Riverine Survival Park, Pulau Carey


 Semalam 3 Mac 2024 bersama harmonic telah pergi ke Pulau Carey. Riverine Survival Park merupakan sebahagian daripada Amverton Cove Golf and Island Resort. Tiba menyeberangi jambatan Pulau Carey pemanduan terus sahaja hingga terjumpa pintu gerbang Amverton Cove belok sebelah kiri. Pondok pengawal ada anggota Polis mengawal pergerakan masuk.


Melepasi kawalan Polis tersebut terus ke tempat letak kereta. Amverton Cove  terdapat Hotel dan Taman Tema Air juga selain Riverine Survival Park. Ketiga kemudahan ini adalah berhampiran sahaja. Tempat letak kereta yang luas ini tidak menjadi masalah pengunjung.


Terus masuk ke kaunter di Riverine Survival Park. Bertanyakan kadar bayaran kepada staf tersebut. Bayaran dewasa untuk Mycad adalah RM28.70 dan bayaran kanak-kanak Mykid RM19.44 seorang. Cukai perkhidmatan 8% adalah RM3.85 dan jumlah keseluruhan dibayar adalah RM52.00


Seterusnya ke tandas sebentar sebelum meneroka permainan yang disediakan. Kawasan Survival Park ini sangat luas menyediakan pelbagai kemudahan yang menguji kekuatan fizikal dan mental.



Pertama sekali kami berkunjung ke Borneo Tree house. Rumah pokok Borneo terdapat dua unit berbeza. Mengimbau zaman kanak-kanak bermain pondok-pondok. Ada dua tingkat setiap unit rumah. Jambatan gantung menghubungkan kedua buah rumah ini.


Tangga pusing menghubung tingkat satu ke tingkat dua. Pemandangan keliling taman ini boleh dilihat dari tingkat atas sekali. dengan lebih jelas.


Aksi Damia menaiki tangga tali. Pegang dan memijak dengan berhati-hati. Koordinasi antara tangan dan kaki membantu memudahkan memanjat tangga tali ini.


Jambatan gantung menghubungkan di antara dua pondok. Sebelah kanan merupakan gelongsor ke bawah dengan lebih pantas dan selamat untuk turun.


Aksi Damia menghampiri jejak tanah turun ke bawah. Sememangnya aras dari tanah ke tingkat satu begitu tinggi juga. 


Mendaki tangga pusing ke tingkat dua perlu berhati-hati kerana ruangnya agak sempit. Pijak dengan berhati-hati agar tidak tergelincir.


Sudut pandangan dari tingkat atas ke tingkat bawah.  Pegang susur tangga dengan berhati-hati disamping melangkah kaki dengan memandang ke bawah.


Rantai bertakal untuk mengangkat barang menggunakan bekas yang telah diikat dengan rantai ini. Kemahiran menurun dan menaikkan rantai turut menguji kekuatan tangan.


Tangga empat segi sering dilihat dalam aktiviti merentas halangan turut dijadikan tangga untuk naik ke rumah pokok ini. Damia memanjat tali di hadapan tangga itu.


Melalui jambatan gantung inisangat menyeronokkan turut dapat melihat kawasan persekitaran. Bahagian lantai papan dipotong pendek. Bergerak hanyak memijak papan yang berasingan setiap langkah. Ini menambah henjutan dan lebih stabil tidak menggangu bahagian lain apabila dipijak.


Inilah gelongsor yang paling cepat untuk turun dari rumah pokok tersebut. Bawah rumah turut menyediakan buaian untuk bersantai.


Stesen kedua bergerak ke The Tree Canopy Adventure Trail. Halangan di atas laluan kanopi pasti mendebarkan pengunjung.


Laluan kanopi yang agak mencabar dan agak curam. Perlu melaluinya dengan berhati-hati.


Nasib baik ada tali disediakan bagi halangan yang curam ini. Papan ada kayu yang boleh dipijak juga. Teknik memegang tali perlulah betul untk mengelakkan kehilangan keseimbangan badan.


Rakaman video aksi Damia cuba melepasi halangan bertali menguji kekuatan fizikal dan juga kesabaran yang tinggi. 


Rakaman video seterusnya menunjukkan dua lagi jenis halangan bertali. Akhirnya dengan menggelongsor ke bawah semula. Halangan elemen tali rendah ini benar-benar menguji keupayaan menyelesaikan masalah serta membuat keputusan. Nampak mudah tetapi perlukan kesabaran yang tinggi bagi melepasi setiap tali. 


Damia bersedia untuk cabaran stesen ketiga. Tempat permulaan dan penamat bagi The Adventure Challenge Course. Merentas halangan bagi elemen tali rendah di atas tanah pula. Aktiviti sesuai untuk semua peringkat umur.


