Misi Mencari Radiosonde di Banting

 


Semalam lima misi mencari radiosonde dilancarkan lagi di Banting. Misi berdua bersama Hanif 9W2VHF. Kali ini berjumpa jam 10 pagi di Jalan Masuadi Kanchong Darat. Belon D20054614 jatuh pada 24 Disember 2021. Kali kedua mencarinya. Kali ini cuba mencari di sebelah kiri titik akhir pada dua baris sawit. Bersebelahnya kawasan lapang yang ditambak untuk pembangunan. Boleh baca cerita berkaitan pada http://9w2dya.blogspot.com/2021/12/misi-mencari-radiosonde-d20052302.html  bertarikh 26 Disember 2021.


Hanif 9W2VHF sempat bersembang dengan Pakcik yang sedang meracun di sekitar kebun sawit itu. Kemungkinan jikalau terjumpa atau orang lain jumpa bolehlah membantu memaklumkan pertemuan itu. Maklumlah kawasan kampung pasti orang boleh menemuinya adalah tinggi.


Kemudian meneruskan pencarian kedua di Jalan Sempadan, dekat Kg Ladang Batu. Ini kali kedua mencari belon D20039910 yang jatuh pada 28 November 2021. Boleh baca cerita dalam blog ini pada http://9w2dya.blogspot.com/2021/11/misi-mencari-radiosonde-di-kanchong.html   bertarikh 29 November 2021. Meletak kereta di simpang, kemudian bersama Hanif membonceng motorsikalnya mencari laluan masuk. Sebelum itu, berjaya melalui titi berdekatan simpang yang kereta diletakkan. Malangnya setelah masuk dikepung oleh parit. Ada beberapa titi untuk menyeberang parit. Malangnya titi yang telah tenggelam ketika banjir menyebabkan ia tidak kukuh.


Terpaksa aku meninjau seorang diri masuk ke kawasan pencarian. Kami berhubung melalui radio di frekuensi 145.500MHz. Hanif 9W2VHF tunggu diluar dan aku ke dalam mencuba nasib. Seberang titi dengan berhati-hati kemudian melompat dua parit untuk ke jalan. Jalannya bersemak terpaksalah diredahi. Menyusur ke utara hingga latitud 2 darjah 44.86' Utara. Selepas tiba, belok ke kiri untuk mendapatkan longtitud 101 darjah 31.46' Timur. Jumpa lagi satu jalan yang lebih baik dan kemas. Menyeberang parit menggunakan titi konkrit. Meneruskan mencari titik terakhir. Oleh kerana keadaan sawit yang bersemak dan pelepah kelapa sawit tidak kemas dan dipotong. Suasana persekitaran seperti dalam hutan. Berjaya sampai di longtitud 101 darjah 31.54' Timur sahaja.


Longtitud sebenar adalah 101 darjah 31.46' Timur. Maka misi dibatalkan dan memaklumkan pada Hanif 9W2VHF untuk berpatah balik. Kemudian kami ke hadapan di titik terakhir belon D20052284. Oleh kerana laluan sehala, kami meninjau keadaan di kawasan belon ini. Oleh sebab altitud terakhirnya terlalu tinggi, 1081m maka tidak mahu mengambil risiko untuk mencari. Semakin tinggi altitud semakin sukarlah pencarian. Belon ini jatuh pada 26 Disember 2021 jam 9:16 pagi.


Misi seterusnya ke Kg Ladang Batu jalan Keranji belon D20052398. Belon jatuh pada 24 Disember 2021 ini telah dicari ketika itu. Boleh baca cerita dalam blog ini pada http://9w2dya.blogspot.com/2021/12/misi-mencari-radiosonde-di-kg-ladang.html  bertarikh 26 Disember 2021. Meletak kereta  di tanah lapang berdekatan rumah penduduk. Membonceng hingga ke titik terakhir. Kemudian masuk ikut laluan dan mencarinya di kawasan yang disyaki jatuh.


Kawasan pencarian juga agak semak. Maklumlah kebun sawit tanah persendirian.  Berlegar-legar mencari sambil mendongak beberapa kali. Namun, masih tidak menjumpai barang yang dicari. Terpaksa menamatkan misi kerana gagal menjumpainya. Keluar semula melintasi parit yang telah kering ke titik terakhir. Berpatah balik ke tempat letak kereta.

Credit 9W2VHF

Misi terakhir ke Taman Kekal Pengeluaran Makan (TKPM) Kampung Kundang. Kawasan pertanian yang luas ini menjadi pendaratan belon D20052435. Jatuh pada 23 Disember 2021 jam 21:21 telah dicari oleh Weerut 9W2RUT dan Abg Mike fox 9W2SMF. Namun mereka tidak menemuinya pada malam kejadian itu.

Credit 9W2VHF

Titik terakhir jatuh dikawasan penanaman pokok bunga kantan. Telah disemak dan diperiksa menunjukkan tiada apa-apa tanda. Sebelum itu ketika tiba memeriksa  di tapak penanaman ubi kayu. Habis musim menuai tidak menemui apa-apa. Jikalau jatuh tepat dikawasan ini. Pastilah tuan punya tanah atau pekerja menjumpainya terlebih dahulu.

Credit 9W2VHF
Puas hati mencari dikawasan kebun ubi kayu tidak ada sebarang tanda. Beralih ke sebelah kawasan kebun itu ke kawasan kebun kelapa sawit. Mencari seiring dengan kebun ubi kayu hingga ke parit. Memerhatikan setiap pokok dan lantai kebun. Namun tidak juga menemui sebarang tanda.

