Tasik Jentayu


 Pagi hari minggu aktiviti mengukur jarak tasik diteruskan lagi. Pada kali ini, giliran Tasik Jentayu yang terletak di Bandar Enstek, Nilai. Merujuk jam Garmin lokasi dibaca adalah Labu. Lokasinya di kawasan perumahan Jentayu. Mungkin sempena kawasan tersebutlah nama digelar Tasik Jentayu. Tasik ini merupakan kolam tadahan air banjir JPS.


Laluan masuk bersebelahan Masjid Bandar Enstek. Terdapat kawasan letak kereta disediakan. Penulis salah masuk lorong terus memandu masuk ke dalam perkarangan masjid. Terpaksalah keluar balik dan melihat ada satu keluarga sedang melakukan aktiviti memancing. Ada juga pemancing lain datang dengan motorsikal sahaja.


Berdekatan tempat letak kereta ada tempat duduk dan hiasan taman. Bersebelahan dengan masjid ada pokok-pokok hiasan. Bergerak terus ke siar kaki. Masuk sahaja siar kaki telah melihat air melimpah memenuhi siar kaki tersebut. Kemungkinan saluran air telah tersumbat menyebabkan air melimpahi ruang beriadah.Terpaksalah berjalan menggunakan tumit sahaja bagi mengelakkan kasut dipenuhi air.


Laluan siar kaki konkrit hampir dipenuhi rumput pada bahagian tepi. Kawasan rumput turut dipenuhi pokok duri semalu. Kawasan siar kaki ini terdedah dengan pancaran matahari. Tiada sebarang pokok pada bahagian kiri dan hadapan tasik.


Tasik sebelah bahagian kiri ini dipenuhi pokok teratai putih. Hampir memenuhi permukaan air tasik ini. Ini menunjukan kualiti air tasik ini boleh menampung kehidupan. Banyak bunga mekar pagi itu.


Langit cerah membiru. Sudah seminggu cuaca amat baik tiada jerebu lagi. Kini telah masuk monsun timur laut. Boleh dikatakan setiap petang hingga lewat malam hujan turun. Terdapat juga kesan najis lembu yang sudah kering. Sudah pastilah kawasan ini menjadi padang ragut. Bagus juga boleh mengawal pertumbuhan rumput di kawasan tasik ini.


Manakala, pada bahagian tengah tasik ditumbuhi pokok teratai berbunga merah. Daunnya turut berbeza berbanding yang putih tadi. Dua kelompok teratai yang berbeza tumbuh secara berasingan. Pihak JPS turut menyediakan laluan di tepi tasik yang berpagar biru tersebut.

Kelihatan rumput pada bahagian keliling tasik ini sangat tebal. Syurga bagi lembu-lembu tempat mencari makan. Tiada sebarang pokok ditanam berdekatan tebing. Rasanya memang orang jarang melalui siar kaki ini jika cuaca panas. Mungkin ketika redup awal pagi dan lewat petang ramai yang akan pusing keliling.


Tiang ukur aras air tasik berhampiran pembentung air keluar. Limpahan air keluar mengalir terus ke sungai atau saliran yang berhampiran.  Lubang itu tidak ditutup seperti kebanyakan kolam atau tasik yang lain. Mungkin telah rosak mahupun hilang. Jika ada penutup bolehlah menapis sampah-sampah dari masuk ke dalam pembentungan tersebut. Ini dapat mengelakan daripada tersumbat. Apabila tersumbat pastilah aras tasik ini semakin meningkat dan boleh melimpah ke kawasan yang berhampiran.



No comments:

Post a Comment

Tasik Jentayu

  Pagi hari minggu aktiviti mengukur jarak tasik diteruskan lagi. Pada kali ini, giliran Tasik Jentayu yang terletak di Bandar Enstek, Nilai...