Terowong kayu ini lebih mudah merangkak. Damia dengan pantas berjalan sambil menunduk walaupun tubuhnya agak tinggi.

Halangan pertama sebelum terowong kayu adalah duduk bergerak menggunakan tali yang bertakal untuk menyeberang ke halangan seterusnya. Tali perlu ditarik bagi menggerakkan kerusi. Halangan ketiga pula, melepasi pelantar kayu bergantung tali.


Nampak mudah melepasi halangan ini kerana pelantar kayunya agak besar. Namun, kesimbangan sangat perlu kerana ia bergoyang apabila bergerak kerana tergantung.


Menghampiri pelantar penukaran cabaran seterusnya. Tempat untuk berehat seketika sebelum meneruskan cabaran. Kelihatan di tengah-tengah adalah susunan kayu bagi cabaran memanjat pada palang-palang kayu.


Cabaran keempat meniti kayu balak memerlukan fokus dan keseimbangan. Meniti dengan berhati-hati agar tidak jatuh ke tanah. 


Kemudian meniti papan bersilang antara dua kebal. Inipun perlu fokus pijak pada papan yeng berzig-zag. Kesimbangan badan turut memainkan peranan utama bagi mencapai kejayaan.


Sebelum zig-zag, meniti potongan balak seperti ninja walk. Kemudian meniti kabel menggunakan tali tergantung. Tali untuk pegang dan membantu keseimbangan badan. Kaki pula mengereng bagi mendapatkan kepantasan bergerak.


Pergerakan kaki dan tangan perlu koordinasi serta memberi perhatian seratus peratus. Sebaliknya akan terjatuh, jika salah satu daripada itu gagal untuk beri perhatian.


Seterusnya Burma bridge atau monkey bridge titi berbentuk 'V'. Meniti atas kabel serta memaut tali yang diikat kiri dan kanan di atas dua kebel.


Agak senang juga monkey bridge ini kerana boleh memegang tali kiri dan kanan serentak. Kaki perlu fokus agar tidak tergelincir.


Cabaran melangkah kayu yang direntang menggunakan dua kebal seperti rel keretapi.Tali tergantung membantu menyeimbangkan badan bergerak ke depan. Langkah berhati-hati agar tidak salah  melangkah ke ruang yang kosong.


Kemudian melepasi cabaran log kayu yang sederhana panjang yang digantung seperti buaian. Mengereng perlahan antara tali sebelum bertukar kayu log seterusnya.


Agak mencabar juga kayu jongkang-jongket untuk dilepasi. Rentangan tali dipegang bagi menggerakkan diri ke bahagian kayu seterusnya.


Keseimbangan kaki kiri dan kanan perlu dikawal agar tidak terjatuh untuk bergerak ke kayu seterusnya. Umpama bermain papan luncur agak mengujakan juga.


Cabaran seterusnya kayu balak yang digantung dengan dua tali. Pasti berayun-ayun bagi mengawal daya melepasi setiap halangan. Berhenti di atas kayu sambil memegang kedua tali kiri dan kanan. Setelah pergerakan stabil dan berhenti seketika barulah bergerak ke kayu seterusnya.


Aksi Damia mengawal pergerakan yang berayun-ayun. Ini turut menaikkan kepercayaan dan keyakinan diri. 


Melengkapkan cabaran, Damia mencuba aktiviti memanjat halangan kayu-kayu di tengah  keliling halangan-halangan bertali ini.


Tali jaring untuk aktiviti memanjat ke halangan-halangan kayu. Tali sebagai tangga menuju ke kayu paling atas.

Memijak dan memegang kayu dengan berhati melepasi halangan yang di bentuk. Membuat keputusan tepat bagi mengatasi segala halangan pasti membawa kejayaan.


Berani mencuba mengatasi cabaran dapat menyelesaikan rintangan di masa hadapan. Tali dipegang menambah kepercayaan diri pada sesuatu perkara.


Flying fox agak panjang kabelnya memberi kepuasan kepada yang mencuba. Berpaut pada peralatan dengan kuat agar tidak terhumban jatuh.


Berlepas dari pelantar yang agak tinggi memberi daya untuk bergerak dengan lebih laju hingga ke hujung. Flying fox ini selamat kerana tidak terlalu tinggi. Aktiviti elemen tali rendah seperti ini dapat mengurangkan risiko kemalangan. Selain keseronokkan mengajar keyakinan diri bergantung kepada kekuatan kabel dan peralatan  duduk tergantung tersebut.


Kemudian mencuba Flying Fox dua kabel pula. Kabelnya lebih panjang daripada Flying Fox satu kabel. Dua orang boleh dilepaskan serentak!