Credit 9W2VHF

Penulis bergerak ke kiri dan kanan untuk memeriksa jikalau barang dicari boleh ditemui. Pondok biru merupakan tempat simpanan baja dan racun perosak. Memandangkan ia berada di kawasan kebun. Peratus orang lain jumpa terlebih dahulu memanglah tinggi.

Credit 9W2VHF

Penulis berdiri di titik terakhir belon D20052435. Altitud ketinggian terakhir 481m. Pada malam kejadian Weerut 9W2RUT dan Abg Mike fox 9W2SMF gagal mendapat isyarat radiosonde tersebut. Adakah orang lain telah menemuinya terlebih dahulu? Mustahil isyarat boleh hilang memandangkan bateri mampu bertahan hingga jam 3.

Credit 9W2VHF

Bearing terakhir 150 darjah ke tenggara. Jangkaan jatuh sempadan antara kebun ubi kayu dan kebun kelapa sawit. Keduanya dipisahkan oleh parit. Setelah parit diperiksa, tiada tanda jatuh di situ. Adakah ia hanyut pada malam itu? Jikalau hanyut mungkin tersangkut tali benang yang panjang dengan belon yang berat.

Credit 9W2VHF
Cabaran pemburu belon radiosonde berada ditempat-tempat terpencil seperti di kebun ini. Mengharungi rintangan dan cabaran demi sebuah belon radiosonde. Usaha berbaloi dan kepuasan diri dirasai apabila ditemui dan sebaliknya. Gagal boleh cuba sekali lagi.

Credit 9W2VHF

Pulang dengan kehampaan perkara biasa dalam sesuatu misi. Ada mudah ada yang susah untuk diperolehi. Setiap kegagalan memberi nilai dan pengajaran untuk memperbaiki lagi teknik pada masa hadapan.

Credit 9W2VHF

Semakin banyak misi semakin mematang dan dapat meningkatkan lagi kemahiran pencarian. Usaha berterusan tanpa mengenal jemu pasti  membuahkan hasil pada masa hadapan.


Puas mencari di kebun, misi ditamatkan dengan berkunjung di menara pandang. Melihat sekeliling pemandangan 360 darjah dari tingkat atas. WX cerah dan berangin sangat kuat di atas. Hilanglah lelah dan penat seketika dengan pemandang indah di hadapan mata.


Kawasan berpagar hijau ini merupakan Petak Pemerhatian Susutan Tanah Gambut. Tanah gambut dikawasan ini ditanam pelbagai jenis tanaman makanan. Petak ini berhampiran menara pandang.

Credit 9W2VHF

Menara pandang boleh menjadi tarikan pelancong untuk menikmati keindahan dipersekitaran taman ini. Pelbagai jenis tanaman boleh dilihat dengan lebih dekat. Agropelancongan turut menambah pendapatan negara. Potensi yang ada haruslah diperluaskan lagi.


Jelopiku berhadapan menara pandang bersebelahan tanaman yang hidup subur. Nampak jalan sangat baik, namun untuk menyampainya terpaksa melalui laluan yang agak sukar dari Jalan Keranji. Nasib baiklah musim panas dan kering kini. Jikalau musim hujan pasti lecah dan tayar dipenuhi lumpur. Pasti selepas sesuatu misi, mesti jelopi ini haruslah dimandikan.


Jalan batu laterit tidaklah sesukar jalan tanah merah yang berlubang agak dalam. Lingkaran jalan di taman ini memudahkan mengangkut hasil ke luar.


Pemandangan bahagian utara kelihatan hutan gambut nun jauh di sana sebelah kanan. Batas-batas tanaman jelas kelihatan.


Pemandangan sebelah timur merupakan kawasan belon mendarat. Laluan yang kami lalu dari titik terakhir ke menara pandang. Ubi kayu yang menunggu hari untuk dipungut hasil.


Pemandangan barat laut menghadap Bukit Jugra dan seterusnya arah Pulau Carey. Banting dan Pulau Carey merupakan lokasi terakhir belon jatuh ke darat. Namun, sangat sukar kini, kebanyakan jatuh ke dalam laut Selat Melaka. 

Credit 9W2VHF

Aku dan Hanif 9W2VHF masih boleh tersenyum walaupun tidak membawa pulang apa-apa pada kali ini. Misi seterusnya pasti membuahkan hasil dengan pelbagai pengalaman yang dilalui.

Credit 9W2VHF

Faktor kesukaran misi kali ini adalah persekitaran kawasan yang sangat semak. Kawasan kebun sawit yang tidak diselenggara dengan baik menyukarkan pencarian. Kemungkinan ada orang lain telah menemui terlebih dahulu turut menyumbang kepada halangan kejayaan. Memandangkan jatuh dikawasan kebun yang mudah dilihat depan mata.

Credit 9W2VHF

Misi akan terus dilakukan apabila belon jatuh ke darat. Segala pengalaman dan pengetahuan diguna sebaiknya bagi mencapai matlamat. Usaha berterusan tanpa kenal jemu pasti membawa kejayaan. Jom kejar belon radiosonde!

73, Jojet de 9w2dya

No comments:

Post a Comment

Radiosonde DFM09P 19025684 di Perairan antara Tioman dan Kepulauan Anambas

Credit 9W2DVZ   Pagi ini telah muncul satu belon radiosonde DFM09P 19025684 di perairan Tioman dan Kepulauan Anambas di Laut China Selatan. ...