hadapan.


BM#102 nombor stesen C 6001 di Batu 3 Kuantan koordinat 3.790777 darjah Utara dan 103.305897 darjah Timur. Perasan batu ini semasa melepasi jambatan. Terlindung sebalik penghadang jalan. Mencari laluan masuk berhadapan bangunan dan parkir jelopi di situ. Kemudian berjalan kaki ke bahu jalan untuk mendapatkannya.


Seterusnya ke depan lagi terlihat pula batu tanda aras C 6003 di bawah jejantas berhadapan deretan kedai Taman Kunia Jaya. BM#103 stesen nombor C 6003 di Taman Kurnia Jaya.


Koordinat BM#103 adalah 3.784279 darjah Utara dan 103.290060 darjah Timur. Selepas itu, singgah di kedai makan berhampiran untuk makan tengah hari.


Stesen seterusnya ditemui berdekatan dengan Masjid Taman Seri Bilut. Masuk melalui jalan taman permuhan. Kemudian meletak jelopi sebelah masjid. Berjalan kaki ke arah batu tanda aras.


BM#104 nombor stesen C 6004 di Taman Sri Bilut, Kuantan. Koordinat 3.781699 darjah Utara dan 103.283381 darjah Timur. Kemudian berpatah balik semula ke kereta meneruskan lagi pemburuan.

BM#104 turut diukir atau ditulis nombor stesen di bahagian tepi batu tanda aras.


Melepasi Taman Guru terlihat juga satu stesen tanda aras. Masuk ikut laluan taman dan meletakkan kereta ditempat sepatutnya. Berjalan kaki ke arah batu di bahu jalan berumput.


Ukiran nombor stesen di tepi batu menghadap jalan. Rumput sekeliling panjang dan tidak dipotong. Mungkin belum dalam penjadualan lagi.


BM#105 nombor stesen C 6005 di Taman Guru koordinat adalah 3.776484 darjah Utara dan 103.270368 darjah Timur. Seterusnya memandu ke Lapangan Terbang pula.


Memandu ke Lapangan Terbang sebab ada penanda jarak km 0 di situ. Masuk laluan ke Lapangan Terbang terus hingga jumpa km 0. Penanda sebelah kiri hala ke Kampung Pandan.


Penanda jarak km 0 Lapangan Terbang merupakan yang ketiga pada hari keempat perjalanan pantai timur. Selesai swafoto menyambung pemburuan batu tanda aras seterusnya melalui laluan ke Maran.


Kemudian terjumpa stesen tanda aras nombor C 6011 di laluan FT002 ke Maran. Ukiran nombor stesen C 6011 di batu kurang jelas. Kalau diperhatikan betul-betul. Sememangnya nombor stesen itu diukir atau tulis pada batu tanda aras tersebut.


BM#106 nombor stesen C 6011 koordinat 3.729968 darjah Utara dan 103.151298 darjah Timur. Seterusnya memandu ke depan lagi.


Stesen seterusnya adalah selepas  satu kilometer memandu. Setiap batu tanda aras pada prinsipnya dibina setiap jarak satu kilometer antara satu sama lain.


Stesen tanda aras terakhir di kawasan Kuantan yang dijumpai ini berdekatan dengan penanda jarak Kuala Lumpur 236km. Penanda jarak km 336 jalan Kuantan - Maran. BM#107 nombor stesen C 6011 koordinat 3.729968 darjah Utara dan 103.151298 darjah Timur.


kadang kala terlalu ghairah jumpa batu tanda aras. Fungsi kamera hanya tekan pada bulatan tetapi fungsi kepada tangkap layar pula. Sepatutnya tekan sahaja ambil gambar seperti biasa. Ini tertangkap layar pula tekan dua punat pada telefon pintar tersebut.


Berakhir kawasan Kuantan masuk ke kawasan Sri Jaya pula. Tiba di stesen minyak Shell terlihat satu stesen tanda aras. BM#108 nombor stesen C 2752.


BM#108 stesen minyak Shell Sri Jaya koordinat 3.668883 darjah Utara dan 102.870534 darjah Timur. Alang-alang berhenti di stesen minyak, selesaikan yang patut. Sempat menambah bekalan air minuman bagi mengelakkan mengantuk juga.


Kemudian pemanduan terus ke Maran. Berhenti solat terlebih dahulu di Masjid atas bukit. Usai solat mengkaji laluan belon Kuantan yang jatuh pada jam 9:32 pagi itu. Belon Kuantan WxR-301D 2302103596 altitud ketinggian terakhir 534m dan altitud ketinggian maksimum adalah 30,482m.



Hasil kajian dibuat melalui google map. Kawasan belon jatuh adalah berjarak 59km dari Masjid di Maran ini. Lagi satu kawasan pendaratannya jauh dari jalan besar. Jikalau dekat dengan jalan besar mahu juga dicuba mencari belon Kuantan ini.


Kemudian mencari batu penanda jarak km 0 Maran. Merujuk pada group di facebook terdapat dua batu. Pada mulanya mencari di laluan 2 jalan lama. Membuat pusingan U di lampu isyarat. Berpatah balik arah Kuantan kelihatan batu penanda berdekatan gerai makan.


Meletak jelopi di hadapan gerai. Berpatah balik berjalan kaki beberapa langkah ke batu pananda jarak KM 0 Maran. Selesai berswafoto berpatah balik mencari Pejabat Pos pula.


Ternyata terdapat sebuah lagi batu penanda jarak km 0 di hadapan Pejabat Pos. Meletak jelopi berhadapan Pejabat Pos di bahu jalan bertentangan. Melinta jalan dan terus ke batu penanda km 0 Maran.