Damia mencuba Flying Fox dua kabel hingga ke penghujung.Berpatah balik menolak tempat duduk tergantung itu pasti melelahkan. Namun keterujaan mencuba aktiviti ini mengatasi segalanya.


Hotel Amverton Cove dapat dilihat dari Flying Fox dua kabel. Kawasan Survival Park yang luas dengan rumput menghijau.


Pokok-pokok serta laluan berpasir menyajikan suasana aman damai serta mententeramkan jiwa. Tong sampah ada disediakan. Malangnya sikap segelintir pengunjung tidak bijak menggunakannya. Kelihatan banyak sampah boleh dilihat ditinggalkan begitu sahaja.


Selepas puas dengan aktivti flying fox terus kawasan istana pasir. Ada alat pam air untuk mengalirkan air pada takungan dan laluan air pelbagai arah.


Video aksi Damia mengepam air keluar ke takungan. Air yang keluar akan mengalir mengikut laluan dan takungan yang boleh diubah. Air bawah tanah jenis air payau kerana kedudukan Pulau Carey dikelilingi air masin.


Puas mengepam air di tempat istana pasir, bergerak ke kolam pula. Hidupan akuatik pun ada mengindahkan lagi pemandangan. Cuaca ketika tiba adalah mendung. Sepanjang berada di sini redup sekali, waluapun tiba waktu tengah hari.


Damia mengejar seekor itik kampung. Ada tiga ekor lagi sedang berada di dalam kolam ini. Pemandangan menghadap hotel dan tempat letak kereta serta taman tema air.


Pemandangan kolam menghadap Survival Park. Pokok teratai menghiasi pemandangan dalam kolam ini.


Titi kayu di kolam sudut bergambar. Merakam momen indah yang pasti tidak kembali lagi detik yang sama.


Damia puas mengejar itik hingga masuk ke kolam. Tiga ekor lagi, sudah berada di dalam kolam itu.


Pulau Carey di kelilingi Sungai Langat bersebelahan Selat Melaka dan Selat Lumut. Amverton Cove Golf & Island Resort mengadap Bukit Jugra.


Pemandangan Bukit Jugra yang terdapat Rumah Api. Sungai atau Selat yang memisahkan Pulau Carey dengan tanah besar.


Pemandangan Rumah Api Bukit Jugra dekat Banting. Air sungai atau air laut mengalir ke arah Selat Melaka. Seterusnya mencari makan di Banting serta solat zohor sekali. Tepat pukul 4.00 petang terus ke Animal Island dekat Kelab Golf.


Selesai aktiviti di Animal Island kembali ke Survival Park. Memandangkan tutup jam 6 petang. Ada masa berbaki lagi. Kehadiran kali kedua untuk memberi ikan makan di kolam. Sayangnya stok makanan ikan sudah habis. Maka kamipun pergi ke stesen yang belum buat aktiviti.


Tidak beberapa jauh dari kaunter tiket adalah Maze. Pagar sesat yang disusun menggunakan pokok sahaja. Jalan yang tertutup perlu barpatah balik mencari laluan yang betul. Sampai ditengah-tengah maze ini ada sebatang pokok yang besar. Berpatah balik meneruskan mencari jalan keluar.


Stesen terakhir adalah Tyre Maze. Aktiviti ini juga amat mencabar. Perlu guna strategi yang baik bagi menyelesaikan masalah. Perlu malalui kayu mengikut susunan warna merah, biru dan diikuti kuning. Mengikut turutan tiga warna hingga berjaya ke tengah tayar yang terdapat tiang.


Empat ekor itik yang berkawan baik sentiasa berjalan bersama-sama. Rumput basah setelah ditimpa hujan sewaktu kami ke Banting makan tengah hari. Ketika di sana tidak hujan langsung. Setelah menghampiri Pulau Carey didapati kesan hujan lebat air bertakung di mana-mana.


Menara zip line atau Flying Fox yang sebenar bagi yang ingin merasa cabarannya. Sebelah menara tersebut adalah pusat sukan bermotor go-kart.


Tepat jam 6 petang kamipun keluar dari Survival Park tersebut. Damia tidak percaya Pulau Carey ini merupakan sebuah pulau. Jadi, bawa Damia ke Tanjung Rhu untuk melihat laut.


Setelah tiba di Tanjung Rhu, baru Damia percaya dapat melihat laut Selat Melaka yang sibuk dengan kapal dagang berlayar. Deretan kapal melalui Selat Melaka dapat dilihat dari Tanjung Rhu ini.

Selamat Memburu!

73, Jojet de 9w2dya





No comments:

Post a Comment

Musim memburu telah tiba?

  Adakah musim memburu belon telah tiba? Siapkan segala peralatan pemburuan. Pagi ini sekali lagi belon Klia jatuh di kawasan yang sama sepe...