Pengajaran kepada penganjur MTB Jamboree


Berita kematian peserta UPM MTB FETE 2012 yang berlangsung pada hari ahad lalu memang mengejutkan banyak pihak. Laporan Harian Metro semalam memetik kepada rakan arwah mengatakan beliau telah sakit dada selepas mengharungi lebih 18km. Kawasan yang dilalui merupakan kawasan bukit-bukau memberi cabaran yang sangat hebat kepada semua peserta.


Sebagai pemerhati pada hari itu aku mendapati banyak kekangan dan kekurangan terhadap penganjuran kali ini. Banyak cemuhan dan kemarahan dalam kalangan peserta akibat kealpaan penganjur yang dikatakan lebih kepada mengejar keuntungan. Tetapi kita tidak tahu pula apakah masalah yang mereka hadapi sehingga menimbul ketidakpuasan hati dikalangan peserta.


Cakap-cakap diinternet menjadi medan peserta menunjukkan ketidakpuasan hati apa yang mereka telah lalui sepanjang lebih 45km perlumbaan. Peserta mengatakan keadaan laluan amat tidak sesuai sekali. Pemilihan trek laluan yang dibuat adakah telah diuji terlebih dahulu kesesuaian digunakan perlumbaan yang dihadiri lebih dari seribu orang?  Kapasiti yang banyak ini bolehkah ditampung dan adakah sangat sesuai?


Ada laporan mengatakan trek itu hanya sesuai untuk aktiviti trekking sahaja. Kasihan kepada peserta kerana asyik menolak daripada mengayuh basikal. Semasa aku hendak pulang ke rumah melalui SKVE aku melihat peserta menolak basikal ditepi longkang sebelah highway itu. Memang trek yang dibuat tidak sesuai untuk berkayuh. Kemudian menolak masuk ke dalam semak dan keluar semula dari semak. Alangkah elok guna sahaja laluan kecemasan  SKVE sahaja, tetapi memanglah sangat merbahaya kepada pengguna lain. Pemandu mesti terfikir mengapa rider ini menolak basikal sahaja. Nasib baik tidak berenang bersama ikan laga dalam longkang itu.

Aku lihat ketika itu, ramai peserta mendapat rawatan kepada para petugas tepi highway itu terutama kaki mengalami kekejangan. Hanya sapu menggunakan ais dapat memulihkan semula otot-otot yang tegang itu.

Sebelum itu, aku memerhati di pintu 2 Maeps berdekatan pintu gerbang. Kayuhan berjalan lancar kerana menggunakan jalan raya selepas berhempas-pulas dalam hutan. Sepatutnya, penganjur boleh menyediakan check point atau tempat kesegaran di situ. Aku lihat hanya kakak berbaju merah menunjukkan arah ke bawah untuk perlumbaan seterusnya.

Selepas keluar dari hutan itu, peserta memerlukan air yang banyak bagi menggantikan cecair badan yang banyak hilang. Sepatutnya penganjur perlu menyediakan air minuman di situ. Aku menanyakan jarak yang telah dilalui oleh salah seorang peserta ketika itu. Beliau telah mengatakan bahawa perjalanan yang dilalui adalah lebih 20km. 


Kakak yang berbaju merah itu, sendiri aku lihat tidak dibekalkan air minuman dan baju rasmi sebagai urusetia. Menurut beliau adalah kakitangan MARDI yang bertugas pada hari ahad yang kebiasaanya berehat di rumah. Urusetia atau crew yang lain aku lihat sebelum itu memakai t-shirt putih. Aku pula memakai t-shirt peserta bewarna hijau menunjukkan komitmen untk memberi semangat kepada peserta. 

Pegawai Keselamatan MARDI pula, menjaga simpang dan lalulintas ketika itu. Mereka sendiri mempunyai kemudahan radio perhubungan yang boleh digunakan oleh penganjur jika berlaku saat-saat kecemasan. Ketika aku di situ, aku monotor di V38 kedengaran audio memanggil check-point 4. Akupun tak tahu di mana check-point 4 itu. Aku cuba response tetapi tiada balasan.

Penganjur sebenarnya menggunakan kemudahan radio dua hala. Semasa aku menunggu di simpang jalan tanah merah sebelum mendaki bukit yang ramai-ramai sangkut itu. Aku telah ditegur oleh urusetia yang menanyakan check-point 2 yang menggunakan handy. Aku menafikan bahawa tempat yang aku tunggu itu check-point 2 memandangkan dia melihat aku memegang handy juga. Tetapi malangnya bila aku bertanya frekuensi yang digunakan dia tidak memberi jawapan dan berlalu pergi. Kalau rakan ham pasti ia akan memberi kerjasama yang erat.


Bakal penganjur yang lain bolehlah menggunakan khidmat radio amatur bagi tujuan perhubungan memandang jarak sesuatu pertandingan adalah amat jauh. Banyak kelab dan persatuan boleh dihubungi bagi mendapat khidmat nasihat dan bantuan komunikasi. Pemegang lesen radio amatur sangat terlatih dan berkemahiran tinggi bagi kemudahan komunikasi terutama ditempat yang jauh dengankemudahan perhubungan telefon.

Para peserta juga haruslah bersedia dari segi fizikal dan mental sebelum menyertai sesuatu pertandingan. Peralatan basikal mestilah dalam keadaan sangat baik bagi mengelakkan sebarang kemalangan. Pemeriksaan tahap kesihatan amat penting bagi mengesahkan kita boleh bertanding.

Penganjur pula harus menydiakan papan tanda atau tali-tali keselamatan bagi kawasan yang sangat merbahaya seperti digaung, dilereng-lereng bukit atau dilurah-lurah. Bila adanya amaran seperti itu, para peserta akan lebih berhati-hati ketika melalui kawasan itu. Bukannya menyediakan laluan untuk hiking kepada peserta berbasikal memanglah tidak sesuai sama sekali. Risiko seperti ini sememangnya boleh dielakkan jika langkah-langkah keselamatan telah diambil kira. Orang yang paling bertanggungjawab ialah orang yang membuat laluan trek itu. Dia semestinya tahu samada trek yang dibuat itu adalah sesuai untuk acara berbasikal merentas desa. Jika hendak downhill pasti kaki-kaki downhill akan menyertainya dengan basikal yang sesuai untuk acara itu.

Apapun perkara yang berlalu haruslah diambil pengajaran oleh semua pihak agar tidak berulang lagi.

73, Jojet, 9W2DYA

http://9w2dya.blogspot.com




No comments:

Post a Comment

DFM09 17030735 telah ditemui di Jerantut

Credit 9W2PRX Maklumat dari group bahawa Abg Man 9W2PRX telah memaklumkan radiosonde DFM09 17030735 telah ditemui oleh orang awam di Jerantu...