Kemudian pemanduan menghala ke Temerloh. Melewati persimpangan Bandar Pusat Jengka kelihatan batu tanda aras di persimpangan tersebut. Sempat masuk simpang ke kanan dan meletak jelopi di hadapan kedai. Melintas jalan melewati gerai makan dan terus ke batu tanda aras.


BM#109 stesen tanda aras nombor C 3200 simpang Bandar Pusat Jengka. Koordinat 3.491386 darjah Utara dan 102.532370 darjah Timur. Sempat beli sebungkus air buah naga buat menghilangkan dahaga cuaca yang panas. Terus memandu hala ke Temerloh dengan kelegaan kesedapan jus buah naga.


Batu penanda jarak km 0 Temerloh turut berada di Pejabat Pos. Berswafoto untuk batau km 0 yang terakhir pada hari tersebut. Lima buah batu penanda km 0 di lima destinasi berbeza. Termasuk di Maran mempunyai dua batu penanda km 0.


Pulang dari Temerloh Titik Tengah Semenanjung (T3S), terus mencari batu tanda aras di bawah jejambat berhampiran simpang lampu isyarat. Kelihatan najis burung telah mengotori pada plate.


BM#110 nombor stesen tanda aras C 6110 di bawah jejantas Sungai Pahang dekat persimpangan lampu isyarat. Sebelum ke T3S telah terperasan batu ini semasa menghala ke Lanchang. Koordinat 3.442984 darjah Utara dan 102.425962 darjah Timur.


Percubaan seterusnya jalan menghala ke Bera.  Bertemu satu batu tanda aras berhampiran batu penanda jalan Gemas 121km.
Meletak jelopi di bahu jalan yang lapang. Namun kawasan itu sangat berbau sampah yang amat busuk. Melintas jalan dan terpaksa melangkah penghadang jalan.


BM#111 nombor stesen tanda aras C 6114 penanda jalan Gemas 121km. Koordinat adalah 3.403429 darjah Utara dan102.425962 darjah Timur.


Kemudian selesai dokumentasi terus melintas semula jalan ke jelopi. Berpatah balik semula ke bandar Temerloh. Petang itu, ramai pengunjung di esplanade berdekatan klinik kesihatan. Pesiar pejalan kaki pengunjung menikmati angin petang melihat keindahan Sungai Pahang.


Mercu tanda bandar Temerloh boleh dilihat di epi Sungai Pahang. Sewaktu banjir besar beberapa tahun yang lalu, perkataan Temerloh itu hilang dari pandangan mata. 


Pemandangan kuala Sungai Semantan di sebelah kiri bertemu Sungai Pahang. Pengunjung boleh bersiar menikmati keindahan Sungai Pahang menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan.


Kali ini penulis berkesempatan untuk menggunakan jambatan gantung Sungai Semantan. Ada sedikit bayaran dikenakan untuk menikmati keindahan Sungai Semantan dan Sungai Pahang.


Rumah rakit bersusun sepanjang Sungai Semantan pemandangan dari atas jambatan gantung.


Rakaman video di atas jambatan pemandangan sekitarnya. Lagu rakyat pahang boleh didengari dari atas jambatan gantung ini.


Pemandangan jeti tempat untuk menaiki bot menghayati keindahan Sungai Pahang. Pengalaman ini tidak harus dilepaskan ketika berada di bandar Temerloh.


Lantai jambatan gantung berwarna-warni menggamit pengunjung bergambar. Menghala ke seberang sana terdapat restoran bagi mengisi perut atau sekadar menghilangkan dahaga. Pasti pemandangan indah dari tebing Sungai Pahang dapat mencipta memori baru.


Menara ke seberang lagi satu. Berhenti di sini seketika menikmati pemandangan. Kemudian berpatah balik semula ke esplanade. Turun dari menara ini pengunjung boleh terus ke restoran yang berwarna hijau itu.

Perhatikan di tepi jambatan gantung ini terdapat lampu berwarna-warni. Sebelah malam penulis tidak sempat melihat suasana malam di sini. Pasti lebih cantik dan indah suasana sebelah malam pula dengan dihiasi lampu berwarna-warni.


Pemandangan Sungai Pahang mengalir ke arah Kuantan sebelum masuk ke Laut China Selatan. Sungguh luas dan besar Sungai Pahang ini. Semasa mengajar di Sibu, Sarawak. Berkesempatan juga melihat keluasan dan panjang Sungai Rajang. Sungai yang amat penting kepada penduduk sekitar. Penjana ekonomi dan meneruskan kelangsungan hidup. Oleh itu, sungai perlu dijaga dengan sebaik mungkin untuk tatapan generasi masa depan.


Rumah rakit di hadapan restoran pastilah memberi satu pengalaman baru ketika bermalam. Sungai Pahang kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar menjadi tumpuan pemancing. Ikan patin yang terkenal itu tidak perlu disebut lagi. Ramai yang datang semata-mata untuk menikmati gulai tempoyak Ikan patin.


Pertemuan Sungai Semantan sebelah kanan dan Sungai Pahang sebelah kiri. Warna sungai turut berbeza dapat dilihat. Sebelah hadapan kanan itulah jeti untuk menaiki bot pelancong. Kemudian terus pulang ke Hotel Seri Malaysia bagi malam terakhir perjalanan pantai timur.

Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya


No comments:

Post a Comment

Radiosonde RS41-SGP T4040282 di Selat Melaka

  Ahad pagi semalam radiosonde RS41-SGP T4040282 telah muncul di Selat Melaka. Kemungkinan dilepaskan dari Lumut oleh pihak berkuasa keselam...